Menurut Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin pada Kitab Ilmu, adakalanya kebodohan itu bermanfaat kepada seseorang dalam hal-hal tertentu. Dia memetik sebuah cerita sebagai contoh.
Ada seorang lelaki datang mengadu kepada seorang tabib tentang isterinya yang tidak dapat hamil. Si tabib pun memeriksa denyut nadi si isteri. Kemudian si tabib berkata : “Tidak ada gunanya engkau diberikan ubat untuk beranak, kerana engkau akan mati dalam empat puluh hari. Denyut urat nadi engkau menunjukkan begitu.”
Wanita itu pun susah hati. Dia pun banyaklah mengeluarkan hartanya pada jalan Allah. Di samping itu dia juga tidak menghiraukan lagi makan minumnya.
Selepas empat puluh hari, ternyata si isteri tidak juga meninggal dunia. Si suami berasa hairan lalu pergi bertanya kepada tabib.
Kata tabib : “Aku memang tahu begitu. Sekarang bersetubuhlah, dia akan hamil.”
“Mengapa begitu?” tanya si suami.
“Aku tengok dia sangat gemuk. Lemak sudah menutup mulut rahimnya. Aku tahu, dia tidak akan kurus melainkan dengan takut kepada mati. Maka aku takutkan dia dengan hal itu sehinggalah dia kurus dan hilanglah halangan dari beranak.”
Tamat cerita.
No comments:
Post a Comment