Wednesday, October 1, 2014

Sejauh Mana Engkau PASTI Ada Banyak Hadith Palsu dalam Ihya Ulumuddin?


Di sebuah surau lama di kampung sana, selepas solat fardhu Maghrib berjemaah. Pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali sedang berlangsung…


BAHAGIAN 1

ABDULLAH : Ustaz, maaf saya mencelah. Dalam kitab Ihya’ ini ada banyak hadis palsu. Ok ke kita ajarkan kepada orang ramai?

USTAZ : (*Memandang wajah Abdullah sambil tersenyum) Dari mana kamu tahu yang dalam kitab Ihya’ ni banyak hadis palsu?

ABDULLAH : Beberapa kali dah saya terbaca. Dan ada juga ustaz-ustaz yang sebut dalam kuliah mereka.

USTAZ : Maksudnya… kamu bertaqlid le ye? Tapi setahu saya, kamu ni jenis yang selalunya anti taqlid. Tak gitu?

ABDULLAH : Err… hehe! Itu yang saya nak dengar pandangan ustaz ni.

USTAZ : Ye ke? Ataupun… di hati kamu memang dah ada berpegang dengan apa yang kamu baca dan kamu dengar tu tak?

ABDULLAH : (*Tersenyum sahaja, dengan wajah yang jernih menanti penjelasan)

USTAZ : Baiklah. Kamu pernah belajar kitab Ihya’? Kalau pernah, dengan siapa?

ABDULLAH : Tak pernah ustaz.

USTAZ : Kamu pernah mengkaji atau meneliti kitab Ihya’?

ABDULLAH : Tak pernah lagi.

USTAZ : Mmm… pernah tengok kitab Ihya’?

ABDULLAH : Pernah.

USTAZ : Tengok berdepan ke atau macam mana?

ABDULLAH : Tengok berdepan pun pernah, tengok di internet pun pernah. Yang berdepan tu, di rumah bapa saudara saya memang ada satu set terjemahan Indonesia. Dia buat perhiasan almari depan dia. Saya ada le jugak belek-belek.

USTAZ : Jadi kamu ada membaca kitab Ihya’ le. Berapa banyak yang pernah dibaca, dan banyakkah yang difaham?

ABDULLAH : Eh, saya selak-selak je! Mana-mana bahagian yang nampak menarik tu saya baca le. Tapi bahagian huraian Syeikh Al-Ghazali ni susah nak difaham.

USTAZ : Imam Al-Ghazali, bukan Syeikh Al-Ghazali. Syeikh Al-Ghazali tu ulama lain. Ulama Ikhwanul Muslimin.

ABDULLAH : Oh, ye ke? Maaf, silap sebut. Hehe. Tapi… memang hari tu saya ada terbaca dalam akhbar, ada seorang pengkaji mengatakan Syeikh Al-Ghazali sebagai pengarang kitab Ihya’. Boleh jadi tersalah tu.

USTAZ : Tak mengapa, cuma takut tertukar orang. Dan… kan pelik dengarnya kalau kita sebut Syeikh Abu Bakar as-Siddiq, Syeikh Muawiyah Abu Sufyan, Syeikh Umar Abdul Aziz, Syeikh Abu Hanifah, Syeikh Asy-Syafi’I, Syeikh Ahmad bin Hanbal, Syeikh Harun Ar-Rasyid, Syeikh Salahuddin al-Ayyubi, Syeikh Muhammad Al-Fateh dan lain-lain yang sudah ada gelaran tersendiri?

Para ulama dan ilmuwan dulu-dulu buat gelaran khas untuk mereka mengikut bidang dan tahap mereka tu bukan saja-saja. Ada sebab-musabab yang bersesuaian. Jadi, tak cantiklah kalau kita mudah-mudah sebut Imam Al-Ghazali sebagai Ustaz Al-Ghazali ke, Maulana Al-Ghazali ke, Syeikh Al-Ghazali ke, Lebai Ghazali ke, Abuya Al-Ghazali ke, Dr. Al-Ghazali, Haji Ghazali ke… dan lain-lainlah.
(*Hadirin tertawa kecil mendengar celoteh ustaz)

ABDULLAH : Ok ustaz, no problem! (*Tersenyum sambil mengangkat ibu jarinya - “good”)

USTAZ : Erm… pernah baca karangan-karangan Imam Al-Ghazali yang lain seperti kitab Al-Munqiz min Adh-Dhalal, Misykatul Anwar, Kimiya’ As-Sa’adah dan Risalah Laduniyyah?

ABDULLAH : Kitab Al-Munqiz dan kitab Kimiya’ tu pernah le dengar, tapi tak pernah baca. Yang dua lagi tu tak pernah tahu pun.  Yang lain… yang pernah dengar nama macam kitab Ayyuhal Walad, Bidayatul Hidayah, err… Minhajul Abidin... Tahafut al-Falasifah… pernah le dengar.

USTAZ : Begitu ceritanya… baiklah.


