Tuesday, August 16, 2011

Lailatul Qadar Serentak Seluruh Dunia?

Seluruh umat Islam ternanti-nanti dan tercari-cari Lailatul Qadar, atau dikenali di rantau Nusantara ini sebagai Malam Al-Qadar. Timbul persoalan tentang waktu berlangsungnya Malam Al-Qadar itu. Adakah ia berlaku hanya pada waktu malam, ataupun serentak di seluruh dunia?

Jika ia berlaku hanya pada waktu malam, maksudnya bahagian planet bumi yang sedang siang tidak berlaku Malam Al-Qadar. Namun jika ia berlaku serentak di seluruh planet bumi, maka ketika Makkah mengalami Malam Al-Qadar, bahagian bumi yang lain yang sedang siang turut mengalaminya.

Jadi, bagaimana?

Langkah pertama, kita lihat firman Allah SWT dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya Kami turunkan (Al-Quran ini) pada Malam Al-Qadar. Apakah jalannya untuk kamu mengetahui apakah itu Malam Al-Qadar (sudah tentu kita tidak ada ilmu tentangnya kecuali diberitahu sendiri oleh Allah SWT)? Malam Al-Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. Turun malaikat dan ruh padanya dengan izin Rabb mereka untuk mengerjakan segala urusan. Sejahteralah ia (malam itu) sehingga terbit fajar.” (Al-Qadr : 1-5)

Berdasarkan Surah Al-Qadr ini, kita dapat perhatikan bahawa :

1. Ayat pertama jelas menyebut waktu malam, bukannya siang.

2. Malam Al-Qadar tidak disebut Siang Al-Qadar. Jika ia berlaku serentak di seluruh dunia, ia lebih sesuai disebut sebagai Hari Al-Qadar kerana melibatkan siang dan malam sekaligus.

3. Ayat kelima mengatakan Malam Al-Qadar itu tamat pada waktu fajar. Jika ia berlaku serentak di seluruh muka bumi, waktu tamatnya tentu lebih sesuai disebut “sehingga terbit fajar dan tenggelam matahari (senja)”, ataupun sesuai juga disebut sebagai “sehingga dua tepi siang (iaitu waktu subuh dan maghrib)” kerana ketika fajar tamat di Makkah, bahagian dunia yang lain belum tamat malah ada yang sedang melalui waktu senja.

Nampaknya isi surah ini menyebelahi pandangan yang mengatakan Malam Al-Qadar tidak berlaku serentak. Namun begitu, mari kita lihat juga maklumat lain yang kita ada.

Pada awal pagi selepas Malam Al-Qadar biasanya kita dapat melihat langit di sebelah timur kelihatan kabur dan cahaya matahari tidak menembusinya. Hal ini kerana diyakini tentera langit yang turun pada malam itu sedang pulang ke langit. Dari sini ada pertimbangan tertentu yang boleh kita ambil.

Sebenarnya wujud perbezaan pandangan tentang lokasi pertama perubahan hari. Contoh yang mudah ialah tentang sambutan Hari Raya Aidil Fitri :

1. Satu pihak meyakini hari bermula dari timur. Oleh itu orang di rantau sebelah Nusantara ini menyambut Aidil Fitri lebih awal beberapa jam daripada Makkah.

2. Pihak yang lain pula mengatakan orang-orang di Makkah terlebih dahulu menyambut Aidil Fitri, dan sehari selepasnya barulah penduduk rantau sebelah sini merayakan Aidil Fitri.

Katakanlah kita berpegang dengan pandangan pertama. Maksudnya rantau Nusantara terlebih dahulu dikunjungi Malam Al-Qadar dan lebih awal tentera langit pulang, sedangkan di Amerika masih belum mengalami Malam Al-Qadar. Di sini timbul satu persoalan. Jika tentera langit sudah mula pulang ke langit dari Nusantara, siapa pula yang sedang turun di Makkah dan siapa pula yang akan turun di Amerika? Adakah tentera yang turun itu bertukar ganti?

Jika benar ada tukar ganti, maka Malam Al-Qadar hanya berlaku pada waktu malam dan tidak serentak di seluruh dunia. Tapi jika tentera langit itu turun serentak dan pulang serentak, hal ini bermaksud Malam Al-Qadar itu berlaku serentak, iaitu ketika sebahagian bumi sedang mengalami waktu malam dan sebahagian lagi sedang siang.

Seandainya kita memilih pandangan kedua tadi pula, maka ketika tentera langit sedang pulang ke tempat mereka dari Makkah, siapa pula yang akan turun di Nusantara beberapa belas jam kemudiannya?

Persoalan ini bakal terjawab jika kita ada maklumat tentang turunnya malaikat pada Malam Al-Qadar itu, sama ada mereka turun serentak dan naik serentak tanpa tukar ganti, ataupun ada turun naik. Setakat ini saya tidak punya maklumat itu.

Dengan maklumat yang sekadar ini, setakat ini secara peribadi saya berpandangan bahawa Malam Al-Qadar itu berlaku tidak serentak di seluruh bumi, tetapi pada belahan-belahan bumi yang sedang mengalami waktu malam sahaja. Sekiranya ada maklumat-maklumat tambahan nanti, tidak mustahil pula pandangan saya boleh berubah. WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar

16 OGOS 2011

4 comments:

MR. SATU UMAT said...

AlLibani menulis :
LaylatulQadr berlaku pada malam hari dan hanya pada satu malam. Bukan satu malam pada satu tempat tetapi satu malam bagi seluruh dunia. Malam bergerak, maka bergeraklah LaylatulQadr hingga lengkap seluruh dunia. Bila bermula ? Ia bermula waktu maghrib hari tersebut. Ia bergantung kepada anak bulan yang menentukan permulaan hari. Kalau boleh diterima kiraan secara haqiqi (berdasarkan imkanurru'yah), maka kita boleh tentukan di mana bermulanya hari. Persoalannya pula hari apakah LaylatulQadr ??

http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=19882

MR. SATU UMAT said...

Aeist1 menulis :
salam. semua orang didunia ni termasuklah bukan islam yang pernah melalui bulan ramadan telah menempuhi malam al qadar walaupun sedang tidur kerana malam al qadar tetap akan berlaku seperti yang Allah s.w.t janjikan. tapi takde sesiapa pun yang tahu secara tepat bila berlakunya malam al qadar kecuali yang telah diberitahu oleh rasulullah s.a.w iaitu pada malam ganjil sepuluh yang terakhir dalam bulan ramadan. saya tak pernah jumpa hadis atau nas atau dalil yang mengatakan bahawa rasulullah s.a.w pernah mengatakan bila berlakunya malam al qadar secara tepat. kalau ada, tentu sekali saya yang khilaf.

Antara kelebihan besar bulan Ramadan ialah di dalamnya terdapat lalilatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr;

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ، وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ، لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، تَنَزَّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ، سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”. (al-Qadr: 1-5)

Dalam surah ini kita melihat kelebihan malam al-Qadar iaitu;

1.Ia merupakan malam penurunan al-Quran. Menurut Ibnu ‘Abbas; penurunan yang dimaksudkan ialah penurunan al-Quran secara sekaligus dari Luh Mahfudz ke Baitil-‘Izzah yang terdapat di langit dunia/pertama. Setelah itu barulah diturunkan berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun.
2.Beramal pada malam al-Qadar lebih baik dari beramal selama seribu bulan (iaitu 83 tahun 4 bulan) yang tidak terdapat di dalamnya malam al-Qadar.
3.Pada malam itu, Jibril dan juga para malaikat turun ke langit dunia atau ke bumi dengan membawa kebaikan dan keberkatan yang ditetapkan Allah untuk tahun tersebut hingga datang malam al-Qadar berikutnya. Menurut Imam Ibnu Kathir; “Banyaknya malaikat yang turun pada malam al-Qadar adalah kerana banyaknya keberkatan malam tersebut. Para malaikat turun bersama turunnya berkat dan rahmat sebagaimana mereka turun tatkala mendengar bacaan al-Quran, mereka melingkungi halaqah-halaqah zikir dan mereka membentangkan sayap-sayap mereka kepada orang yang keluar mencari ilmu untuk membesarkannya”.
4.Malam al-Qadar itu penuh dengan kesejahteraan hingga terbit fajar, yakni; pada malam tersebut Allah tidak mentakdirkan melainkan perkara-perkara yang baik, selamat dan sejahtera. Ada ulama’ berpendapat; pada malam al-Qadar itu para malaikat yang turun akan mengucap salam kepada sekelian orang beriman yang mereka temui sama ada lelaki atau perempuan.

Nabi s.a.w. dalam sabdanya;

تحرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاْخِرِ مِنْ رَمَضَاْنَ
“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)

http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=19882

Anonymous said...

saya takda nak bagi dalil apa2 lah...just skit komen. Allah yg menjadikan malam dan seluruh isi bumi serta langit, maka takde yg mustahil nya utk Dia wujudkan al-Qadr. Lagi satu malaikat tu bukannya seratus dua juta, tapi berbilion-bilion, dan tak tercapai dek akal akan bilangannya. Spt kata rasulullah SAW, malaikat tu dijadikan drpd cahaya, paling sikit ada yg 2 kepak, dan yg paling banyak beribu-ribu kepak dan ada kecik serta ada yg amat besar..nak heran apanya setakat malam al-Qadr nak Allah turnkan mcm mana...Menda ghaib (ilmu Allah, bkn boleh dihurai dan dijelaskan dgn akal yg cetek)...

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Terima kasih atas komennya Anonymous.

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails