Sunday, January 31, 2010

Teks Kuliah Munyatul Musolli 3 - 'Syurga' Para Sufi



“Dan Tuhan yang menjadikan di dalam sembahyang itu sejuk mata hati penghulu segala mursalin.”

Ibadah sembahyang ini penyejuk hati satu orang manusia yang hebat- penghulu segala mursalin. Siapa dia? Nabi Muhammad saw.

“Yakni dijadikan sejuk mata hati nabi dengan musyahadah akan Tuhannya di dalam sembahyangnya, dan menjadikan sembahyang itu satu rukun daripada rukun agama.”

Jadi ibadah sembahyang ini baik yang wajib baik yang sunat ialah pendamai hati, penyejuk batin, penyejuk mata hati Nabi Muhammad saw. Sebab itu Nabi Muhammad suka akan sembahyang. Kita pun sepatutnya menuju ke arah itu. Apabila sembahyang, kita sepatutnya rasa sejuk hati. Ini tidak. Apabila sampai waktu sembahyang, kita sudah rasa gelisah. Kita tidak sampai ke taraf Nabi Muhammad (dalam ibadah solat ini). Memang tidak boleh sampai pun. Tapi kita (berusaha) menuju ke arah itu. Sebab Nabi Muhammad pun boleh sejuk hati dia. Apabila ada apa-apa masalah dan kita sembahyang, sepatutnya akan sejuk mata hati.

“Dan menjadikan sembahyang itu satu rukun daripada rukun agama.”

Rukun Islam lima perkara. Salah satunya ialah ibadah sembahyang.

“Dan dijadikan padanya (Allah jadikan pada sembahyang) dapat lazat manis khidmat sembahyang yang menempati syurga yang disegerakan di dalam dunia bagi segala hamba-Nya yang muhibbin.”

Sesetengah orang beribadah kerana dia cinta akan Allah. Dia cinta kepada Allah, sebab itu dia bersembahyang. Bukan kerana dia takut akan neraka atau lain-lain. Ada juga (perasaan takut akan neraka itu kerana itu memang perintah Tuhan) tetapi yang itu sudah dia tinggalkan kerana maqamnya sudah tinggi. Dia bersembahyang kerana dia memang suka akan Allah, suka akan sembahyang. Bukan kerana hendakkkan syurga dan sebagainya.

Pada orang-orang sebegini, ibadah sembahyang itu sudah seperti syurga di dunia. Sewaktu dia bersembahyang, dia berasa seronok sangat. Bahkan ada sahabat Nabi yang sakit, tidak boleh bangun. Tapi apabila sampai waktu sembahyang, dia boleh bangun. Selepas itu dia rebah kembali, tak boleh bangun. Hal ini kerana pada mereka ibadah solat ini seumpama syurga. Punya lazatnya, manisnya, sedapnya ibadah sembahyang ini, seolah-olah syurga (yang disegerakan) di dunia.

Itulah, bagi ahli-ahli sufi, di dunia ini pun sudah syurga. Tak perlu tunggu syurga di sana (akhirat), di dunia ini pun sudah syurga, cuma kita saja yang tidak tahu bersyukur. Cuba tengok, kita makan bermacam-macam jenis barang makanan. Cuba bayangkan Tuhan beri kepada kita makan nasi sahaja, tiada lauk-pauk, buah-buahan, air dan lain-lain tidak boleh dimakan dan diminum, kecuali air kosong sahaja...

Tapi kita (dianugerahkan nikmat) makan segala jenis makanan dan minum segala jenis air. Seribu satu rasa boleh dirasa oleh lidah kita. Sebenarnya itu sudah ‘syurga (bagi orang-orang yang bersyukur). Kita sudah merasai sangat banyak nikmat, cuma kita ni bukan jenis yang bersyukur.

Begitu juga dengan mata. Kita boleh lihat pelbagai benda pelbagai warna. Lihat langit, lihat gunung, lihat orang, lihat anak, lihat isteri, lihat benda-benda yang indah-indah, rancangan televisyen dan sebagainya. Kalau kita hendak mensyukuri setiap satu itu, tidak larat untuk kita syukuri. Sebab itu pada ahli-ahli sufi, dunia ini pun sudah ‘syurga’. Mereka rasa sangat seronok, tiada keluh-kesah. Pada diri wali Allah itu tidak ada kegelisahan. Kita ini asyik gelisah kerana kita berasa tidak cukup-cukup.

Jadi bagi orang-orang yang mencintai Allah, pada mereka ibadah sembahyang itu sudah ‘syurga’ di dunia.

Ada seorang wali Allah. Dia berdoa kepada Tuhan supaya diizinkan bersembahyang di dalam kuburnya nanti. Mengapa? Kerana dia berasa seronok sangat dengan ibadah sembahyang. Apabila dia sudah meninggal dunia dan ketika ditanam dalam kuburnya, memang ada orang di sekeliling yang ternampak dia sedang bersembahyang. Bagimana cara dia bersembahyang tidaklah kita tahu. Cuma sewaktu mayatnya hendak dikambus, ada orang ternampak dia sedang bersembahyang. Doanya dimakbulkan oleh Tuhan. Begitulah punya lazatnya ibadah sembahyang baginya.

“Dan tempat kalian segala rahsia daripada bagi tajalli Allah daripada orang yang asyiqin yakni rindu mereka itu akan muhibbunya.”

Yang dimaksudkan ini ialah orang-orang sufi iaitu mereka yang asyik, yang mabuk dengan Tuhan. Jadi pada mereka (yang asyiqin ini) ibadah sembahyang ini jadi tempat untuk betul-betul dekat dengan Tuhan, betul-betul kenal dengan Tuhan.

No comments: