Sepanjang pemerhatian saya, mereka yang memusuhi kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini umumnya terdiri daripada golongan-golongan berikut, iaitu yang :
1. Tidak pernah melihat pun kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.
2. Tidak pernah menatapnya secara berdepan.
3. Pernah melihat tetapi tidak pernah membaca isi kandungannya.
4. Pernah membaca tetapi hanya sedikit, iaitu pada bahagian-bahagian tertentu sahaja. Dengan bacaan yang sedikit itulah mereka menjatuhkan hukuman begitu begitu terhadap kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan Imam Al-Ghazali. Padahal kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini termasuk jenis kitab yang isinya kerkesinambungan, ibarat sebuah novel. Ia tidak sama dengan kitab-kitab yang isinya terpisah-pisah sebagaimana sebuah antologi cerpen. Hal inilah yang selalu tidak diketahui oleh orang ramai. Dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ada banyak imbas muka dan imbas kembali. Pelajarannya berkait-kait. Adilkah di sisi Allah jika kita membaca sebuah novel hanya pada mukasurat 5, 7, 33,34 dan 112 daripada keseluruhan 1,200 mukasurat lalu kemudiannya kita menjatuhkan hukuman begitu begini terhadap isi dan nilai novel itu? Untuk kitab yang dihidangkan ala himpunan cerpen - ya, tapi untuk kitab yang dihidangkan ala novel sebagaimana kitab Ihya’ ‘Ulumiddin, mana mungkin orang yang waras mengatakan ya. Golongan 1 hingga 4 inilah yang paling melonjak-lonjak menghentam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan Imam Al-Ghazali, lebih-lebih lagi di internet.
5. Pernah membaca agak banyak, tetapi banyak yang tidak difahaminya, tetapi tidak pula mahu bertanya kepada orang yang ada pengetahuan tentang isi kandungannya.
6. Pernah membaca agak banyak, tetapi tidak pernah mengikuti kelas pengajiannya. Dia cuba membaca dan membuat pemahaman sendiri.
7. Pernah membacanya, tetapi tidak ada ‘pengetahuan sedia ada’ yang memadai untuk memahami isi kitab Ihya’ (akan dijelaskan di bawah nanti)
Jadi, sejurus sebelum menghentam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan Imam Al-Ghazali, marilah kita sama-sama mengambil sedikit masa... dan tanyakan kepada diri sendiri :
1. Pernahkah aku melihat kitab Ihya’ ‘Ulumiddin?
2. Pernahkah aku menatapnya secara berdepan?
3. Pernahkah aku membaca isi kandungannya?
4. Sebanyak manakah aku pernah membaca isi kandungannya? 100%? 50%? 10%? 2%? Dua tiga helai?
5. Adakah aku faham dan jelas kesemua yang aku baca itu? Ataupun banyak yang tidak difaham?
6. Pernahkah aku mengikuti kelas-kelas pengajian kitab Ihya’ ini?
7. Selama ini aku membaca isi kandungannya dengan panduan orang yang berpengetahuan tentang isi kandungannyakah? Ataupun aku membaca mengikut hati aku sendiri? Ataupun aku membaca dengan panduan mereka yang memusuhi kitab Ihya’ dan pengarangnya?
Berdasarkan jawapan-jawapan kita kepada semua persoalan di atas, dengan tanpa sebarang sifat mazmumah, dengan penuh ikhlas kerana Allah... nilailah diri kita sendiri, layakkah aku ini menyerang kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan pengarangnya...? Cukupkah pengetahuan dan pemahaman aku tentang isi kitab ini sehingga melayakkan aku untuk menghentamnya? Ataupun aku sekadar membaca tulisan orang atau mendengar cakap-cakap orang, kemudian dengan bertaqlid tanpa celik (tanpa penelitian dan kajian) lalu aku pun menyebarkan kenyataan-kenyataan buruk tentang kitab Ihya’ dan pengarangnya?
Muhasabah... muhasabah...
Muhasabah dengan hati yang jernih, dengan meminta petunjuk daripada Tuhan...
Segala sebaran kita itu akan diminta pertanggungjawabannya di akhirat kelak. Oleh itu, jika kita sedar yang diri kita tidak cukup pengetahuan tentang isi kandungan kitab ini, lebih baiklah kita berdiam diri. Jangan sebar apa-apa yang negatif. Kecualilah jika diri kita itu memang sudah mahir dan masak dengan manhaj Imam Al-Ghazali dan isi kandungan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin. Maka ketika itu silalah berikan pandangan begitu begini tentang isi kitab ini.