BAHAGIAN 2

USTAZ : Baiklah. Yang Abdullah tahu, ada banyak mana hadith palsu dalam kitab Ihya’?

ABDULLAH : Mm.. macam-macam ustaz. Yang terbaru ni ada orang buat kajian, katanya ada lebih kurang 200 hadith.

USTAZ : Kamu terus percaya dan berpeganglah?

ABDULLAH : Err… tak delah gitu ustaz. Hehe.

USTAZ : Hehe. Baguslah kalau kamu bersikap tidak terus percaya. Baiklah. Dalam lebih kurang 200 hadith tu, berapa hadithkah yang disepakati kepalsuannya oleh para ulama hadith?

ABDULLAH : (*Terdiam beberapa saat) Err… kena ada kesepakatan ke ustaz?

USTAZ : Kalau ikutkan manhaj yang kamu pegang, kan ke kamu tak suka keputusan khilaf? Seboleh-bolehnya kamu mahukan keputusan yang tidak boleh berkhilaf. Takkan dalam hal ini kamu nak terima sesuatu yang ada keputusan khilaf pulak? Tentulah nak yang ada kesepakatan. Ke macam mana?

ABDULLAH : Aduh, ustaz (*sambil menepuk dahinya)… jangan le buat kaitan cam tu pulak! Tak aci le!

USTAZ : Ok, ok! (*sambil tertawa kecil). Berapa hadithkah daripada 200 hadith tu yang majoriti besar tokoh-tokoh hadith sahkan sebagai palsu?

ABDULLAH : Tak adalah saya maklumat yang begitu ustaz. Jenoh kalau nak mencarinya.

USTAZ : Kesimpulannya, bolehkah kita jadikan sandaran kata-kata satu orang atau beberapa orang pengkaji kononnya ada lebih kurang 200 hadith palsu dalam kitab Ihya’?

ABDULLAH : Err.. tentulah tak sesuai ustaz. Tapi sekurang-kurangnya boleh dijadikan asas perbincangan, atau asas kajian… maksudnya tak bolehlah kita nak menafikan terus.

USTAZ : Ya, betul tu Abdullah. Saya pun setuju begitu.



BAHAGIAN 3

USTAZ : Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini ada banyak hadith. Lebih kurang 5,000 hadith. Lebih daripada jumlah hadith dalam Musnad Ibnu Majah. Katakanlah betullah dakwaan kononnya terdapat sekitar 200 hadith palsu dalam kitab besar ini, maka… Islam tak benarkanlah kitab Ihya’ ini dibaca, diajar, dijual… ? Mesti diharamkankah? Mesti dilupuskankah? Disesatkankah? Dibid’ah dhalalahkan kah? Atau… macam mana?

ABDULLAH : Hmmm… jap nak fikir ustaz. Hehe.

USTAZ : Kita buat tamsilanlah supaya mudah difaham. Katakanlah kita nak makan nasi. Di depan kita ada sepinggan nasi. Ada lebih kurang 5000 biji nasi di dalamnya. Terdapat juga lebih kurang 200 butir kulit beras. Apa yang kita nak buat dengan nasi tu?

ABDULLAH : Saya tak berapa fahamlah kehendak soalan ustaz tu. Harap ustaz dapat perjelaskan lagi.

USTAZ : Macam ni lah. Cara pertama – kulit-kulit beras tadi kita kutip dan ketepikan, lalu nasinya kita makan. Cara kedua – makan nasi dengan kulit-kulit beras tu sekali. Cara ketiga – buang semua nasi bersama kulit-kulit beras tu. Antara ketiga-tiga tindakan ini, mana yang sepatutnya kita orang-orang yang waras ini ambil?

TOK BILAL : (*Mencelah) Yang pertama le ustaz.

USTAZ : Ya! Orang yang bijak, kulit beras yang 200 biji itu diasingkan, nasinya yang hampir 5000 biji itu dimakan. Orang yang kurang bijak, dia makan nasi dengan kulit-kulit beras tu sekali. Dan orang yang paling tidak bijak, dia buang kesemua nasi tu.

(*Suasana senyap seketika… Beberapa orang hadirin kelihatan mengangguk-anggukan kepala mereka termasuklah Abdullah)

USTAZ : Macam tu lah jugak sikap kita terhadap kitab Ihya’ ni. Hadith-hadith yang didakwa “confirm” palsu ataupun yang dikhuatiri palsu tu, kita ketepikanlah. Palanglah siap-siap. Janganlah guna. Dah tahu atau dah syak palsu, nak guna buat apa lagi? Dan… bahagian-bahagian lain kitab Ihya’ yang jauh lebih banyak yang tak palsu tu, kita pakailah. Takkanlah nak buang keseluruhan kitab Ihya’. Katakanlah 5% hadith palsu, yang 95% lagi hadith yang tak palsu tu pun nak di”reject’ samakah? Seluruh kitab Ihya’ kena dipadamkankah?

(*Hadirin masih berfikir-fikir…)

USTAZ : Saya diizinkan Allah mengajar kitab Ihya’ ini ke sana ke sini sudah 4 tahun. Sepanjang tempoh itu, belum pernah saya guna walau satu pun hadith dalam Ihya’ yang dikatakan palsu ataupun yang disyaki palsu. Bahkan hadith-hadith yang dhaif pun saya usaha agar tidak menggunakannya, kecualilah matan atau maksudnya ada dikuatkan oleh sandaran-sandaran lain. Salahkah apa yang saya ajar selama ini di sisi agama Islam? Adakah kitab Ihya’ mesti dihapuskan?

(*…………….. hening seketika)

USTAZ : Bahkan, untuk pengetahuan tuan-tuan, sepanjang lebih 20 tahun saya bersama-sama kitab Ihya’ ini, saya perhatikan bahawa isi kandungan kitab Ihya’ ini ataupun hal-hal penting yang Imam Al-Ghazali mahu sampaikan kepada kita melalui kitab ini, tidak terusik pun sekiranya kesemua hadith yang dikatakan palsu itu dipadamkan. Maksudnya kitab Ihya’ masih boleh beroperasi dan mencapai matlamatnya  seperti yang dikehendaki oleh Imam Al-Ghazali tanpa  cacat.

Oleh itu, kita kena sangat berhati-hati. Walaupun bukan semua, tapi banyak kes yang saya temui, para penghentam hadith-hadith dalam kitab Ihya’ ni sebenarnya bukan bertujuan mahu hadith-hadith itu disaring keluar, tetapi mereka punya matlamat lain.

ABDULLAH : Apa matlamat mereka ustaz?

USTAZ : Antaranya ada yang mahu kita Ihya’ dihapuskan terus. Ada yang bermatlamat agar kitab Ihya’ diharamkan daripada diajar. Ada yang sebenarnya memusuhi Imam Al-Ghazali. Ada pula yang memusuhi Mazhab Fiqh Syafi’i. Ada yang anti ilmu tasawuf. Yang anti Mazhab Tasawuf Al-Ghazali. Yang anti dunia kesufian. Yang mahu menghancurkan Mazhab Tauhid Asya’irah dan Maturudiyyah. Tak kurang yang anti mazhab fiqh dan tidak bermazhab. Juga yang bermazhab diri sendiri. Dan banyak lagi.

ABDULLAH : Tak semua pengkritik hadis-hadis Ihya; macam tu kot ustaz.

USTAZ : Ya, sebab itu saya katakan tadi bukan dalam semua kes, tapi dalam banyak kes. Ada beza tu.

ABDULLAH : Beres ustaz.


BAHAGIAN 4

ABDULLAH : Kemudian ustaz, Imam Al-Ghazali ini belajar ilmu hadith ataupun lebih tepatnya ilmu menyaring hadith ni hanya di penghujung usianya sahaja…

USTAZ : Hehe. Kata-kata kamu tu macam kamu….

ABDULLAH : Oh, tak tak ustaz! Saya belum berpegang lagi dengan dakwaan tadi. Saya cuma terbaca dalam akhbar hari tu le. Sebenarnya saya nak kata begini… ada dakwaan mengatakan Imam Al-Ghazali hanya mendalami ilmu menyaring hadith ni di penghujung usianya, bahkan mendalam. Di penghujung usianyalah baru dia sedar akan kepentingan ilmu ini lalu mendalaminya. Bukan kata saya, kata akhbar yang memetik kata orang lain tu. Hehe.

USTAZ : Amboih, bijak kamu cari jalan selamat ye, hehe.

ABDULLAH : Hehe.

USTAZ : Ertinya selepas Imam siapkan kitab Ihya’lah?

ABDULLAH : Begitulah lebih kurang.

USTAZ : Hmm… nanti kejap saya nak fikir-fikirkan… al-maklumlah, dah tua-tua ni……. “belajar ilmu menyaring hadith hanya di penghujung usianya..” Hmm… ya, di situ “point”nya!

ABDULLAH : Teruskan ustaz.

USTAZ : Baik. Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini tuan-tuan, terdiri daripada 40 buah kitab di dalamnya. Kitab yang pertama, yang paling awal, yang di depan sekali ialah Kitab Ilmu. Dalam kitab yang pertama, yang paling awal dan yang paling depan kedudukannya ini ada Imam Al-Ghazali menulis begini… tunggu sekejap, saya cari ye. (*Ustaz menyelak-nyelak ke sana ke mari)

TOK BILAL : Cari ustaz, jangan tak cari. (*Beberapa orang hadirin tersenyum)

USTAZ : Ini dia. Saya baca, tuan-tuan dengar betul-betul dan kena usaha nak memaham apa yang Imam Al-Ghazali tulis ni. Kata Imam :

“Adapun ilmu penyempurna pada hadith Nabi dan atsar ialah ilmu tentang para perawi hadith, namanya, keturunannya, nama-nama sahabat, keperibadiannya dan ilmu tentang kejujuran para perawi itu, dan keadaan mereka dalam meriwayatkan hadith. Supaya dapat membezakan antara hadith yang lemah dan hadith yang kuat. Dan mengetahui umur mereka, agar dapat membezakan antara hadith mursal dan hadith musnad. Dan juga mengetahui yang berhubungan dengan musnad itu.”

Dan ditulisnya pada bahagian lain kitab Ihya’, masih dalam kitab pertama juga : “Adapun yang meluas dan mendalam (dalam ilmu hadith), sehinggalah melengkapi kepada seluruh hadith yang diterima, baik yang dhaif, yang kuat, yang bercacat serta mengetahui pula cara-cara penerimaan hadith itu, keadaan orang-orang yang menjadi perawi hadith, namanya dan sifatnya.”

Pada pandangan tuan-tuanlah, orang yang menulis tentang ilmu menyaring hadith sebegini… dia sedar ke tidak kepentingan ilmu menyaring hadith, tahu ke tidak, dah belajar ke tidak ilmu menyaring hadith?

TOK BILAL : Dah tentulah dia tahu dan dah ada ilmu tu. Takkanlah orang macam Imam Al-Ghazali cakap kosong. Kan dia sendiri yang ajar agar jangan sembang kosong?

USTAZ : Dari itu fahamlah kita… bahawa ketika mula menulis kitab Ihya’ lagi, dia sudah sedar, tahu dan ada ilmu saringan hadith, walaupun mungkin tidak sampai ke tahap ulama hadith elit seperti Imam Bukhari dan Imam Muslim. Bahkan ilmu itu sudah dimakluminya sebelum mengarang kitab Ihya’ lagi. Mesti diingat juga, yang kitab Ihya’ ni dikarang bukan di penghujung usianya. Tuan-tuan boleh dapat tak?

HADIRIN : (*Ada yang menjawab “ya” dan ada yang mengangguk-anggukkan kepala)

USTAZ : Jika hanya di penghujung usianya baru dia nak ambil ilmu ini, dah tentu dia tak menulis sebegitu pada awal kitab Ihya’. Dah habis kitab Ihya’lah barulah dia tulis, ataupun dalam kitab-kitab selepas kitab Ihya’. Tapi, yang berlaku adalah sebaliknya. Oleh itu, dakwaan tersebut bolehlah kita ketepikan.

ABDULLAH : Ustaz, takkanlah orang yang buat kajian dan keluarkan kenyataan tu tak terbaca ye ustaz?

USTAZ : Itulah. Sebab  itu awal-awal tadi saya tanya kepada kamu… pernah belajarkah, pernah bacakah, pernah kaji dan telitikah, banyak faham ke banyak tak faham ketika menelitinya, ada tak baca karya-karya Imam Al-Ghazali yang lain… lebih kurang begitulah soalan saya.

Sebab apa tau Abdullah, hampir semua yang sibuk-sibuk menyebarkan dalam media, dalam internet, dalam kuliah kononnya kitab Ihya’ ini negatif… mereka tidak pernah belajar kitab Ihya’ pun, tidak pernah meneliti keseluruhanpun, ada yang hanya baca muka surat tertentu, ikut-ikut cakap orang, yang tak pernah buka kitab Ihya’ pun ada. Majoritinya bertaqlid buta dan mungkin jugak bertaqlid buta dan tuli. Mereka pakai terima dan ikut sahaja apa kata-kata orang atau tokoh yang mereka sukai.

TOK BILAL : Allah…. macam tu punya manusia pun ada ke ustaz?

USTAZ : Ya. Lagi pula, kitab Ihya’ ni bukan macam kebanyakan kitab lain yang kita mudah-mudah boleh buka dan mula belajar pada mana-mana bab, mana-mana mukasurat. Kitab Ihya’ ni isi kandungan dia saling berkait, berkesinambungan. Ada sikit unsur-unsur ala novel di dalamnya, bukannya ala cerpen. Bukan semua tempat boleh dilompat. Orang yang main baca lompat-lompat dan pilih-pilih sesuka hati, hampir-hampir pasti akan tersalah faham ataupun tak faham.

ABDULLAH : Oo, begitu. Ni baru tahu ni ustaz.

USTAZ : Ya. Tambahan lagi, nak memaham kitab Ihya’ dengan bergantung kepada kitab Ihya’ sahaja, hampir-hampir pasti akan salah faham atau tak faham. Nak memaham kitab Ihya’ ini kita kena ada pemahaman tentang sekurang-kurangnya 4 lagi kitab Imam Al-Ghazali iaitu Al-Munqiz min Adh-Dhalal, Misykatul Anwar, Risalah Laduniyyah dan Kimiya’ as-Sa’adah. Imam Al-Ghazali ni menulis Ihya’ seolah-olah kita dah tahu latar belakang pegangannya. Sebab itu kadang-kadang ada tulisannya dalam Ihya’ tapi huraiannya dalam salah satu kitab yang disebutkan tadi. Kadang-kadang huraiannya dalam Ihya’ tapi penerangan dasarnya pula berada dalam salah satu  kitab yang disebutkan tadi.

(*Hadirin kelihatan mengangguk-angguk)

USTAZ : Kesimpulannya, rata-rata yang sibuk menyebarkan kononnya keburukan kitab Ihya’ pada hari ini tidak ada ilmu yang memadai tentang kitab yang mereka kritik itu. Sebab itu kita berasa sangat geli hati jika ada orang yang mendakwa  umumnya berjaya memaham kitab Ihya’ dengan membaca kitab Ihya’ sahaja tanpa membaca 4 buah kitab lagi itu. Bagaimana dia boleh faham entahlah. Memang hebat betul!  Melampau hebatnya!

TOK BILAL :. Hebat bahagian menipunya tu ustaz! (* Sebahagian hadirin tertawa kecil)

USTAZ : Tapi tak mustahil jugak, kot-kot dia dapat ilmu laduni kot. Manalah tahu, hehe. Ataupun dia ada membaca tulisan-tulisan lain yang setara dengan yang empat itu, boleh jadi jugalah. Kalau dia berguru, boleh jadi jugalah guru dia memang sudah mahir akan selok-belok pemikiran dan pegangan Imam Al-Ghazali, lalu si guru huraikan penerangan dalam Ihya’ dengan sedalam-dalamnya tanpa perlu membuka keempat-empat kitab itu lagi. Wallahua’lam.


BAHAGIAN 5

USTAZ : Seterusnya, berdasarkan kalimat yang tadi juga iaitu… “belajar ilmu menyaring hadith hanya di penghujung usianya..” dan dikatakan berjaya pula mencapai ke peringkat mendalam. Macam tu ke Abdullah?

ABDULLAH : Lebih kuranglah ustaz.

USTAZ : Saya nak kupas tentang “mendalam” tu.

Seandainyalah betul cerita bahawa Imam Al-Ghazali “mendalam” ilmu hadithnya khususnya ilmu menyaring hadith di penghujung usianya, rasa-rasa kalau dia ada tertulis hadith-hadith palsu dalam mana-mana kitab dia, lebih-lebih lagi kitab Ihya’, dia akan berusaha buat pembetulan tak? Ataupun dia biar sahaja tanpa berusaha buat pembetulan walau satu hadith pun?

TOK BILAL : Dah tentulah dia akan buat pembetulan ustaz. Kalau tak, cakap tak serupa bikin le. Ilmu ada, tapi tak amal!

USTAZ : Paaandai tok bilal kita! Imam Al-Ghazali ni tuan-tuan, permainan jiwa yang halus-halus pun dia pandang sangat berat dah, apatah lagi jika di dalam kitab Ihya’ ada dimuatkannya 200 hadith palsu. Betul tak?

HADIRIN : Betul!

USTAZ : Puak-puak yang buat dakwaan ni, mereka mengakui Imam Al-Ghazali ada ilmu hadith bahkan mendalam selepas siap kitab Ihya’, tapi… ada tak Imam Al-Ghazali cuba buat pembetulan ke atas 200 hadith yang kononnya palsu tu?

Tak ada! Dia tak pernah buat apa-apa kitab atau helaian untuk betulkan atau batalkan hadith-hadith dalam Ihya’, padahal ilmu hadithnya dikatakan mendalam di penghujung usianya. Kan bercanggah tu?

Tak ada pula sebarang pesanan yang ditinggalkannya termasuklah kepada orang kanannya sendiri iaitu adiknya Imam Ahmad Al-Ghazali, kot-kotlah untuk kaji atau buang mana-mana hadith dalam Ihya’, ataupun tak ada pula dikatanya dalam Ihya’ ada hadith palsu walau sebuah kepada siapa-siapa. Padahal adiknya Imam Ahmad Al-Ghazali berada bersama-samanya ketika Imam Al-Ghazali meninggal dunia, dan sebelum meninggal dunia itu Imam Al-Ghazali masih boleh bersembang seperti biasa.  

Sekurang-kurangnya tentulah Imam Al-Ghazali yang diakui mendalam ilmu hadithnya itu ada berucap dalam majlis, atau berpesan kepada mana-mana orang bawahannya untuk semak semula hadith-hadith dalam Ihya untuk disaring hadith-hadith palsu. Tapi, langsung tidak ada! Kan bercanggah tu?

Secara tidak langsung, apabila orang yang diakui mendalam ilmu hadithnya di penghujung usianya seperti Imam Al-Ghazali tak kata apa-apa pun tentang walau satu hadith dalam Ihya’, fahamlah kita bahawa hampir-hampir pasti tidak ada hadith palsu di dalamnya walau sebuah. Yang ada hanyalah hadith sahih, hadith hasan dan hadith dhaif.

(*Hadirin mengangguk-angguk)

Kita sendirilah, kalau kita dapat tahu dalam karangan kita ada ratusan hadith palsu, sebelum sampai ke peringkat mendalamnya ilmu hadith kita pun, kita dah tak senang duduk dah. Malu dah satu hal, nak buat pembetulan, nak “cover” balik satu hal. Nak bertaubat kepada Tuhan satu hal lagi, nak minta maaf kepada masyarakat satu hal lagi. Inikan pulak orang seperti Imam Al-Ghazali yang terkenal tulus, bahkan mahaguru kepada penyakit-penyakit hati. Kalau dia buat tak tahu sahaja akan hadith-hadith palsu dalam Ihya’ sedangkan dia tahu, dan dia diakui punya ilmu mendalam tentang hadith, maksudnya kuatlah penyakit-pernyakit hatinya. Tok guru jenis apa macam tu? Betul tak? Cuba fikir dengan jernih.

Maksudnya, Imam Al-Ghazali yang diakui mendalam ilmu hadithnya itu tidak mengesan malah tak syak pun mana-mana hadith di dalam Ihya’ yang bertaraf palsu! Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa hampir-hampir tidak ada hadith palsu dalam kitab Ihya’. Nak kata 100% tak ada, kita takut-takutlah jugak kalau-kalau ada terselit sebuah dua. Tapi kalau sampai 200 hadith palsu……. siapa yang palsu sebenarnya?

Selepas Imam meninggal dunia, tak ada pula kita tahu yang Imam Ahmad Al-Ghazali atau mana-mana murid Imam Al-Ghazali yang mempertikaikan hadith-hadith dalam Ihya’. Takkan Imam tak tinggalkan apa-apa amanat kalau benar hal itu berlaku? Imam Al-Ghazali sangat teliti akan kerosakan masyarakat, bahkan sampai ke peringkat kerosakan hati jiwa masyarakat, takkan hasil karyanya yang akan merosakkan masyarakat dibiarkannya begitu sahaja?

Cuba kita renung-renung…. orang yang diiktiraf mendalam ilmu hadithnya di penghujung usianya langsung tak beri walau satu isyarat tentang kewujudan walau satu hadith palsu dalam karangannya sendiri, tiba-tiba orang yang tak berapa nak mendalam boleh kata ada ratusan  hadith palsu pulak di dalamnya. Kan bercanggah tu?

ABDULLAH : (*Setelah suasana hening seketika…) Ada benarnya kata ustaz tu. Saya pun tak terfikir pulak sampai ke situ. Padahal, mudah je pun jalan fikirnya.

USTAZ : Lagi pun, pada penghujung hidupnya, selepas menyiapkan kitab Ihya’, Imam Al-Ghazali masih menghasilkan kitab-kitab, tapi tak ada pun dia menyentuh tentang hadith-hadith dalam Ihya’. Jadi, bolehlah kita timbang-timbangkan.

BAHAGIAN 6

USTAZ : Abdullah, kamu baca tulisan tu dalam “paper” je kot?

ABDULLAH : Ya.

USTAZ : Maksudnya kita belum dengar sendiri kata-kata pengkaji tu, dan belum jugak baca tulisan pengkaji tu sendiri.

ABDULLAH : Ya, ustaz.

USTAZ : Jadi dalam hal macam ni, kena kita hati-hatilah. Boleh jadi apa yang disampaikan oleh si penulis tulisan tu ada ketaksamaan dengan apa yang dikata atau ditulis oleh pengkaji tu.

TOK BILAL : Betul tu ustaz!

USTAZ : Oleh itu, sekarang kita nak buat andaianlah, supaya isu ini lebih jelas kepada kita orang awam ni. Andaian kita begini… katakanlah memang betul si pengkaji berkata atau menulis atau mengisyaratkan… bahawa “ada lebih 200 hadith palsu dalam Ihya’ ‘Ulumuddin”, ataupun dia gunakan perkataan lain yang sewaktu dengannya seperti “memang”, “tidak dapat dinafikan”, “jelaslah” atau sebagainya, maksudnya dia sudah “confirm”, sudah pasti, sahih dah bagi dia.

Sekiranya dia berkata atau menulis atau mengisyaratkan bahawa : “besar kemungkinan ada 200 hadith palsu dalam Ihya’ ‘Ulumuddin”, ataupun perkataan lain yang sewaktu dengannya seperti “”mungkin, “boleh jadi”, “agak-agak sayalah”, “tidak mustahil”, “hampir-hampir pasti” atau sebagainya, maksudnya pengkaji sangat berhati-hati dan mendahulukan “tidak confirm”. Mungkin dia sekadar cenderung, atau syak, atau meragui atau sebagainya.

Ada perbezaannya antara “sudah pasti” dengan “cenderung” dengan “syak” dan lain-lain dari segi pertanggungjawabannya.

TOK BILAL : Macam mana tu ustaz?

USTAZ : Sekiranya dia sudah sampai ke peringkat pasti, maka dia kena bentangkan bukti-buktinya.

ABDULLAH : Bukti yang macam mana tu ye?

USTAZ : Antaranya, dia kena buktikan 200 hadith itu palsu yang bagaimana.

Berapa banyak yang semua pengkaji kata palsu, sepakat palsu? Adakah kesemua 200 hadith itu? J

Jika bukan  semua disepakati palsu, berapa hadith yang majoriti pengkaji kata palsu?

Berapa banyak pula hadith yang lebih kurang sama ramai antara pengkaji yang mengatakannya palsu dengan pengkaji yang tidak memandangnya palsu?

Berapa hadith pula yang hanya minoriti pengkaji kata palsu tapi majoriti pengkaji tidak memandangnya palsu?

Dan berapa banyak pula hadith yang hanya beberapa orang, atau hanya seorang dua, atau hanya pengkaji sendiri seorang sahaja yang kata palsu?

Dalam ratusan tahun ini, sekiranya semua pengkaji yang mengkaji hadith itu memandangnya palsu, bolehlah kita dan dunia Islam sahkan sebagai memang palsu. Kalau bukan semua pun mungkin dalam lingkungan 85 ke 90% pengkaji ke contohnya…

Jika majoriti pengkaji kata palsu, maka besar kemungkinan hadith itu memang palsu.

Jika lebih kurang sama ramai antara yang memandangnya tidak palsu dengan yang memandangnya palsu,  maka boleh jadi hadith itu palsu dan boleh jadi juga tidak.

Jika hanya minoriti pengkaji memandangnya palsu tetapi majoriti tidak memandangnya palsu,  boleh jadi hadith itu tidak palsu.

Jika hanya seorang dua sahaja, atau hanya pengkaji seorang sahaja yang berani sahkan hadith itu palsu tetapi hampir semua pengkaji lain tidak memandangnya palsu, maka kebarangkalian hadith itu tidak palsu adalah sangat tipis.

Kaedah ini bukanlah kaedah muktamad, tapi sekadar sebagai langkah berhati-hati kita. Tak boleh kita buat kajian sendiri lalu umumkan sebagai “pasti palsu” ikut suka hati. Mana ada kredibiliti dan kesarjanaan dalam kajian ikut sedap hati begitu.

Jadi, mana-mana pengkaji yang mengatakan “palsu”, maksudnya dia dah “gerenti”lah bahawa 200 hadith itu palsu, maka dia kenalah bentangkan pengkelasan yang sebegini. Barulah kajiannya dan hasil kajiannya umat Islam terima. Kalau tidak, kajiannya tidak sesuai disebarkan kepada orang lain melainkan untuk kegunaan dirinya sendiri sahaja.

TOK BILAL : Macam mana ustaz kalau tiba-tiba dia bentangkan pengkelasan tu, terbukti 200 hadith tu disepakati palsu, atau sekurang-kurangnya majoriti pengkaji kata palsu?

USTAZ : Sudah tentu kita akan terima dengan senang hati, malah berterima kasih kepada pengkaji itu kerana mana-mana cetakan kitab Ihya’ selepas ini bolehlah kita buat nota kaki dan nyatakan hadith-hadith kerkenaan sebagai “palsu”, iaitu “confirm” palsu, dan bukannya dipandang palsu oleh satu dua orang sahaja, atau dipandang palsu oleh diri sendiri sahaja. Ataupun mana-mana hadith yang palsu tanpa khilaf atau hampir-hampir tanpa khilaf itu dipadamkan sahaja daripada cetakan-cetakan kitab Ihya’ akan datang. Tak ada masalah.

ABDULLAH : Tapi ustaz, macam mana pulak kalau dalam 200 hadith yang dia kata palsu itu, ternyata sebenarnya bercampur-baur. Ada yang disepakati palsu, ada yang sama-sama kuat khilafnya, ada yang ramai tak pandang sebagai palsu tapi satu dua orang kata palsu…

USTAZ : Ketika itu pengkaji terbabit hendaklah membetulkan kajiannya atau kenyataannya.

Nak betulkan kajian, kena uji betul-betul setiap hadith dan pandangan para pengkaji. Contohnya, jika selepas itu dia mendapati hanya 30 hadith yang disepakati palsu, atau hampir-hampir disepakati palsu, maka ketika itu barulah sesuai dia buat kenyataan contohnya : “Didapati terdapat 30 hadith palsu dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali.” Dan dia boleh buat kenyataan tambahan jika mahu : “Dan terdapat 170 hadith lagi yang mungkin palsu”, sebagai salah satu contoh.

Kalau tak mahu buat kajian ulang, betulkan sahaja kenyataannya. Sebagai satu contoh, dia boleh umumkan bahawa : “Didapati 200 hadith dalam kitab Ihya’ hampir pasti palsu”.

ABDULLAH : Saya terfikir macam ni pulak ustaz… Macam mana kalau pengkaji tu kata contohnya : “Hasil kajian saya mendapati terdapat lebih 200 hadith palsu dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin”. Itu kan hasil kajian dia, ustaz? Saya hi-lite perkataan “kajian saya” tu ustaz. Kajian orang lain, lain kiralah.

USTAZ : Oo… saya faham, saya faham. Jika begitu keadaannya, maka sesuai sangatlah dia buat penjelasan tambahan. Contohnya dia nyatakan : “Sungguhpun kajian saya mendapati ada lebih 200 hadith palsu, tapi hal ini bukan bererti “pasti” atau “muktamad” semua lebih 200 hadith itu palsu kerana ramai lagi pengkaji lain yang dapatan mereka ada yang sama, dan ada yang tidak sama dengan dapatan saya. Jadi dapatan saya ini tidaklah boleh dijadikan hujah untuk seluruh dunai dna umat Islam melainkan jika sudah ada kesepakatan ataupun banyak persamaan dapatan dengan kajian tokoh-tokoh lain bagi setiap satu hadith itu.”

Begitulah contohnya, supaya masyarakat khususnya orang awam tidak percaya lagi yakin bulat-bulat bahawa “confirm” memang ada lebih 200 hadith palsu di dalam kitab Ihya’. Memang betullah kata kamu Abdullah, sangat penting untuk di”hi-lite” kalimah “kajian saya” tu, agar tidak nampak sebagai satu keputusan bersama para pengkaji sejak zaman-berzaman.


PELERAIAN

USTAZ : Eh, nampak gayanya (sambil melihat ke arah jam di dinding surau)… kuliah kita malam ni panjang daripada biasa nih. Isya’ pun dah lama lepas. Kita tangguh dulu kot perkongsian kita malam ni?

(*Hadirin berpandangan sesama sendiri dan ada yang mengangguk-angguk)

TOK BILAL : Eloklah tu ustaz. Kuliah akan datang kita boleh sambung lagi kot bab ni?

USTAZ : Ya. Insya-Allah kita sambung. Saya bercadang nak bentangkan isu-isu lain seputar kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ni. Untuk isu malam ni rasanya dah terhurai dah. Ok ke penjelasan ringkas dan mudah saya malam ni Abdullah?

ABDULLAH : Bolehlah ustaz. Mungkin boleh diperhalusi lagi pada masa-masa akan datang.

USTAZ : Alhamdulillah, syukur. Jadi sebagai kesimpulan atau rumusan malam ni… sesungguhnya, mana-mana kitab selain Al-Quran, semua ada salah silap, atau sekurang-kurangnya ada kelemahan. Kitab Ihya’ yang besar ini pun tak terlepas daripada hal itu. Apa yang benar, kita terima. Yang salah, kita ketepikan. Yang kita tidak tahu kedudukannya, kita tak guna dan tak buang, sampailah ditemui kedudukannya.

Dalam banyak hal, bukan dalam semua hal, kita dahulukanlah sangka baik berbanding mendahulukan sangka buruk. Tak ada ruginya bersikap demikian.

Dalam hal kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini, khususnya dalam isu hadith palsu yang kita bincangkan malam ini :
1.       Sekiranya benarlah ada 200 hadith palsu dalam Ihya’ dan hadith-hadith itu dibuang, hal itu tidak mengganggu langsung huraian dan objektif kitab Ihya’. Jadi, boleh terus membaca atau mengajarkannya. Ketepikan sahajalah 200 hadith yang kononnya palsu itu. Jangan pula kita bersikap jahil dengan membuang atau menolak keseluruhan kitab Ihya’. Apatah lagi untuk menolak atau menjatuhkan pengarangnya, Imam Al-Ghazali. Dah 4 tahun saya kuliahkan kitab Ihya’ ni, belum pernah walau sekali guna hadith-hadith yang dikatakan palsu atau disyaki palsu dalam kitab ini. Tak terganggu pun perjalanan kitab ini.
2.       Ada pengkritik dan pentaqlid mengakui yang Imam Al-Ghazali ada ilmu hadith mendalam sekurang-kurangnya di penghujung usianya, tapi ternyata tak ada walau satu hadith pun dalam Ihya’ yang cuba dikoreksi oleh Imam sama ada melalui perbuatan, kata-kata, isyarat, amanat atau sebagainya. Umum cakap, bagi Imam Al-Ghazali yang dikatakan mendalam ilmu hadithnya itu, hadith-hadith dalam Ihya’ tidak adalah yang palsu. Jika ada, sudah pasti cuba dikoreksinya.

Dan yang akhirnya, saya memohon berbanyak-banyak kemaafan sekiranya terdapat salah silap atau kelemahan dalam pengajaran saya pada malam ini. Sekiranya ada dan perlukan kepada pembetulan atau pemurnian, tuan-tuan boleh bangkitkan dalam kuliah kita minggu hadapan. Tak mustahil saya pun ada tersilap, terkeliru ataupun terkurang.

Semoga kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini terus subur di muka bumi Allah ini…….

(*Selepas penutup, jemaah pun bersiap-siap untuk menunaikan solat fardhu Isya’ berjemaah)


bersambung….

2 comments:

Anonymous said...

assalamu'alaikum wbt , umat akhir menyalahi umat terdahulu sayang manakan ada lagi insan spt Imam AlGhazali Rahimullahhuta'ala .Sungguh biadab org skrg ilmu tak tara mana tapi lagaknya mengalshkan mujatahid .....lindungi kami ya Allah dari sikap biadab dgn para ulama pewaris Nabi Saw

Rumah Kasih Harmoni said...

Alhamdulillah, pencerahan yang bermakna