Friday, February 19, 2010

Teks Kuliah Munyatul Musolli 5 - Tubuh Tanpa Kepala



“Bahawasanya sembahyang lima waktu itu tiang agama.”

Sembahyang lima waktu ini tiang agama. Bagaimana di negara Arab sana boleh datang cerita mengatakan sembahyang ini tiang agama? Padahal rumah orang-orang Arab pada zaman itu tiada tiang. Rumah zaman sekarang adalah. Zaman dulu, mereka susun batu-bata, tanah liat atau apa-apa jenis tanah dan dikeraskan. Rumah mereka berbentuk empat segi kotak, tidak ada bumbung macam rumah kita kerana tiada hujan. Atas rumah mereka leper sahaja. Boleh naik di atasnya duduk baca Quran pada waktu malam.

Jadi bagaimana orang Arab hendak faham cerita tentang tiang, sedangkan mereka tidak guna tiang? Sebenarnya mereka tengok khemah dan tiang khemah. Sembahyang ini macamlah tiang khemah. Kalau tiang utamanya tidak ada, khemah itu tidak boleh didirikan. Orang badwi dan orang-orang yang datang mengerjakan haji di Mekah, mereka gunakan khemah.

Agama Islam ini pun seperti itu juga. Jika ibadah sembahyang (tiang) kita tinggalkan, agama (khemah) tidak boleh kita dirikan. Nanti kita akan tengok tuan kitab ini mengatakan sesiapa yang tidak bersembahyang seolah-olah tidak ada agama.

“Bahawasnya sembahyang lima waktu itu tiang agama, dan yang terlebih besar kejadian rukun Islam yang lima perkara kemudian daripada mengucap dua kalimah syahadah.”

Rukun Islam lima perkara, yang paling besar ialah mengucap dua kalimah syahadah. Selepas mengucap, yang paling besar ialah sembahyang, menunjukkan kepentingan sembahyang.

“Dan tempatnya daripada agama seperti tempat kepala daripada tubuh.”

Ibadah sembahyang ini kalau dibandingkan dengan tubuh badan manusia, ia seumpama kepala.

“Dan tempatnya daripada agama seperti tempat kepala daripada tubuh. Maka seperti tiada hidup orang yang tiada kepala baginya.”

Apabila sudah tidak ada kepala, apa gunanya lagi? Tiada tangan, kita masih hidup lagi, ada guna. Tiada kaki, kita masih hidup lagi, ada guna. Tiada pinggang ke bawah pun ada orang hidup juga. Tapi jika tiada kepala, seseorang itu sudah tidak hidup, sudah tidak berguna.

Jadi ibadah sembahyang kepada agama seolah-olah kepala kepada badan. Apabila tiada sembahyang, maka tiadalah agama. Begitu ceritanya. Tiada kepala, manusia mati. Tiada sembahyang, tiada agama.

“Maka demikianlah, tiada agama bagi orang yang tiada sembahyang.”

Begitulah kata tuan kitab kita – Tuan Syeikh Daud Fatoni.

“Demikian telah datang beberapa hadis…”

Rasanya sekadar itu saja dulu, kita ulang sepintas lalu.

Pertama- tuan kitab kita menceritakan bahawa sembahyang ialah jalan orang-orang yang bertaqwa. Sesiapa yang mendirikan mendirikan sembahyang yang lengkap (yang fardhu), maka dia tidaklah termasuk dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. Itulah ruginya.

Yang kedua – ibadah sembahyang ini ialah penyejuk mata hati, penyejuk batin, penyejuk rohani Nabi Muhammad saw. Sepatutnya ibadah sembahyang ini juga menjadi penyejuk bagi diri kita. Sekiranya kita berasa sedap dalam sembahyang, maksudnya ‘penyejuk’lah. Tapi apabila sampai waktu sembahyang kita berasa rimas kerana kena sembahyang lagi, itu bukan penyejuk mata hati.

Yang ketiga – bagi orang-orang yang cinta akan Allah, ibadah sembahyang itu sendiri sudah jadi ‘syurga’ di dunia. Sehinggakan ada seorang wali Allah yang bermohon kepada Tuhan supaya dapat bersembahayang di dalam kubur (selepas matinya), doanya dimakbulkan. Punya seronok ibadah sembahyang.

Kemudian tuan kitab kita juga berpesan, yang beri kita faham isi kitab ini ialah Allah SWT.

No comments: