Wednesday, December 16, 2009

Kuliah- Bahaya Duit





Dalam hadis ini nabi kita Muhammad saw menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan.

Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadah. Tetapi nabi kita Muhammad saw mengatakan, keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadah.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang daripada berbuat ibadah kepada Allah SWT, sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalau pun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi. Tetapi, bila dibandingkan dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadah kita sangat jauh ketinggalan.

Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan dan menghalang dari berbuat ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw: Seandainya seorang anak Adam itu telh mempunyai satu jorong emas, dia berhasrat untuk mencari jorong yang kedua, sehinggalah dia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian).

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan.

Oleh itu, janganlah kita lupa daratan dalam mencari kekayaan, tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu untuk menimbun harta. Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhotungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

Kisah Tsalabah

Tsalabah ialah seorang sahabat yang soleh. Suatu hari dia minta Rasulullah mendoakan kekayaan buat dirinya. Dia memelihara kambing dan berjaya jadi seorang hartawan. Apabila kambingnya semakin banyak, dia berpindah ke pinggir kota. Kesibukannya membuatkan Tsalabah susah untuk datang solat berjemaah dan bersama-sama umat Islam lain.

Suatu ketika Rasulullah mengutus dua orang lelaki untuk mengambil zakat daripada Tsalabah, tetapi Tsalabah enggan. Turunlah ayat Quran yang bermaksud: Dan diantara mereka ada orang yang berjanji kepada Allah dengan berkata sekiranya kami diberikan kelebihan dari rezeki Allah maka kami akan bersedekah dan menjadi orang yang soleh. Maka setelah mereka diberikan kurnia-Nya, bahkan mereka bakhil dan berpaling, dan jadilah mereka orang-orang yang engkar (At-Taubah: 75-76).

Apabila Tsalabah mendapat tahu berita ini, dia pun pergi menemui Rasulullah untuk menjelaskan zakatnya, tetapi Rasulullah tidak menerimanya. Begitu juga pada zaman Saidina Abu Bakar, Umar dan Uthman. Tsalabah meninggal pada zaman Uthman ra.

•Kisah ini ada dalam kitab-kitab tafsir tetapi kesahihannya diragui oleh sesetengah pihak.

No comments: