Apabila tiba bulan Maulidurrasul, akan wujudlah beberapa
golongan manusia yang mempunyai pengisian tambahan masing-masing sempenanya.
GOLONGAN PERTAMA
Asal datang sahaja bulan Maulidurrasul, golongan ini
lebih suka berbalah tentang tarikh kelahiran Rasulullah saw. Begitulah kerja
mereka berulang-ulang setiap tahun. Bulan Maulidurrasul dijadikan perayaan “Bulan
Berbalah & Bertengkar”. Terasa puas dan hebat jika dapat membuktikan orang
lain salah dan pendapat sendiri betul. Inilah pengisian tambahan mereka sempena
bulan Maulidurrasul.
GOLONGAN KEDUA
Asal datang sahaja bulan Maulidurrasul, mereka akan MELEBIHKAN
tarbiyyah dan dakwah berkaitan peribadi Rasulullah saw, kerana pada bulan-bulan
lain mereka LEBIH TERTUMPU kepada bahagian kajian agama, perbandingan agama,
mustalah hadith, hafazan, perubatan nabawi, haraki, jihad, sejarah, falak, akhir
zaman, tafsir dan lain-lain. Jadi bulan ini dijadikan satu ruang untuk mengurangkan
sebentar perbicaraan hal-hal tadi lalu ditambahkan ruang untuk berbicara
tentang peribadi kekasih kita iaitu Rasulullah saw. Inilah pengisian tambahan
mereka sempena bulan Maulidurrasul.
Samalah halnya dengan sambutan ulangtahun kemerdekaan
negara. Apabila kita membuat majlis-majlis khusus untuk mengingatinya pada
bulan Ogos, ini bukan bermakna kita tidak menghargai kemerdekaan negara dalam
bulan-bulan lain.
Contohnya, jika pada bulan-bulan biasa seseorang
penceramah itu punya 30 jam, mungkin 1-2 jam sahaja digunakannya untuk
bercerita tentang Rasulullah. Tapi apabila tiba bulan Maulidurrasul, mungkin
10-12 jam digunakannya untuk itu.
GOLONGAN KETIGA
Asal datang sahaja bulan Maulidurrasul, golongan ini akan
menghabiskan sebahagian besar waktu mereka dengan membid’ahkan umat Islam. Terasa puas jika dapat menjatuhkan
hukuman “berdosa” kepada majlis-majlis yang dibuat oleh golongan kedua. Sebelum
masuk bulan Maulidurrasul lagi senjata-senjata serangan sudah disiapkan. Inilah
pengisian tambahan mereka sepanjang bulan Maulidurrasul.
GOLONGAN KEEMPAT
Asal datang sahaja bulan Maulidurrasul, terlonjak-lonjak
dengan majlis-majlis Maulidurrasul sedangkan pada bulan-bulan sebelumnya tidak
kisah sangat pun hal ehwal agama. Walau bagaimana kedaaan dan suasana sesuatu majlis
itu, asal dikaitkan dengan Maulidurrasul, mereka anggap bagus. Inilah pengisian
tambahan mereka sempena bulan Maulidurrasul.
GOLONGAN KELIMA
Datang atau tidak bulan Maulidurrasul, mereka tidak buat
apa-apa pengisian tambahan, baik yang positif ataupun yang negatif. Biasa
sahaja. Bagi mereka, tidak ada apa-apa peluang atau kesempatan yang perlu
diambil walau untuk tujuan tarbiyyah dan dakwah. Bulan Maulidurrasul tiada
apa-apa makna.
Anda dari golongan yang mana?
Abu Zulfiqar
12 Rabi’ul Awwal 1434
24 Januari 2012