Wednesday, March 6, 2019

Adakah Berubat Bertentangan dengan Tawakal?


Berubat tidaklah bertentangan dengan tawakal kerana terdapat perbuatan, perkataan dan perintah Rasulullah saw tentangnya.

Sabda Nabi saw : “Tidak ada suatu penyakit pun melainkan ada ubat baginya (yakni ubat atau cara berubat) yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya dan (ubat atau cara berubat yang) tidak diketahui oleh orang yang tidak mengetahuinya, kecuali as-saam (maut).” (Ahmad, Thabrani)

Sabda Nabi saw : “Berubatlah wahai hamba Allah! Sesungguhnya Allah menjadikan penyakit dan ubat.” (Turmizi, Ibnu Majah)

Ditanyakan kepada Rasulullah saw tentang usaha berubat dan ruqyah, adakah usaha itu bererti menolak takdir Allah?
Jawab baginda : “Berubat itu sendiri dalah daripada takdir Allah.” (Turmizi, Ibnu Majah)

Sabda Nabi saw kepada Saiyidina Ali ra ketika Ali sakit mata : “Engkau jangan makan yang ini (jangan makan ruthab – kurma  yang belum kering).” “Makanlah yang ini (makanlah siliq – semacam tumbuh-tumbuhan yang dimasak dengan tepung syair).” (Abu Dawud, Turmizi)

Hadis ini berkaitan dengan berubat.

Imam Al-Ghazali menulis : “Ubat-ubat itu ialah sebab-sebab yang dijadikan dengan hukum Allah Taala sama seperti sebab-sebab yang lain. Sebagaimana roti itu ubat lapar dan air itu ubat haus, maka sakanjabin itu menjadi ubat kepada penyakit kuning dan sakmunia itu ubat untuk memudahkan buang air besar.”

Imam Al-Ghazali berkata : “Jelaslah bahawa Yang Menyebabkan Sebab-sebab (Allah) melaksanakan sunnah-Nya (sunnatullah) dengan mengikatkan musabab-musabab (akibat) dengan sebab-sebab, untuk melahirkan hikmah.”

-          Pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumudin : Kitab Tauhid & Tawakal
-          Kuliah 24 September 2018


Sabda Nabi saw : “Orang mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang berbudi baik dan berlemah-lembut kepada isterinya.” (Turmizi, An-Nasa’i)

Sabda Nabi saw : “Yang terbaik dalam kalangan kamu ialah yang terbaik kepada isterinya, dan aku adalah yang terbaik daripada kamu kepada isteriku.” (Turmizi, An-Nasa’i)

-          Pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin : Kitab Adab Perkahwinan
-          Kuliah 9 April 2018

No comments: