Thursday, September 24, 2020

Rasulullah Kami Rindu 1

RUPA DAN KEJADIAN NABI SAW

 

Anas bin Malik ra berkata: “Rasulullah seorang yang mempunyai tubuh yang sedang (sederhana), tidak tinggi dan tidak rendah, bentuk tubuhnya bagus. Rambutnya tidak keriting dan tidak lurus. Warna kulitnya putih kemerah-merahanan.” (Bukhari, Turmizi)

 

Anas bin Malik meriwayatkan : “Keadaan tubuh Nabi saw tidak terlalu tinggi dan tidak rendah. Kulitnya tidak terlalu putih dan tidak gelap. Rambutnya tidak terlalu keriting dan tidak lurus betul.” (Bukhari, Muslim, Turmizi, Ahmad, Malik)

 

Al-Bara’ ibn Azib ra meriwayatkan : “Rambut baginda lebat, hujungnya menyentuh daun telinga bahagian bawah. Baginda ada baju berwarna merah. Aku belum pernah melihat seorang yang lebih tampan daripada baginda (dengan berbaju merah itu).” (Turmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibn Majah, Ahmad)

 

Al-Bara’ ibn Azib ra meriwayatkan : “Aku belum pernah melihat seseorang yang hujung rambutnya menyentuh bahagian bawah telinganya serta memakai baju berwarna merah yang lebih gagah daripada Rasulullah SAW.” (Muslim, Turmizi, Abu Dawud).

Bara’ bin Azib berkata : “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih baik rupanya ketika memakai pakaian berwarna merah selain Rasulullah saw. Hujung rambut baginda terhurai menyentuh bahunya.” (Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Abu Dawud, Ahmad)

 

Jabir bin Samurah ra meriwayatkan : “Aku melihat tanda kenabian di antara kedua-dua pundak (bahu) Rasulullah SAW iaitu daging berwarna merah sebesar telur burung merpati.” (Muslim, Turmizi, Ahmad)

 

Anas bin Malik meriwayatkan : “Panjang rambut Rasulullah SAW sampai pada setengah telinga baginda.” (Muslim, Abu Dawud, Turmizi, An-Nasa’i, Ahmad)

Aisyah ra berkata : “Aku pernah mandi bersama-sama Rasulullah saw daripada satu wadah (bekas air). Baginda mempunyai rambut yang panjangnya tidak sampai ke bahu dan tidak sampai ke bahagian bawah daun telinga.” (Turmizi, Ibn Majah, Abu Dawud, Ahmad)

 

Rasulullah saw mementingkan pemeliharaan janggut.

“Cukurlah misai dan peliharalah janggut.” (Bukhari, Muslim)

“Berbezalah kamu daripada orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan potonglah misai.” (Bukhari, Muslim)

 “Kami diperintahkan supaya memotong misai dan memanjangkan janggut.” (Muslim)

“Sepuluh perkara termasuk fitrah – memotong misai, memelihara janggut….” (Muslim)

 

Anas bin Malik meriwayatkan : “Aku hanya dapat menemukan 14 helai uban pada rambut dan janggut Rasulullah SAW.” (Turmizi, Ahmad)

Ibnu Umar berkata : “Uban Rasulullah SAW sekitar 20 helai.” (Turmizi, Ahmad, Ibnu Majah)

 

KATA-KATA DAN KETAWA NABI SAW

 

Baginda ialah manusia yang paling fasih tutur katanya, tidak banyak bercakap kecuali yang penting, mudah kata-katanya, banyak tersenyum, sesekali tertawa sehingga kelihatan gigi gerahamnya (ketika sangat suka), bersungguh-sungguh menyampaikan pengajaran, dan sebagainya.

 

Abdullah bin Harits ra mengatakan : “Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.” (Turmizi, Ahmad)

 

Abu Zarr berkata : “Aku melihat Rasulullah SAW tertawa sehingga kelihatan gigi gerahamnya.” (Muslim, Ahmad, Turmizi)


Jarir bin Abdullah ra berkata : “Sejak saya masuk Islam, Rasulullah saw tidak pernah melarang saya untuk mengunjunginya. Setiap kali baginda melihat saya, baginda pasti tertawa.” (Bukhari, Muslim, Turmizi)

 

 

- Dihuraikan daripada kitab induk Ihya' 'Ulumuddin karya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali oleh Abu Zulfiqar Al-Amsyari dalam Hidangan Berwangian Cinta untuk Orang2 di Taman Cahaya

No comments: