Sunday, January 1, 2017

Merindui Allah, Mencintai Kematian

Katanya ahli-ahli sufi tidak membenci kematian, malah mencintainya. Mengapa ya?

Kerana mati itulah laluan untuk bertemu dengan Kekasih (Allah SWT) yang sudah sekian lama dirindui. Tidakkah kita suka untuk bertemu Yang Dirindui? Hanya yang belum mencinta dan merindu yang membenci kematian.

Tetapi... mengapa mereka berdoa minta dipanjangkan umur?

Kerana mereka mahu membuat persiapan pertemuan yang terbaik mungkin. Kedudukan kita di akhirat nanti bergantung kepada kedudukan kita di dunia. Setinggi atau serendah mana kedudukan kita di sisi Allah ketika di dunia ini, sebegitulah kedudukan kita di akhirat nanti. Oleh itu, mereka mahu mencantikkan lagi ilmu dan amal tentang ma'rifah, mahabbah, redha dan lain-lain semaksima mungkin.

Macamlah orang yang hendak berkahwin. Tarikh perkahwinan sudah hampir tetapi kalau boleh dia mahu dipanjangkan waktunya agar persediaan-persediaan untuk menerima pasangannya lebih lengkap berbanding sebelumnya.

Begitu juga dengan orang yang masuk pertandingan pidato. Kalau boleh, dia mahu menganjakkan lagi saat gilirannya agar persediaannya lebih baik.

Ilmu Banyak tapi Hati Keras

Ilmu-ilmu agama dan amal-amalku bertambah dengan pesatnya, tetapi hati tetap gusar seperti sebelum-sebelum ini juga.
Mengapa ya?

Antaranya kerana selama ini engkau mengabaikan ilmu tentang pengurusan hati, iaitu ilmu tasawuf. Engkau menganggap ia sekadar tambahan, bukan pemberatan.

Walau ilmu agamamu setaraf super 'ulama dan amal-amalmu sebanding super 'abid, tanpa selok-belok jalan tasawuf, hatimu akan tetap keras kasar sehinggalah ke matimu. Selalu juga orang tidak menyedari akan keras kasar hatinya sehingga ke akhir hayatnya.



Tidak belajar, tiadalah tahu.
Tiada tahu, tiadalah amal.
Tiada amal, tiadalah rasa.
Tiada rasa, tiadalah "sampai".