Tuesday, October 25, 2011

Kalianlah Penyumbang kepada Tergugatnya Islam

PERMASALAHAN :

Ada seorang pendakwah berfahaman Salafi Wahhabi iaitu Dr. Axxx menyalahkan sebahagian umat Islam di Malaysia sebagai penyebab Islam tergugat di tanah air kita ini. Hal ini kononnya kerana rakan-rakannya seperti Dr. Axxxxx, Dr. Axxxxxxx Yxxxx, Ustaz Sxxxxx Bxxxx diharamkan ‘bercakap agama’ di Selangor.

PENJELASAN KITA :

Penyelesaian masalah ini mudah sahaja. Sesiapa sahaja yang ingin berdakwah khususnya berceramah, dakwahkanlah ajaran Islam berfahaman Ahli Sunnah wal Jamaah arus perdana. Jangan dibawa fahaman Salafi Wahhabi, khususnya apa yang salah dan apa yang melemahkan daripada fahaman itu (apa yang baik tidak pernah ditolak oleh para pendakwah lain). Selesai cerita. Tidak ada siapa yang akan menghalang anda berdakwah, malah sangatlah dialu-alukan. Perkara mudah jangan dijadikan susah.

Kita ambil contoh untuk memudahkan pemahaman. Semua orang masuk ke dalam stadium bolasepak dengan membawa gula-gula untuk dibahagi-bahagikan sesame penonton (membawa ilmu agama untuk disebarkan kepada orang ramai). Tidak ada sesiapa yang menghalang penonton berbudi jenis ini, malah sangat dialu-alukan oleh penganjur (Islam sangat menggalakkan manusia berdakwah). Cuma penganjur ingatkan, jangan dibawa botol-botol kosong masuk (jangan disebarkan apa yang salah dan apa yang melemahkan daripada ajaran Salafi Wahhabi dan ajaran-ajaran lain).

Tapi ada juga segolongan kecil penonton tetap berkeras mahu membawa masuk botol-botol kosong selain gula-gula untuk dibahagi-bahagikan kepada orang ramai (mereka masih hendak sebarkan apa yang salah dan apa yang melemahkan dalam ajaran Salafi Wahhabi itu). Kan berbahaya?

Atas dasar itu, penganjur tetap tidak membenarkan sesiapa yang membawa botol kosong masuk ke stadium (pihak berkuasa terpaksa menyekat pendakwah yang mahu sebarkan ajaran Salafi Wahhabi tadi). Untuk masuk, sila tinggalkan botol-botol kosong di luar stadium, bawalah gula-gula sahaja (tinggalkan fahaman Salafi Wahhabi itu dalam diri anda, sebarkanlah ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah arus perdana).

Golongan yang degil ini tidak berpuas hati. Mereka tetap hendak menyebarkan botol-botol kosong kepada hadirin. Apabila tidak dibenarkan masuk, mereka pun berkata : “Tengok, siapa yang menghalang kami menyebarkan hadiah (halang kami daripada berdakwah)? Bukan orang agama lain, tapi pengajur yang beragama Islam juga!”

Orang yang bijak tidak akan menyalahkan penganjur, tapi diri sendiri. Oleh itu, buat perubahan pada diri sendiri sebelum mahu merubah orang lain. Banak orang mahu merubah dunia, tapi tidak terfikir untuk merubah dirinya sendiri. Mudah sahaja, tinggalkan botol-botol kosong di luar stadium, masuklah melalui mana-mana pintu stadium pun, anda akan diraikan. ‘Bercakap agama’lah sepuas-puasnya. Anda yang menyulitkan keadaan, bukannya pihak penganjur. Tapi anda provoke ornag awam kononnya penganjur yang bersalah kerana membuat sekatan.

Umat Islam khususnya di Malaysia tidak perlukan fahaman *Salafi Wahhabi untuk maju, dan hal itu sudah terbukti sejak zaman Kedah dan Melaka. Umat Islam di sini juga tidak perlu kepada fahaman *Salafi Wahhabi untuk masuk ke syurga. Adakah jika tidak disebarkan fahaman *Salafi Wahhabi itu maka umat Islam Malaysia akan masuk neraka? Jelasnya fahaman *Salafi Wahhabi itu bukan berstatus ‘keperluan’, paling-paling kuat pun berstatus ‘kehendak’.

Berapa ramai rakyat Malaysia yang tidak boleh membaca Al-Quran, bukankah lebih baik anda menyibukkan diri mengajar mereka membaca Al-Quran (yang berupa keperluan) terlebih dahulu, berbanding anda menyibukkan diri menyebarkan fahaman *Salafi Wahhabi (yang bukannya keperluan pun)?

Berapa ramai rakyat Malaysia (ibu-ibu, wanita dan gadis-gadis) yang tidak menutup aurat dengan sempurna, bukankah lebih baik anda menyibukkan diri mentarbiyyahkan mereka agar menutup aurat terlebih dahulu (yang berupa keperluan) berbanding anda menyibukkan diri menyebarkan fahaman *Wahhabi (yang bukannya keperluan)?

Berapa ramai rakyat Malaysia (lelaki dewasa) yang sengaja tidak menunaikan solat fardhu berjemaah, bukankah lebih baik anda menyibukkan diri memotivasikan mereka agar datang berjemaah (yang berupa keperluan) terlebih dahulu, berbanding anda menyibukkan diri menyebarkan fahaman *Salafi Wahhabi (yang bukannya keperluan pun)?

Berapa ramai rakyat Malaysia yang belum beragama Islam, bukankah lebih baik anda menyibukkan diri mendakwahkan mereka agar menganut agama Islam (yang berupa keperluan) terlebih dahulu, berbanding anda menyibukkan diri menyebarkan fahaman *Salafi Wahhabi (yang bukannya keperluan pun) kepada sesame umat Islam?

Bijaklah dalam berjuang pada jalan Allah. Utamakanlah dan sibukkanlah diri dengan yang ‘lebih penting’ berbanding yang ‘penting’, apatah lagi fahaman *Salafi Wahhabi yang tidak penting itu.

Kita bukannya berada pada zaman daulah Islam memerintah dunia, kita sekarang diinjak-injak oleh musuh-musuh Islam. Orang-orang yang memberatkan perbincangan hal-hal khilaf dalam situasi seperti sekarang ini memang sangat tidak bijak dan menyusahkan orang lain, khususnya umat Islam sendiri.

Kita ambil contoh lagi. Kita boleh berbeza pandangan/berkhilaf dan berdebat untuk meletakkan susun atur perabot rumah, menu makan, siaran televisyen dan lain-lain ketika rumah kita (umat Islam dan daulahnya) aman. Tapi ketika kita terusir dari rumah kita (umat Islam kehilangan daulah dan diserang) dilontar batu dari segenap penjuru oleh musuh, sangat tidak sesuai membincangkan hal-hal khilaf lagi. Selesaikan terlebih dahulu musuh-musuh yang di sekeliling (berjuang mengekang musuh dan dapatkan kembali daulah). Apabila rumah sudah kembali aman (umat Islam sudah terbela dan daulah sudah diperolehi, kehalifahan sudah kembali), barulah sesuai untuk menyelidiki hal-hal khilaf dan berdebat panjang.

Tindakan para pendakwah Salafi Wahhabi ini memang sangat ditunggu-tunggu oleh musuh-musuh Islam. Sudahlah tertindas di seluruh dunia dan kehilangan daulah, berbalah pula sesama sendiri. Perbuatan anda didahului oleh musuh-musuh Islam dengan tepukan tangan dan lompatan kegembiraan.

Perubahan bergantung pada sikap anda sendiri, iaitu kesanggupan tidak menyebarkan fahaman *Salafi Wahhabi. Selagi anda tidak sanggup dan tidak berani untuk berubah, sebaiknya duduk diam-diam sahaja, jangan merumitkan lagi keadaan dengan menuding pihak itu pihak ini sebagai bersalah. Tolong jangan semarakkan lagi perpecahan dalam umat yang sudah banyak berpecah ini. Jadilah agen penyatuan.

Sedar tak sedar, kewujudan orang-orang seperti anda menambahkan kerja dan beban para pejuang agama Allah ini dalam mengekang penggugat-penggugat Islam, sama ada dari luar mahupun dari dalam agama Islam sendiri. Banyak masa, tenaga dan belanja terpaksa dikorbankan oleh umat Islam negara ini untuk mengekang masalah-masalah yang kalian wujudkan. Jika betul kalian tidak mahu Islam lebih tergugat, buatlah perubahan, tinggalkanlah (kalau bukan untuk selamanya pun, sebentar jadilah, sementara umat Islam kembali terbela dan kehalifahan Islam terwujud semula) penyebaran fahaman *Salafi Wahhabi itu. Marilah berganding bahu bersama-sama kami di arus perdana Ahli Sunnah wal Jamaah menghadapi para penggugat agama Islam itu.

Fikir-fikirkan.

*Khususnya yang salah dan yang melemahkan daripada ajaran itu.

Abu Zulfiqar

25 Oktober 2011

Kebodohan yang Bermanfaat

Menurut Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin pada Kitab Ilmu, adakalanya kebodohan itu bermanfaat kepada seseorang dalam hal-hal tertentu. Dia memetik sebuah cerita sebagai contoh.

Ada seorang lelaki datang mengadu kepada seorang tabib tentang isterinya yang tidak dapat hamil. Si tabib pun memeriksa denyut nadi si isteri. Kemudian si tabib berkata : “Tidak ada gunanya engkau diberikan ubat untuk beranak, kerana engkau akan mati dalam empat puluh hari. Denyut urat nadi engkau menunjukkan begitu.”

Wanita itu pun susah hati. Dia pun banyaklah mengeluarkan hartanya pada jalan Allah. Di samping itu dia juga tidak menghiraukan lagi makan minumnya.

Selepas empat puluh hari, ternyata si isteri tidak juga meninggal dunia. Si suami berasa hairan lalu pergi bertanya kepada tabib.

Kata tabib : “Aku memang tahu begitu. Sekarang bersetubuhlah, dia akan hamil.”

“Mengapa begitu?” tanya si suami.

“Aku tengok dia sangat gemuk. Lemak sudah menutup mulut rahimnya. Aku tahu, dia tidak akan kurus melainkan dengan takut kepada mati. Maka aku takutkan dia dengan hal itu sehinggalah dia kurus dan hilanglah halangan dari beranak.”

Tamat cerita.

Sunday, October 23, 2011

SJ - Puasa Sunat Sempena Hari Lahir

SOALAN :

Boleh tak buat satu ‘entry’ tentang puasa pada hari lahir. Ada tak dalil atau apa-apa kelebihannya? :)

JAWAPAN :

Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w tentunya kita sangat teruja untuk mencontohi sunnah-sunnahnya. Salah satunya ialah puasa sunat. Antara puasa sunat yang sering dilakukan baginda adalah pada hari Isnin. Ketika ditanya tentang kegemarannya itu, baginda menjawab :

“Itu hari kelahiranku dan (hari) diturunkan wahyu.” (Muslim, Ahmad)

Berdasarkan hadith ini, timbul persoalan sama ada kita juga disunatkan berpuasa sunat sempena hari kelahiran kita?

Pada pandangan saya, boleh saja jika hendak berpuasa sunat sempena hari kelahiran kita sebagai tanda bersyukur asalkan kena dengan hari dan tarikhnya, tetapi dari sudut tuntutan agama, saya belum jumpa dalil ataupun kelebihannya.

Antara sandarannya :

1. Tidak jumpa catatan mengatakan para sahabat berpuasa sunat sempena hari lahir mereka.

2. Tidak jumpa juga catatan mengatakan Rasulullah menyarankan para sahabatnya berpuasa sunat sempena hari masing-masing melainkan sempena hari kelahirannya.

3. Dalam hadith yang kita petik tadi, Rasulullah berpuasa kerana meraikan hari lahir seorang utusan Allah (dirinya) dan sempena hari diturunkan wahyu, sedangkan kita tidak ada apa-apa kedudukan sepertinya.

Kesimpulannya, setakat maklumat yang ada ini nampaknya tidak ada tuntutan sama ada wajib ataupun sunat untuk berpuasa sempena hari kelahiran kita. Yang digalakkan antaranya ialah berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis :

“Amal hamba dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis. Aku ingin amalku dibentangkan dalam keadaan aku berpuasa.” (Abu Daud).

WaAllahua’lam.

Thursday, October 20, 2011

Ilmu Sifat 20 Falsafah Yunani?

PERSOALAN :

Assalamualaikum ustaz, (Persoalan tentang akidah)
Ada orang mengatakan sifat 20 adalah ajaran falsafah Yunani benarkah sedemikian? Dan bagaimana untuk menjawabnya ustaz.
Diharap ustaz tidak keberatan menjawab kemusykilan saya ini...

JAWAPAN RINGKAS :

Wlksm Axxxx Axxxx,
Ada persamaan dan ada perbezaan. Contohnya, antara agama Islam dengan agama Kristian ada beberapa persamaan dan ada juga beberapa perbezaan. Sungguhpun begitu, agama Islam bukanlah agama Kristian, begitu juga sebaliknya.

Pelajaran Sifat 20 bukanlah ajaran falsafah Yunani. Hal ini kerana jika kita belajar Ilmu Sifat 20, kita diajar mengimani Tuhan tahu segala sesuatu dan alam tidak qadim. Sedangkan jika kita belajar ilmu falsafah Yunani, ia mengajarkan Tuhan tidak Maha Mengetahui dan alam ini qadim bersama-sama Tuhan.

Jika pelajaran Sifat 20 itu ialah ajaran falsafah Yunani, tentulah isi pelajarannya sama.

WaAllahua'lam.

Abu Zulfiqar

21 Oktober 2010

Wednesday, October 19, 2011

Kuliah2 yang Dimanfaatkan Awal Oktober 2011

1. Sejarah Yahudi & Bani Israil - 441 hits (keseluruhannya 17,626 hits)
2. Sejarah Nabi Yusuf - 309 hits (keseluruhannya 11,183 hits)
3. Kisah Nabi Khidhir & Nabi Musa - 301 hits (keseluruhannya 11,256 hits)
4. Nabi Khidhir Masih Hidup? - 260 hits (keseluruhannya 14,241 hits)
5. 1 Lelaki 50 Wanita - 221 hits (keseluruhannya 9,372 hits)

6. Syarah Kifayatul Muhtaj (no. 1) - 202 hits ( 7,417 hits)
7. Korsh/ Cyrus & Zulqarnain - 200 hits ( 9,867 hits)
8. Ilmu Tauhid Sifat 20 (tambahan) - 158 hits ( 7009 hits)
9. Perihal Yakjuj Makjuj - 143 hits ( 35,595 hits)
10. Fitnah Dari Timur Madinah (Najd) - 133 hits ( 7,677 hits)

11. Hamba Lahirkan Tuannya - 120 hits
12. Mengenal Salafi Wahhabi - 117 hits
13. Syarah Kifayatul Muhtaj (no. 77) - 108 hits
14. Sejarah Maryam Ibu Nabi Isa - 95 hits
15. Syarah Munyatul Musolli (no. 50) - 90 hits

16. Syarah Kifayatul Muhtaj (no. 113)- 88 hits
17. Syarah Kifayatul Muhtaj (no. 64) - 84 hits
18. Syarah Munyatul Musolli (no. 1) - 83 hits
19. Dua Golongan Penghuni Neraka - 79 hits
20. Perang, Perang, Perang - 77 hits

Friday, October 14, 2011

Lukisan 14 Oktober 2011


Sudah lama tidak melukis. Sesekali keGIANan melukis melanda diri... terhasillah lukisan... : )

Saturday, October 8, 2011

Dua Pertiga Malam Selamanya

Alangkah sunyi alam

Kala doa dipanjatkan

Dua pertiga malam

Rahmat bertebaran


Sujud menyembah-Mu

Air mata berlinangan

Hiba, sayu dan rindu

Dalam kekhusyukan


Bangunlah solatlah

Dirikan malammu

Istiqamahlah selamanya


Bersyukurlah insaflah

Kau dipilih Allah

Mujahadahlah selamanya