Sunday, January 31, 2010

Teks Kuliah Munyatul Musolli 3 - 'Syurga' Para Sufi



“Dan Tuhan yang menjadikan di dalam sembahyang itu sejuk mata hati penghulu segala mursalin.”

Ibadah sembahyang ini penyejuk hati satu orang manusia yang hebat- penghulu segala mursalin. Siapa dia? Nabi Muhammad saw.

“Yakni dijadikan sejuk mata hati nabi dengan musyahadah akan Tuhannya di dalam sembahyangnya, dan menjadikan sembahyang itu satu rukun daripada rukun agama.”

Jadi ibadah sembahyang ini baik yang wajib baik yang sunat ialah pendamai hati, penyejuk batin, penyejuk mata hati Nabi Muhammad saw. Sebab itu Nabi Muhammad suka akan sembahyang. Kita pun sepatutnya menuju ke arah itu. Apabila sembahyang, kita sepatutnya rasa sejuk hati. Ini tidak. Apabila sampai waktu sembahyang, kita sudah rasa gelisah. Kita tidak sampai ke taraf Nabi Muhammad (dalam ibadah solat ini). Memang tidak boleh sampai pun. Tapi kita (berusaha) menuju ke arah itu. Sebab Nabi Muhammad pun boleh sejuk hati dia. Apabila ada apa-apa masalah dan kita sembahyang, sepatutnya akan sejuk mata hati.

“Dan menjadikan sembahyang itu satu rukun daripada rukun agama.”

Rukun Islam lima perkara. Salah satunya ialah ibadah sembahyang.

“Dan dijadikan padanya (Allah jadikan pada sembahyang) dapat lazat manis khidmat sembahyang yang menempati syurga yang disegerakan di dalam dunia bagi segala hamba-Nya yang muhibbin.”

Sesetengah orang beribadah kerana dia cinta akan Allah. Dia cinta kepada Allah, sebab itu dia bersembahyang. Bukan kerana dia takut akan neraka atau lain-lain. Ada juga (perasaan takut akan neraka itu kerana itu memang perintah Tuhan) tetapi yang itu sudah dia tinggalkan kerana maqamnya sudah tinggi. Dia bersembahyang kerana dia memang suka akan Allah, suka akan sembahyang. Bukan kerana hendakkkan syurga dan sebagainya.

Pada orang-orang sebegini, ibadah sembahyang itu sudah seperti syurga di dunia. Sewaktu dia bersembahyang, dia berasa seronok sangat. Bahkan ada sahabat Nabi yang sakit, tidak boleh bangun. Tapi apabila sampai waktu sembahyang, dia boleh bangun. Selepas itu dia rebah kembali, tak boleh bangun. Hal ini kerana pada mereka ibadah solat ini seumpama syurga. Punya lazatnya, manisnya, sedapnya ibadah sembahyang ini, seolah-olah syurga (yang disegerakan) di dunia.

Itulah, bagi ahli-ahli sufi, di dunia ini pun sudah syurga. Tak perlu tunggu syurga di sana (akhirat), di dunia ini pun sudah syurga, cuma kita saja yang tidak tahu bersyukur. Cuba tengok, kita makan bermacam-macam jenis barang makanan. Cuba bayangkan Tuhan beri kepada kita makan nasi sahaja, tiada lauk-pauk, buah-buahan, air dan lain-lain tidak boleh dimakan dan diminum, kecuali air kosong sahaja...

Tapi kita (dianugerahkan nikmat) makan segala jenis makanan dan minum segala jenis air. Seribu satu rasa boleh dirasa oleh lidah kita. Sebenarnya itu sudah ‘syurga (bagi orang-orang yang bersyukur). Kita sudah merasai sangat banyak nikmat, cuma kita ni bukan jenis yang bersyukur.

Begitu juga dengan mata. Kita boleh lihat pelbagai benda pelbagai warna. Lihat langit, lihat gunung, lihat orang, lihat anak, lihat isteri, lihat benda-benda yang indah-indah, rancangan televisyen dan sebagainya. Kalau kita hendak mensyukuri setiap satu itu, tidak larat untuk kita syukuri. Sebab itu pada ahli-ahli sufi, dunia ini pun sudah ‘syurga’. Mereka rasa sangat seronok, tiada keluh-kesah. Pada diri wali Allah itu tidak ada kegelisahan. Kita ini asyik gelisah kerana kita berasa tidak cukup-cukup.

Jadi bagi orang-orang yang mencintai Allah, pada mereka ibadah sembahyang itu sudah ‘syurga’ di dunia.

Ada seorang wali Allah. Dia berdoa kepada Tuhan supaya diizinkan bersembahyang di dalam kuburnya nanti. Mengapa? Kerana dia berasa seronok sangat dengan ibadah sembahyang. Apabila dia sudah meninggal dunia dan ketika ditanam dalam kuburnya, memang ada orang di sekeliling yang ternampak dia sedang bersembahyang. Bagimana cara dia bersembahyang tidaklah kita tahu. Cuma sewaktu mayatnya hendak dikambus, ada orang ternampak dia sedang bersembahyang. Doanya dimakbulkan oleh Tuhan. Begitulah punya lazatnya ibadah sembahyang baginya.

“Dan tempat kalian segala rahsia daripada bagi tajalli Allah daripada orang yang asyiqin yakni rindu mereka itu akan muhibbunya.”

Yang dimaksudkan ini ialah orang-orang sufi iaitu mereka yang asyik, yang mabuk dengan Tuhan. Jadi pada mereka (yang asyiqin ini) ibadah sembahyang ini jadi tempat untuk betul-betul dekat dengan Tuhan, betul-betul kenal dengan Tuhan.

Saturday, January 30, 2010

Dari Laman Ahli Silat Cekak

Saya pusing-pusing di alam maya internet, terjumpa nukilan seorang hamba Allah yang berbunyi:

Assalammualaikum warga CH (*Cekak Hanafi) !

Di dalam kebanyakan ceramah dan cerita yang telah Tuan Guru (*Mohd Radhi Hanafi) sampaikan, pasti ramai di antara ahli-ahli pernah mendengar daripada GU (*Guru Utama) tentang cerita mengenai seorang Nabi Allah yang bergelar Nabi Khidir a.s. Nabi yang menjadi guru kepada salah seorang Ulul Azmi, Nabi Musa a.s. Walaupun Nabi Musa a.s adalah seorang Nabi dan Rasul, namun baginda diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk berguru dengan Nabi Khidir a.s yang bukan seorang rasul.

Di antara fakta mengenai Nabi Khidir a.s seperti diceritakan oleh GU adalah Nabi Khidir a.s juga dikenali sebagai "Rijallulghaib" yang bermaksud lelaki yang hilang. Sehingga kini dipercayai bahawa Nabi Khidir a.s masih lagi hidup dan bertugas, cuma tidak tahu dalam keadaan bagaimana dan di mana.

Di dalam video 4 siri di bawah ini, Ustaz Abu Zulfiqar menceritakan tentang Nabi Khidir a.s dan pendapat-pendapat masyarakat tentang keberadaan beliau, juga ada terselit satu huraian tentang amalan doa mandi silat seperti yang diamalkan oleh ahli-ahli SCH setelah tamat pembelajaran. Semoga kita semua mendapat sedikit manfaat daripada video ini. Selamat mendengar. (nak kata selamat mononton video tersebut takda gamba, :P)

Segerak Searah!









Laman yang dimaksudkan ialah:
http://warisanhanafiusj.blogspot.com/2009/09/hujah-tentang-nabi-khidir-as-oleh-ustaz.html

Tuesday, January 26, 2010

Teks Kuliah Munyatul Musolli 2 - Wali Allah Ketua Perompak



Kitab ini ditulis dalam tulisan jawi lama dialek Patani. Pening sikit kita hendak membacanya. Namanya “Munyatul Musolli”. Boleh juga disebut Minyatul Musolli. Maksudnya – Yang Diperlukan oleh Orang yang Bersembahyang (Yang Dikehendaki oleh Orang yang Bersembahyang/ Yang Dicita-citakan oleh Orang yang Bersembahyang). Sesiapa yang bersembahyang, dia memerlukan kitab ini. Oleh kerana kita bersembahyang, maka kita perlukan kitab ini.

Cuma kita jangan tersalah sebut. Ada orang sebut Manyatul Musolli, Maniatul Musolli, Mayyiyatul Musolli dan lain-lain. Kalau salah sebut, maksudnya boleh jadi “Matilah Orang yang Bersembahyang”. Kita hendak belajar kitab yang mana? “Apa yang Diperlukan oleh Orang yang Bersembahyang” ataupun “Matilah Orang yang Bersembahyang”? Kalau belajar kitab “Matilah Orang yang Bersembahyang”, kita kena bawa kain kafan. Takut kita hendak belajar, sembahyang sembahyang... mati!

Antara isi kandungan kitab ini ialah tentang sembahyang, dari mula sampailah habis sembahyang. Kemudian tentang adab-adab pemerintah dan adab-adab rakyat. Dan di belakangnya pula disertakan satu lagi risalah terjemahan Syeikh Daud Fatani yang dinamakan “Bahjatul Mardhiyyah”. Ia menceritakan masalah masbuq dan muaffiq dalam sembahyang.

Kitab Munyatul Musolli ini ada diterjemah (dialih tulisan) ke dalam bahasa rumi. Apabila diterjemah, ia jadi tebal. Sungguhpun diterjemah, tetapi tukang terjemahnya tidak menukarkannya perkataan demi perkataan. Dia terjemah mengikut bahasa zaman sekarang. Senanglah hendak difaham. Kalau bahasa dulu, susah sikit untuk difaham.

Contohnya (lenggok bahasa dahulu kala)- “Sunat berbuka di atasnya tamar.”

Maksudnya sunat kita berbuka puasa dengan memakan buah kurma ataupun sejenisnya terlebih dahulu. Tapi kalau kita tersalah faham, kita akan menyangka disunatkan berbuka puasa dengan duduk di atas buah kurma. Dalam terjemahan rumi ini, ia sudah tidak menggunakan gaya bahasa lama. Senang untuk kita faham. Sungguhpun begitu, ketika saya mengajar, saya menggunakan kitab yang lama.

Hari ini kita tengok muka surat yang pertama.

“Bismillahirrahmanirrahim. Kumulai risalah ini dengan nama Allah yang Amat Murah lagi Amat Mengasihani akan hamba-Nya yang mukmin dalam negeri akhirat.”

“Kumulai”.

Siapa yang mulai? Tuan kitab, iaitu Tuan Syeikh Daud Fatani. Dia mulakan risalah ini dengan Bismillahirrahmanirrahim. Itu maksudnya.

“Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Tuhan yang menjadikan sembahyang yakni sembahyang lima waktu ini jalan segala orang yang muttaqin.”

Sembahyang lima waktu ini ialah jalan orang-orang yang bertaqwa. Sesiapa yang tidak bersembahyang, maksudnya bukan orang-orang yang bertaqwalah. Sebanyak mana amal kebaikannya pun, jika tidak bersembahyang, tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. Kalau kita bersembahyang, insyaallah masih ada harapan masuk dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.

Sebab itu kita selalu berpesan, jahat macam manapun, sembahyang jangan tinggal. Mengapa? Kerana kita takut-takut sekiranya ibadah sembahyang tidak selesai, ibadah yang lain pun tidak diterima. Itu yang angat kita risaukan.

Macam yang saya pernah cerita dulu (dalam pengajian kitab lain). Ada seorang wanita yang menjaga ibunya yang sakit bertahun-tahun, sampailah ibunya meninggal dunia. Selepas pemergian ibunya, dia meluahkan rasa puas hati kerana berjaya menjaga ibunya yang sakit bertahun-tahun sampailah ibunya mati, tanpa diserahkan kepada orang lain untuk dijaga. Tapi masalahnya, wanita ini jenis orang yang tidak menunaikan solat. Bagaimana tu? Auratnya sendiri pun tidak ditutup dengan sempurna!

Lebih baik lagi mereka yang tidak berapa menjaga ibunya tetapi bersembahyang. Sekurang-kurangnya masih diterima/ dikira lagi amalan-amalan mereka. Yang kita risau, si wanita ini bertungkus-lumus menjaga ibunya tetapi amalan-amalannya tidak diterima/ dikira.

Jadi kita ini jahat setara manapun, solat jangan diabaikan.

Kisah seorang wali Allah (Fudhail bin Iyaz). Asalnya seorang ketua perompak. Ketua perompak ini sebenarnya seorang yang baik. Dia dan orang-orangnya merompak satu rombongan. Selepas merompak, salah seorang yang kena rompak itu bertanya, “Ketua kamu yang mana satu?”

“Ketua kami berada di seberang sungai.”

“Buat apa dia di sana?”

“Dia sedang sembahyang.”

Ketua perompak bersembahyang? Eh, pelik ni!

“Dia tak makan dengan kamu semua sekalikah?” tanya orang yang kena rompak?

“Tidak.”

“Mengapa dia tidak makan bersama?”

“Dia sedang berpuasa.”

“Eh, sekarang bukan bulan puasa!”

Ketua perompak ini bersembahyang sunat dan berpuasa, sekalipun dia seorang ketua perompak. Disebabkan perangainya seperti itu, lama-kelamaan dia bertaubat dan jadi wali Allah (atas pilihan Tuhan). Asalnya dia seorang penjahat, tetapi oleh kerana dia menjaga sembahyang, akhirnya dia jadi wali Allah.

Ada pula kisah, sewaktu perompak ini merompak, orang yang dirompak tidak tahu orang yang berada di depannya ialah ketua perompak. Orang yang kena rompak menyerahkan barangnya kepada ketua perompak untuk disimpan.

“Encik, tolong simpan barang saya.”

“Tak mengapalah, biar saya tolong simpan.”

Habis saja anak-anak buahnya merompak, dia beri balik barang tadi. Anak-anak buahnya terkejut.

“Kenapa beri balik barang itu?”

“Orang ini sudah amanahkan barangnya kepada aku. Jadi aku berpegang dengan amanah. Aku berharap amal ibadah aku nanti akan jadi amanah oleh Tuhan, Tuhan akan terima.”

Lama-kelamaan dia pun jadi wali Allah (atas pilihan Tuhan), disebabkan amanahnya. Jadi, kita jahat macam mana pun, sembahyang jangan ditinggalkan.



Pemergian Seorang Sahabat...

Puan Aryna (40-an), seorang daie yang gigih telah kembali ke rahmatullah pada 24 Januari 2010 lalu (harap maaf jika tarikhnya tidak tepat). Baru hari ini saya terbaca tentangnya di forum Bicarasufi.com lalu terus mencari-cari maklumat ke sana-sini. Saya terkesan dengan apa yang ditulis beliau pada profail blogspotnya...

"seorang hambaALLAH yg terlalu rindu & cinta yang sedang menuju menghampiri ALLAH..."

Terkenang juga kata-kata yang menjadi "trademark" beliau di mana-mana:
"Kalau tak boleh buat kerja-kerja ahli syurga, jangan buat kerja-kerja ahli neraka."

Beliau pernah berusaha membantu pondok adik saya di Negeri Sembilan mendapatkan dana dengan mencadangkan beberapa perkara. Kalau tak silap, pernah juga menjemput kami sekeluarga ke majlis perkahwinan seseorang, malangnya kami tidak berpeluang untuk hadir. Tak berkesempatanlah untuk berkenal-kenalan secara bertentang mata.

Blog-blognya ialah:
1. aryna's armada - mari muhasabah diri
2. diari
3. Cinta Rahsia

Semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.

Amin ya Allah.

Monday, January 25, 2010

Kuliah Kitab Munyatul Musolli siri 14-18









Kuliah - Punca Kebinasaan Anda





Daripada Abi Hurairah ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

Selagi akan datang suatu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali bila ia lari membawanya dari suatu puncak bukit ke puncak bukit yang lain, dan dari suatu lubang kepada lubang yang lain. Maka apabila zaman itu telah terjadi, segala pencarian (pendapatan kehidupan) tidak dapat dicapai kecuali dengan perkara yang membabitkan kemurkaan Allah SWT.

Maka apabila itu telah terjadi, kebinasaan seseorang adalah berpunca dari menepati kehendak isterinya dan anak-anaknya. Kalau ia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kedua orang tuanya. Dan jikalau orang tuanya sudah tiada lagi maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kaum kerabatnya (adik-beradiknya sendiri) atau dari menepati kehendak jirannya.

Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah saw, apakah maksudnya perkataan engkau itu?

Nabi menjawab: Mereka akan mencelanya dan mengaibkannya dengan kesempitan kehidupannya. Maka dari kerana itu ia terpaksa melayan kehendak mereka dengan menceburkan dirinya di jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya.
(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Keterangan

Benar sekali sabdaan Rasulullah saw ini. Ramai orang yang mengetahui perkara-perkara yang diharamkan dalam agama tetapi terpaksa juga mereka menceburkan diri ke dalam lumpur kemaksiatan untuk melayan kehendak isteri, anak, orang tua, keluarga ataupun jiran mereka.

Saturday, January 23, 2010

Teks Kuliah Munyatul Musolli 1- Syeikh Daud Fatani



Baiklah, sekarang kita akan masuk ke satu kitab yang baru iaitu kitab “Munyatul Musolli”. Kitab ini cerita tentang sembahyang. Ia sebuah kitab lama, lebih 200 tahun rasanya usia kitab ini. Tetapi yang ini cetakan baru. Kalau yang asal, tok gurunya tulis dengan tangan.


Pertamanya kita akan berkenalan dengan tuan kitab. Siapa dia pengarang kitab ini? Pengarangnya ialah Syeikh Daud Fatani, satu orang ulama besar di Nusantara ini, di alam Melayu ini. Tengok belakang nama pun kita sudah tahu, dia orang Siam. Daerah Pattani ini banyak melahirkan ulama-ulama besar dan wali-wali Allah. Dan Syeikh Daud Fatani ini pun salah seorang daripada ulama besar dan wali Allah juga. Jadi dia berasal dari Pattani, Siam.


Kalau mengikut sejarahnya, orang Siam ialah orang Melayu dan beragama Islam. Yang beragama Buddha itu ialah orang Thai. Di selatan Siam ini dulu ada beberapa kerajaan Islam. Apabila disebut “orang Siam”, maksudnya orang Melayu Islam. Apabila disebut “orang Thai”, maksudnya orang Thai (dan beragama ) Buddha. Itu bezanya.


Tapi sekarang ini disebabkan percaturan sejarah dan politik, mereka tunjukkan kepada kita seolah-olah orang Siam ini bukan orang Melayu, tapi orang (Thai) Buddha. Asalnya orang Siam ini orang Melayu. Mereka salah satu daripada suku bangsa Melayu. Sama dengan orang Banjar, Mandailing, Madura dan lain-lain yang salah satu daripada suku bangsa Melayu. Tetapi apabila orang Thai dari utara menyerang (dan menakluk) kerajaan Islam di selatan, habis digambarkan seolah-olah orang Siam itu berbangsa Thai. Sekarang jika dikatakan “orang Siam”, kita akan gambarkan orang Buddha (maksudnya percaturan mereka berjaya).


Sebab itu ada orang buat kajian, mereka pergi ke kubur-kubur raja-raja Siam zaman dahulu. Bukannya kubur raja-raja Thai, tetapi kubur raja-raja Siam. Batu nisan kubur raja-raja Siam ini sama dengan batu nisan orang-orang Islam. Siap ada yang bertulisan jawi. Sungguhpun nama mereka nama Siam, sebenarnya mereka ada dua nama. Nama Siam ada, nama Islam (keAraban) pun ada. Rupa-rupanya orang di selatan Siam pada zaman dahulu ialah berbangsa Melayu dan beragama Islam.


Syeikh Daud fatani ini dari segi tauhidnya beraliran Asya’irah. Sama macam kitalah. Dari segi fiqhnya bermazhab Syafie. Sama macam kita juga. Dia ini orang tasauf, dia ada ambil tariqat Satariah. Tuan syeikh kita ini dikatakan lahir pada tahun 1113 Hijrah. Sekarang? 1430 Hijrah. Dia meninggal pada 1297 Hijrah. Umurnya lebih kurang 164 tahun. Namun begitu tahun-tahun yang disebutkan ini bukanlah tahun yang tepat. Ramai orang buat kajian, tahun lahir dan tahun matinya yang sebenar tidak dapat dipastikan. Menurut Dr. Haron Din dalam kuliahnya, umur Syeikh daud Fatani ini 164 tahun. Sebab itu ilmunya banyak (kerana usianya panjang).


Hidup selama 164 tahun, dia boleh menuntut ilmu dalam tempoh yang lama. Sebelum usianya 10 tahun lagi, dia sudah mahir ilmu agama. Selepas itu dia pergi pula duduk di Mekah selama 30 tahun. Tinggal di sana bukan sekadar belajar, tetapi dia juga jadi guru, punya hebat. Duduk pula di Madinah 5 tahun. Patah balik ke Pattani, berjuang jihad, sebarkan agama, berperang...


Banyaklah pengalamannya selama lebih 160 tahun itu. Sebab itu dia banyak ilmu. Dia mengarang lebih daripada 100 buah kitab. Kita hendak karang sebuah buku pun belum tentu. Dia mengarang dalam keadaan tulis tangan, tidak ada computer pada zaman itu. Sehingga sekarang pun kitab-kitabnya masih banyak diajar di surau-surau dan masjid-masjid (juga di pondok-pondok). Antaranya kitab Kifyatul Muhtad, Tanwirul Fawaid, Furuul Masaail, Bughyatul Tullab dan pelbagai lagi.


Yang hebatnya Syeikh Daud Fatani ini, sewaktu dia tinggal di Mekah dulu dia berada di bawah kemarakan fahaman kaum Salafi Wahabi, namun dia tidak terkena fahaman itu. Sebaliknya dia masih mengikut fahaman sebagaimana yang kita pegang (hari ini).


Wednesday, January 20, 2010

Kuliah Kitab Munyatul Musolli siri 10-13


KITAB MUNYATUL MUSOLLI
karya Syeikh Daud Fatoni

Kitab yang tiada titik tiada perenggan.
Mengapa solat Asar lebih utama?
Lagu sembahyang.


Apa pesanan dalam surah ar-Ruum?
Perbezaan takut akan Allah dengan takut akan makhluk.
Sedikit tentang syirik jali dan syirik khafi.
Bagaimana mahu jadi orang berimana yang berjaya (menurut al-Quran)?
Apa maksud "falah"?




Solat dapat menjadikan kita menjauhi perara-perkara keji dan mungkar.
Zikir sebagai benteng.
Kaedah menilai taraf solat kita selama ini.

Kuliah - Orang Jahat Semakin Banyak


ISI KANDUNGAN
Pantun sifat amanah
Cara ulama hadis meriwayatkan hadis
Apa itu "As-Sa'ah"?
Hujan menjadi panas?
Pemanasan global. Dunia bakal tenggelam?


Kuasa besar bom Kutub Utara?
Rumah orang Melayu 60-70-an yang tidak perlu dikunci.
Mengapa lagi maju, lagi kita berasa tidak selamat?
Apakah antara tanda-tanda kiamat?
Siapa yang mempromosikan kejahatan dan maksiat?
Evolusi muzik dari 60-an sehingga hari ini.
Muzik membawa budaya dan cara berpakaian.
Ganja, daun ketum, pinang, tahi lembu... mengkhayalkan.


Pokok pinang akan diharamkan?
Hisap ganja (tahi lembu + daun ceri).
Budaya orang putih.
Orang sudah hilang segan dengan ulama dan rumah ibadah.
Berkhalwat dalam surau.




Hadis ke-13: Orang Yang Baik Berkurangan Sedang Yang Jahat Bertambah Banyak

Daripada Aisyah radhialluhu anha berkata:
Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya), dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas), dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang-orang yang jahat berani melawan orang-orang baik.

Keterangan Hadis

Di antara tanda-tanda kiamat ialah:
1.Bila anak-anak merupakan punca kemarahan orang tuanya
2.Bila hujan berkurangan, cuaca menjadi panas dan udara telah tercemar
3.Orang jahat bertambah ramai dan galakan untuk membuat kejahatan sangat banyak.
4.Orang yang berbuat kebaikan sedikit dan tidak mendapat kemudahan yang sewajarnya.
5.Anak-anak sudah berani melawan orang tua.
6.Orang-orang yang jahat berani melawan orang-orang yang baik dan tidak segan terhadap mereka.

Nampaknya corak masyarakat kita pada hari ini tidak banyak bezanya dari apa yang disebutkan oleh Rasulullah saw tadi. Setiap hari kita melihat kebenaran daripada apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw.

Kita berdoa, mudah-mudahan Allah SWT menyelamatkan kita dan anak cucu kita dari tergolong di kalangan mereka yang disebutkan tadi.

Tuesday, January 12, 2010

Kuliah Kitab Munyatul Musolli 6-9


Kitab Munyatul Musolli susunan Syeikh Daud Fatani


Lagu sembahyang.
Asal perkataan "sembahyang".
Siapa Dewata Mulya Raya?
Isu penggunaan kalimah "Allah" oleh orang bukan Islam.
Benarkah dalam al-Quran ada ayat yang mengizinkan orang bukan Islam menggunakan kalimah "Allah"?



Apa maksud khusyuk luaran dan khusyuk dalaman?
Siapa orang yang sentiasa dalam keadaan bersolat?
Apa itu "solat wusto"?


Apa itu solat wusto?
Solat manakah yang paling tinggi kemuliannya antara 5 solat fardhu?
Bagaimanakah sejarah solat dalam keadaan takut?
Bagaimana cara solat dalam keadaan takut?


Kuliah - Pemegang Amanah Tak Amanah

Hadis ke-12 : SIFAT AMANAH AKAN HILANG SEDIKIT DEMI SEDIKIT

Daripada Huzaifah bin al-Yaman radhiallu anhu katanya:

Rasulullah saw pernah memberitahu kami dua buah hadis (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah saya lihat, sedang yang kedua saya menanti-nantikannya.

Rasulullah saw memberitahu bahawasanya amanah itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan al-Quran dan mengetahuinya melalui panduan as-Sunnah.

Selanjutnya Rasulullah saw menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, lalu beliau bersabda:

Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya. Maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (mengelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang engkau gilingkan dengan kakimu, kemudian mengelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa.
Di ketika Rasulullah saw menceritakan hadis ini beliau mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil) lalu menggilingkannya dengan kakinya.

Kemudian berpagi-pagi (jadilah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada ada seorang juga pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya di kalangan bani fulan (di kampung tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan: Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaan, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekalipun hanya seberat timbangan biji sawi.

KETERANGAN HADIS

Hadis ini menunjukkan bahawa sifat amanah akan hilang cara beransur-ansur dari kalangan kaum muslimin, sehinggalah sampai suatu saat nanti orang yang dianggap baik untuk menjaga amanah pun telah khianat pula.

Begitulah gambaran masyarakat kita hari ini, ramai daripada kita terpedaya oleh seseorang yang pada zahirnya nampak boleh memikul amanah tetapi sebenarnya ia juga telah berlaku curang.


Sifat amanah hilang begitu cepat.
Masih adakah orang yang benar-benar amanah hari ini?
Kelebihan belajar hadis bersanad.


Kita terpaksa lantik orang yang tak amanah untuk memegang amanah.
Anak derhaka yang diberi amanah tetapi pecah amanah.




Kuliah - Huzaifah ibnu Yaman (Penyimpan Rahsia Nabi)

Siapa Huzaifah al-Yaman ra?
Mengapa beliau digelar "Penyimpan Rahsia Nabi"?
Apakah rahsia-rahsia yang disimpannya?


Monday, January 11, 2010

Kuliah - Rasuah Berleluasa





Hadis ke-11: RASUAH BERLELUASA

Daripada Mu’az bin Jabal ra berkata: “ Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama, maka jangan kamu mengambilnya. Namun kenyataannya, kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut faqir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya.”

(Hadis riwayat At-Thabrani dan Abu Na’im)

KETERANGAN HADIS


Di akhir zaman rasuah akan menjadi-jadi di masyarakat dan wang mempunyai kuasa untuk membeli pangkat dan kedudukan, dan wang juga diperlukan untuk mendapat kemudahan dari pihak yang berpangkat dan berkuasa. Wang telah menjadi Tuhan yang disembah oleh setiap orang yang tamak dan rakus.


Dalam keadaan yang sebegini rupa, orang sudah tidak mempedulikan sesiapa. Maka musnahlah akhlak dan runtuhlah segala budi, dan yang wujud hanyalah kezaliman dan penindasan dari setiap lapisan terhadap lapisan yang memerlukannya.