Sunday, March 27, 2011

Soal Jawab - Cabaran Hidup dan VCD Ceramah

SEORANG SAHABAT MENULIS KEPADA SAYA:

(Asalnya sahabat saya ini berasa was-was akan ilmu keampuhan diri yang diamalkan oleh sebilangan orang. Saya berikan pandangan agar kita semua menjauhkan diri daripada ilmu-ilmu seperti itu kerana banyak sangat fitnahnya. Berikut ialah balasannya...)

Tu la ustaz, yang sedih orang kita suka sangat nak ilmu jadi kuat atas alasan nak tolong bangsa. Dalam Islam banyak lagi ilmu yang best, betui dak ustaz..? Kalau kebai pun depa bukan boleh kalah(kan) Mungkar Nankir.. Saya tak minat ilmu macam tu. Saya cuma nak biasa ja...bak kata ustaz: “BerTuhankan Allah, Bersyariatkan (Syariat) Muhammad Rasulullah..”

Islam tu mudah ja..betui dak ustaz? Manusia yang menyusahkan..suka bagi alasan..termasuk saya, angan ja lebih.. Alhamdulillah dengan niat saya nak berubah tahun lepas, Tuhan mungkin dah bagi petunjuk buka hati kut. Dah mula hidup bersyariat tapi baru sikit. Dari dulu saya langsung tak buat..

Makin hari makin suka..Ada rasa lega walaupun saya tak dapat kerja baru lagi. Yag lama dah bankrup..macam-macam lg masalah. Adakah sememangnya itu ujian-Nya ustaz?? Tapi saya rasa tenang, tak macam dulu.

Terima kasih ustaz, blog ustaz tu banyak manfaat kepada saya..Nak beli vcd Kembara ke Sidratul Muntaha, kat mana ada jual? Bapa mentua saya nak. Kat kampung network internet tak dak. Saya pun dah episod ke42 dah. Lepas ni nak sambung Imam Ghazali pulak (kuliah Wangian Hikmah Al-Ghazali, iaitu syarah kepada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin). Sorry ustaz panjang lebar cerita saya ni.

JAWAPAN SAYA KEPADA SAHABAT:

Betul tu tuan. Lebih elok kalau kita berusaha secara biasa-biasa sahaja. Jika ilmu, iman dan amal kita kukuh suatu hati nanti, tidak mustahil Allah akan kurniakan ma’unah, bahkan mungkin juga karamah, yang jauh lebih hebat daripada ilmu-ilmu yang kita bincangkan sebelum ini.

Sememangnya Islam itu mudah, Islam itu indah. Islam mengatur hidup kita dengan sebaik-baik aturan. Tahniah buat tuan kerana berjaya berusaha dan berikhtiar ke arah yang jauh lebih baik daripada sebelumnya. Bersyukurlah kepada Tuhan, kerana Dialah pada hakikatnya yang memilih dan melorongkan kita untuk berubah ke arah yang lebih baik. Alangkah Penyayangnya Tuhan akan kita.

Tidak mustahil apa yang berlaku itu adalah ujian daripada Tuhan. Apabila Tuhan menguji kita, maksudnya Tuhan sangat sayangkan kita. Dia tahu, apabila kita dalam kesusahan, kita akan kembali merujuk kepada Dia, kita akan kembali bermanja-manja dengan Dia. Apabila kita merujuk dan bergantung dengan Dia, diberi-Nya pula pahala. Jadi sebenarnya, ujian itu adalah salah satu cara Tuhan hendak membawa kita agar lebih dekat kepada-Nya. Jika tidak diuji, mungkin kita semakin jauh hanyut mengejar fatamorgana dunia.

Ketenangan yang tuan perolehi sekarang merupakan nikmat yang sangat hebat. Ramai orang kaya-kaya yang hidup tidak tenang. Ramai orang yang punya pengaruh dan kedudukan sentiasa hidup dalam kebimbangan. Ramai orang kacak dan jelita yang sentiasa jadi dengkian orang. Harta, kedudukan dan rupa mereka tidak membawa ketenangan buat diri mereka. Betapa besarnya nikmat tenang yang Tuhan kurniakan kepada tuan sekarang. Semoga kita semua terus diberi ketenangan oleh-Nya.

Terima kasih juga Tuan Mxxxx Xxxxxxxxxr kerana sudi meluangkan masa menziarahi blog saya. Saya juga sangat bersyukur kepada Tuhan kerana menjadikan blog saya dapat dimanfaatkan orang lain.

Tentang kuliah Kembara ke Sidratul Muntaha (syarah kepada kitab Kifaayatul Muhtaaj karya Syeikh daud al-Fatani) itu, saya tidak mengeluarkan apa-apa vcd ataupun cd. Saya hanya berkesempatan memuatnaikkannya ke Youtube untuk dikongsi bersama sahabat semua. Tuan boleh ‘download’ scara percuma dari Youtube. Antara perisian yang mudah digunakan adalah Real Player. Real Player boleh didapati di internet secara percuma. Tapi memakan masa tuan le sikit.

Sebelum ini ada dua pihak minta kebenaran (melalui internet) untuk memuatkannya ke dalam cd dan diedarkan secara percuma. Saya bersetuju. Malangnya saya tidak pula bertanyakan identiti dan lokasi mereka. Jadi, tak dapatlah hendak hubungkan tuan dengan mereka. Mereka pun seperti tuan juga, mahu kongsikan isi kuliah itu dengan keluarga, saudara-mara dan teman sekerja.

Saya sangat berbesar hati kerana tuan memanfaatkan kuliah-kuliah saya yang tidak sepertinya itu. Terima kasih. Semoga segala usaha baik kita mendapat rahmat daripada Allah SWT.

Wassalam.

Abu Zulfiqar

Mac 2011

Thursday, March 24, 2011

Soal Jawab - Khuruj Tabligh

PERSOALAN:
As salam Tuan, khuruj fisabillah yANg dIamalkan oleh jemaah tabligh akan dIterima oleh Allah SWT ??

Orang seperti saya ini mudah tenggelam, iman pun nipis seperti kulit bawang, tetapi dengan adanya khuruj, dapatlah saya tetap daalm jamaah, maintain iman dan amal.


JAWAPAN:
Wlksm Sxxxxxx Ixxxxxx.
InsyaAllah keluar pada jalan Allah mengikut kaedah jemaah Tabligh diterima oleh Allah SWT. Ia salah satu cara yang berkesan daripada sekian banyak cara untuk mengesani diri dan masyarakat.

Cuma, selain daripada khuruj bersama jemaah Tabligh, jika berpeluang, ikuti juga aktiviti-aktiviti jemaah-jemaah lain. Dengan itu pandangan kita tentang cara umat ini bergerak akan lebih baik.


Abu Zulfiqar
24 Mac 2011

Syarah kepada Syarah Ihya Ulumiddin (fail 2B)

KITAB AL-RISALAH AL-LADUNIYYAH berkisar tentang ilmu laduni. Tokoh mujaddid ini mengarang kitab tersebut kerana:

“Ketahuilah, bahawa salah seorang daripada kawan-kawanku telah menceritakan kepadaku kisah seorang alim yang MENGENGKARI (MENOLAK) ILMU GHAIB LADUNI, iaitu ilmu yang menjadi pegangan pemimpin tasawuf dan tumpuan ahli tariqat, yang (kaum sufi) berpendapat bahawa ilmu laduni adalah LEBIH MANTAP dan LEBIH TEPAT daripada ilmu-ilmu yang diperolehi melalui jalan usaha atau yang diperolehi dengan jalan belajar.”

Ringkasnya, Imam Ghazali menyusun kitab Ar-Risalah Al-Laduniyyah untuk mempertahankan KEWUJUDAN dan KEBENARAN ILMU LADUNI. Ilmu laduni ini adalah lebih mantap daripada ilmu-ilmu yang kita perolehi dengan cara belajar, dan menjadi pegangan ahli-ahli sufi. Kebetulan ada seorang ulama pada zaman itu menolak ilmu laduni (pada zaman sekarang pun ramai) dan Imam al-Ghazali diminta memberI penjelasan oleh sahabatnya. Terhasillah kitab ini.

Menurut sahabat Imam al-Ghazali, ulama itu berpandangan :

“Ilmu-ilmu (agama) ini hanya didapati dengan (cara) BELAJAR DAN MENGKAJI.”

Maksudnya tidak ada sebarang ilmu yang boleh diperolehi melalui jalan laduni. Begitu pegangan ulama tersebut.

Kata al-Ghazali lagi:

“Bagaimana seseorang itu mengetahui ilmu tafsir (dalam keadaan menafikan ilmu laduni) sedangkan Al-Quran adalah satu lautan besar yang mengandungi segala maklumat.”

“AHLI TAFSIR TEPI JALAN (ulama yang menafikan ilmu laduni) ini seolah-olah tidak mengetahui bahagian-bahagian ilmu, perinciannya, tingkatnya, hakikat-hakaikatnya, kenyataan-kenyataannya dan batinnya. Memang sudah menjadi adat, bahawa orang yang jahil memang selalu mengengkari (menolak).”

Memanglah, biasanya manusia menentang perkara-perkara (baik) yang mereka tidak tahu.


Seterusnya Imam al-Ghazali membahaskan tentang ilmu. Antara perkara penting yang dicatatnya:

“Orang yang mempunyai ilmu tauhid ini adalah yang paling utama antara ulama.”

.“Oleh itu ulama ilmu tauhid secara umumnya ialah nabi-nabi. Selepas mereka barulah ulama yang menjadi waris para nabi.”

“Ahli-ahli tasawuf lebih kuat berpegang pada ruh dan kalbu, daripada berpegang pada peribadi. Oleh kerana ruh itu adalah urusan Allah Taala, maka kewujudan ruh di dalam badan (fizikal kita ini) adalah sebagai ‘orang asing’. Mukanya mengarah kepada asalnya dan tempat datangnya. Ia (ruh) dapat mengambil faedah-faedah daripada pihak asalnya (Tuhan) lebih banyak daripada apa yang ia dapat daripada pihak peribadinya apabila ruh itu kuat dan tidak dikotori oleh kekotoran-kekotoran tabiat.”


PEMBAHAGIAN ILMU MENURUT AR-RISALAH AL-LADUNIYYAH

Menurut Al-Ghazali, ilmu terbahagi kepada dua:

1. Ilmu syar’i

2. Ilmu aqli


ILMU SYAR’I terbahagi kepada dua:

1.1 Ilmu usul

1.2 Ilmu furu’


Ilmu usul pula terbahagi kepada tiga:

1.1.1 Ilmu tauhid

1.1.2 Ilmu tafsir

1.1.3 Ilmu akhbar (hadith)


Ilmu furu’ ada tiga hak:

1.2.1 Hak Allah Taala – iaitu ibadah kita.

1.2.2 Hak hamba – iaitu mu’ammalah dan mu’aqidah (kedua-duanya dinamakan ilmu fiqh)

1.2.3 Hak jiwa – iaitu ilmu akhlak


ILMU AQLI ada tiga:

2.1 Ilmu matematik, falak, geografi, muzik, logik.

2.2 Ilmu tabii, kedoktoran.

2.3 Ilmu yang membicarakan tentang malaikat, syaitan, mukjizat, karamah, mimpi.


CARA-CARA MENDAPATKAN ILMU MENURUT AR-RISALAH AL-LADUNIYYAH

Menusia memperolehi ilmu melalui dua cara:

1. Pengajian Insani

2. Pengajian Rabbani


Pengajian Insani ada dua bahagian:

1.1 Ilmu dari luar masuk ke dalam diri kita. Contohnya mendengar guru mengajar, membaca buku, menonton video dan sebagainya.

1.2 Ilmu datang dari dalam diri kita, iaitu dengan cara kita berfikir.


Pengajian Rabbani juga ada dua bahagian:

2.1 Ilmu yang kita ketahui melalui wahyu, iaitu ilmu nabawi.

2.2 Ilmu yang kita ketahui melalui ilham, iaitu ilmu laduni.

Sebahagian manusia yang jahil menolak Pengajian Rabbani jenis kedua, iaitu ilmu laduni.


Kata Al-Ghazali : “Ilmu laduni ialah ilmu yang tidak ada perantaraan dalam mendapatkannya antara jiwa dengan Allah Taala.”

“Ilham adalah lemah jika dibandingkan dengan wahyu, tetapi (ia lebih) kuat jika dibandingkan dengan mimpi-mimpi.”

“Ilmu wahyu hanya khusus untuk para rasul (dan para nabi).”

“Ilmu laduni ialah untuk ahli kenabian dan kewalian, sebagaimana yang terjadi pada Nabi Khidhir as.”

“Berkata Amirul Mu’minin Ali bin Abi Talib dalam menceritakan tentang kitab (Taurat) Musa, bahawa syarah kitabnya ini dapat dibawa oleh 40 ekor unta. (Namun) Katanya (lagi): “Kalau dizinkan Allah (untuk aku mesyarahkan) makna-makna surah al-Fatihah (sahaja pun), nescaya aku dapat melaksanakannya hingga sebanyak itu juga.” Maksudnya (sebanyak) 40 bebanan unta.”

MasyaAllah... hebatnya Saiyidina Ali! Jika dia diberi peluang mensyarahkan surah Al-Fatihah sahaja, kitab syarahnya boleh dimuatkan di atas 40 ekor unta. Bagaimanalah agaknya jika dia berpeluang mensyarahkan keseluruhan Al-Quran? ...

Kata Al-Ghazali lagi : “... orang-orang yang sampai ke tingkat ilmu laduni tidak memerlukan penumpahan tenaga yang banyak untuk mendapatkan ilmu dan tidak penat dalam pengajian. Mereka belajar sedikit, dan tahunya banyak. Berpenat sedikit, berisitirehat banyak.”

(Selepas berkahirnya zaman para rasul dan nabi) Oleh itu, Allah mengunci pintu wahyu dan membuka pintu ilham, sebagai rahmat.”


Cara-cara mencapai ilmu laduni menurut Imam al-Ghazali :

1. Mempelajari semua ilmu, dan mengambil sebahagian yang lebih besar daripada kebanyakannya. Maksudnya menguasai sebahagian besar daripada setiap satu ilmu itu.

2. Latihan yang benar dan muraqabah yang betul.

3. Banyak berfikir.

Jika ketiga-tiganya diamalkan, peluang untuk mencapai ilmu laduni memang ada.

Tamat ringkasan isi kandungan Ar-Risalah Al-Laduniyyah.


KITAB MISYKATUL ANWAR umumnya menyentuh soal-soal keTuhanan peringkat tinggi, iaitu persoalan hakikat sebagaimana hidangan kitab Kasyful Asrar (karya Syeikh Muhammad Soleh al-Minangkabawi) dan kitab Durrun Nafis (karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari) di alam Nusantara ini.

Kitab ini sebenarnya merupakan tafsir kepada Surah An-Nuur ayat 35-36. Imam al-Ghazali mentafsirkan ayat-ayat tersebut atas permintaan orang-orang yang memintanya membuka SEDIKIT rahsia keTuhanan. Tidaklah saya menghuraikan panjang lebar tentang kitab Misykatul Anwar dan kitab-kitab lain yang dimuatkan dalam Syarah Syarah Ihya’ ini, kerana maksud utama kita hanyalah untuk mensyarahkan lagi Syarah Ihya’ ‘Ulumiddin, bukannya untuk mensyarahkan kitab-kitab lain. Itu sahaja.

Saya membentangkan sedikit sinopsis kitab-kitab tersebut (Al-Munqiz min Adh-Dhalal, Ar-Risalah al-Laduniyyah, Misykatul Anwar, Kimia’ as-Sa’adah dan Minhaj al-‘Abidin) sekadar untuk memberi gambaran umum tentang isi sebahagian karya al-Ghazali yang pernah saya selami. Apatah lagi isi kitab Misykatul Anwar ini banyak membahaskan ilmu hakikat yang sukar untuk difahami oleh kebanyakan orang. Mengajarnya perlu lambat-lambat dan satu-satu agar tidak keliru. InsyaAllah kitab-kitab itu akan disyarahkan pada kesempatan yang lain, jika dipanjangkan umur.

Satu perkara yang kita patut tahu, isi kitab Misykatul Anwar ini sebaiknya dihidangkan kepada mereka YANG BERHAJAT UNTUK MENGETAHUINYA SAHAJA. Mengapa saya berkata begitu? Penjelasannya ada dalam perkataan tuan imam sendiri:

“Demikianlah permintaan saudara (agar aku menulis kitab Misykatul Anwar ini). Tetapi dengan permintaan itu (sebenarnya) saudara telah bercita-cita hendak memanjat ke tempat yang tinggi, yang sukar didaki. Tinggi sekali, hinggakan tidak terdaya oleh manusia biasa. Saudara telah mengetuk pintu yang terkunci, YANG HANYA AKAN DIBUKA KEPADA MEREKA YANG MENGETAHUI DAN MENGENAL DENGAN SEBENARNYA DAN TETAP KEYAKINANNYA. Tambahan pula, BUKAN SETIAP RAHSIA ITU AKAN DIBENTANG ATAU DIPAMERKAN kerana:

“Hati-hati yang mulia itu menutup rahsia-rahsia seperti liang lahat.”

Aataupun sebagaimana kata orang arif:

“Membuka rahsia keTuhanan itu adalah seperti menafikan Tuhan.”

“(Kata Al-Ghazali) Jika rahsia itu dikeluarkan, hanya ORANG-ORANG JAHIL SAHAJA YANG AKAN MENAFIKANNYA (menolaknya). Walau bagaimana ramaipun orang-orang jahil itu, rahsia-rahsia itu mestilah dipelihara dan jangan dibiarkan ia dinodai oleh orang-orang yang berdusta.”

Menurut tuan imam, ilmu yang bakal dihidangkannya ini adalah sangat ‘tinggi’. Ia hanya diajarkan kepada orang-orang yang dikira sudah layak untuk menanggungnya. Dalam agama memang ada ilmu-ilmu tertentu yang dirahsiakan. Ia dirahsiakan atas sebab-sebab yang munasabah. Hal ini bukan bermaksud kita sengaja tidak mahu menyebarkan ilmu-ilmu agama, tetapi atas kemaslahatan tertentu. Dalam kehidupan seharian kita pun, kita tidak mengajarkan ilmu fizik, ilmu membunuh musuh, ilmu hubungan lelaki wanita yang sudah berkahwin, ilmu mentadbir negara, ilmu perdagangan antarabangsa dan lain-lain kepada kanak-kanak, kerana belum sampai pemahaman dan keperluan mereka terhadapnya.

Tapi, mengapa Imam al-Ghazali menyiapkan juga buku ini walaupun dia tahu akan kewujudan risiko? Kita hayati kata-katanya:

“Tetapi saya percaya, hati saudara (orang-orang yang membuat permintaan itu) sudah dibuka oleh cahaya itu, dan kesedaran saudara sudah bersih daripada kegelapan jahil (maksudnya mereka ini sudah beres asas-asas agama). Oleh itu, saya tidak teragak-agak membawa saudara menuju hakikat yang mulia dan suci itu, kerana KESALAHAN MENYEMBUNYIKAN ILMU DARI ORANG-ORANG YANG MENGHENDAKINYA adalah sama dengan KESALAHAN MENGELUARKAN ILMU KEPADA ORANG-ORANG YANG MENSIA-SIAKANNYA. Seperti kata penyair : “Orang yang memberi ilmu kepada si bodoh, akan hilanglah ilmu itu. Orang yang MENAHAN ILMU DARI ORANG YANG MEMERLUKANNYA, ADALAH MEMBUAT DOSA.”

Kitab ini disiapkannya juga kerana ada orang yang berhajat dan layak untuk mengetahuinya. Di samping itu tuan imam juga tidak mahu terlibat dengan dosa tidak menyampaiakn ilmu kepada ornag-orang yang sudah layak mempelajarinya. Jelaslah sudah, sememangnya ilmu dalam kitab Misykatul Anwar ini, sebaiknya disampaikan kepada mereka yang menghendakinya/berhajat sahaja.


Tafsiran ayat-ayat daripada surah An-Nuur ini sedikit-sebanyak melegakan rindu kita kepada Tafsir Al-Ghazali sebanyak 40 jilid yang hilang itu. Ayat-ayat dalam Surah An-Nuur yang ditafsirkan oleh tuan imam kita ialah:

“Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya seperti sebuah misykaat (lubang yang tidak tembus) yang di dalamnya ada pelita besar, pelita itu di dalam tabung kaca, tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan, yang dinyalakan (dengan minyak) dari pohon yang diberkati (iaitu) pohon zaitun yang tidak di timur dan tidak barat, yang minyaknya hampir-hampir menyala, walaupun tidak disentuh api, cahaya di atas cahaya.” (An-Nuur : 35)

“Atau (perbuatan orang-orang kafir itu) seperti kegelapan di laut yang dalam, (lautan) yang berombak dan dilapisi pula dengan ombak, di atasnya (ada) awan gelap, (itulah halnya) kegelapan atas kegelapan. Apabila dihulurkan tangannya, tidaklah kelihatan tangan itu. Barangsiapa yang tidak diberi cahaya oleh Allah, maka tidaklah ada cahaya baginya.” (An-Nuur : 40)

Bayangkan, huraian dua ayat ini sahaja pun sudah menghasilkan sebuah kitab. Memang padanlah Tafsir Al-Ghazali mencapai 40 jilid.

Imam al-Ghazali kemukakan persoalan:

“Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan perbandingan atau qias antara CAHAYA, dan MISYKAT, dan KACA, dan LAMPU, dan MINYAK, dan POKOK itu?”

Kita selalu membaca ayat ini, tetapi sehingga ke hari ini, fahamkah kita maksudnya? Tidakkah kita ingin mengetahui is kandungan ayat ini? Daripada mana datangnya pengetahuan Imam al-Ghazali tentang perkara-perkara ini hinggakan mampu disyarahkannya menjadi sebuah kitab, sedangkan ayat-ayat ini sangat sukar untuk difahami maksudnya?

Di sinilah PERANAN ILMU LADUNI sebagaimana yang dinyatakan oleh imam dalam kitabnya Ar-Risalah Al-Laduniyyah yang sudah kita sinopsiskan sebelum ini. Tanpa ilham terus daripada Tuhan, manakan mungkin kita dapat mensyarahkan ayat ini dengan sebegitu terperinci.


Kita ambil beberapa petikan menarik daripada kitab ini:

“Cahaya hakiki (sebenar-benar cahaya) ialah Allah. Selain daripada itu (iaitu makhluk), nama ‘cahaya’ hanyalah perumpamaan sahaja, dan tidak membawa maksud yang sebenar.”

“Bahawa Allahlah cahaya paling tinggi dan terakhir....... maka disedarilah bahawa Allah sahajalah cahaya yang hakiki, dan yang lain (iaitu makhluk) tidak mempunyai apa-apa cahaya.”

Untuk memahami sedikit tentang hal ini, saya datangkan contoh. Pada suatu malam, anda sedang berada di dalam rumah yang gelap, tidak ada sebarang lampu dinyalakan. Namun anda melihat cahaya di sebahagian dinding ruang tamu. Anda pun mengatakan : “Dinding ruang tamu itu cantik bercahaya.”

Dari mana datangnya cahaya di dinding ruang tamu itu? Rupa-rupanya dari sebuah cermin berhampiran tingkap. Cermin itu bercahaya kerana sedang disinari cahaya alam dari luar rumah yang masuk melalui tingkap rumah anda yang terbuka. Anda pun mengatakan : “Cermin itu cantik bercahaya.”

Kemudian dari tingkap yang terbuka itu, anda melemparkan pandangan ke arah luar rumah. Kelihatan alam sekeliling begitu cantik dilimpahi cahaya bulan purnama. Anda pun mengatakan : “Bumi ini cantik bercahaya.”

Bagaimana bumi boleh terang bercahaya pada waktu malam? Kerana disuluh oleh cahaya bulan. Maka anda mendongak pula melihat bulan purnama di langit. Memang cantik bersinar, begitu indah sekali. Anda pun mengatakan : “Bulan itu cantik bercahaya.”

Sungguhpun begitu, berdasarkan ilmu tentang alam yang anda pelajari, anda sedia maklum bahawa bulan tidak memiliki cahaya sendiri. Dari mana datangnya cahaya pada bulan? Tentunya daripada matahari, sekalipun anda tidak nampak matahari pada malam itu. Mataharilah yang sebenar-benarnya mempunyai cahaya. Bulan hanya membalikkan cahaya yang diterimanya daripada matahari lalu tersimbah cahaya itu ke bumi.


Baiklah. Ada beberapa benda yang bercahaya dalam tamsilan di atas iaitu:

1. Sebahagian dinding ruang tamu

2. Cermin berhampiran tingkap.

3. Alam di luar rumah.

4. Bulan.

5. Matahari.

Semuanya kita katakan bercahaya. Tapi....... yang mana yang sebenar-benarnya (hakikinya) mempunyai cahaya? Dinding? Ia tidak ada cahaya, ia hanya meminjam cahaya dari cermin. Cermin? Ia juga tidak ada cahaya, ia hanya meminjam cahaya dari luar rumah. Luar rumah? Juga tidak ada cahaya sendiri, ia meminjam cahaya dari bulan. Bulan? Bulan sendiri meminjam cahaya daripada matahari. Matahari? Ya, mataharilah yang mempunyai cahaya sendiri, ia tidak meminjam daripada mana-mana pihak.

Begitu jugalah dengan cahaya Allah. Alam makhluk yang dipenuhi cahaya zahir (cahaya alam seperti suasana terang) dan cahaya batin (cahaya mata hati akal seperti faham, berakal, cerdas dan lain-lain) ini sebenarnya langsung tidak punya sebarang cahaya. Yang sebenar-benar cahaya ialah Allah SWT. Sebab itu Al-Quran mengatakan “Allah cahaya langit dan bumi.”

Samalah halnya dengan cantik. Kita katakan rumah cantik, alam cantik, manusia cantik, hati cantik, budi cantik dan sebagainya cantik, tapi pada hakikatnya kesemua itu (seluruh alam makhluk) ini tidak ada cantiknya. Mengapa? Kerana yang sebenar-benar cantik hanyalah Allah SWT. Segala yang ada di alam makhluk ini yang kelihatan cantik itu sebenarnya hanya meminjam daripada Sumbernya iaitu Allah SWT.

Kerana mataharilah bulan kelihatan cantik. Kerana mataharilah alam kelihatan cantik. Kerana mataharilah cermin kelihatan cantik. Kerana mataharilah dinding kelihatan cantik. Semuanya kelihatan cantik kerana matahari. Ringkasnya, apa sahaja yang berlaku di dunia dan di seluruh alam makluk ini sebenarnya ‘KERANA ALLAH’. Nampak?

Dalam kes wujud pula. Kita katakan alam ini wujud, isi alam ini wujud, diri kita wujud, malaikat wujud, syurga neraka wujud dan seterusnya. Berdasarkan contoh dinding ruang tamu dan matahari tadi, anda sudah tentu boleh menjawab : “Siapa sebenarnya yang benar-benar wujud? Yang punya wujud hakiki?”

Sudah ada jawapannya? Belum? Renungilah kalam tuan kitab kita:

“Oleh itu, Wujud Hakiki ialah Allah SWT, dan Cahaya Hakiki ialah Allah SWT juga.”

“Apa sahaja selain Allah, apabila dipandang dari segi dirinya, adalah pada HAKIKATNYA tidak wujud. Wujud yang ada pada sesuatu selain Allah itu adalah semata-mata pemberian Allah jua. Allah yang memberikan makhluk itu wujud. Wujud makhluk itu bergantung kepada Wujud Allah. Oleh yang demikian, Wujud Allah itulah yang sebenar-benarnya Wujud.”

“Tiap-tiap sesuatu itu ada dua wajah. Wajahnya dan Wajah Allah. Wajahnya itu tidak ada apa-apa, tetapi Wajah Allah itulah yang sebenarnya Wujud. Dengan itu, tidak ada Yang Wujud kecuali Allah.”

Sekiranya anda dikurniakan Tuhan pemahaman akan contoh-contoh ringkas di atas, dan selepas itu anda mengaktifkan fikiran, insyaAllah anda akan mendapat jawapan kepada banyak perkara yang penting lagi menarik, yang selama ini anda kurang peduli ataupun anda gagal memahaminya. Namun jika anda masih gagal memahaminya, tidak mengapa, bersabar dahulu, kerana kata Imam al-Ghazali:

“Bagi setiap ilmu ada ahlinya, dan setiap orang dimudahkan (Allah) untuk mendapatkan apa yang diperuntukkan kepadanya.”


Menurut Al-Ghazali, ada dua jenis mata yang boleh digunakan untuk menyaksikan cahaya, iaitu mata kepala dan mata hati (akal).

Mata kepala sangat terbatas kebolehannya. Ia tidak mampu melihat sesuatu yang jauh ataupun sesuatu yang terlalu dekat. Tetapi bagi mata hati (akal): “... tidak ada bezanya antara dekat dan jauh. Dalam sekelip mata akal dapat naik ke langit yang paling tinggi, sekelip mata juga ia turun ke perut bumi.”

“Mata (di kepala) itu sebenarnya gelap. Penglihatan adalah semata-mata salah satu daripada alat pengintip bagi akal. Akal memberi mata satu tugas untuk melihat perkara yang kasar iaitu warna dan bentuk. Akal menyuruh mata membawa laporan tentang warna dan bentuk tadi kepada Tuhannya, yang akan menghakimkan menurut arahan penelitian dan pertimbangan akal itu.”

“Mata (di kepala) nampak benda yang besar itu kecil. Ia melihat matahari sebesar mangkuk dan bintang sebesar duit syiling yang bertaburan di atas permaidani biru. Tetapi akal (mata hati) mengetahui bahawa matahari dan bintang itu besar, bahkan lebih besar daripada bumi.”

Jelaslah sudah kepada kita bahawa mata hati itu lebih penting dan lebih berperanan berbanding mata kepala.

Untuk mata kepala melihat, mestilah ada sumber cahayanya iaitu matahari. Bagi mata hati pula, dari manakah sumber cahayanya? Apa yang menjadi matahari kepada mata hati/ akal? Tidak lain ialah Al-Quran.

Kata Al-Ghazali: “Oleh yang demikian, ayat-ayat Al-Quran itu kepada akal (mata hati) ibarat matahari bagi mata kepala. Dengan adanya cahaya matahari, perbuatan melihat dapat dilaksanakan. Oleh itu Al-Quran itulah yang paling layak dinamakan ‘CAHAYA’, seperti cahaya matahari itu digelar cahaya juga.”

“Setiap mata itu (mata kepala dan mata hati) mempunyai matahari dan cahaya masing-masing, supaya dapat melihat dengan sempurna.”

Saya lihat perkataan-perkataan Imam al-Ghazali ini ada persamaan dengan ajaran Syeikh Ibnu ‘Atoillah dalam kitab Hikam susunannya, seperti katanya: “Cahaya adalah tentera hati, samalah seperti kegelapan adalah tentera nafsu.”

Kata Ibnu ‘Atoillah lagi : “Allah menerangi alam dengan cahaya ciptaan-Nya, dan Dia menyinari rahsia hati dengan cahaya sifat-sifatNya. Kerana itu cahaya yang menerangi alam boleh lenyap, sedangkan cahaya hati dan rahsia batin tidak akan pudar. Sebab itulah ada ungkapan : “Sesungguhnya MATAHARI SIANG akan tenggelam kala malam, sedangkan MATAHARI HATI tak akan tenggelam.”


Menurut Imam al-Ghazali, orang-orang yang TERFANA itu ialah : “Mereka mabuk (tidak ingat apa-apa/ hilang kewarasan sebentar) dalam suasana yang di dalamnya akal (mata hati) mereka sendiri pun lenyap, hinggakan ada yang berkata (terlatah/ tersebut) :

“Ana al-Haq.”

“Maha Suci Aku.”

“Alangkah Agungnya Aku.”

“Dalam baju(ku) ini tidak ada yang lain kecuali Allah.”

“Tetapi perkataan orang-orang yang mencintai Allah dalam mabuknya ini mestilah disembunyikan dan jangan dihebahkan. Apabila mereka keluar daripada mabuk itu, mereka pun kembali semula kepada akal mereka, dan akal inilah neraca Allah di muka bumi ini.”

Sebab itulah ada guru-guru zaman dahulu yang mengurung sebentar murid-murid mereka yang sedang mabuk fana ini. Apabila mabuknya sudah hilang, barulah dibebaskan bergaul dengan manusia lain.

Jika anda berpeluang, dengarkan lagu saya yang bertajuk ‘Terfana’ di Youtube. Hayati liriknya. Ia mengisahkan hal ehwal fana.




TERFANA

Terfana diriku
di dalam cahaya-Mu
Terkelu lidahku
menyaksikan

Di dalam zikirku
terubat rasa rindu
Munajatku
kerana-Mu

Allah Maha Kaya
Sebenar Penguasa
Engkau yang kucinta
Yang kudamba

Ilmu yaqin mula
Ainul yaqin kedua
Haqqul yaqin
Kemuncaknya

Binasakan mazmumah
Isikan mahmudah
Tajalli kan datang
Asyiknya

Af'al, Asma' dan Sifat
beserta ZatNya
aku tauhidkan
Ilahku


Lagu : Abu Zulfiqar Amsyari
Lirik : Abu Zulfiqar Amsyari


Ada orang-orang yang mempelajari ilmu hakikat, sampai pada suatu peringkat mereka mula menolak syariat. Mereka meninggalkan solat dan puasa serta melakukan perkara-perkara yang diharamkan Allah. Pelbagai alasan diberi untuk meluluskan nafsu serakah mereka. Untuk golongan ini, Imam al-Ghazali mengatakan:

“Orang yang meninggalkan syariat itu sebenarnya sudah silap, dan hal ini ada berlaku kepada beberapa orang yang menganggap dirinya sufi, yang mengatakan dibolehkan membuang syariat seperti menggulung tikar sahaja. Sehingga ada yang mengatakan solat itu tidak perlu lagi kerana dia sentiasa bersolat dalam hatinya.”

Kepada mereka yang berasa cukup dan berpuas hati beriman dengan AKAL sahaja, Al-Ghazali mengatakan:

“Oleh itu, ingatlah wahai orang-orang yang hanya berhenti dan berpuas hati dengan akal fikiran sahaja. Tidakkah ada peringkat yang lebih tinggi lagi daripada peringkat akal, yang (dengan perkara itu) boleh melihat apa yang terlihat di dalam bidang akal? Sebagaimana juga bidang akal itu lebih tinggi daripada bidang deria, dan (akal itu) dapat melihat apa yang tidak terlihat oleh deria? Tidakkah ada yang lebih tinggi lagi daripada akal itu? Berhati-hatilah, jangan berhenti setakat itu sahaja dan menyangka (sudah) sempurna.”

Banyak lagi pembicaraan kitab Misykatul Anwar ini, namun untuk kali ini rasanya biarlah setakat ini sahaja dulu sebagai sinopsisnya.



... fail audio ke-2 ini sangat panjang syarahnya, terpaksa dipecahkan kepada 2A, 2B dan 2C. Anda sedang membaca bahagain 2B. Bahagian 2C akan sedang diusahakan.

Kuliah2 yg Dimanfaatkan Sepanjang Pertengahan Mac 2011

1. Perihal Yakjuj Makjuj - 445 hits (keseluruhannya 32,939 hits)
2. Sejarah Yahudi & Bani Israil - 306 hits (keseluruhannya 11,806 hits)
3. Sejarah Nabi Yusuf - 292 hits (keseluruhannya 6,177 hits)
4. 1 Lelaki 50 Wanita - 273 hits (keseluruhannya 5,253 hits)
5. Kisah Nabi Khidhir dengan Nabi Musa - 249 hits (keseluruhannya 6,834 hits)

6. Syarah Kifaayatul Muhtaaj (bah. 1) -229 hits (keseluruhannya 3,956 hits)
7. Nabi Khidhir Masih Hidup? - 216 hits (keseluruhannya 9,345 hits)
8. Zulqarnain vs Cyrus/ Korsh - 205 hits (keseluruhannya 7,079 hits)
9. Syarah Ihya' 'Ulumiddin (bah.1) - 150 hits (keseluruhannya 237 hits)
10. Ilmu Tauhid Sifat 20 (lanjutan) - 127 hits (keseluruhannya 4,995 hits)

11. Hamba lahirkan Tuannya - 121 hits
12. Perang, Perang, Perang - 119 hits
13. Sejarah Nabi Isa - 106 hits
14. Jangan Ikut Iblis (Sejarah Iblis, Jin, Syaitan) - 102 hits
15. Wirid Pendinding Diri - 89 hits

16. Ilmu Tauhid Sifat 20 - 85 hits
17. Fitnah Dari Timur Madinah (Najd) - 83 hits
18. Syarah Kifaayatul Muhtaaj (bah. 77) - 80 hits
19. 2 Golongan Penghuni Neraka - 80 hits
20. Kisah Maryam Ibu Nabi Isa - 78 hits

21. Syarah Kifaayatul Muhtaaj (bah. 2) - 75 hits
22. Cara Mendidik Anak Jadi Soleh - 71 hits
23. Syarah Kifaayatul Muhtaaj (bah. 64) - 66 hits
24. Umat Islam Ikut yahudi & Nasrani - 64 hits
25. Syarah Munyatul Musolli (bah. 1) - 63 hits

26. Syarah Kifaayatul Muhtaaj (bah. 4) - 63 hits
27. Syarah Ihya' 'Ulumiddin (bah. 2) - 61 hits
28. Syarah Kifaayatul Muhtaaj (bah. 3) - 56 hits
29. Statistik Zina & Anak Luar Nikah - 56 hits
30. Kisah Tariq bin Ziyad - 53 hits


SIRI KULIAH (keseluruhannya)

1. 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman = 169,529 hits
2. Syarah Kitab Munyatul Musolli = 16,304 hits
3. Syarah Kitab Kimia as-Sa'adah = 2,717 hits
4. Syarah Kitab Kifaayatul Muhtaaj = 38,030 hits
5. Syarah Kitab Ihya' 'Ulumiddin = 726 hits

Keseluruhannya = 227, 306 hits

Wednesday, March 23, 2011

Syarah kepada Syarah Ihya Ulumiddin (fail 2A)



KALAM ABU ZULFIQAR:

Macamlah Imam al-Ghazali tadi. Namanya Muhammad. (Selain itu) Dia juga dikenali sebagai Ibnu Muhammad, sebab (nama) bapanya Muhammad. (Dia) Dikenali juga sebagai Abu Hamid, kerana anaknya bernama Hamid. (Jadilah) Tiga nama.


SYARAHNYA:

Imam al-Ghazali mempunyai empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan. Anak lelakinya yang bernama Hamid itu meninggal dunia ketika masih kecil. Nama ‘Hamid’, ‘Ahmad’ dan ‘Muhammad’ pada nama Imam al-Ghazali iaitu Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali semuanya berkaitan dengan ‘terpuji’.


KALAM ABU ZULFIQAR:

Mungkin tuan-tuan masih ingat lagi satu kisah dalam waktu perang, orang hendak menjaga khemah Nabi Muhammad. Masa itu sudah malam, jadi orang pun buat pengumuman: “Siapa hendak menjaga khemah Nabi Muhammad malam ini?”

Kita ambil satu (nama) contoh, orang itu namanya Sufyan.

“Saya!”

“Siapa itu?”

“Sufyan.”

“Ok Sufyan.”

“Orang kedua. Siapa hendak menjaga khemah Nabi Muhammad malam ini?”

“Saya!”

“Siapa dia itu?”

“Ibnu Halim.”

“Ok, Sufyan ada, Ibnu Halim pun ada.”

“Baik. Orang ketiga. Kita hendak tiga orang. Siapa lagi sukarela hendak menjaga khemah Nabi Muhammad?”

“Saya!”

“Siapa tu?” Malam... tak nampak.

“Abu Zulfiqar.”

“Ok, Abu Zulfiqar. Ok, datang sini ketiga-tiga orang. Sufyan pun (sila) datang. Ibnu Halim pun (sila) datang. Abu Zulfiqar pun (sila) datang.”

Apabila sampai di depan ketua, tengok-tengok seorang sahaja yang datang.

“Eh, tadi tiga orang. Ini kenapa seorang (sahaja)?”

“Kamu siapa?”

“Sayalah Sufyan.” Sebab namanya (memang) Sufyan.

“Habis, Ibnu Halim tadi siapa dia?”

“Saya le jugak, sebab bapa saya namanya Halim.”

“Abu Zulfiqar tadi?”

“Saya le jugak.”

“Kenapa?

“(Kerana) Anak saya nama Zulfiqar.”

Jadi ketiga-tiga itu nama dia. Sufyan pun nama dia, Ibnu Halim pun nama dia, Abu Zulfiqar pun nama dia.

“Mengapa apabila diminta, untuk ketiga-tiga kali kamu (seorang) yang menyahut?”

“Sebab saya nak ‘kampoi’ (monopoli) seorang. Saya seorang hendak menjaga Nabi Muhammad, hendak pahala lebih.” Punyalah (dia) sayang akan Nabi Muhammad. Jadi biasanya orang Arab ni (ada) tiga namalah.


SYARAHNYA:

Kisah sebenar ada dimuatkan oleh Maulana Muhammad Zakaria al-Kandhlawi dalam kitabnya Fadhail ‘Amal. Pada suatu malam menjelang peperangan, Rasulullah bersabda :

“Siapakah dalam kalangan kamu yang akan mengawal khemahku pada malam ini?”

“Aku ya Rasulullah!”

“Siapakah nama kamu?”

“Zakwan namaku.”

“Baiklah, ambillah tempat kamu.”

Orang itu pun duduk kembali. Suasana sekeliling gelap membuatkan Rasulullah tidak mengecam orang yang menyahut itu. Rasulullah perlukan tiga orang untuk berkawal secara bergilir-gilir.


“”Siapa lagi yang sukarela mahu mengawal khemahku pada malam ini?”

“Aku wahai Rasulullah!”

“Siapakah kamu ini?”

“Aku ialah Abu Saba (bapa kepada Saba).”

“Baiklah, silalah duduk di bawah.”


Nabi bertanya lagi:

“Siapakah yang akan jadi orang ketiga yang akan mengawal khemahku malam ini?”

“Aku ya Rasulullah!”

“Nama kamu?”

“Ibnu Abdil Qais (anak kepada Abdil Qais).”

“Baiklah, engkau juga duduk.”


Selepas itu, Rasulullah s.a.w meminta ketiga-tiga orang sukarelawan datang menemuinya, tetapi hanya seorang sahaja yang tampil.

“Mana lagi dua orang sahabatmu?”

“Wahai Pesuruh Allah, sesungguhnya akulah orangnya yang berdiri sebanyak tiga kali berturut-turut.”

Rasulullah mendoakan keberkatan ke atas Zakwan, dan sepanjang malam itu dialah yang berkawal ketiga-tiga shif.


KALAM ABU ZULFIQAR:

Selain daripada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini, ataupun ringkasannya kitab Bimbingan Mu’minin, pada saya ada beberapa kitab lagi sama ada yang (dalam) bahasa Arab, dan ada juga yang terjemahan. Salah satunya ialah kitab Al-Munqiz min ad-Dhalal, (yang maksudnya) Selamat daripada Sesat. Yang kedua, karangan Imam al-Ghazali... Al-Risalah al-Laduniyyah. Yang ketiga, Misykatul Anwar. Yang keempat, Kimia as-Sa’adah, (yang maksudnya) Kimia Kebahagiaan.

Kitab Kimia’ as-Sa’adah ini, kita ada sentuh sikit-sikit (suatu waktu) dahulu. Ada sebelas fail (syarahan saya di Youtube) kesemuanya, kita (memang) ada ajar sikit di sini, walaupun bukan keseluruhan.

Ini(lah) kitab-kitab yang ada dalam simpanan saya. Yang tidak ada dalam simpanan saya lagi banyaklah. Sebab Imam al-Ghazali ini, kata sesetengah pendapat, kitab-kitabnya hampir 100 buah. Kemudian orang kaji pula lagi, campur dengan yang hilang, orang kata ada 300 buah. Punya(lah) rajinnya (al-Ghazali) mengkaji.

Antara karya Imam Ghazali yang popular, yang lainnya:

1. Maqasid al-Falasifah.

2. Tahafut al-Falasifah.

3. Minhaj al-Abidin.

4. Tafsir Al-Ghazali. Imam Al-Ghazali ada membuat satu (kitab) tafsir Al-Quran. Kata orang, tafsirnya sampai 40 jilid dia mentafsirkan Al-Quran. Tapi sayangnya sewaktu orang-orang Monggol serang Baghdad, Baghdad habis musnah, kitab-kitab (yang ada di Baghdad) dibakar. Orang Monggol ini (umumnya) tidak ada Tuhan, dia bakar habis kitab-kitab itu semua. Jadi banyaklah karangan Imam al-Ghazali yang hilang. Rugilah kita, termasuklah (antara yang hilang itu ialah) Tafsir Quran Imam al-Ghazali.

