Sunday, October 23, 2011

SJ - Puasa Sunat Sempena Hari Lahir

SOALAN :

Boleh tak buat satu ‘entry’ tentang puasa pada hari lahir. Ada tak dalil atau apa-apa kelebihannya? :)

JAWAPAN :

Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w tentunya kita sangat teruja untuk mencontohi sunnah-sunnahnya. Salah satunya ialah puasa sunat. Antara puasa sunat yang sering dilakukan baginda adalah pada hari Isnin. Ketika ditanya tentang kegemarannya itu, baginda menjawab :

“Itu hari kelahiranku dan (hari) diturunkan wahyu.” (Muslim, Ahmad)

Berdasarkan hadith ini, timbul persoalan sama ada kita juga disunatkan berpuasa sunat sempena hari kelahiran kita?

Pada pandangan saya, boleh saja jika hendak berpuasa sunat sempena hari kelahiran kita sebagai tanda bersyukur asalkan kena dengan hari dan tarikhnya, tetapi dari sudut tuntutan agama, saya belum jumpa dalil ataupun kelebihannya.

Antara sandarannya :

1. Tidak jumpa catatan mengatakan para sahabat berpuasa sunat sempena hari lahir mereka.

2. Tidak jumpa juga catatan mengatakan Rasulullah menyarankan para sahabatnya berpuasa sunat sempena hari masing-masing melainkan sempena hari kelahirannya.

3. Dalam hadith yang kita petik tadi, Rasulullah berpuasa kerana meraikan hari lahir seorang utusan Allah (dirinya) dan sempena hari diturunkan wahyu, sedangkan kita tidak ada apa-apa kedudukan sepertinya.

Kesimpulannya, setakat maklumat yang ada ini nampaknya tidak ada tuntutan sama ada wajib ataupun sunat untuk berpuasa sempena hari kelahiran kita. Yang digalakkan antaranya ialah berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis :

“Amal hamba dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis. Aku ingin amalku dibentangkan dalam keadaan aku berpuasa.” (Abu Daud).

WaAllahua’lam.

2 comments:

wahedahawali said...

alhamdulillah...terjawab sudah persoalan sy.terima kasih atas pencerahan ini.

mia said...

Saya juga mencari maklumat ini.terima kasih ats informasi