Wujud ketidakselesaan antara sesama pejuang aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah di tanah air kita kerana sebahagiannya mempunyai pegangan politik yang berbeza. Oleh itu, pada bulan lepas saya ada mengemukakan beberapa SARANAN untuk meminimakan masalah ini. Saya kongsikan saranan-saranan itu di sini. Jom : )
1. Kita hendaklah sedar dan faham bahawa persoalan akidah adalah lebih penting berbanding persoalan-persoalan lain termasuklah persoalan politik. Namun begitu, kita tidak nafikan politik juga bersangkutan dengan akidah kerana sesiapa atau pihak mana yang memegang teraju pemerintahan sedikit-sebanyak akan memberi kesan kepada pegangan semasa dan akan datang sebahagian anggota masyarakat dalam sesebuah negara.
2. Kita hendaklah sedar dan faham bahawa dalam dunia politik tanah air kita ini, tokoh-tokoh dan kumpulan yang dikenalpasti ada masalah dalam persoalan akidah berada dalam kedua-dua belah pihak, baik pihak yang sedang memerintah mahupun pihak yang mahu menggantikan pemerintah, khususnya Pekembar (UMNO) dan Parti Islam (PAS). Sama juga, tokoh dan kumpulan pejuang ASWJ turut berada dalam kedua-dua belah pihak.
3. Kita hendaklah sedar dan faham bahawa meminimakan lawan buat sementara waktu adalah lebih berkesan daripada berhadapan dengan kesemua lawan serentak. Jika kita menyerang sebuah kota pertahanan dari segala penjuru dengan kekuatan yang berserakan, kemungkinan besar kita gagal menakluki kota itu. Menyerang secara umum dari segenap penjuru tetapi dengan menumpukan sebahagian besar tentera/ kekuatan kita pada sudut tertentu, akan lebih mencerahkan peluang untuk mendapat kejayaan. Oleh itu, mengecilkan skop perjuangan/ serangan kita ke atas orang-orang tertentu tanpa meninggalkan terus perjuangan/ serangan kita ke atas orang-orang lain adalah tindakan yang bijak dan lebih berkesan.
4. Kita hendaklah sedar dan faham bahawa musuh yang menyebarkan fahamannya secara gigih adalah lebih berbahaya dan lebih utama untuk diatasi berbanding musuh yang kurang menyebarkan fahamannya.
5. Kita hendaklah sedar dan faham bahawa sesiapa sahaja dalam kalangan umat Nabi Muhammad saw, boleh tersalah walau sebesar mana pun pangkat, kelulusan, kedudukan, ramai pengikut, kebolehan, penghormatan dan kecerdikan yang dimilikinya. Perkataan seseorang boleh dinilai semula kecuali perkataan Rasulullah saw yang maksum.
6. Kita hendaklah sedar dan faham bahawa khilaf dalam persoalan agama tidak berlaku antara kita para pejuang ASWJ dengan ‘mereka’ sahaja, tetapi juga berlaku dalam kalangan kita para pejuang ASWJ sendiri. Namun yang pasti, kita para pejuang ASWJ bersatu hati dalam persoalan akidah. Oleh itu, hendaklah kita saling meraikan perbezaan pandangan dan pegangan dalam hal-hal keagamaan sesama kita yang ASWJ ini. Jika kita katakan ‘mereka’ menolak khilaf, tapi jika sesama kita sendiri tidak menerima kekhilafan,tidak saling meraikan, tentulah sesuatu yang ‘cakap tak serupa bikin’. Kita perkasakan gerakkerja dalam perkara-perkara yang saling disepakati dan saling meraikan dalam perkara-perkara yang tidak disepakati. InsyaAllah sejahtera.
7. Kita hendaklah sedar dan faham bahawa persoalan akidah adalah persoalan yang sangat berat, paling berat. Oleh itu, seboleh-bolehnya kita hendaklah berusaha mendahulukan sangka baik berbanding sangka buruk dalam menghukum, terutamanya dalam hukuman yang keputusannya membabitkan masih Islam ataupun sudah terkeluar daripada Islam ke atas seseorang atau sesuatu pihak. Tidak seharusnya kita mengkafirkan atau membukanIslamkan seorang yang masih mengucapkan dua kalimah syahadah dan menunaikan perkara yang difardhukan, kecuali jika perkataan atau perbuatannya memang tidak boleh disangkal lagi selain daripada kufur atau terkeluar daripada agama Islam. Maksudnya setelah hendak didahulukan disangkabaik dari sudut yang manapun pun sudah tidak boleh lagi.
8. Kita hendaklah sedar dan faham bahawa dalam berjuang pastinya suatu ketika nanti akan ada fitnah yang timbul dalam kalangan kita sendiri. Oleh itu sekiranya timbul sebarang permasalahan yang melibatkan kita sesama pejuang ASWJ, kita mestilah mendengar pandangan semua pihak yang terlibat secara sama berat terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa keputusan dan tindakan.
Abu Zulfiqar
Ramadhan 2011
No comments:
Post a Comment