Thursday, January 24, 2013

Puak-puak Sepanjang Bulan Maulidrrasul


Apabila tiba bulan Maulidurrasul, akan wujudlah beberapa golongan manusia yang mempunyai pengisian tambahan masing-masing sempenanya.

GOLONGAN PERTAMA
Asal datang sahaja bulan Maulidurrasul, golongan ini lebih suka berbalah tentang tarikh kelahiran Rasulullah saw. Begitulah kerja mereka berulang-ulang setiap tahun. Bulan Maulidurrasul dijadikan perayaan “Bulan Berbalah & Bertengkar”. Terasa puas dan hebat jika dapat membuktikan orang lain salah dan pendapat sendiri betul. Inilah pengisian tambahan mereka sempena bulan Maulidurrasul.

GOLONGAN KEDUA
Asal datang sahaja bulan Maulidurrasul, mereka akan MELEBIHKAN tarbiyyah dan dakwah berkaitan peribadi Rasulullah saw, kerana pada bulan-bulan lain mereka LEBIH TERTUMPU kepada bahagian kajian agama, perbandingan agama, mustalah hadith, hafazan, perubatan nabawi, haraki, jihad, sejarah, falak, akhir zaman, tafsir dan lain-lain. Jadi bulan ini dijadikan satu ruang untuk mengurangkan sebentar perbicaraan hal-hal tadi lalu ditambahkan ruang untuk berbicara tentang peribadi kekasih kita iaitu Rasulullah saw. Inilah pengisian tambahan mereka sempena bulan Maulidurrasul.

Samalah halnya dengan sambutan ulangtahun kemerdekaan negara. Apabila kita membuat majlis-majlis khusus untuk mengingatinya pada bulan Ogos, ini bukan bermakna kita tidak menghargai kemerdekaan negara dalam bulan-bulan lain.

Contohnya, jika pada bulan-bulan biasa seseorang penceramah itu punya 30 jam, mungkin 1-2 jam sahaja digunakannya untuk bercerita tentang Rasulullah. Tapi apabila tiba bulan Maulidurrasul, mungkin 10-12 jam digunakannya untuk itu.

GOLONGAN KETIGA
Asal datang sahaja bulan Maulidurrasul, golongan ini akan menghabiskan sebahagian besar waktu mereka dengan membid’ahkan  umat Islam. Terasa puas jika dapat menjatuhkan hukuman “berdosa” kepada majlis-majlis yang dibuat oleh golongan kedua. Sebelum masuk bulan Maulidurrasul lagi senjata-senjata serangan sudah disiapkan. Inilah pengisian tambahan mereka sepanjang bulan Maulidurrasul.

GOLONGAN KEEMPAT
Asal datang sahaja bulan Maulidurrasul, terlonjak-lonjak dengan majlis-majlis Maulidurrasul sedangkan pada bulan-bulan sebelumnya tidak kisah sangat pun hal ehwal agama. Walau bagaimana kedaaan dan suasana sesuatu majlis itu, asal dikaitkan dengan Maulidurrasul, mereka anggap bagus. Inilah pengisian tambahan mereka sempena bulan Maulidurrasul.

GOLONGAN KELIMA
Datang atau tidak bulan Maulidurrasul, mereka tidak buat apa-apa pengisian tambahan, baik yang positif ataupun yang negatif. Biasa sahaja. Bagi mereka, tidak ada apa-apa peluang atau kesempatan yang perlu diambil walau untuk tujuan tarbiyyah dan dakwah. Bulan Maulidurrasul tiada apa-apa makna.

Anda dari golongan yang mana?

Abu Zulfiqar
12 Rabi’ul Awwal 1434
24 Januari 2012

No comments: