Thursday, May 28, 2009

Menjawab Dr. Asri- Isu "Allah"

DR. ASRI MENULIS:

Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata: “Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan.


PENJELASAN KITA:

Pembetulan, isu ini sebenarnya ISU AKIDAH SEJAGAT, bukan sekadar isu pentadbiran ataupun tempatan sebagaimana yang didakwa oleh Dr. Asri. Teruskan pembacaan anda hingga ke akhir untuk memahaminya. Buatlah pertimbangan yang adil, bukan atas dasar taksub kepada mana-mana pihak. Insyaallah anda akan dapat menyaksikan kebenarannya.


DR. ASRI MENULIS:
Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible dalam bahasa melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.


PENJELASAN KITA:

Isu ini timbul SEKARANG keranaSUDAH ADA orang-orang Islam yang lebih pengetahuan mereka dalam hal ini (*terutamanya dalam ilmu tentang agama-agama di dunia dan perbandingan agama) . Sebelum ini memang sudah ada begitu banyak ulama, tetapi masing-masing dengan bidang-bidang tersendiri yang tidak bersentuhan dengan isu penggunaan “Allah” ini.


Bible berbahasa Melayu (yang disebut Alkitab) mahu menggunakannya tidak mustahil dengan tujuan untuk mendakwahkan fahaman Kristian kepada umat Islam. Ada pihak yang sedikit demi sedikit mahu mengaitkan “Allah” itu dengan Jesus dan Jesus dengan Allah. Antara buktinya, para pembaca boleh melihat isi dialog saya dengan seorang penganut agama Kristian di http://isunamaallah.blogspot.com. Ringkasnya, memang ada agenda tersembunyi.


(Sekita tahun 1999 dan awal tahun-tahun 2000-an, saya banyak berdialog di internet dengan penganut pelbagai agama terutamanya Kristian Triniti, Kristian Unitari, ateis, Hindu, Buddha, Tao dan Confusious. Kebanyakannya dari Sabah, Sarawak, Indonesia dan Singapura. Bahkan permulaan saya aktif di internet pun memang dalam bidang ilmu tentang agama-agama dunia dan perbandingan agama. Hampir kesemua teman dialog saya daripada Kristian Triniti memang bermatlamat menyamakan Jesus dengan Allah dan Allah dengan Jesus)


DR. ASRI MENULIS:
Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.


PENJELASAN KITA:

Memang kita akan merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah dalam hal ini, tetapi MESTILAH DENGAN HURAIAN YANG BENAR. Ada pihak yang menggunakan kedua-dua sumber tersebut tetapi mengeluarkan HURAIANA YANG SALAH. Bahagian ini yang mesti kita perhatikan betul-betul.


DR. ASRI MENULIS:
Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.


PENJELASAN KITA:

Kadang-kala kekurangan pengetahuan kita dalam hal-hal tertentu, ataupun kesilapan kita sendiri menyebabkan kita menyangkakan hal-hal yang PENTING sebagai tidak penting.

Tentang keadilan, kerahmatan dan pengikisan gambaran negatif yang disebutkan itu memang kita sangat setuju.


DR. ASRI MENULIS:
Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?


PENJELASAN KITA:

Tidak juga. Ada kalanya sebutan menjadi penentu sama ada kita berakidah Islam ataupun selainnya. Contoh:


Ada Kristian Triniti menganggap Jesus sebagai Allah dan Allah sebagai Jesus. Jika mereka mengatakan, “Yang mati disalib itu ialah Allah”, “Yang dilahirkan Maryam itu ialah Allah” ataupun “Allah (Jesus) ialah anak Tuhan” lalu kita menyetujuinya, maka akidah kita sudah rosak.


Satu perkara yang mesti sangat difahami ialah... kita tidak pernah tidak bersetuju jika kaum Kristian mahu MEMANGGIL TUHAN SEBENAR SEBAGAI ALLAH. Yang kita tolak hanya apabila mereka mahu memanggil Jesus dan Roh Kudus sebagai Allah atau Allah sebagai Jesus dan Roh Kudus. PERHATIKAN BETUL-BETUL apa yang sedang kita perjuangkan dan apa yang TIDAK KITA PERJUANGKAN. Adalah satu kesilapan besar jika ada yang menyangkakan kita sedang menolak orang lain daripada memanggil Tuhan sebenar sebagai Allah.


DR. ASRI MENULIS:
Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).


PENJELASAN KITA:

(Kita gunakan ayat Al-Quran yang sama juga. Maka tak perlulah saya menulis ulang ayat tersebut) GOLONGAN MUYSRIKIN yang berada di sekeliling Nabi Muhammad ketika itu MEMANG TAHU SIAPA ALLAH. Bahkan bapa baginda sendiri mereka namakan “Abdullah” yang membawa maksud “Hamba Allah”. Mereka tahu Allah ialah Tuhan Sebenar, CUMA MEREKA MENYEKUTUKAN-NYA/ MENSYIRIKKAN-NYA dengan berhala-berhala mereka. Sebab itulah mereka disebut MUSYRIKIN.


Jika mereka menyebut “Allah”, sememangnya mereka menisbahkan sebutan itu kepada TUHAN SEBENAR ataupun Zat Sempurna itu. Mereka tidak menisbahkan “Allah” kepada SELAIN ALLAH. Mereka tidak menisbahkan sebutan “Allah” kepada berhala-berhala yang mereka sembah ataupun kepada Jesus dan Roh Kudus.


Situasi ini sangat jauh berbeza dengan pegangan kaum Kristian Trinitarian itu yang beria-ia mahu menggunakan “Allah” di Malaysia. Pada mereka, Jesus dan Roh Kudus ialah Allah. Mereka sudah menisbahkan “Allah” kepada selain Allah iaitu Jesus dan Roh Kudus.


Kesimpulannya- Kaum musyrikin yang disebut dalam ayat al-Quran itu menisbahkan “Allah” kena dengan tempatnya sedangkan kaum Kristian Trinitarian itu di Malaysia ini mahu/ sedang menisbahkan “Allah” kepada selain Allah. Oleh itu, kaum Kristian itu tidak boleh menggunakan “Allah” kecuali mereka menisbahkannya kepada Tuhan Sebenar (iaitu bukan Jesus).


DR. ASRI MENULIS:

Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).


PENJELASAN KITA:

(Kita guna ayat Al-Quran yang sama juga sebagai hujah kita) Masih sama juga. “Mereka” yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah ORANG-ORANG MUSYRIK di sekeliling Rasulullah SAW. Mereka tahu siapa Allah tetapi mereka melakukan syirik dengan menyembah selain-Nya. Sebab itulah mereka dinamakan “musyrikin”. Jadi, apabila mereka menjawab “Allah”, memang mereka menisbahkan/ memaksudkan sebutan itu kepada Tuhan Sebenar, bukan kepada selain-Nya.


Padahal kaum Kristian yang kita maksudkan ini, apabila mereka menyebut “Allah”, mereka menisbahkannya kepada SELAIN TUHAN SEBENAR iaitu Roh Kudus dan Jesus.

Saya tidak akan mengulangi lagi hal ini di bawah nanti, diharap para pembaca memikirkannya dengan teliti.


Kaum musyrikin Arab dalam ayat-ayat al-Quran itu ialah orang-orang yang menyebut “Allah” memang untuk Tuhan Sebenar, bukan untuk selain-Nya. Dr. Asri jelas sudah menyebarkan maklumat yang salah kepada masyarakat Islam kerana mentafsirkan ayat-ayat ini lalu menisbahkankannya kepada “ORANG BUKAN ISLAM”. Padahal ayat-ayat itu dnisbahkan kepada “ORANG-ORANG MUSYRIK khususnya Arab di sekitar Nabi Muhammad”.


DR. ASRI MENULIS:
Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.


PENJELASAN KITA:

Tumpukan perhatian kita pada perkataan “BUKAN MUSLIM”. “Bukan Muslim” yang dimaksudkan oleh Asri ialah mereka yang tidak beragama Islam termasuklah Kristian Trintarian. Padahal ayat al-Quran ini tidak Allah tujukan kepada “Bukan Muslim” sebagaimana yang difahami/ disalahfahami/ sengaja diselewengkan (yang mana satu tidaklah dapat kita pastikan sekarang) oleh Asri, tetapi kepada KAUM MUSYRIKIN yang berada di sekitar Nabi Muhammad ketika itu.


Tentang kepercayaan kaum Musyrikin di Arab yang dinyatakan dalam ayat-ayat seumpama ini sudah dua kali saya sentuh pada permulaan tadi. Sememangnya apabila mereka menyebut “Allah”, mereka menisbahkannya kepada Pencipta yang Maha Agung, bukan kepada berhala-berhala, Jesus, Roh Kudus, Krishna, Ramasami ataupun yang lain-lain.


Sebab itulah al-Quran tidak membantah. Sebab itu juga Nabi Muhammad disuruh oleh Allah mengucapkan “Allahmdulillah” sebagai tanda kesyukuran. Bersyukur kerana apa? Kerana kaum musyrikin itu masih tahu siapa Allah yang sebenar. Mereka tidak kata berhala-berhala mereka sebagai Allah. Jadi kesyukuran Nabi Muhammad itu adalah atas perkara yang benar.


Bandingkan dengan kaum Trinitarian itu. Jika kita tanyakan : “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Katakanlah mereka menjawab, “Allah iaitu Jesus” ataupun “Jesus iaitu Allah”.


Apakah anda akan menjawab , “Syukur Alhamdulillah”?


Pastinya tidak! Kerana kesyukuran itu bukan untuk perkara yang benar.


Tapi berdasarkan pegangan Asri, tentunya dia akan mengatakan begitu.


Kesimpulannya, kita bersyukur jika yang dikatakan itu benar, bukan sebaliknya.


DR. ASRI MENULIS:
Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.


PENJELASAN KITA:

...bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam”. Pernyataan ini satu pendustaan. Dr. Asri mestilah mengemukakan sandaran-sandaran yang kukuh untuk terus menyebarkan fahaman sebegini, jika tidak dia secara jujurnya mestilah menarik balik sebarannya ini. Ayat al-Quran mana yang mengatakan begitu? Hadis mana yang membenarkannya?


Apabila kita mendengar bukan Muslim mengatakan “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, sudah tentulah kita berasa gembira. Siapa pula yang akan tidak gembira? Peliknya!


Tetapi jika mereka mengatakan Allah (iaitu contohnya menurut mereka ialah Jesus, Krishna, Aki Kopuno dan lain-lain) menurunkan hujan atau menumbuhkan tumbuhan, mana boleh kita berasa gembira?


Jika sekadar dia mengucapkan hal itu dan kita tidak punya bukti yang dia menisbahkan sebutan “Allah” kepada selain Allah ketika itu, semestinyalah kita mendahulukan sangka baik. Mana boleh terus bersangka buruk! Selagi tidak ada bukti itu, kita anggaplah memang dia menisbahkan sebutan itu kepada Tuhan Sebenar.


Tetapi jika kita memperolehi bukti lain yang menunjukkan dia tidak menisbahkan kepada Tuhan Sebenar, contohnya selepas itu dia mengatakan “Allah” yang dia maksudkan ialah selain Allah iaitu Jesus, Roh Kudus, Maria, Siva, Krishna ataupun yang lain-lain, orang Islam yang gembira mendengarnya tentulah seorang yang jahil (dalam hal ini) lagi membawa kerosakan. Sudah tentulah ketika itu si bukan Muslim bukannya hendak mengakui kebesaran Allah, tetapi kebesaran selain Allah yang dipercayainya sebagai Allah.


DR. ASRI MENULIS:

Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan”. Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah”. Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak”.


PENJELASAN KITA:

Mustahil kita akan berkata sebagaimana kata-kata di atas. Kita yang menolak penggunaan “Allah” untuk selain Allah oleh Kristian Trinitarian itu di Malaysia ini memang mustahil akan mengatakan sebegitu.


Baiklah. Kita lihat pula bagaimana terumbang-ambingnya pendirian Asri dalam hal ini. Apabila seseorang bukan Muslim mengatakan, “Tokong ini adalah Allah”, dia mengatakan “Awak dusta.” Tapi apabila kaum Kristian Trinitarian di Malaysia mengatakan, “Jesus ialah Allah” ataupun “Roh Kudus ialah Allah”, maka mungkin dia akan mengucapkan, “Alhamdulillah, syukur.”


Perkara semudah ini takkanlah kita tidak dapat memahaminya...

Fikirlah berulang kali dengan hati yang jernih.


DR. ASRI MENULIS:
Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,

Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).


Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah.


PENJELASAN KITA:

Hal ini juga mudah sebenarnya.


Pertama- Sila pembaca tumpukan perhatian kepada perkataan “NAMA ALLAH”. Allah ada banyak nama. Dalam Islam saja yang masyhurnya sudah ada 99 nama-nama Allah. Para penganut agama tauhid sejak zaman berzaman juga menyebut nama Tuhan Sebenar dengan nama-nama menurut bahasa mereka. Bani Israil mungkin menyebut Yehowah. Orang Parsi mungkin menyebutNya Ahura Mazda. Orang Nusantara mungkin menyebutNya Dewata Mulya Raya. Pengikut Lao Tse mungkin menyebutnya Tao. Kaum Kristian Unitarian mungkin menyebutnya Bapa. Ini semua NAMA-NAMA ALLAH mengikut bahasa kaum masing-masing.


Jadi yang disebut banyak-banyak dalam tempat-tempat pertapaan pelbagai agama, gereja dan sinagog (rumah ibadat agama Yahudi) itu ialah “NAMA ALLAH” dalam pelbagai sebutan, BUKANNYA mereka menyebut “Allah”.


Menyebut “NAMA ALLAH” dengan menyebut ‘ALLAH” adalah dua perkara yang berbeza. Perbezaan ini mesti kita ingat betul-betul.


Kedua- Dalam rumah ibadah agama apa pun, ataupun di luar rumah ibadah di tempat mana pun, jika disebut “Allah” sebanyak mana pun, asalkan sebutan “Allah” itu ditujukan kepada Tuhan Sebenar memanglah tidak ada salahnya. Dalam ayat itu, yang disebut dalam gereja dan sinagog ialah “NAMA ALLAH” yang bukan ditujukan kepada Jesus ataupun lain-lain.


DR. ASRI MENULIS:

Adapun berhubung dengan orang Kristian,

Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).


Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.


PENJELASAN KITA:

Memang ayat ini tidak membantah orang-orang Kristian untuk menyebut “Allah”, tetapi pada bahagian mana ayat ini yang menunjukkan Allah membenarkan mereka menyebut “Allah” untuk dinisbahkan kepada Jesus? Cuba cari jika ada.


Sekadar sebut “Allah”, memanglah tidak ada bantahan. Tetapi kita mesti ingat, ayat ini membantah mereka yang menyebut “Allah’ tetapi menisbahkannya kepada Triniti termasuklah Jesus pastinya. Inilah isu yang sedang berkumandang di Malaysia hari ini. SEBAHAGIAN kaum Kristian Trinitarian mahu menggunakan sebutan “Allah” untuk dikenakan kepada selain Allah iaitu Jesus dan Roh Kudus. Sedangkan sesiapa yang beriktikad begitu, ayat Al-Quran di atas mengecopnya sebagai “KAFIR”.


Kemudian kita pula hendak menyetujui lagi menyokong pula perbuatan mereka yang dicop kafir itu, bukankah kita turut mendapat saham? Fikir-fikirkan.


Kesimpulannya, Islam membenarkan sesiapa juga menyebut “Allah” selagi tidak ada bukti menunjukkan dia menisbahkan sebutan itu kepada selain Allah. Dan Islam menghukum “kafir” kepada sesiapa yang menyebut “Allah” tetapi dinisbahkan kepada selain Allah.


Anda berada di pihak yang menyokong orang bukan Islam terutamanya Kristian Triniti menyebut “Allah” untuk dinisbahkan kepada selain Alah?

DR. ASRI MENULIS:

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.


PENJELASAN KITA:

Pertama- Pernahkah Dr. Asri membaca isi kandungan Bible berbahasa Arab sebelum dia menulis artikel ini? Jika pernah baguslah. Cuma kita ingin minta kepastian, apakah “Allah’ di dalam Bible itu ditujukan kepada Tuhan Sebenar ataupun kepada Jesus atau Roh Kudus?

Jika “Allah” itu ditujukan kepada Tuhan Sebenar, memang patutlah para ulama tidak membantahnya. Buat apa mereka menentang perkara yang benar?


Kedua- Apakah kerana tidak pernah ada ulama membantahnya, maka perkata itu pasti betul?


Ketiga- Kristian Arab yang dimaksudkan itu berfaham Trinity ataupun Unitary?


Keempat- Bible yang mengandungi perkataan “Allah” itu dicetak oleh kaum Trinitarian ataupun Unitarian?


Persoalan-persoalan ini perlu diambilkira sebelum mahu MENYAMAKAN apa yang berlaku di sana dengan di sini. Bukan main tangkap muat saja tanpa berusaha membuat sedikit penyelidikan, terus hendak menyokong ataupun membenarkan secara melulu.


DR. ASRI MENULIS:
Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.

Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).


PENJELASAN KITA:

Bagaimana umat Islam di negara ini mahu meningkatkan anti-bodi dan kekuatan diri sekiranya maklumat-maklumat salah tentang agama yang murni ini sentiasa disebarkan oleh pihak-pihak berkenaan? Lebih-lebih lagi jika pihak berkenaan punya pengaruh ke atas orang ramai.


Lihat saja tafsiran ayat-ayat al-Quran yang dihidangkan oleh Dr. Asri dalam tulisannya ini. “MUSYRIKIN DI ARAB senang-senang diubahnya/ disamakannya kepada “ORANG-ORANG BUKAN ISLAM”. Padahal kedua-duanya jauh berbeza dalam isu “Allah” ini. Apakah ini bukan satu jenayah keagamaan?


Malangnya nasib umat Islam di negara ini, seringkali saja disogokkan dengan info-info yang salah tetapi dikatakan sebagai info agama Islam. Berapa ribu orang sudah membaca dan mempercayai maklumat yang salah ini.? Tidakkah kita rasa bertanggungjawab untuk memulihkannya demi menjaga kebenaran agama murni ini?


Kata Dr. Asri: “Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.”


Itu bukan bimbang dan takut membuta-tuli. Yang benarnya, sikap itu ialah PEKA. Dan peka itu pula adalah BERALASKAN TAPAK KEBENARAN. Beginilah sifat Islam. Dan inti utama Islam ialah tauhidnya. Jika perkara TAUHID yang melintas, sekilas lintasan pun orang-orang Islam sepatutnya dapat mengesan kerana pekanya mereka.


DR. ASRI MENULIS:
Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.


PENJELASAN KITA:
Itulah
BERWASPADA namanya. Memang boleh keliru dan tidak mustahil boleh merosakkan akidah jika dibiarkan tanpa pemantauan.


Contohnya remaja kita pastinya keliru jika suatu hari ada ulama mengatakan memang tidak boleh disalahkan jika orang Kristian memanggil Jesus sebagai “Allah” dan orang-orang Hindu memanggil patung di kuil mereka sebagai “Allah”. Akhirnya mereka akan punya satu andaian bahawa Allah itu sama saja sama ada yang kita sembah, yang berjasad manusia seperti Jesus ataupun yang bertangan empat iaitu patung di kuil. Padahal para ulama zaman-berzaman sentiasa berusaha membezakan anatara Allah dengan makhluk-makhluk lain yang dipertuhankan.


Kedua- Penisbahan “Allah” di tempat yang betul ialah salah satu daripada keperluan akidah yang sejahtera. Ia bukan satu-satunya penentu akidah, tetapi SALAH SATU. Harap dapat difaham.


DR. ASRI MENULIS:
Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!


PENEJELASAN KITA:

Kita tidak pernah menolak penggunaan “Allah” oleh kaum musyrik ketika itu kerana mereka meletakkannya di tempat yang betul.


DR. ASRI MENULIS:
Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

QUOTE:

Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.


PENJELASAN KITA:

Sudah dijelaskan berulang kali. Kaum musyrik Mekah ketika itu memang menggunakan “Allah” kena dengan tempatnya. Sebab itu kita tidak pernah pertikaikan mereka menggunakan “Allah”.


DR. ASRI MENULIS:
Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.


PENJELASAN KITA:

Bercakap tentang syirik, memang kita menentangnya. Sebab itu kita mengajarkan ilmu tauhid Sifat 20 agar umat Islam tidak melakukan syirik khafi, iaitu apabila umat Islam tersembah “Allah yang bercampur dengan makhluk” dan bukannya menyembah “Allah yang Esa”


DR. ASRI MENULIS:
Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.

Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3).


PENJELASAN KITA:

Ramai? Bukan segelintir?


Jika mereka menyembah kubur orang-orang tertentu, saya pun memang menolaknya. Jadi perkiraan kita SAMA.


Dilakukan oleh sesetengah tarekat YANG SESAT? BUKAN SEMUA tarekat kan? Bahagian ini pun saya bersetuju juga.


Oleh itu bahagain ini tidaklah saya panjangkan kerana kita punya PANDANGAN YANG SAMA.


DR. ASRI MENULIS:
Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.


PENJELASAN KITA:

Orang-orang itu tidak ada kaitan dengan saya. Saya sendiri mengambil dan mengajar apa yang benar daripada pengajaran tauhid jenis itu, tetapi pada masa yang sama menolak apa yang salah dan yang lemah daripadanya.


Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran ilmu tauhid Sifat 20. Mereka ini juga jelas menyimpan malah menyebarkan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid sedemikianlah antara yang dapat membetulkan sembahan agar kita menyembah Allah yang Esa dan bukannya meyembah Allah yang bercampur dengan makhluk (menyekutukan dan mensyirikkanNya).


DR. ASRI MENULIS:
Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sesi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.


PENJELASAN KITA:

Nabi Muhammad menyebarkannya dengan agak pantas dan mudah kerana sebaran itu dibuat dalam kalangan masyarakat yang memang tahu “Allah”.


Antara perkara pokok dalam sebarannya ialah:

Jangan sembah isi alam semesta/ alam makhluk ini (patung, manusia, dewa dan kesemuanya yang makhluk) tetapi sembah Allah sahaja.

Percaya bahawa dirinya ialah utusan Tuhan.


Apabila Islam semakin meluas “big bang”nya, para pekerja agama Allah ini terpaksa berhadapan dengan banyak kaum yang TIDAK TAHU “Allah” seperti rata-rata penganut agama Hindu, Buddha, Shinto, Rom, Confucious, animism dan lain-lain. KITA TERPAKSA KENALKAN ALLAH TERLEBIH DAHULU kepada mereka. Oleh kerana MEREKA TIAK PERCAYA al-Quran dan hadis serta lain-lain sumber agama Islam, maka para genius umat ini menyusun ilmu tauhid berasaskan akal fikiran yang waras.


Jika kita hidangkan kepada mereka al-Quran dan hadis, biasanya mereka akan menolak: “Kalau kami percaya al-Quran dan hadis, sudah lama kami memeluk agama Islam.” Jadi sebagai langkah penaut hati, mereka diajak berdialog dalam ruang yang mereka percaya dan kita pun percaya juga, iaitu menggunakan HUJAH-HUJAH AKAL. Setelah kita berjaya meyakinkan mereka dengan akal fikiran, barulah hati mereka tertarik untuk mengetahui isi kandungan al-Quran dan hadith. Dari situlah hati mereka berbunga untuk memeluk agama Islam. Begitulah strategi dakwah yang disusun oleh para imam ilmu tauhid.


Berkesankah kita hendak menarik orang bukan Islam supaya memeluk agama Islam dengan menggunakan ilmu tauhid uluhiyyah, rubbubiyyah dan asma wa sifat? Apa hujah yang hendak kita berikan kepada mereka? Al-Quran dan hadis mereka memang tidak percaya. Bukankah akhirnya kita akan menggunakan hujah akal juga? Bukankah hujah akal itu tidak tersusun lalu para ulama yang genius menyusunnya menjadi ilmu tauhid Sifat 20?


Jangan disamakan akal dengan logik 100%. Manusia yang benar menggunakan akal, bukan logik semata-mata. Sebab itu kita lihat, walau agama apa pun manusia ini, mereka biasanya akan makan daging ayam dan bukannya daging kucing. Mengapa? Kerana mereka menggunakan akal. Mengikut logik, tentulah kucing peliharaan lebih bersih luar dalamnya untuk dinikmati berbanding ayam yang makan kotoran.


Biasalah, seseorang yang tidak ada kemampuan untuk memahami sesuatu ilmu akan menghukum ilmu itu sebagai susah. Pelajar yang gagal menguasai ilmu Matematik akan menghukum pelajaran Matematik memeningkan kepala dan menyusahkan. Tetapi bagi mereka yang berjaya menguasainya, mereka jadi pecinta Matematik.


Begitulah juga situasinya dalam pembelajaran ilmu tauhid Sifat 20 ini. Hal ini bukanlah sesuatu yang ganjil, yang perlu dibuat-buat terkejut.


DR. ASRI MENULIS:

Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta..lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?


PENJELASAN:

Orang universiti mana? Banyak juga pelajar universiti yang belajar ilmu ini dan faham. Apakah kegagalan murid memahami sesuatu pelajaran membuktikan pelajaran itu perlu dihapuskan? Hukum jenis apa ini?


Sangat besar bezanya jika kita memahami perkara tersebut. Orang-orang yang tidak belajar dan memahami ilmu ini memanglah tidak nampak perbezaannya.


Ilmu Tauhid mengajar Tuhan itu kekal. Ada penganut agama Hindu yang juga mengatakan Tuhan itu kekal. Tetapi kekal kita dengan kekal mereka tidak sama. Kekal kita dengan maksud Tuhan itu langsung tidak pernah ataupun akan berubah. Sebagaimana zatNya dahulu, sebgitulah sekarang dan akan datang. Padahal dalam agama Hindu Bali, Tuhan sudah mengalami perubahan daripada Brahma kepada Vishnu dan Siva. Dalam agama Kristian pun ada perubahan iaitu daripada janin ke bayi kekanak-kanak dan ke dewasa. Kan berubah tu?


Kita kata Tuhan melihat. Kristian juga kata Tuhan melihat. Tetapi melihat kita tidak sama dengan melihat mereka. Pada kita, Tuhan sentiasa melihat segala perkara. Namun dalam Bible, Tuhan pernah berjalan-jalan di dalam syurga dan tercari-cari Nabi Adam dan isterinya, dan Tuhan siap bertanya pula (lebih kurang), “Oi Adam, engkau menyorok di mana?”


Kemudian apabila ilmu tauhid mengatakan “Tuhan ada”, maksudnya sentiasa ada dalam keadaanNya sebagaimana sejak azali tanpa berlaku sebarang perubahan. Tetapi sebahagian penganut agama Kristian percaya Tuhan mereka pernah mati 3 hari 3 malam! “Adanya Tuhan” pada Islam dengan “adanya Tuhan” pada Kristian itu kan tidak sama? Bagaimana Dr. Asri boleh mengatakan tidak ada beza?


Begitulah, orang yang celik akan nampak perbezaan yang jauh menjurang manakala orang yang buta akan menganggap tidak ada apa-apa perbezaan.


Orang yang menyelam ke dasar lautan dan mendapatkan sendiri mutiara pasti akan menyatakan betapa berbezanya mutiara dengan batu-batu di jalan. Tetapi orang yang tidak pernah melihat mutiara dan tidak mahu pula menyelam mencarinya, mungkin akan mengatakan tiada berbeza. Untuk itu, pelajarilah terlebih dahulu Ilmu Tauhid Sifat 20 sehingga faham, jangan sekadar mempercayai kata-kata mereka yang memusuhinya.


DR. ASRI MENULIS:
Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.


PENJELASAN KITA:

Jika benarlah pemahaman tentang akidah dan tauhid anti-syirik boleh diselesaikan sekadar dengan surah al-Ikhlas, Allah Taala tak akan menurunkan ayat-ayat lain tentang akidah dalam al-Quran. Allah tak akan melakukan kerja yang sia-sia. Maha Suci Allah daripada melakukan sesuatu yang sia-sia.


DR. ASRI MENULIS:
Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.


PENJELASAN KITA:

Dalam isu ini, antara perkara pokok perjuangan kita ialah memelihara kesucian sebutan “Allah” itu agar tidak dicemari. Nama Tuhan Sebenar iaitu “Allah’ akan tercemar jika kita memberi keizinan membabi-buta kepada bukan Islam untuk menisbahkannya kepada sembahan mereka. Mesti ada syarat-syaratnya dan syarat utama ialah “Allah’ tidak mereka gunakan untuk selain Allah. Jika syarat ini mereka persetuju dan kita ada kemampuan untuk memantaunya, kita tidak ada masalah langsung untuk membenarkan sesiapa sahaja menggunakan “Allah”.


Bayangkan seandainya di dahi patung besar Batu Caves ditulis “Alif lam lam ha”. Apakah kita akan mengucapkan “Alahamdulillah, syukur” sambil tersenyum kegembiraan? Hendak dilarang sudah tidak boleh kerana kita sudah membenarkan mereka menyebut Tuhan mereka sebagai Allah!

Ada agama yang menganggap lembu itu Tuhan. Suatu hari kita melihat lukisan lembu di dinding bangunan lalu ditulis “Allah”. Apakah Tuhan menyuruh kita bersyukur?


DR. ASRI MENULIS:
Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.


PENJELASAN KITA:

Bagaimana akidah orang awam boleh kukuh sedangkan akidah orang atasan pun ada yang goyah teruk? Jika tidak, masakan boleh bersetuju kaum Kristian Triniti menggunakan “Allah” untuk Tuhan mereka? Betul tidak?


Maka orang atasan seperti inilah yang terlebih dahulu mesti dibetulkan atau membetulkan akidah mereka. Hulu sungainya sudah keruh, bagaimana mahu jernih di hilir?


DR. ASRI MENULIS:

Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.


PENJELASAN KITA:

Mungkin Dr. Asri tersilap taip. Tumpukan pada perkataan “HANYA”. Mana buktinya umat Islam di Malaysia hari ini terus “hidup” HANYA dengan berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang? Ayat yang benar sepatutnya berbunyi: “Sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup dengan BANYAK bergantung kepada oksigen dari saluran undang-undang.”

Jauh perbezaannya tu.


DR. ASRI MENULIS:
Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.


PENJELASAN:

Di sini Asri sudah salah faham ataupun gagal memaham. Perjuangan kita bukannya berjuang merebut nama Allah ataupun sebutan “Allah”, tetapi kita memperjuangkan agar sebutan “Allah” KENA DENGAN TEMPATNYA walau siapapun (Muslim ataupun bukan) yang menggunakannya. Perhatikan jurang besar antara kedua-dua perkara ini.


Kita TIDAK PERNAH KATA Allah itu Tuhan orang-orang Islam saja. Pada hakikatnya, Allah ialah Tuhan kepada seluruh alam dan penghuninya. Tetapi dari segi praktiknya, sebutan “Allah” mahu salahgunakan oleh orang-orang tertentu untuk dinisbahkan kepada selain Allah. Hal inilah yang setiap orang beriman mesti berjuang menidakkannya, bukan menyokongnya pula.



"BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW"


Abu Zulfiqar al-Amsyari

2009