Sunday, February 24, 2013

Ihya Ulumiddin Tanpa Kitab-kitab Huraiannya?



Alhamdulillah, syukur. 2 minggu lepas di Masjid PGA (Ipoh), kita telah bentangkan sebahagian daripada isi penting kitab Al-Munqiz min Adh-Dhalal kerana kitab Ihya’ sedang menyentuh isu ilmu falsafah. Ihya’ menyentuh secara ringkas sahaja, huraiannya kena ambil daripada kitab Al-Munqiz, kerana huraiannya memang Imam Al-Ghazali letakkan dalam Al-Munqiz. Huraian dalam Al-Munqiz sudah sangat memadai, tidak perlu meneliti kitab Tahafut Al-Falasifah kecuali jika kita memang berminat untuk mengetahui ilmu falasafah dan menyaring bahagian-bahagian ilmu falasah yang tidak selaras dengan ajaran Islam.

                Isnin ini di Surau An-Nur (Taiping), insya-Allah kita akan bentangkan isi-isi penting dari kitab Risalah Al-Laduniyyah pula kerana kitab Ihya’ akan menyentuh tentang ilmu laduni, yang huraiannya Imam letakkan dalam kitab Risalah itu.

                Ada kita temui sebahagian orang mendakwa pernah melalui kitab Ihya’ (dengan nada meninggi diri pulak tu), tapi setelah ditanya… mereka mengaku tak tahu pun isi kandungan kitab Al-Munqiz min Adh-Dhalal dan kitab Risalah Al-Laduniyyah (serta kitab Misykatul Anwar dan kitab Kimiya’ as-Sa’adah…. 4 kitab Imam Al-Ghazali yang mesti dilalui sekiranya mahu memahami Ihya’, tapi jika matlamat belajar hanya untuk tahu kandungan Ihya’ secara umum sahaja maka tak mestilah). Hairan kita, bagaimana mereka boleh mendakwa faham kitab Ihya tanpa melalui juga 4 kitab tersebut?

Tamsilannya :
                Ali membaca sebuah rencana yang ditulis oleh seorang tukang masak terkenal bernama Chef Wang tentang masakan seperti Mi Kari Kampung Pinang, Rendang Tok Batu Kurau, Ikan Masak Tiga Rasa Che Su dan lain-lain. Rencana itu menyebutkan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat masakan-masakan tadi. Namun pada nota kakinya, rencana itu menyatakan bahawa cara untuk memasak makanan itu dari awal hingga siap berada dalam buku pengarang rencana itu (Chef Wang) yang boleh diperolehi di pasaran.

                Tanpa membaca buku yang dimaksudkan, tahu-tahu Ali terus sahaja membeli bahan dan memasak makanan-makanan itu. Pada pandangan anda, samakah atau hampirkah hasilnya nanti dengan apa yang dimaksudkan oleh tukang masak itu? Mungkin ada rasa mi kari tapi bukanlah Mi Kari Kampung Pinang. Silap-silap terus tak jadi mi kari pun.

                Yang lebih luar biasa lagi ialah orang-orang yang mendakwa membaca dan meneliti kitab Ihya’ lalu menuduh kitab Ihya’ begitu begini (malah ada yang menyeru untuk mengharamkannya) tanpa mereka membaca 4 lagi kitab Imam Al-Ghazali itu. Bagaimana mereka boleh menjatuhkan hukuman dalam keadaan mereka tidak tahu pun apa yang mereka baca? ... Hebatnya! Tapi… mungkinlah mereka dapat ilmu laduni kot J

                Tak mengapalah. Berbalik pada kuliah kita Isnin ini (25 Februari 2013), antara perkara yang bakal kita ambil dan hidangkan daripada kitab Risalah ialah :
1.       Apa itu ilmu laduni?
2.       Apa bukti wujudnya ilmu laduni?
3.       Apa 4 jalan untuk manusia mendapatkan ilmu? Berapa jalan yang kita mampu perolehi?
4.       Mengapa pintu wahyu dikunci manakala pintu ilham/laduni terus dibuka oleh Allah?
5.       Bagaimana cara-cara untuk mendapatkan ilmu laduni?

Semoga Allah SWT memudahkan segala urusan kita.

No comments:

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails