Saturday, June 6, 2020

Amalan Asas Tarekat Ghazaliyah 3


Dalam Tariqah Al-Ghazaliyyah ini, ada satu amalan asas yang disebut sebagai Zikir Harian. Pada setiap hari, ada satu kalimah zikir yang sangat bagus jika dapat engkau lafazkan (sama ada di lidah, atau di hati, atau pada kedua-duanya serentak).

a)       Jumaat – Ya Allah 1000x
b)      Sabtu – La Ilahaillallah 1000x
c)       Ahad – Ya Hayyu, Ya Qayyum 1000x
d)      Isnin – La haula wa la quwwatillabillah 1000x
e)      Selasa – Allahumma solli ‘ala Muhammad 1000x
f)        Rabu – Astaghfirullah 1000x
g)       Khamis – Subhanallahi wabihamdihi, subhanallahil ‘azim (atau Subhanallhi ‘azimi wabihamdih) 1000x

Jumlahnya lebih kurang 1000x. 1000 itu adalah untuk menunjukkan banyak. Agak-agak sahaja lebih kurang 1000x, tidak mesti 1000x tepat. Sekiranya mahu ditepatkan 1000x, hal itu adalah bagus.

Jangan lebih banyak daripada 1000x, kerana disusun sesuatu itu sebegitu tentunya ada hikmah di sebaliknya, yang insya-Allah akan engkau ketahui dan seterusnya fahami pada kemudian hari nanti.

Tidak ada sesuatu yang dibuat secara sia-sia tanpa maqsud (matlamat) tertentu dalam Tarekat Ghazaliyah ini. Maka, mudahkan diri kita, kita turut sahaja akan adab-adab yang dianjurkan oleh para pendahulu kita dalam jalan ini. Jika tidak, dikhuatiri kita memang akan mengalami peningkatan diri TETAPI dalam masa yang sama sebenarnya kita tidak berjaya mencapai maqsud yang dimaqsudkan oleh pengasas tarekat ini iaitu Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali.

Selamat mengamalkan Zikir Harian.

Thursday, June 4, 2020

Amalan Asas Tarekat Ghazaliyah 2


Segala amal yang FARDHU dan WAJIB, mestilah engkau selesaikan tanpa gagal.

Amal-amal itu diselesaikan bukan kerana engkau hendak mengamalkan Tarekat Ghazaliyah, tetapi kerana amal-amal itu memang sudah MESTI engkau selesaikan, tidak kira sama ada engkau bertarekat dengan Tarekat Ghazaliyah atau pun tidak.

Sepatutnya, sebelum engkau berTarekat Ghazaliyah lagi amal-amal tersebt sudah biasa engkau selesaikan dengan jayanya.

Sekiranya engkau belum dapat menyelesaikan amal-amal tersebut tetapi engkau mahu berTarekat Ghazaliyah, tentu sahaja tidak menjadi sebarang masalah. Semoga melalui tariqah ini engkau akan lebih mudah menyelesaikan segala amal-amal fardhu dan wajibmu.

Amal fardhu yang paling penting ialah SOLAT FARDHU YANG 5 WAKTU dalam sehari semalam, sebagaimana solat fardhunya Rasulullah saw, para sahabat baginda sehinggalah kepada seluruh umat Islam hari ini. Solat fardhu arus perdana ini mestilah engkau selesaikan sehinggalah ke akhir hayatmu, walau setinggi mana pun maqammu dalam jalan keruhanian ini nanti.

Jadi, lengkapkanlah yang 5 waktu sehari semalam itu sehinggalah ke akhir nafasmu di dunia yang sekejap ini.