Wednesday, February 14, 2024

Dan Lagi Sebagai Ahli dan Pelajar Sufi

 

Dan lagi sebagai ahli atau pelajar2 sufi, kita hendaklah tekadkan agar segala perubahan baik yang berlaku ke atas diri kita adalah kerana cinta Allah yang menjadi penggerak utamanya.

Berubah kerana teguran orang – bagus.

Berubah kerana mendapat sesuatu yang diingini, kerana mendapat sesuatu rezeki – bagus.

Berubah kerana berlakunya peningkatan usia, sudah tua, sudah semakin tua – bagus.

Berubah kerana sudah pencen, semakin lapang – bagus.

Berubah kerana berlaku sesuatu yang tidak diingini, kerana tertimpa sesuatu bencana, kerana kehilangan sesuatu, kerana tidak berjaya mendapat sesuatu – bagus.

Berubah kerana faktor kesihatan – bagus.

Berubah kerana berasa terpaksa, kerana malu, kerana mengikut budaya persekitaran – bagus.

Berubah kerana dipaksa – masih bagus.

Tidak mahu berubah ke arah yang lebih baik – itu yang tidak bagus.


Tapi oleh kerana engkau hendak mengetahui, mempelajari dan melalui jalan (tariq, tariqat) para sufi, maka berusaha gigihlah agar engkau dapat melakukan sebarang perubahan atas dasar cinta yang utamanya. Jika belum dapat, tidak mengapa. Insya-Allah suatu hari nanti ada rezeki untuk mendapatnya asalkan engkau terus belajar dan mengamal.


Bagi yang sudah ahli, malu rasanya terhadap Allah jika berubah hanya setelah berlakunya sesuatu (sama ada yang diingini atau tidak diingini). Jika tidak berlakulah sesuatu itu, apakah tidak akan berubah? Engkau berubah sebenar2 kerana Dia atau kerana sesuatu selain Dia (wahai diriku sendiri terutamanya)?


Sebegitu halus ilmu dan amal tariqah sufi ini.


13/2/24

Sebagai Ahli dan Pelajar Sufi...

 

Sebagai ahli dan pelajar2 sufi, kita hendaklah berusaha dengan gigih agar dapat mencapai suatu maqam iaitu taat akan Allah, patuh peraturan2-Nya dan berbuat amal2 agama kerana CINTA yang menjadi penggerak utamanya. Inilah yang terbagus.

Patuh dan berbuat kerana sayang (yang menjadi penggerak utamanya) itu sangat bagus.

Patuh dan berbuat kerana suka itu juga sangat bagus.

Patuh dan berbuat kerana taat itu bagus.

Patuh dan berbuat kerana mengharapkan sesuatu ganjaran itu bagus.

Patuh dan berbuat kerana berasa bertanggungjawab itu bagus.

Patuh dan berbuat kerana berasa terpaksa itu masih bagus.

Patuh dan berbuat kerana takut akan sesuatu ancaman itu masih bagus.

Patuh dan berbuat kerana dipaksa itu pun masih bagus.

Sekurang-kurangnya ada juga patuh dan berbuat.

Tidak patuh atau tidak mahu berbuat - itu yang tidak bagus.


Yang berbuat atas dasar cinta itu akan jadi sangat ringan rasanya.

Yang berbuat atas dasar rasa bertanggungjawab itu ada ringan dan ada beratnya.

Yang berbuat atas dasar terpaksa atau dipaksa itu berat rasanya.

Yang tidak mahu berbuat itu - amat berat nanti tanggungannya.


Walau di maqam yang mana kita berada sekarang, sebagai ahli atau pelajar sufi, matlamatkan untuk mencapai maqam taat, patuh dan berbuat kerana cinta Allah.


13/2/24