Saturday, May 3, 2014

Soal Jawab Ringkas - Sufi, Tasawuf, Hakikat

SOALAN :
Ahli sufi tu siapa.. dan ilmu tasawuf tu apa.. ilmu hakikat tu apa ea?

PENJELASAN RINGKAS :
Panjang jawapannya ni. Kalau dapat ikuti kelas pengajian tentang hal-hal di atas, lebih mudah. Dalam ruangan sekecil ini, dan perkara yang nak dijelaskan tu besar, memang sukar. Saya cadangkan ikuti sahaja fail-fail kuliah kitab Ihya’ ‘Ulumuddin yang saya upload, semua jawapan ada dihuraikan di dalamnya.

Cuma di sini saya beri jawapan seringkas mungkinlah, sekadar untuk memberikan gambaran.

Ahli sufi tu ialah orang-orang yang gigih berusaha untuk mengamalkan tasawuf.

Agama Islam ada 3 tungku atau tiang fardhu ‘ain iaitu 3 ilmu dasar – ilmu tauhid, ilmu fiqh dan ilmu tasawuf. Ketiga-tiganya bertaraf fardhu ‘ain, maksudnya setiap orang Islam mesti belajar dan mengetahuinya, tidak boleh tinggal salah satu.

Ilmu tauhid ialah ilmu yang membuatkan kita dapat mengenal Tuhan dan dapat menyembah Tuhan dengan betul.
Ilmu fiqh ialah ilmu tentang cara-cara berabdi kepada Tuhan seperti ilmu solat, ilmu puasa, ilmu halal haram, ilmu buat haji, ilmu nikah kahwin dsb.
Ilmu tasawuf pula ialah ilmu tentang cara-cara untuk menjadikan tauhid dan fiqh kita berkualiti.

Contoh mudah :
Tauhid – ialah ilmu untuk mengenal yang mana satu dikatakan kari kambing.
Fiqh – ialah ilmu untuk memasak kari kambing.
Tasawuf – ialh ilmu untuk menyedapkan kari kambing yang kita masak.

Orang yang tak ada tauhid, dia tak tahu yang mana satu kari kambing.
Orang yang ada tauhid sahaja, dia kenal kari kambing tetapi tak tahu cara-cara nak memasaknya.
Orang yang ada tauhid dan fiqh sahaja, dia kenal dan boleh masak kari kambing, tetapi tak sedap.
Orang yang ada tauhid, fiqh dan tasawuf, dia kenal, tahu cara masak dan sedap pula masakannya.

Begitulah tamsilan hubungan antara tauhid, fiqh dan tasawuf.

Pelajaran Ilmu hakikat pula.
Dalam pelajaran ilmu hakikat, ada dua sudut pandangan iaitu ilmu syariat dan ilmu hakikat.

Ilmu syariat ni membicarakan apa yang berlaku di alam ini dari sudut pandangan kerja makhluk. Contohnya, angin yang naikkan layang-layang, makanan yang kenyangkan perut, dan racun yang bunuh peminumnya.

Ilmu hakikat pula membicarakan apa yang berlaku di alam ini dari sudut pandangan kerja Tuhan. Contohnya, Tuhan yang naikkan laying-layang kerana angina tak ada kuasa, Tuhan yang beri kenyang bukannya makanan, dan Tuhan yang berkuasa matikan manusia bukannya racun

Semua yang saya katakan ini ada saya huraikan panjang lebar dalam fail-fail kuliah kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Sangat cantik kalau dapat lapangkan masa dan meneliti kesemua rakaman tu. Insya-Allah banyak manfaatnya.

Wallahualam.


Abu Zulfiqar

No comments:

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails