Tuesday, September 13, 2011

Allah Di Mana? Jama' ataupun Fara' dengan Makhluk?

Seorang hamba Allah kemukakan dua soalan kepada saya.

PERSOALAN :

Tuan orang yang berserban ekor kiri, jadi saya mahu tanya... di manakah Allah? Jama’ atau fara’ dengan kita?

JAWAPAN :

Bagaimanalah saya hendak menjawab pada soalan yang sepatutnya tidak wujud...

Soalan "di mana" hanya sesuai untuk sesuatu yang terpengaruh dengan tempat (yang jawapannya ialah tempat), sedangkan Allah tidak terpengaruh dengan tempat. Sebelum adanya tempat, Dia sudah sedia ada. Bahkan Dialah yang kemudiannya mencipta tempat, ruang, sempadan, batasan, gelap, cerah, arah, posisi dan lain-lain yang semuanya adalah makhluk. Padahal Dia tidak mengalami sebarang perubahan, baik ketika tempat dan lain-lain makhluk belum dicipta, ataupun selepas tempat dan lain-lain makhluk dicipta. Apa sahaja yang mengalami perubahan ialah makhluk. Mustahil Allah itu makhluk. Dengan itu, Allah tidak terpengaruh dengan tempat.

“Allah sudah sedia wujud sedangkan sesuatu selain-Nya masih belum wujud.” (Bukhari)

Allah qadim, sedangkan tempat tidak qadim. Sekiranya Allah terpengaruh dengan tempat, maka di manakah Dia berada sebelum diciptakan-Nya tempat? Jelaslah bahawa Allah SWt tidak bertempat.

Dalam kitab Iqazul Himam ada dinyatakan : “Dan adalah Allah itu tidak bertempat. Kemudian Dia menciptakan waktu dan tempat. Dan Dia sekarang tetap seperti itu juga, tidak dikuasai tempat dan waktu.”

Jadi, soalan : "Di mana Allah?" itu memang tidak wujud, dan tidak dapatlah untuk saya menjawab sesuatu yang tidak wujud. Contoh yang boleh kita ambil, satu soalan yang berbunyi : "Beruang ada berapa tayar?" Kita sedia maklum yang beruang tidak ada tayar melainkan kaki. Maka soalan "Beruang ada berapa tayar?" tidak sepatutnya wujud.

Pada sesetengah ilmuwan agama, soalan "Di manakah Allah?" itu mereka kira sebagai sudah mendatangkan dosa, kerana kita mendatangkan soalan yang tidak layak untuk Allah SWT. Jawapan kepada soalan itu tentunya memerlukan tempat/ lokasi sebagai jawapannya, sedangkan Allah tidak terpengaruh dengan tempat/ lokasi. Maka untuk Allah, sepatutnya tidak boleh kita soal “di mana?”.

Jika mahu gunakan soalan “di mana Allah?” itu juga, tuan boleh gunakan kaedah di bawah.

Pertama, tanya soalan yang lain terlebih dahulu iaitu : “Allah terpengaruh dengan tempat ataupun tidak?” Jika jawapannya “ya”, maka selepas itu barulah sesuai dikemukakan soalan : “Di manakah Allah?” Tapi jika jawapannya “tidak”, maka tidak boleh diajukan soalan : “Di manakah Allah?” kerana berdasarkan jawapan itu, jelas bahawa Allah tidak terpengaruh dengan tempat atau soalan “di mana?”. Soalan “di mana” memerlukan jawapan tempat, sedangkan Allah tidak terpengaruh dengan tempat. Begitu kisahnya.

Bersekutukah atau berceraikah Allah dengan makhluk-Nya? Jawapannya, tentulah tidak bersekutu dan tidak juga bercerai. Namun kaifiatnya tidaklah dapat diketahui dengan akal fikiran kita yang lemah lagi terhad ini.

Sekiranya Allah bersekutu dengan makhluk-NYa, maka makhluk-Nya juga mesti kita sembah sebagai Allah. Hal ini mustahil untuk kita yakini kerana Allah dan makhluk-Nya berkhilaf dari segala segi. Jika Allah bercerai dengan makhluk-Nya pula, maka siapa pula yang berkuasa ke atas makhluk-Nya? Bukankah Allah memerintah sendiri segala makhluk-Nya? Jika ada satu kuasa lain yang memerintah atau berkuasa makhluk-Nya, maka sudah ada dua kuasa yang membawa maksud ada dua Tuhan. Hal ini juga mustahil untuk kita yakini.

Zat Allah tidak punya sempadan, batas atau tepi. Makhluk pula bersempadan, berbatas dan bertepi. Dari sudut hukum akal, mustahil sesuatu yang tidak ada sempadan, batas atau tepi untuk bersentuh dengan sesuatu yang ada sempadan, batas atau tepi. Persentuhan dan persekutuan hanya wujud pada dua perkara yang masing-masing mempunyai sempadan, batas atau tepi. Oleh itu, Allah dan makhluk tidak boleh bersentuha, apatah lagi untuk bersekutu.

Syeikh Abdul Karim al-Jili dalam kitabnya Insanul Kamil mengatakan : “Sesungguhnya hamba adalah hamba, Tuhan adalah Tuhan. Tidak mungkin hamba jadi Tuhan dan tidak mungkin Tuhan jadi hamba.”

“Tidak ada suatu apa pun yang sama dengan-Nya.” (Al-Ikhlaas : 4)

WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar

11 September 2011

2 comments:

Anonymous said...

Sama2 kt sebarkn pkara ini…kasihan saudara2 kt yg jahil d luar sana. Mudah2an Allah bg kt semua taufiq & hidayahNya.

Usul Akidah Wahabi Mujassimah: Allah di langit!!!!

Kejahilan masyarakat awam:
1. hujah akidah kena nas qat’i thubut & dilalahnya (teks & semantik) =muhkam
2. wahabi guna nas yg mutasyabihat

Anonymous said...

Sama2 kt sebarkn pkara ini…kasihan saudara2 kt yg jahil d luar sana. Mudah2an Allah bg kt semua taufiq & hidayahNya.

Usul Akidah Wahabi Mujassimah: Allah di langit!!!!

Kejahilan masyarakat awam:
1. hujah akidah kena nas qat’i thubut & dilalahnya (teks & semantik) =muhkam
2. wahabi guna nas yg mutasyabihat