Tuesday, February 1, 2022

Nur Muhammad yang Sebenar, yang Benar dan yang Tak Benar

 

Nur Muhammad itu

ada yang sebenar,

ada yang bukan sebenar tetapi masih benar,

dan ada yang tidak benar.


Yang sebenar itu, sangat sedikit.

Yang bukan sebenar tetapi masih dikira benar itu, agak banyak.

Yang tidak benar, itu yang paling banyak.


Ibaratnya - 7 generasi yang lalu, salah seorang tokoh leluhur kita tiba-tiba pada suatu hari berkata, "Aku sudah jatuh ke dalam gaung yang sangat dalam!" Ketika itu seluruh ahli keluarga faham bahawa yang dimaksudkan oleh tokoh itu ialah aspek keagamaannya yang sudah banyak merudum. Tiada sebarang perbezaan pandangan apatah lagi pertikaian pendapat.


Kata-kata si tokoh pun disampaikanlah dari mulut ke mulut sepanjang tujuh generasi itu. Pada generasi ke tujuh, suatu hari anak cucu berbincang tentang maksud sebenar kata-kata si tokoh dahulu yang berbunyi, "Aku sudah jatuh ke dalam gaung yang sangat dalam!".


Majoriti keturunannya percaya bahawa tokoh itu benar-benar terjatuh ke dalam sebuah gaung yang sangat dalam suatu ketika dahulu. Bapa aku yang bagitau begitu, datuk kita yang cerita pada aku, mak long yang cakap macam tu semalam... masing-masing akan pertahankan sumber masing-masing. Tetapi khabar yang ini adalah khabar yang salah.


Minoriti keturunannya pula percaya bahawa si tokoh tidak jatuh ke dalam gaung, tetapi kehidupannya ketika itu sedang mengalami kejatuhan. Buktinya, ketika itu dikatakan perdagangannya antara Sumatera-Melaka mengalami kerugian, kapalnya dirompak lanun dan gudangnya di Melaka pula terbakar. Hal ini tidaklah menjauhi kebenaran tetapi bukan yang sebenarnya atau bukan yang tepat dengan maksud kata-kata yang dikeluarkannya ketika itu.


Hanya beberapa orang sahaja keturunannya yang masih yakin bahawa kata-kata si tokoh ketika itu sebenarnya adalah tentang aspek keagamaannya, bukannya kerana perdagangan yang kerugian, walaupun perdagangan yang kerugian itulah yang membuatkan keagamaannya merudum buat seketika kerana kelemahannya dalam menghadapi ujian Allah.


31/1/22


Banyak Sangat Nak Diamal Tu

Amalan banyak lagi pelbagai, sangat bagus. Tetapi jika amalan sudah jadi terlalu banyak dan terlalu pelbagai, ia akan melelahkan dan memberatkan tanggungan diri, memakan banyak masa hinggakan berlaku rugi dalam urusan-urusan lain, semua amalan itu akan jadi kurang istiqamah, akan timbul serba-salah dalam memilih yang mana satu atau yang mana dua tiga ketika perlu, dan biasanya akan jadi tawar (kurang mujarab atau tidak mujarab). Padahal kesemua amalan atau bacaan itu bagus-bagus belaka. Ketika itu barulah terperasan bahawa orang-orang yang amalan atau bacaan2nya tidak sebanyak kita tetapi nampak selalu mujarab.


Amalan2 yang kegunaaan dan tujuannya lebih kurang sama, diambil daripada puluhan orang guru dan mahu diamalkan semua pula. Pantang ada ijazah, meluru pergi ambil dan terus diamal. Paling banyak pun, amal 2-3 cukuplah. Ini... bacaan untuk murah rezeki setiap hari sudah ada 10 versi (satu pun tak mahu tinggal dalam sehari), bacaan untuk keselamatan diri sahaja ada 10 jenis, bacaan untuk dimudahkan urusan ada 10 bangsa, sebagai penerang hati ada 10 wirid, sebagai penawar demam panas biasa (1 jenis) ada 10 rupa, amalan untuk ini ini ada bekalan daripada 10 orang guru, amalan untuk itu itu ada pula ajaran daripada 10 orang guru yang lain pula. Lama-kelamaan silap-silap kita hanya lebih dapat jadi pengumpul amalan dan bacaan sahajalah. Amal dan penghayatannya tidaklah setara mana pun. Sebab itulah khasiatnya kurang menjelma.


Kita ambil tamsilan.


Antara senjata yang dibawa oleh seseorang askar barisan hadapan zaman Melayu dahulu kala ialah lembing, perisai, pedang, keris, dan pisau.


Daripada senjata jenis panjang, boleh dilontar, dihayun dan dipacak, cukuplah pilih satu sahaja tanpa perlu membawa segala lembing, tombak, buluh runcing, kayu panjang, rotan panjang dan sebagainya. Yang satu itu boleh dikatakan sudah mencakupi peranan yang lain-lain walaupun tidak betul-betul sama 100%. Mana tangannya jika hendak dibawa segala jenis senjata itu? Silap-silap akan menjadi punca ketewasan kita jika dibawa semua.


Daripada senjata berjarak hayunan, boleh ditusuk dan boleh dibuat sebagai penahan pukulan, bawalah satu sahaja daripada segala pedang, parang, golok panjang, rotan, kayu sedepa, buluh dan sebagainya. Nak sangkut di mana jika dibawa semua? Tidakkah akan memberatkan badan dan membuatan kita cepat keletihan dalam perjalanan?


Perisai pun sama. Bawalah satu sahaja antara perisai kayu, perisai rotan, perisi logam, berbentuk bulat, berbentuk segi empat, berbentuk daun dan sebagainya.


Begitulah seterusnya. Semua senjata itu bagus belaka tetapi akan membawa masalah jika masih mahu dibawa sekali semua ke medan perang yang mungkin memakan masa lama. Zaman dahulu kala, perjalanan pergi sahaja sudah berminggu berbulan lamanya. Nak bawa makanan, pakaian dan peralatan lain sama. Macam mana?


Bagi askar barisan pemanah pula, kenalah bawa busur dan bekas berisi anak panah. Takkanlah seorang nak bawa 5 busur. Dan tidak bertahap perlu pula untuk membawa tombak, pakaian samaran dan sumpit.


Bagi komando, eloklah jangan dibawa senjata yang besar-besar, berat-berat, dan panjang-panjang. Sebaliknya bawalah keris, belati, kerambit, pakaian samaran, sumpit, cindai, serbuk beracun dan seumpamanya.


Jad, mengikut pandangan Tarekat Ghazaliyah, banyak dan pelbagai itu tidak semestinya petanda bagus. Biar tidak berapa banyak dan tidak begitu pelbagai asalkan kualiti dan keberkesanannya bagus. Sebab itulah jika diperhatikan, amalan atau bacaan dalam Tarekat Ghazaliyah ini umumnya sikit-sikit sahaja, tetapi orang-orang yang beramal dengan ikhlas pasti dapat merasa keberkesanannya belaka.


Banyak tidak mengapa, jangan berbanyak-banyak. Pelbagai tidak mengapa, jangan terlalu pelbagai.


*Sebagai jawapan kepada seorang hamba Allah yang meminta panduan. Dia sangat banyak mengambil dan mengamal bacaan2 daripada pelbagai guru, anjuran orang dan bacaan2 di media sosial, sehinggakan kini dia kelelahan tanpa hasil yang memberangsangkan.


31/1/22