5. Kemudian kitab Fadaih al-Batiniyyah wa al-Fadhail al-Mustaziriyyah.

6. Majalis al-Ghazaliyyah. Yang ini anak muridnya yang karang. Imam Ghazali bagi kuliah, disebabkan sedap sangat kuliahnya, suatu hari anak muridnya terfikir hendak salin apa yang dia cerita. Jadi anak muridnya ini pun susun balik kuliah Imam al-Ghazali ini, kemudian dia tunjuk kepada Imam Ghazali. “Tuan Imam, cuba ‘check’ betul tak apa yang Tuan Imam cakap dengan apa yang saya tulis.” Imam Ghazali sahkan, (lalu) dia (iaitu anak muridnya itu) buat satu kitab, namanya Majalis Ghazaliyyah.

7. Kemudian kitab Mizan al-Amal

8. Al-I’tisad fi al-I’tiqad.

9. Sirr al-‘Alamin

10. Al-Maa’rif al-‘Aqaliyyah.

11. Kitab al-Arba’in.

12. Jawahir al-Quran.

13. Ayyuhai Walad.

14. Hujjah al-Haqq.

15. Qisas al-Mustaqim

Dan banyak lagi kalau hendak disenaraikan.


Yang popular di negara kita ini, antaranya kitab:

1. Minhaj al-‘Abidin. Ramai tok-tok guru ajar kitab itu.

2. Dan juga ringkasan (Ihya’) inilah – Bimbingan Mu’minin, ramai orang ajar.

3. Dan juga kitab Ayyuhai Walad.

Yang lain-lain itu biasanya susah hendak jumpa orang ajar.


Jadi Imam Ghazali ini seorang yang hebat, sebab pada zaman dahulu hendak menulis susah (jika dibandingkan dengan hari ini). Hendak cari kertas susah, cari dakwat susah, cari pen pun susah. Bukan macam sekarang, tekan komputer, tulis. Laju saja. Sungguhpun dalam keadaan yang macam itu, Imam Ghazali boleh menulis ratusan kitab. Dengan mengajar lagi, dengan belajar lagi, dengan ibadahnya yang hebat lagi. Itu yang kita berasa hairan. Sebab itu orang kata Imam Ghazali ini pun salah seorang daripada wali-wali Allah juga.

Yang kita zaman sekarang ini, petik komputer sahaja boleh (terus) menulis, apa kitab pun kita tak buat, sebab kita tidak mampu. Imam Ghazali zaman dahulu buat ratusan kitab.


Apakah kitab-kitab ringkasan Ihya’ ‘Ulumiddin yang popular di rantau Nusantara ini? Di Alam Melayu ini ada kitab-kitab ringkasannya.

1. Salah satu yang popular, kitab Bimbingan Mu’minin.

2. Kemudian kitab Bidayatul Hidayah.

3. Yang ketiganya kitab Hidayah as-Salikin yang disusun oleh Syeikh Abdus Samad Falimbani, orang Palembang. Kitab Hidayatus Salikin ini (merupakan) huraian kepada kitab Bidayatul Hidayah, karangan Imam al-Ghazali.

4. Yang keempatnya kitab Sairus Salikin karya Syeikh Abdus Samad Falimbani juga.

Ini semua ada kait-mengait dengan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.

Susah hendak mencari orang yang mengajar kitab Ihya’ ‘Ulumiddin terus. Biasanya mereka mengajarkan ringkasannya.


SYARAHNYA:

Kitab Al-Munqiz min adh-Dhalal mengisahkan perjalanan Imam al-Gazhali dalam mencari kepuasan dan kemuncak dalam beragama. Dia mengkaji dan memahami ilmu kalam, ilmu falsafah, ilmu kaum Batiniyyah dan lain-lain tapi akhirnya menamatkan pencariannya pada ilmu tasawuf.

Kata Imam al-Ghazali dalam kitab itu:

“Aku telah membuat kajian tentang akidah dan membongkarsegala rahsia-rahsia mazhab (aliran pemikiran) setiap kumpulan tadi, (tujuannya) untuk membezakan antara yang hak dan yang batil, serta mana yang bersesuaian dengan sunnah dan mana yang bid’ah.”

“Aku tidak meninggalkan seorang ahli kebatinan melainkan setelah aku menghalusi akan kebatinan itu. Dan aku tidak meninggalkan seorang ahli ilmu zahir melainkan aku telah mengetahui aspek kezahirannya. Dan aku tidak meninggalkan seorang ahli falsafah melainkan setelah aku mengetahui hakikatnya. Dan aku tidak meninggalkan seorang ahli kalam melainkan setelah aku berusaha untuk mempelajari tujuan percakapannya. Dan aku tidak meninggalkan seorang ahli sufi melainkan setelah aku mengetahui rahsia kesufiannya. Dan aku tidak meninggalkan seorang ahli ibadah melainkan setelah aku memerhatikan hasil ibadahnya. Dan aku tidak meninggalkan seorang atheis (tidak percaya kewujudan Tuhan) melainkan setelah aku mengekori di belakangnya tentang sebab-sebab kejatuhannya.”

Adakah Imam Ghazali membanggakan dirinya apabila membuat kenyataan sebegini? Tidak! Dia menceritakan sejauh mana pemahamannya tentang aliran-aliran yang dikajinya itu. Dia memang mahir dalam bidang yang dikajinya, maka memang padanlah kata-katanya ini dengan pemahamannya.

Kata Imam al-Ghazali lagi:

“Aku yakin seseorang itu tidak mengetahui kecacatan sesuatu ilmu melainkan setelah dia mengetahui kemuncak ilmu itu sendiri, sehinggakan dia menyamai orang yang paling mengetahui tentang asal-usul ilmu itu.”

Maksudnya Imam Ghazali menguasai peringkat tertinggi dalam setiap ilmu aliran-aliran yang dikajinya itu.


TENTANG AHLI-AHLI KALAM, Imam mengatakan:

“Aku bukanlah menidakkan pencapaian golongan itu, tetapi pencapaian (mereka) itu bercampur-aduk dengan taqlid dalam perkara-perkara yang tidak asasi.

Tentang ahli-ahli falsafah, Imam Ghazali membahagikan mereka kepada 3 kumpulan utama iaitu:

1. Golongan Dahriyyun

2. Golongan Tabi’iyyun

3. Golongan Ilahiyyun

Perkataan ‘falsafah’ berasal dari bahasa Yunani atau Greek iaitu ‘philo’ yang bermaksud ‘cinta’ dan ‘sophia’ yang bermaksud ‘kebijaksanaan/hikmah’. Jadi falsafah bermaksud ‘cinta akan kebijaksanaan/hikmah’. Pada mulanya istilah digunakan oleh seorang ahli falsafah terkenal bernama Phytagoras (570-574 Masihi).

Berbalik pada 3 golongan ahli falsafah tadi:

Golongan Dahriyyun ialah golongan zindik. Antara pegangan mereka ialah percaya bahawa alam ini jadi dengan sendirinya.

Golongan Tabi’iyyun ialah golongan zindik yang mengikut hawa nafsu seperti binatang. Antara pegangan mereka ialah manusia yang mati tidak akan hidup semula. Mereka menolak hari akhirat, syurga, neraka, mahsyar, kiamat, hisab, dosa dan pahala.

Golongan Ilahiyyun pula mempunyai ramai tokoh ternama seperti Socrates, Plato, Aristotle, Ibnu Sina (Avicenna) dan Al-Farabi/ Alpharabius (Guru Ibnu Sina). Golongan ini terpecah kepada dua puak yang saling bertelagah iaitu:

1. Golongan Dahriyyah

2. Golongan Tabi’iyyah

Kata Al-Ghazali:

“Kemudian Aristotle tidak menerima pendapat Plato dan Socrates.”

“Maka sewajarnyalah mereka itu dianggap kafir, dan juga mengkafirkan pengikut-pengikut mereka dalam kalangan ahli falsafah Islam seperti Ibnu Sina, Al-Farabi dan orang-orang seperti mereka. Tidak ada seorang pun yang paling banyak menceduk ilmu-ilmu Aristotle selain dari mereka ini.”

“Mereka menjadi kafir sebelum sampai kepada ilmu-ilmu keTuhanan.”

Menurut Al-Ghazali, 3 pegangan kaum falsafah (yang dipengaruh oleh fahaman Socrates, Plato dan Aristotle) yang wajib dikufurkan ialah:

1. Selepas mati, jasad tidak akan disatukan semula dengan ruh. Yang dibangkitkan hanyalah ruh. Nikmat syurga dan azab neraka hanya akan dirasai oleh ruh, bukannya oleh ruh dan jasad.

2. Tuhan tidak mengetahui semua perkara. TuHAn hanya tahu perkara-perkara umum (kulliyyat) sahaja tapi tidak tahu hal-hal yang kecil-kecil (juz’iyyat). Hal ini bererti Tuhan ada kelemahan. Mustahil Allah bersifat lemah walaupun sedikit.

3. Alam ini qadim. Maksudnya alam ini sudah sedia ada sejak azali. Asas kepada binaan alam ini sudah sedia ada bersama-sama Tuhan sejak azali.


Tentang Ibnu Sina yang diagung-agungkan oleh kebanyakan orang itu, Imam al-Ghazali menulis:

“(Tentang mereka yang beraliran falsafah Ibnu Sina dan Abi Nasr al-Farabi)) Namun begitu mereka tidak meninggalkan arak, melakukan berbagai-bagai kefasikan dan kekufuran. Apabila ada orang bertanya : “Kalaulah nabi itu tidak betul, mengapakah kamu mengerjakan solat?” Lantas dia menjawab : “Untuk latihan badan, ia menjadi kebiasaan pada orang ramai dan untuk menjaga harta dan anak-anak.”

Maksudnya ada orang dalam aliran ini yang menolak kenabian dan mengerjakan solat bukan kerana Allah.

“Kadang-kadang dia berpendapat : “Bahawa (sesungguhnya) syariat itu betul dan nabi itu benar.” Tetapi apabila ditanya : “Mengapa kamu minum arak?” Lantas ia menjawab : “Dilarang minum arak kerana takut perseteruan dan permusuhan. Namun aku dengan kebijaksanaanku dapat menghindarkan perkara tersebut. Di sebaliknya, aku bermaksud hendak mempertajamkan lagi fikiranku (dengan meminum arak itu).”

“Sehinggakan Ibnu Sina sendiri telah menulis wasiatnya, bahawa dia telah berjanji dengan Allah tentang perkara-perkara tersebut. Dia membesarkan hukum-hukum syara’, (dan) tidak mencuaikan ibadah-ibadah keagamaan. DIA MINUM ARAK sebagai ubat dan bukannya untuk berseronok-seronok. Bahkan semasa kemuncak keimanannya dan sentiasa beribadat, dia tetap meminum arak sebagai ubat.”

“Inilah keimanan orang yang mendakwa dirinya beriman sedangkan mereka telah ditipu oleh satu kumpulan.”

Jadi, jika kita mengimani pegangan Ibnu Sina, bolehlah kita minum arak asalkan kita boleh mengawal diri daripada membuat kerosakan. Arak juga boleh diminum untuk mencerdaskan fikiran menjelang peperiksaan dan sesuai dijadikan ubat.

Saya pernah mendengar cerita bahawa Ibnu Sina meninggal dunia dalam keadaan dirinya disarangi pelbagai jenis penyakit, padahal dia seorang Raja Tabib/Doktor. Saya tidak pasti kesahihan cerita ini, tapi sekiranya cerita ini benar, maksudnya ilmu-ilm Ibnu Sina tidak dizinkan Tuhan untuk bermanfaat buat dirinya sendiri. WaAllahua’lam.


Masalah kaum falsafah ini sangat panjang untuk dihuraikan dan agak berat untuk difahami. Oleh itu tidaklah saya mengisahkan hal ehwalnya di sini. Imam al-Ghazali sendiri ada menyusun kitab Maqasid al-Falasifah dan Tahafut al-Falasifah khusus untuk membahaskan perihal ilmu dan kaum falsafah.

Kitab Maqasid al-Falasifah berisi matlamat-matlamat fahaman kaum falsafah, manakala kitab Tahafut al-Falasifah pula berisi penolakan terhadap perkara-perkara yang salah dan yang lemah daripada pegangan ahli-ahli falsafah itu. Perkara yang baik daripada ilmu falsafah tidak pernah ditolak oleh Al-Ghazali.

Beberapa puluh tahun selepas zaman Imam Al-Ghazali, lahirlah seorang pendukung kaum falsafah di Andalusia (Sepanyol) iaitu tokoh yang bernama Ibnu Rusyhd (Averrous). Dia cuba mempertahankan golongan falsafah dan menolak pegangan Imam Ghazali. Antara usahanya ialah dengan mengarang sebuah kitab bertajuk ‘Tahafut al-Tahafut al-Falasifah’ untuk menolak hujah-hujah Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Tahafut al-Falasifah’. Namun akhirnya karya al-Ghazali tetap gagal ditenggelamkan oleh Ibnu Rusyhd kerana kebenaran dan kekukuhan hujah-hujah Hujatul Islam itu.


TENTANG DUNIA TASAWUF, Imam al-Ghazali banyak mengkaji buku Qutub al-Qulub (karya Abu Talib al-Makkiy), buku-buku al-Harith al-Mahasibiy, perkataan-perkataan Junaid la-Baghdadi, Asy-Syibli dan Abu Yazid Bustami. Kesemuanya ulama besar dunia tasawuf dan dipercayai bertaraf wali-wali Allah. Kata-katanya menggambarkan kenikmatan alam tasawuf sebagai:

“Alangkah banyaknya perbezaan setelah mengetahui sempadan antara rasa biasa dengan kenyang...”

“... aku berkeyakinan bahawa orang-orang sufi merupakan golongan yang mengikut jalan yang semata-mata menuju kepada Allah. Cara hidup mereka adalah sebaik-baik kehidupan dan jalan yang diikuti adalah jalan yang paling tepat, serta akhlak mereka adalah sebersih-bersih akhlak.”


Perkara lain yang disentuh dalam kitab al-Munqiz min adh-Dhalal ialah:

“Jahil tentang Allah sebagai racun yang membinasakan.”

“Ringkasnya para nabi merupakan doktor kepada penyakit-penyakit hati.”

“Orang yang kedua pula mendakwa dirinya alim dalam bidang tasawuf, menganggap bahawa dia telah mencapai taraf yang tidak perlu lagi beribadah.”

Al-Ghazali juga menyentuh sedikit ilmu hakikat dengan katanya: “Sesungguhnya bukan aku yang menggerakkan tetapi Dia yang menggerakkan aku. Bukan aku yang berusaha tetapi Dia yang memperalatkan aku.”

Tamat bicara tentang kitab Al-Munqiz min adh-Dhalal.