Thursday, June 4, 2020

Amalan Asas Tarekat Ghazaliyah 2


Segala amal yang FARDHU dan WAJIB, mestilah engkau selesaikan tanpa gagal.

Amal-amal itu diselesaikan bukan kerana engkau hendak mengamalkan Tarekat Ghazaliyah, tetapi kerana amal-amal itu memang sudah MESTI engkau selesaikan, tidak kira sama ada engkau bertarekat dengan Tarekat Ghazaliyah atau pun tidak.

Sepatutnya, sebelum engkau berTarekat Ghazaliyah lagi amal-amal tersebt sudah biasa engkau selesaikan dengan jayanya.

Sekiranya engkau belum dapat menyelesaikan amal-amal tersebut tetapi engkau mahu berTarekat Ghazaliyah, tentu sahaja tidak menjadi sebarang masalah. Semoga melalui tariqah ini engkau akan lebih mudah menyelesaikan segala amal-amal fardhu dan wajibmu.

Amal fardhu yang paling penting ialah SOLAT FARDHU YANG 5 WAKTU dalam sehari semalam, sebagaimana solat fardhunya Rasulullah saw, para sahabat baginda sehinggalah kepada seluruh umat Islam hari ini. Solat fardhu arus perdana ini mestilah engkau selesaikan sehinggalah ke akhir hayatmu, walau setinggi mana pun maqammu dalam jalan keruhanian ini nanti.

Jadi, lengkapkanlah yang 5 waktu sehari semalam itu sehinggalah ke akhir nafasmu di dunia yang sekejap ini.

Bekerja dengan Kerajaan, Bekerja dengan Allah


Sampai kepada sahaya bahawa seorang ustaz memegang prinsip tidak bekerja dengan kerajaan tetapi bekerja dengan Allah, maka Allah adalah majikannya.

Pandanga sahaya :

Ya. Orang berkerja dengan kerajaan atau tidak, ringkas kata kedua-duanya bekerja dengan Allah dan Allah adalah majikan mereka. Jadi, tidak ada sebarang isu pada bahagian ini.

Melainkanlah sekiranya si ustaz berpandangan bahawa bekerja dengan kerajaan itu ertinya tidak bekerja dengan Allah dan Allah bukan majikan mereka. Maka, barulah ada isu. Jelas?

Jika mereka (muslim, mu’min, muhsin) yang bekerja dengan kerajaan itu dikira sebagai tidak bekerja dengan Allah, apakah mereka itu sedang bekerja dengan selain Allah dan Allah bukan majikan mereka? Adakah mereka bekerja dengan Jesus, Gautama Buddha, Krishna, Zeus, Zheng He atau lain-lain dan semua itu pula yang menjadi majikan mereka? Tentulah tidak, kerana mereka yang bekerja dengan kerajaan tetap bekerja dengan Allah dan tetaplah Allah majikan mereka.

Antara orang-orang yang jauh lebih hebat daripada kita, yang mereka bekerja dengan kerajaan ialah :
1.       Nabi Yusuf as
2.       Nabi Dawud as
3.       Nabi Sulaiman as
4.       Saiyidina Abu Bakar
5.       Saiyidina Umar
6.       Saiyidina Uthman
7.       Saiyidina Ali
8.       Huzaifah ibnu Yaman
9.       Abu Hurairah
10.   Khalifah Umar Abdul Aziz
11.   Imam Asy-Syafi’i
12.   Imam Al-Ghazali
13.    Imam Ahmad Al-Ghazali
14.    Salahuddin Al-Ayyubi
15.    Sultan Muhammad Al-Fateh
16.    Shamsuddin Al-Wali
17.    Sebahagian Wali Songo
dan sangat ramai lagi.

Apakah mereka tidak bekerja dengan Allah dan Allah bukan majikan mereka?

2 Jun 2020