Friday, June 25, 2010
Monday, June 21, 2010
Wednesday, June 16, 2010
Berhijrah ke RFC (Radix Fried Chicken)
Ayam-ayam ternakan Herba Penawar Al-Wahida (HPA) yang dibekalkan kepada RFC diberi makanan yang halal dan berkhasiat, diuruskan oleh orang Islam keseluruhannya, para pekerjanya dikehendaki berwudhuk dan disembelih secara 'manual' dengan tangan bukan dengan mesin.
Para pekerjanya berusaha menutup aurat dengan sempurna. Makanan dan minuman lain di RFC kesemuanya halal, diusahakan oleh orang Islam (iaitu anak buah HPA juga), tidak menyumbang kepada orang bukan Islam terutamanya musuh-musuh Islam baik dari segi kewangan mahupun populariti. Terasa cukup puas hati apabila wang kita tersalur ke tempat yang betul-betul untuk manfaat umat Islam keseluruhannya tanpa memberi apa-apa keuntungan kepada pihak yang tidak sepatutnya.
Khabarnya KFC (Kentucky Fired Chicken) USA melalui peguam yang dilantiknya pernah cuba menyaman RFC atas dasar warna merah yang menjadi tema RFC dikatakan menciplak warna tema KFC. Padahal warna merah kedua-duanya ada perbezaan. Untuk tidak memanjangkan masalah, HPA menukar warna RFC kepada jingga.
Sebenarnya ketika itu hanya baru ada satu RFC tetapi sudah berjaya menarik para pengunjung KFC. KFC yang ada berhampiran dipercayai mengalami kemerosotan pendapatan, memperolehi sekitar RM 7000 sahaja dalam sehari berbanding pendapatan harian RFC sebanyak RM 20,000 (ketika itu). Itulah cakap-cakap yang saya dengar. Wallahu'alam.
Dari segi menunya, lebih kurang sama dengan apa yang ada di restoran-restoran seumpamanya. Ayam gorengnya lebih rangup, cuma dari segi rasanya mungkin kalah sedikit. Kalah sedikit itu pun katanya kerana ayam goreng RFC tidak dilambakkan dengan perisa, dan berisi herba-herba yang baik untuk kesihatan pula. Pada saya, itu lebih baik.
Saya percaya RFC bakal jadi pilihan utama orang Islam di Malaysia kerana status halalnya yang begitu diyakini, menyumbang untuk agama dan umat Islam, serta tidak menyumbang kepada pihak-pihak yang menentang Islam. Bahkan kaum Cina juga tidka mustahil akan beralih ke RFC kerana umumnya kaum Cina mengambil berat soal kesihatan. Tentunya mereka suka akan ayam organik dan hidangan yang mempunyai nilai-nilai perubatan.
Mari berhijrah ke RFC : )
Abu Zulfiqar
16 JUN 2010
Tuesday, June 15, 2010
Pengenalan Kuliah Kitab Kifaayatul Muhtaaj (Kisah Israk Mi'raj)
Kitab Kifaayatul Muhtaj karya Syeikh Daud al-Fatani mengisahkan peristiwa Israk Mi’raj secara terperinci dari awal hingga akhir. Usia kitab ini mungkin sudah 100-200 tahun tetapi sehingga kini masih menabur jasa kepada umat Islam khususnya di Nusantara ini. Insyaallah kini giliran kita pula untuk mengambil manfaat daripadanya.
Biasanya kita mendengar kupasan tentang peristiwa Israk Mi’raj ini setahun sekali. Apabila tiba bulan Rejab, sibuklah masjid-masjid dan surau-surau menganjurkan ceramah dan makan-makan bersempena mengenang peristiwa besar itu dalam usaha untuk mengambil iktibar daripadanya. Penceramah pun mengupas kisah tersebut dalam tempoh masa lebih kurang satu ke dua jam.
Dalam tempoh masa sesingkat itu, tidak banyak perkara yang sempat dihidangkan oleh penceramah. Penceramah akan menyentuh serba-sedikit mana-mana bahagian yang dirasakannya sesuai untuk dijamu kepada para pendengar. Kadang-kadang ceramah sempena Israk Mi’raj lebih banyak menyentuh hal ehwal politik. Hal ini menjadikan masyarakat kita umumnya tidak tahu banyak tentang peristiwa besar itu, bahkan berasa diri mereka jauh daripadanya. Padahal setiap hari kita mengerjakan ibadah solat dan bertahiyat di dalamnya, sedangkan ibadah solat dan tahiyat itu ada hubungan yang sangat erat dengan peristiwa Israk Mi’raj. Tidakkah kita berasa rugi apabila bersolat dan bertahiyat saban hari dalam keadaan tidak tahu peristiwa besar di sebaliknya? Bukankah ia dapat mengkhusyukkan lagi hati kita ketika melaksanakan ibadah solat?
Atas dasar itu isi kandungan kitab Kifaayatul Muhtaaj ini dihidangkan kembali ke tengah masyarakat. Tidak sekadar satu dua jam, mungkin puluhan jam diperlukan untuk mensyarahkan keseluruhan kitab ini. Alhamdulillah syukur,teknologi moden banyak membantu. Setiap kuliahnya dirakamkan dalam bentuk audio dan dimuatnaik ke internet. Ini membolehkan para pendengar mengulang-ulang isi kandungan kuliah seberapa kali yang mereka mahu. Tidaklah sekadar mendengar sekali sahaja di masjid/ surau, balik ke rumah tidak boleh diulangkaji lagi. Hasilnya, selang dua tiga hari, tinggallah 10-20 peratus sahaja isi kandungan kuliah di dalam minda.
Selain diberi kemudahan oleh Allah untuk mengulang dengar kuliah seberapa banyak kali yang disukai (supaya benar-benar faham dan tidak ketinggalan walau satu isi kandungan kuliah), pendengar juga boleh bersoal-jawab dengan pengkuliahnya di ruang maya internet. Mana-mana bahagian yang kurang difahami boleh diajukan kembali kepada pengkuliah. Jika ada kelapangan, insyaallah pengkuliah akan memberikan penjelasan lanjut. Kepada mereka yang tinggal berdekatan dengan pengkuliah, boleh bertanya secara bersua muka.
Biasanya jika kita mendengar sesebuah kuliah di masjid/ surau, balik ke rumah sudah tidak boleh mengulangkaji isi kuliah tadi. Untuk bersoal-jawab dengan pengkuliah, tidak ada cara kerana pengkuliah tinggal jauh dan tidak aktif di internet. Terpaksalah tunggu bulan hadapan pula untuk mengikuti kuliahnya. Jika kuliah itu berkaitan Israk Mikraj, mungkin tahun hadapan pulalah dapat bertemu dengan si pengkuliah. Itu pun kalau pihak masjid/ surau menjemput penceramah yang sama. Kalau tidak... habis begitu sahajalah.
Bagaimana pula jika kita ada terlepas sesuatu kuliah? Bulan pertama kita pergi. Bulan kedua kita pergi. Bulan ketiga kita ada urusan penting menyebabkan tidak dapat pergi. Bulan keempat kita pergi, tapi dalam keadaan sudah tertinggal banyak perkara dan termanggu-manggu. Di mana kita hendak dapatkan isi kandungan kuliah kali ketiga itu? Alamatnya, terlepaslah.
Oleh itu, sebagaimana kuliah pengajian kitab Munyatul Musolli, pengajian kitab Kifaayatul Muhtaaj ini akan diusahakan agar semua sirinya dapat dimuatnaik ke internet. Dengan cara ini, para pendengar tidak akan terlepas mana-mana sesi kuliah. Maka pemahaman dapat dimaksimakan. Jika diulang-ulang, akan bertambah mantap pula.
Dalam usaha menyelongkar emas permata daripada kitab tua ini, pengkuliah mengambil sandaran-sandaran lain sebagai pengukuh ataupun pengukur kepada isi kandungannya. Antaranya ialah hadis riwayat Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Baihaqi, pandangan para ulama, pandangan para sejarahwan, pandangan ahli-ahli kasyaf, pandangan dari sudut sains moden dan sebagainya. Kita cuba cari persamaan dan keserasian antara kesemuanya agar maklumat yang kita perolehi itu kukuh, ataupun sekurang-kurangnya boleh dipertimbangkan. Kita berusaha menapis apa yang salah dan apa yang lemah, yang mungkin ada dalam kitab ini. Itu pun sekiranya ada. Tidak mustahil juga keseluruhan kitab ini benar belaka. Biasalah, mana-mana kitab pun tidak terlepas daripada kritikan. Yang penting, apa yang benar kita ambil, yang tiada kepastian kita berkecuali, yang salah kita tolak. Jangan kita terus melulu menerima semua ataupun menolak semua.
Untuk itu, sama-samalah kita berdoa dan berusaha agar maksud kita untuk mengetahui keseluruhan kisah Israk dan Mi’raj dan isi kandungan kitab Kifaayatul Muhtaaj ini dipermudahkan oleh Allah SWT.
Abu Zulfiqar Amsyari
15 JUN 2010
* Taipkan "kifaayatul muhtaaj" di Youtube untuk mencari fail audionya.
Wednesday, June 9, 2010
Kembara ke Sidratul Muntaha 1-5 (kuliah bersiri)
Tuesday, June 8, 2010
Soal Jawab - Hendak Belajar Quran Tetapi Mahal
Assalamualaikum..
Semasa perbincangan, Ustaz ada mengatakan tempoh pembelajaran Iqra' mengambil masa 6 bulan. Ketika itu saya dan suami agak terkejut jugak (selama ni mmg tak tau tempoh belajar Iqra' sampai 6bulan) kerana memikirkan yuran bulanan yang perlu dibayar sepanjang 6 bulan di mana yuran bulanan RM300 (Untuk 2 orang : selasa & khamis - 8.00~9.30mlm). Sekiranya Iqra' 6 bulan, untuk khatam al-quran berapa lama pulak, semua tu terdetik di hati. Kami sangka ianya mengambil masa 3-4 bulan sehingga khatam.
PANDANGAN SAYA:
Wlksm Zuraidah Jamberi Zem,
Alhamdulillah syukur, Tuhan Maha Penyayang. Atas kasih sayangNya dia memilih saudari dan suami untuk berminat mempelajari al-Quran. Ramai lagi orang lain yang belum dipilih-Nya di luar sana. Tahniah saya ucapkan. Semoga niat dan usaha saudari dipermudahkan-Nya.
Saya menyokong fikiran saudari itu. Jika tidak sekarang, bila lagi kita hendak memulakannya kan? Tengah-tengah masih muda, badan sihat, fikiran masih "fresh" inilah waktunya yang sesuai untuk kita mulakan.
Tempoh 6 bulan untuk belajar iqra' rasanya tidak sesuai. Pengalaman saya mengajar iqra', orang yang bermula dari hampir-hampir zero pun, seminggu sekali, boleh dapat cepat. Lagi pun, iqra' ni biasanya orang ajar setakat iqra' 4 sahaja, kerana jika seseorang itu sudah boleh dapat iqra' 4, dia dah boleh dibawa baca Quran. Terus naik Quran, buat apa kita berlama-lama nak habiskan iqra' 5 dan 6, pelajarannya sama macam baca Quran dah pun. Lebih baik terus baca Quran.
Anak kecil saya pun, ustazah ajar di sekolah sampai iqra' 4, dah boleh slow-slow baca Quran. Jadi di rumah, saya ajar baca Quran terus.
Tentang bayaran tu, ustaz tu mengenakan puratanya satu sesi 1 1/2 jam lebih kurang RM 20 lah untuk seorang. Saudari mungkin tinggal di bandar, jadi "rate"nya mungkin begitu. Saya di kampung, biasanya orang ajar percuma ataupun dengan yuran yang kecil, ataupun ada pihak tertentu yang membayar si guru.
Untuk menjimatkan wang, boleh juga suami saudari sahaja yang belajar. Pelajaran iqra' 'ni tak susah, tak macam baca Quran. Selepas ustaz mengajar, minta suami saudari mengajar saudari pula. Saya yakin suami saudari mampu melakukannya. Dengan cara ini, dapatlah dikurangkan RM 150 sebulan. Suami saudari juga akan rasa gembira kerana dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai pendidik isteri. Selain itu, apabila kita belajar sesuatu dengan niat untuk mengajarkannya kepada orang lain, kita akan lebih mengingati pelajaran tersebut.
Tentang khatam Quran. Jika belajar dari muka ke muka, memang makan masa lama. Yang itu tidak saya nafikan.
Seandainya mahu jimat lagi, tak perlulah berguru sampai khatam. Sudah berguru dua tiga juzuk, selepas itu rasanya saudari dan suami sudah boleh baca sendiri. Hanya perlu teruskan/ istiqamah baca Quran setiap hari walaupun sedikit. Dah kita kurang mampu, kita buat sekadar yang termampu sahajalah. Tapi jika dapat sampai khatam, lagi bagus.
Sebagaimana saranan saya tadi, biar suami saudari sahaja yang belajar, biar sampai khatam. Dalam masa yang sama, minta dia ajar saudari pula. Insyaallah RM 150 sebulan selesa sikit untuk kita membayarnya berbanding RM 300.
Kerisauan saudari dan suami itu pada saya memang wajar kerana Tuhan memang suka orang yang merancang dan berhati-hati.
Saya doakan hajat saudari dan suami tercapai.
Wassalam.
8 JUN 2010
Soal Jawab - Nak Belajar Munyatul Musolli
Salam.
JAWAPAN
Wlksm Axxxx Rxxxxx.
Anda boleh mulakan di http://munyatulmusolli.blogspot.com/ tu. Di sebelah kanan laman itu ada sirinya mengikut urutan. Mulakan dari nombor 1 (Pengenalan- Syeikh Daud Fatoni) dan seterusnya.
Anda juga boleh ke laman Youtube di http://www.youtube.com/watch?v=8nElSwu8yfk&feature=PlayList&p=11ED8954AC10BBA5&playnext_from=PL&index=0&playnext=1 . Ikut nombornya bermula 1 hinggalah sekarang sudah 50 lebih.
Monday, June 7, 2010
Dendangan Rohku Malam Ini
Berjuang penuh dengan ranjau duri
Engkau kan disisih dicaci
Seringkali engkau bersedih hati
Namun itu baja penguat diri
Perjuangkan sunnah bukannya mudah
Engkaukan disanggah difitnah
Akhirnya engkau berseorang diri
Namun perjuanganmu jangan mati
Walaupun engkau hilang segalanya
Perjuangan tetap teruskan
Membela Allah dan Rasul-Nya
Sehingga kauhilang nyawa
Berjuang memang perit. Itulah fitrahnya. Para rasul dan nabi tidak terlepas daripada keperitannya. Seseorang nabi itu biasanya ditolak oleh kaumnya, oleh kaum keluarganya. Nabi Nuh ditolak kaumnya, ditolak anak isterinya. Nabi Ibrahim ditolak kaumnya. Nabi Musa ditolak kaumnya. Nabi Isa ditolak kaumnya. Nabi Muhammad sekalipun ditolak oleh kaum keluarganya.
Fitrah ini terus berjalan dan jatuh pada para wali, para ulama, para pendakwah, para pekerja di jalan Allah. Tidak sekadar disisih dalam perkumpulan-perkumpulan dan perhimpunan-perhimpunan, bahkan diperli, dihina, dicaci, dijadikan bahan ketawa... Semua sudah pernah dirasa. Ia jadi pengalaman yang bagus untuk dikenang-kenang dan diambil iktibar.
Apabila malam tiba... bersunyi-sunyian dengan Kekasih... ketika itulah air mata meluncur laju. Kesedihan demi kesedihan yang terkumpul di jiwa diadukan pada Allah. Jarang sekali mengadu pada makhluk, jika ada pun secara berkias-kias. Namun mengadu kepada Khalik sebenarnya merapatkan lagi hubungan kita dengan-Nya.
Banyak manusia tidak suka akan sunnah Rasulullah. Maka memperjuangkannya bukan satu tugas yang mudah. Manusia suka memilih-milih. Mana sunnah yang mendatangkan untung dan sedap pada dirinya, dia terima dan perjuangkan. Mana-mana sunnah Nabi yang dirasakan merugikan dan tidak sedap buat dirinya, ditolak ke tepi. Tidak kurang yang menentangnya pula... ya Allah...
Agama Islam itu syumul. Ia berada di sebalik segala sesuatu dalam kehidupan kita ini. Ia datang dalam satu pakej. Kita diperintahkan untuk menerima keseluruhan pakej itu 100%. Ia bukan untuk dipilih-pilih, diambil yang mana suka dibuang mana yang kita tak suka. Amalkan Islam secara keseluruhan, bukan secara pilih-pilih.
Jika kita perjuangkan dan pertahankan sunnah-sunnah ini, kita akan menerima sanggahan demi sanggahan. Pelbagai alasan dan hujah penolakan akan diberi supaya sunnah-sunnah ini diketepikan. Jika kita berkeras untuk memperjuang atau mempertahankannya, pihak-pihak yang menentang akan membikin fitnah pula. Yang tidak benar dikata benar, yang benar dikata tidak benar. Mereka akan mengolah cerita hinggakan akan kelihatanlah si pejuang sunnah itu berada pihak yang salah.
Sanggahan diterima, fitnah pun diterima. Akhirnya kita tinggal bersendirian. Hendak perjuangkan Islam? Agama? Sunnah? Tinggallah engkau seorang diri. Berjuanglah berseorangan. Inilah yang dirasai dan dilalui.
Agama Islam sebagai ad-din... semua berani sebut. Tapi apabila tiba masa untuk mempraktikkannya... ramai yang lari. Mengapa? Kerana budaya hidup Islam ini dirasakan sebagai penyekat kebebasan, perampas keseronokan, pengganggu keselesaan. Jelas... mereka tidak sabar menunggu hari kebebasan, hari keseronokan dan hari keselesaan di akhirat nanti. Padahal bukan lama lagi pun untuk kita ke sana. Apakah tiada kesabaran untuk menanti?
Kata Nabi, dunia ini ibarat penjara bagi orang-orang mukmin. Jadi... bersabarlah.
Tak mengapalah. Gagal jalan ini, kita cuba jalan yang lain. Gagal perjuangan besar, aku juangkan perkara yang kecil. Juang tetap juang! Rancang tetap rancang! Aku tidak akan mengalah. Sekalipun aku akan kehilangan segala-galanya yang pernah dan sedang kumiliki. Untuk Allah dan Rasul-Nya, semua sanggup kukorbankan (dengan izin-Nya)... insyaallah. Sehinggalah sampainya hari matiku, ketika datang bertamunya hamba Allah bernama Izrail. Mungkin hari ini, mungkin esok, mungkin tahun depan, 50 tahun lagi.... wallahualam.
Apa yang pasti, segala rancangan dan juangku pastinya untuk kebaikan. Aku tidak akan merancang untuk mendapatkan sesuatu yang tidak baik. Apa yang kurancang, semuanya yang boleh dicapai. Aku tidak akan merancang sesuatu yang tidak boleh dicapai. Allah sebagai saksiku.
Nampaknya... irama di atas akan lebih selalu bermain-main di bibirku... pada rohku...
Lagunya pada minit 3:02