Wednesday, June 16, 2010

Berhijrah ke RFC (Radix Fried Chicken)

Baru dua kali saya dan keluarga berbelanja di Radix Fried Chicken (RFC). Kali pertama di RFC Alor Setar dan kemudiannya di RFC Sungai Petani. Secara peribadi, kami berpuas hati berbelanja di RFC berbanding di tempat lain yang 'sewaktu' dengannya walaupun jauh dari rumah kami di Trong, Perak.
RFC Alor Setar

Setahu saya (jika tersalah maklumat harap dibetulkan) ayam-ayam RFC dipelihara secara organik. Ia tidak disuntik dengan 'ubat cepat besar', maka dapatlah kita menikmati daging ayam sebenar, bukannya daging 'anak ayam' yang digemukkan. Entah sudah berapa ekor anak ayam yang kita makan sehari-hari...

Ayam-ayam ternakan Herba Penawar Al-Wahida (HPA) yang dibekalkan kepada RFC diberi makanan yang halal dan berkhasiat, diuruskan oleh orang Islam keseluruhannya, para pekerjanya dikehendaki berwudhuk dan disembelih secara 'manual' dengan tangan bukan dengan mesin.

Para pekerjanya berusaha menutup aurat dengan sempurna. Makanan dan minuman lain di RFC kesemuanya halal, diusahakan oleh orang Islam (iaitu anak buah HPA juga), tidak menyumbang kepada orang bukan Islam terutamanya musuh-musuh Islam baik dari segi kewangan mahupun populariti. Terasa cukup puas hati apabila wang kita tersalur ke tempat yang betul-betul untuk manfaat umat Islam keseluruhannya tanpa memberi apa-apa keuntungan kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Pandangan dari tingkat atas RFC Alor Setar

Pengasas HPA iaitu Tuan Haji Ismail punya satu prinsip yang luar biasa. Dia tidak pernah dan tidak akan membuat sebarang pinjaman bank untuk perniagaan HPA. Mungkin ramai yang belum tahu, HPA dalam berkira-kira untuk menubuhkan bank.

Khabarnya KFC (Kentucky Fired Chicken) USA melalui peguam yang dilantiknya pernah cuba menyaman RFC atas dasar warna merah yang menjadi tema RFC dikatakan menciplak warna tema KFC. Padahal warna merah kedua-duanya ada perbezaan. Untuk tidak memanjangkan masalah, HPA menukar warna RFC kepada jingga.

Sebenarnya ketika itu hanya baru ada satu RFC tetapi sudah berjaya menarik para pengunjung KFC. KFC yang ada berhampiran dipercayai mengalami kemerosotan pendapatan, memperolehi sekitar RM 7000 sahaja dalam sehari berbanding pendapatan harian RFC sebanyak RM 20,000 (ketika itu). Itulah cakap-cakap yang saya dengar. Wallahu'alam.

Dari segi menunya, lebih kurang sama dengan apa yang ada di restoran-restoran seumpamanya. Ayam gorengnya lebih rangup, cuma dari segi rasanya mungkin kalah sedikit. Kalah sedikit itu pun katanya kerana ayam goreng RFC tidak dilambakkan dengan perisa, dan berisi herba-herba yang baik untuk kesihatan pula. Pada saya, itu lebih baik.

Saya percaya RFC bakal jadi pilihan utama orang Islam di Malaysia kerana status halalnya yang begitu diyakini, menyumbang untuk agama dan umat Islam, serta tidak menyumbang kepada pihak-pihak yang menentang Islam. Bahkan kaum Cina juga tidka mustahil akan beralih ke RFC kerana umumnya kaum Cina mengambil berat soal kesihatan. Tentunya mereka suka akan ayam organik dan hidangan yang mempunyai nilai-nilai perubatan.

Mari berhijrah ke RFC : )


Abu Zulfiqar
16 JUN 2010





2 comments:

ibuKA said...

jauhnya tuan Alex pegi smpai ke kedah sana.
harap2 RFC dpt buka caw. sekitar lembah klang pulak.

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Lama aih tak berjumpa ibuKA di internet ni : )

Tu la... nak mencari yang halal dan menyumbang penuh untuk umat islam ni susah. Anak-anak teringin sangat nak makan KFC di Taiping, mahu tak mahu kena bawa diorang jauh ke Kedah untuk menikmati RFC di Alor Setar n Sungai Petani. Kalau nanti RFC buka di Ipoh, kena selalu le berulang ke sana : )

Sekurang-kurangnya, keinginan anak-anak nak masuk KFC tu berjaya dikekang. : )