Berbalik kepada ‘pengetahuan sedia ada’. Perlu diingat wahai teman. Sesiapa yang cuba meneliti kitab Ihya’ ‘Ulumiddin tanpa memahami terlebih dahulu isi kitab Imam Al-Ghazali iaitu sekurang-kurangnya Al-Munqiz min Adh-Dhalal, dan lebih mantap lagi jika diperkuatkan dengan Misykatul Anwar dan Ar-Risalah Al-Laduniyyah, pemahamannya terhadap kitab Ihya’ akan menjadi sangat dhaif. Bacanya banyak, fahamnya sedikit. Bahkan boleh mengakibatkan tersalah faham. Inilah yang selalunya berlaku.
Tuan-tuan,
Kitab Ihya’ tidak bermula dari A, B, C..... tapi dari D,E,F lalu ke seterusnya. Orang yang tidak ada asas (pengetahuan sedia ada)terhadap ajaran-ajaran Imam Al-Ghazali, akan kepeningan sedari awal kitab Ihya’ lagi. Pada bab pertama iaitu Bab Ilmu lagi sudah terlalu banyak perkara yang gagal difahami atau disalahfahami oleh orang itu. Percayalah.
Oleh itu... nilailah keupayaan diri anda sendiri. Sudahkah ada serba-sedikit pemahaman tentang tiga buah kitab Imam Al-Ghazali di atas (daripada hampir 300 buah kitab karangannya) ketika anda membaca dan menghentam Ihya’ ‘Ulumiddin? Kalau tak ada, lebih baiklah kita jangan memanjangkan saham dosa kepada ribuan ‘downline’ kita di internet khususnya dengan menyebarkan fitnah yang kita sendiri tidak ada pengetahuan tentangnya. Begitulah langkah yang bijak untuk diambil, dan menempatkan diri kita di zon selamat, insyaAllah.
Berdasarkan pengalaman saya, kebanyakan individu yang giat menghentam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan Imam Al-Ghazali, tak pernah tahupun 3 kitab yang disebutkan di atas. Jadi, bagaimana mereka boleh memahami isi kandungan kitab Ihya’ bahkan menyerang itu dan ini tentangnya? Kan pelik?
Pada awal interaksi aktif saya dengan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin sekitar 16 tahun lalu, selama 5-6 tahun ringkas cakap saya bawa kitab ini ke mana-mana. Di mana saya duduk, di situlah salah satu jilid Ihya’ saya buka. Kadang-kadang 5-6 jam sehari saya membaca, membuat nota tentangnya dan bertanya kepada kepada orang-orang yang saya yakini pengetahuan mereka. Setelah 5-6 tahun itu, masih terlalu banyak perkara yang saya belum fahami tentang isi kandungan kitab Ihya’. Sepanjang 5-6 tahun itu juga, sekalipun saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan negatif tentang kitab ini kerana saya sedar pengetahuan saya tentangnya masih terlalu kecil.
Tetapi dalam kuliah-kuliah dan sebaran di internet, kita lihat begitu ramai manusia yang baru menyelak dua tiga helai isi kitab Ihya’, membaca baru dua tiga hari kitab Ihya’ dengan lantang, yakin dan bangganya menghentam kitab ini. Orang yang 5-6 tahun bergelumang dengan kitab Ihya’ ini pun masih akur akan kelemahannya daripada memahami isi kandungannya, tetapi yang menyelak dua tiga helai Ihya’ sudah berlagak ‘alim tentang isi kandungannya sehingga merasakan diri mereka layak menghentam. Begitulah dunia akhir zaman.
Jadi, jika para pembaca terjumpa pengkuliah, atau penulis, atau penyebar hentaman ke atas kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan Imam Al-Ghazali, dengan baik tanyakan kepada mereka :
1. “Pernah baca kitab Ihya’?”
2. “Banyak mana sudah dibaca?”
3. “Masa baca kitab Ihya’ itu, banyak faham ke banyak tak faham?”
4. “Dah pernah baca dan faham kitab Al-Munqiz min Adh-Dhalal, Misykatul Anwar dan Ar-Risalah Al-Laduniyyah?”
5. “Pernah belajar kitab Ihya’ ‘Ulumiddin?”
6. “(Sekiranya pernah, tanyakan) Berapa lama belajar, banyak mana belajar dan dari siapa belajar?”
Berdasarkan jawapan-jawapan yang diberi oleh penyebar itu, dapatlah kita menilai sejauhmana kredibilitinya, sejauhmana boleh dipakai cakap-cakap dan pandangannya...
Bersambung...
*Artikel ini akan disambung dan dimurnikan lagi sehingga menjadi panjang, kerana ia akan menjelaskan banyak perkara yang kononnya negatif pada kitab Ihya’. Bersabar menanti.
2 comments:
Jazakallah ustaz.. saya sgt berminat utk mendalami kitab Ihya secara serius, tp terbatas dgn jadual waktu seharian... sy berharap suatu hari Allah memberi saya kesempatan utk mempelajarinya secara serius... shukran atas pencerahan ustaz..
Alhamdulillah, syukur Tuan Dinarlovedirham. Semoga dimudahkan Allah segala urusan kita semua khususnya tuan.
Post a Comment