Sunday, April 21, 2013

Mencari Kitab Ihya' Bahasa Melayu Malaysia?

Di sana sini terdapat iklan tentang terjemahan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin karya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali dalam bahasa Melayu. Bukannya dalam bahasa Melayu Indonesia yang memang sudah lama diterjemah itu, tetapi dalam bahasa Melayu Malaysia. Salah seorang yang tumpang sangat gembira… sayalah. Saya fikir… selepas ini lebih mudahlah para pengikut kuliah kitab Ihya’ ‘Ulumiddin. Saya pun terus bercerita ke sana ke mari perihal kewujudan kitab Ihya’ dalam bahasa Melayu Malaysia ini walaupun saya sendiri belum pernah melihat isi kandungannya. Apa yang baik lagi bermanfaat, tentulah kita sokong sepenuhnya.

Harga jualan kitab ini ialah RM 590, namun biasanya dijual dengan harga yang lebih murah. Sudah ada sahabat-sahabat yang beli. Cuma yang agak menghairankan saya, mereka yang membelinya mengatakan memang mudah untuk difaham. Baca sendiri pun boleh faham dengan baik. Padahal kitab ini termasuk dalam golongan kitab-kitab yang sukar untuk difaham kupasannya. Di akhir tulisan ini nanti kita akan tahu sebab-musababnya.

Tengah hari tadi saya sekeluarga berhenti makan di sebuah kedai makan yang popular. Kebetulan ada sebuah gerai dibuka di hadapan kedai itu. Gerai itu menjual kitab Ihya’ ‘Ulumiddin berbahasa Melayu Malaysia itulah. Namanya Mutiara Ihya’ ‘Ulumuddin. Kami sekeluarga berasa teruja juga, tapi makan dululah.

Selepas makan kami pun bergerak ke gerai tadi. Harganya dipotong RM 200, tinggallah RM 390 sahaja dan boleh pula dibayar ansur-ansur. Insya-Allah cara begini akan dapat membuatkan lebih ramai umat Islam negara ini mempunyai kitab ini. Tahniah kepada pihak-pihak yang mengusahakan kitab ini.

Saya minta jilid 1 daripada penjualnya lalu saya semak. Terkejut juga saya melihatkan Bab Ilmu dalam kitab Mutiara Ihya’ ‘Ulumuddin ini lebih kurang 20 mukasurat sahaja, sedangkan dalam terjemahan Indonesia yang saya gunakan dalam kuliah terdiri daripada 288 mukasurat. Ini dah macam kitab Bimbingan Mu’minin (iaitu ringkasan kepada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin), fikir saya.

Saya pun menyemak beberapa mukasurat di dalamnya, memang sangat ringkas. Dipendekkan cerita, kitab ini bukanlah terjemahan kepada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin sebagaimana yang diwarwarkan oleh orang ramai (pengusaha dan peniaga kitab ini mungkin tidak mendakwa begitu, tetapi orang ramai), tetapi hanyalah ringkasan kepada kitab Ihya’.  Selepas sedikit soal jawab, para peniaga itu sendiri mengakui kitab ini hanyalah ringkasan, ataupun lebih tepat lagi terjemahan kepada kitab Mau’izatul Mu’minin. Apa itu kitab Mau’izatul Mu’minin?

Kitab Mau’izatul Mu’minin ialah ringkasan kepada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin yang diusahakan oleh Syeikh Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasyqi. Kemudiannya kitab ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu Indonesia oleh Syeikh Ahmad Semait lalu berjaya menjadi salah sebuah kitab yang masyhur di alam Melayu iaitu kitab Bimbingan Mu’minin. Maksudnya bolehlah kita andaikan bahawa kitab Mutiara Ihya’ ‘Ulumiddin ini ialah kitab Bimbingan Mu’minin dalam bahasa Melayu Malaysia. Sebab itulah pada kali pertama menatap kitab ini saya terus teringat kitab Bimbingan Mu’minin. Sebab itu jugalah mereka yang sudah membelinya mengatakan mudah untuk faham. Baca sendiri pun boleh faham dengan baik.

Saya menggalakkan tuan-tuan membeli kitab Mutiara Ihya’ ‘Ulumiddin ini, tetapi ada satu perkara yang saya perlu betulkan. Kepada mereka yang telah tergerak untuk membeli kitab ini dengan niat untuk membeli terjemahan Ihya’ ‘Ulumiddin, dan tergerak itu pula melalui tulisan ataupun kalam saya, saya memohon kemaafan. Pada awalnya saya betul-betul menyangkakan kitab itu terjemahan Ihya’, rupa-rupanya terjemahan kepada ringkasan Ihya’.

Semoga pembetulan ini dapat dipanjang-panjangkan kepada saudara-saudara kita yang lain. Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
21 April 2013

No comments:

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails