_UCAPTAMA & DOA IJTIMA’ TARIQAH
AL-GHAZALIYYAH kali ke-2 (2018)
1. MUQADDIMAH
Assalamu’alaikum w.b.t.
“Dan
berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu mendatangkan manfaat kepada
orang-orang beriman.” (Adz-Dzariyat : 55)
Alhamdulillah. Kita sangat bersyukur kepada Allah SWT atas segala
kurniaan-Nya.
Ribuan terima diucapkan kepada semua pihak sama ada secara
individu ataupun secara berkumpulan yang membantu dalam menjayakan Majis
Pertemuan Setahun Sekali Pengamal-pengamal Tariqah Al-Ghazaliyyah bagi kali yang
ke-2 ini.
·
Terima kasih kepada yang menyumbangkan tenaga.
·
Terima kasih kepada yang menyumbangkan doa.
·
Terima kasih kepada yang menyumbangkan idea.
·
Terima kasih kepada yang menyumbangkan masa.
·
Terima kasih kepada yang menyumbangkan
belanja.
·
Terima kasih kepada yang menyumbangkan harta
benda.
·
Terima kasih kepada yang menyumbangkan
sokongan.
·
Sama ada yang menyumbang secara langsung
mahupun yang menyumbang secara tidak langsung.
·
Tidak dilupakan, terima kasih kepada semua yang
hadir kerana kehadiran kita ini juga satu sumbangan yang sangat besar kepada
majlis kita ini.
Hanya Allah sahajalah yang sebenar-benar yang dapat membalas
segala budi baik tuan-tuan semua.
Firman Allah SWT :
“Dan
tolong-menolonglah kalian dalam hal kebaikan dan taqwa, tetapi janganlah kalian
bertolong-tolongan dalam hal dosa dan pelanggaran.”
(Al-Maidah : 2)
Insya-Allah kitalah antara golongan hamba-hamba-Nya yang sedang
melaksanakan tuntutan dalam ayat ini.
Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,
Majlis
dan ucaptama ini umumnya adalah untuk semua orang,
dan
khususnya untuk para pengamal tasawuf,
dan
lebih khusus lagi buat para pengamal tarekat,
dan
tentunya yang paling khusus adalah kepada para pengamal Tarekat Ghazaliyyah.
Sememangnya
kita mengharapkan manfaatnya adalah untuk semua.
Ucapan ini sebenarnya lebih berupa ucapan kesyukuran dan berterima
kasih yang diisi dengan seruan-seruan cinta, yang berisi ajakan-ajakan kepada
cinta dan memperingatkan tentang cinta. Bersesuaian dengan dasar/jalan/tariq
bagi Tarekat Ghazaliyah ini iaitu cinta, yakni cinta Allah. Maka ucapan ini
bukanlah pengajian agama atau penyampaian ilmu-ilmu agama yang khusus
sebagaimana selalunya kita mengaji kitab.
Sebab itulah slogan majlis perhimpunan kita ini bunyinya :
“Berhimpun – Berkenalan – Bersaudara”.
Kita berhimpun kerana Allah, kita berkenal-kenalan pada jalan
Allah, dan kita membina
persaudaraan juga kerana Allah.
Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya
orang-orang beriman itu bersaudara.” (Al-Hujurat : 10)
2. IMAM AL-GHAZALI, IHYA’ ‘ULUMUDDIN &
TARIQAH GHAZALIYYAH
Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,
Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin dan
Tariqah Al-Ghazaliyyah ini bolehlah jika hendak dikatakan sebagai rahmat bagi
seluruh umat Islam. Ibarat air hujan lebat yang turun ke serata pelusuk bumi, semua
orang boleh mengambil manfaat daripadanya.
Yang mahu menakung airnya, silakan.
Yang mahu mengalirkan airnya, silakan.
Yang mahu menumbuhkan tumbuh-tumbuhan,
silakan.
Yang mahu menghilangkan dahaga,
silakan.
Yang mahu menyuci dan membersihkan,
silakan.
Mukjizat teragung bagi Rasulullah saw ialah kitab suci Al-Quran,
maka karamah teragung bagi Imam Al-Ghazali tidak lain ialah kitab Ihya’
‘Ulumuddin.
Kitab suci Al-Quran merupakan kitab induk bagi segala hal
termasuklah hal-hal hati atau qalbu. Maka kitab Ihya’ merupakan kitab huraian
yang sangat penting bagi soal-soal hati qalbu yang dirumuskan dalam Al-Quran.
Rumusannya dalam Al-Quran, huraiannya dalam Ihya’.
Kitab Ihya’ inilah yang menjadi ‘pakaian diri’ bagi ikhwan Tarekat
Ghazaliyah.
Sekiranya suatu hari nanti kitab Ihya’ ini mengalami kelemahan, kelumpuhan
atau kematian, faktor penyebab utama dari segi syariatnya bukanlah kerana
musuh-musuh yang datang menyerang dan yang datang merubah, tetapi kerana :
i)
Kita sendiri yang tidak berusaha untuk
belajar.
ii)
Kita sendiri yang tidak berusaha untuk
menyebar.
iii)
Kita sendiri yang tidak berusaha untuk
mengajar.
iv)
Kita sendiri yang tidak berusaha untuk
mengamal.
Tuan-tuan yang dikasihi sekelian.
3. SERUAN-SERUAN CINTA
Cintai
Allah, cintai Kitabullah
Cintai
Rasulullah, cintai As-Sunnah
Cintai
diri, cintai ummah
Cintai
ibadah, cintai dakwah.
Inilah 8 medan atau 8 bangsa kecintaan yang selalu kita tegaskan
dalam tarbiyyah dan dakwah kita.
3.1
MARILAH
KITA MENCINTAI ALLAH
Mengapa
kita mesti mencintai Allah?
Allah SWT Taala berfirman :
“Orang-orang
yang beriman itu sangat cinta kepada Allah.” (Al-Baqarah : 165)
Bukankah kita orang-orang beriman?
Bersabda pula Rasulullah saw : “Tidak beriman seseorang kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya LEBIH
DICINTAINYA daripada yang lain-lain.” (Bukhari, Muslim)
Maqam cinta Allah merupakan maqam tertinggi.
Berkata Imam Al-Ghazali : “Sesungguhnya
maqam CINTA ALLAH merupakan matlamat/tujuan paling jauh (paling akhir) daripada
maqam-maqam yang ingin dicapai dan merupakan darjat tertinggi daripada
darjat-darjat. Tidak ada selepas maqam cinta suatu maqam pun lagi melainkan
buah (hasil) daripada buah-buahannya dan ikutan (kesan) daripada
pengikut-pengikutnya.” (Ihya’ ‘Ulumuddin : Kitab Cinta Allah)
Sama ada kita sedrar atau tidak :
·
Semua pemberian makhluk kepada kita, pada hakikatnya
ialah pemberian Allah.
·
Semua pertolongan makhluk kepada kita,
hakikatnya ialah pertolongan Allah.
·
Semua kasih sayang makhluk kepada kita,
hakikatnya ialah kasih sayang Allah.
·
Semua budi baik makhluk kepada kita,
hakikatnya ialah budi baik Allah.
·
Semua sanjungan makhluk kepada kita,
hakikatnya ialah sanjungan Allah.
·
Segala jasa makhluk kepada kita, hakikatnya ialah
jasa Allah.
Semuanya daripada Allah, kepada kita.
Alangkah tidak patutnya jika kita tidak mencintai Dia!
Banyak antara kita ini yang dahulunya tidak pernah terfikir pun
untuk menjadi seorang ahli tasawuf, ahli sufi, ahli tarekat dan ahli
kerohanian, tetapi hari ini kita berada dalam golongan itu. Siapakah yang
memilih, siapakah yang melorongkan, siapakah yang mentakdirkan kita ke situ
jika bukan Allah SWT? Tidakkah kita nampak betapa besarnya kasih sayang Allah
kepada kita? Bukankah semestinya kita mencintai Dia dengan secinta-cintanya?
Maka, banyakkanlah bersyukur dan tambah naikkan suhu cinta kita
kepada Allah SWT.
Bagaimana kita
mahu mendapatkan cinta Allah?
Berkata Imam Al-Ghazali : “Cinta
itu ialah buah (hasil yang terbit) daripada makrifah (maksudnya cinta itu terhasil
selepas daripada kenal) . Maka cinta itu tidak ada apabila tidak adanya
makrifah. Cinta itu lemah apabila lemahnya makrifah. Cinta itu kuat apabila
kuatnya makrifah.”
Maka, untuk mendapatkan cinta Allah, kita mestilah mendapat
makrifah terlebih dahulu. Apakah makrifah yang dimaksudkan? Ma’rifah itu ialah
mengenal Allah.
Ma’rifatullah ini tersusun atas beberapa lapis mutu atau kualiti. Yang
lemah ma’rifahnya, lemahlah mahabbahnya. Yang kuat ma’rifahnya, kuatlah
mahabbbahnya.
Ringkasnya,
cinta tidak akan datang sebelum kenal.
Kenal
tidak akan datang sebelum tahu.
Tahu
tidak akan datang sebelum kita berusaha untuk mengambil tahu.
Kita
hanya akan dapat mengenal apa yang kita sudah tahu.
Kita
hanya akan dapat mencinta apa yang kita sudah kenal.
Maka,
sejauh mana kita mengenal Allah, sejauh itulah kita bermahabbah.
Inilah pentingnya ilmu dan amal tentang mengenal (ma’rifatullah).
Untuk mendapatkan cinta Allah, kita mestilah selalu memohon doa
kepada Allah agar dia kurniakan cinta-Nya kepada kita, kerana hanya Dia sahaja
yang ada kuasa untuk mengurniakan cinta. Pada hakikatnya, selain daripada Dia
tidak ada sesiapa atau apa pun yang ada kuasa untuk memberi cinta. Makan, bermohonlah
kepada Dia.
Seterusnya, untuk mendapatkan cinta Allah, kita kenalah selalu
duduk-duduk dengan orang-orang yang mencintai Allah, barulah kita mendapat
serba-sedikit suasana orang-orang bercinta dan orang-orang yang dicinta.
Selain itu, kita kenalah berusaha belajar ilmu tentang cinta
Allah. Tanpa ilmu, bagaimana kita hendak tahu tentang cinta Allah?
Kita kenalah mengamalkan ilmu-ilmu tentang cinta Allah. Tanpa
amal, bagaimana kita hendak merasa dan mengalami akan cinta Allah?
Kita kenalah banyak berzikir yakni banyak ingat akan Allah. Tanpa
mengingat, bagaimana mahu mencinta?
Apakah
tanggungjawab atau tugasan kita dalam cinta Allah ini?
Kita kenalah menggalakkan orang-orang lain untuk tahu akan Allah,
kemudian kenal akan Allah, dan seterusnya cinta akan Allah. Dari tahu datangnya
kenal. Dari kenal datangnya cinta.
Apabila kita ada mendapat tahu, ada mendapat kenal dan ada mendapat
cinta sedikit-sebanyak, janganlah kita berseronok sendiri sahaja dan bersikap
mementingkan diri seorang. Serulah orang-orang lain sama kerana mereka juga
berhak untuk mendapatkan tahu Allah, kenal Allah dan cinta Allah. Cinta Allah
ini milik semua, bukan milik kita seorang atau kita sekumpulan sahaja.
Kita sebarkanlah walau dengan sekadar isyarat kepada orang-orang
yang kita sayang, orang-orang di sekeliling kita, dan sesiapa sahaja. Kita
sedia maklum, bukan orang awam sahaja banyak yang tidak mengenal dan mencintai
Allah, dalam kalangan yang berilmu agama pun banyak.
3.2
MARILAH KITA MENCINTAI KITABULLAH
Mengapalah
agaknya kita mesti mencintai Kitabullah?
Allah SWT berfirman : “Alif
Lam Mim. Kitab ini tidak ada langsung sebarang keraguan padanya, (kitab ini
merupakan) PETUNJUK bagi ORANG-ORANG YANG BERTAQWA. (Orang-orang yang bertaqwa
itu ialah) mereka yang beriman akan hal-hal ghaib, yang mendirikan solat dan
menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan
mereka beriman kepada yang diturunkan kepada kamu (wahai Muhammad, iaitu kitab
Al-Quran ini), dan kitab-kitab yang diturunkan sebelum kamu, dan mereka percaya
akan Hari Akhirat. Merekalah ORANG-ORANG YANG MENDAPAT PETUNJUK daripada Rabb
mereka, dan merekalah ORANG-ORANG YANG BERUNTUNG.” (Al-Baqarah : 1-5)
Kitab Al-Quran inilah petunjuk untuk kita, yang merupakan panduan
kepada kita untuk menajdi orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang
beruntung. Sebab itulah kita mesti mencintai Kitabullah.
Nabi Muhammad saw bersabda :
“Ahli Al-Quran ialah ahlullah (orang-orang Allah) dan orang-orang yang dikhususkan
oleh-Nya.” (An-Nasa’i)
Bukankah dalam perjalanan kerohanian ini kita memang bercita-cita
untuk menjadi ahlullah atau orang-orang yang khusus?
Maka, cintailah Al-Quran!
Sabda baginda saw : “Manusia
yang paling baik dalam kalangan kamu ialah (mereka) yang belajar Al-Quran dan
mengajarkannya.” (Bukhari, Abu Daud dll)
Kata Imam Al-Ghazali pula :
Sesiapa
yang beriman kepada Al-Quran, nescaya mendapat taufik.
Sesiapa
yang berkata-kata dengan Al-Quran, nescaya benarlah dia.
Sesiapa
yang berpegang teguh dengan Al-Quran, nescaya dia mendapat petunjuk.
Sesiapa
yang bertindak menurut Al-Quran, nescaya dia mendapat kemenangan.
(Ihya’ ‘Ulumuddin : Kitab Adab Tilawah
Al-Quran)
Apabila kita mendapat surat/warkah/mesej daripada pihak-pihak yang
kita sayang dan yang kita harap-harapkan, bukankah kita berasa sangat teruja,
sangat berbesar hati, kita ulang-ulang membacanya, kita teringat-ingat akan
isinya dan terasa hendak selalu ada di sisi kita?
Dengan Al-Quran tentulah lebih lagi. Ia ibarat warkah daripada Allah
kepada kita. Pengirimnya ialah yang paling kita cintai dan paling kita
harap-harapkan, bahkan dari segi hakikatnya Dialah satu-satunya cinta dan
harapan kita. Sudah semestinyalah kita berasa sangat teruja akan Al-Quran,
sangat berbesar hati, suka mengulang-ulang membacanya, teringat-ingat akan isi kandungannya
dan mahu sentiasa dekat dengannya. Itulah antara tanda-tanda kita salah seorang
pecinta Al-Quran.
Selain itu, sudah semestinyalah kita ada rasa bangga, takjub dan
terpesona terhadap kitab suci Al-Quran ini atas hal-hal yang umum sedia maklum.
Antaranya :
i.
Inilah satu-satunya kitab suci yang tidak
berjaya dirubah oleh tangan-tangan manusia dan jin.
ii.
Inilah kitab suci yang paling banyak dihafal
manusia secara keseluruhannya. Sepanjang zaman, sudah jutaan orang yang
menghafal keseluruhannya dan yang menghafalnya sebahagian-sebahgian tidak
terhitung banyaknya.
iii.
Inilah kita suci yang tidak jemu-jemu dibaca.
iv.
Inilah kitab suci yang di dalamnya dinyatakan
secara jelas dan banyak kali akan nama sebenar Tuhan iaitu Allah.
v.
Inilah kitab yang tidak dapat ditiru atau
direka walau satu ayat pun.
vi.
Inilah kitab induk yang menjadi sumber
ma’rifat dan mahabbah.
vii.
Old Testament yang diyakini Yahudi, sudah
tercemar. New Testament yang diyakini Nasrani, juga sudah tercemar. Maka
datanglah penutup segala kitab lagi terpelihara kesuciannya yakni Al-Quran, yang
boleh juga jika kita mahu katakan sebagai The Last Testament. Perjanjian Lama
dan Perjanjian Baru sudah berlalu. Perjanjian Terakhir masih kekal begitu.
Tetapi mestilah diingat, mencintai Al-Quran itu bukanlah sekadar
menyebut cinta atau menyangka cinta, tetapi mestilah dengan bukti-buktinya
yakni perbuatan kita.
Bagaimana
kita hendak mendapatkan jiwa yang mencintai Kitabullah?
Berdoa, sudah tentu.
Membaca Al-Quran, bacalah terjemahannya sama. Biar kurang muka
surat tetapi bertambah maklumat.
Mampu
hafal, hafal.
Mampu
syarah, syarah.
Mampu
terjemah, terjemah.
Mampu
tafsir, tafsir.
Mampu
kaji, kaji.
Selalulah duduk-duduk berkualiti dengan orang-orang yang mencintai
Al-Quran.
Tahukan kalian, ada 3 tingkatan bagi para pembaca Al-Quran?
i.
Tingkat al-ghafilin iaitu tingkat orang-orang
yang lalai.
ii.
Tingkat ashabul yamin iaitu tingkat orang-orang
golongan kanan.
iii.
Tingkat al-muqarrabin iaitu tingkat
orang-orang yang dekat di sisi Allah.
Pelajarilah maklumat tentang tingkat-tingkat ini di dalam Kitab
Adab Tilawah Al-Quran daripada kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin.
Berazamlah! Aku mesti mencintai Al-Quran.
3.3
MARILAH KITA MENCINTAI RASULULLAH SAW
Mengapa
kita mesti mencintai Rasulullah?
Allah Taala berfirman : “Katakanlah
(kepada mereka wahai Muhammad) : “Sekiranya benar kamu mencintai Allah, ikutlah
aku, nescaya KAMU AKAN DICINTAI OLEH ALLAH dan DIAMPUNI-NYA DOSA KAMU.”
(Ali Imran : 31)
Firman-Nya : “Nabi itu
lebih utama bagi orang-orang beriman berbanding diri mereka sendiri.”
(Al-Ahzab : 6)
Sabda Rasulullah saw : “Tidak
beriman seseorang hamba sebelum AKU LEBIH DICINTAINYA berbanding isterinya,
hartanya dan manusia seluruhnya.” (Bukhari, Muslim)
Masihkah ingat panduan yang dinyatakan pelajaran Tariqah
Ghazaliyyah ini?
Rumus yang pertama :
“Mencintai
yang dicintai itu dicintai.”
Ertinya, jika kita mencintai orang yang dicintai oleh Allah terutamanya
Rasulullah, maka kita akan dicintai oleh Allah.
Rumus yang kedua :
“Mencintai
yang mencintai itu dicintai.”
Ertinya, jika kita mencintai orang yang mencintai Allah terutamanya
Rasulullah, kita juga akan dicintai oleh Allah.
Maka mencintai Rasulullah itu menjadi jalan untuk kita dicintai
oleh Allah SWT.
Bagaimana
mahu menjadi pencinta Rasulullah?
Berdoalah kepada Allah. Mohon bersunguh-sungguh lagi kerap agar
Dia kurniakan kecintaannya kepada kita, lalu membolehkan kita mencintai
kekasihnya iaitu Rasulullah saw.
Amalkanlah segala sunnah-sunnah baginda yang dalam lingkungan
kemampuan diri kita masing-masing. Kuatkan azam dan berusahalah untuk
mengamalkan sunnah-sunnah baginda yang besar-besar, sunnah yang kecil-kecil,
mahu pun sunnah baginda yang seni-seni.
Cuba dulu. Jika malu atau mahu elak fitnah, buat sendiri-sendiri
dulu.
Rajin-rajinlah untuk selalu duduk-duduk dengan orang-orang yang
mencintai Rasulullah saw, nescaya wangi-wangian cinta Rasul yang ada pada
mereka terkena juga sedikit-sebanyak pada diri kita.
Berbanggalah dengan Rasulullah saw. Sebarkan tentang dia ke
seluruh alam. Perkenalkan baginda kepada semua orang.
3.4
MARILAH KITA MENCINTAI AS-SUNNAH
Mengapa
kita mesti mencintai as-sunnah?
Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya
sudah ada pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik untuk kamu (iaitu)
bagi orang yang mengharapkan Allah dan Hari Akhirat serta dia banyak ingat akan
Allah.” (Al-Ahzab : 21)
Untuk berubah menjadi yang baik dan terbaik, tentunya melalui
sunnah-sunnah baginda, khususnya hadith-hadith.
Alangkah banyaknya orang-orang yang berfikir dan berusaha untuk
mengubah manusia tetapi sangat kurang orang-orang yang turut berfikir dan berusaha
untuk mengubah dirinya sendiri.
Oleh itu, mulakanlah perubahan ke arah maqam yang lebih baik melalui
sunnah-sunnah baginda bermula dengan diri sendiri, dan dalam masa yang sama
usahkana untuk orang-orang yang hampir dengan kita, dan dalam masa yang sama usahakan
terhadap masyarakat, umat dan daulah Islam.
Bagaimana
kita mahu mencintai sunnah?
Janganlah kita berasa malu untuk belajar dan mempraktikkan sunnah.
Jika malu berseorangan, usahakan secara berjemaah, maksudnya berkawan-kawan.
Kekuatan untuk mengamalkan sunnah ini sangat elok dibuat secara berjemaah
kerana kita akan punya lebih semangat dan kekuatan. Maka selalu-selalulah
berdamping, selalulah berada bersama-sama dan beraktiviti bersama orang-orang
yang banyak mengamalkan sunnah.
Kita niatkan untuk contohkan sunnah atau sebarkan sunnah,
sekurang-kurangnya secara tidak langsung. Insya-Allah dimudahkan-Nya.
Untuk mendapatkan kesejahteraan dan kebahagiaan dunia dan akhirat,
ikut sahaja aturan-aturan Al-Quran dan As-Sunnah, sama ada dalam hal-hal yang kita
suka ataupun dalam hal-hal yang yang kita tidak suka.
3.5
MARILAH KITA MENCINTAI DIRI
Mengapalah
kita kena mencintai diri?
Kerana diri kita adalah amanah daripada Allah terutamanya diri
yang sebenar kita iaitu qalbu. Disebabkan anugerah diri inilah maka dari segi
syariatnya kita berasa ada. Berasa ada ini satu nikmat dan kelazatan yang
sangat besar, bagi orang-orang yang bermata hati.
Kita mempertikai orang itu dan orang ini akhlaknya kurang baik
atau tidak baik. Adakah akhlak kita baik? Kita hanya mahu orang lain menjadi
contoh yang baik sedangkan kita sendiri bersenang-senang dengan keburukan kita.
Sepatutnya kita kena jadikan diri kita contoh yang baik juga, sekadar kemampuan
kita.
Orang yang gagal memimpin hatinya sendiri, dia juga akan gagal
memimpin hati-hati yang lain.
Orang yang gagal menasihati hatinya sendiri, dia juga akan gagal
menjadi penasihat kepada hati-hati yang lain.
Fahamlah kita bahawa mencintai diri tidak salah, bahkan memang
diperintah.
Bagaimana
mahu mencintai diri?
Doa. Yang ini tidak boleh ditinggal. Dalam doa ada pengiktirafan
dan dalam doa juga ada kerendahan diri. Dua hal ini sangat disukai oleh Allah.
Cantikkan dalaman dan luaran kita.
Bukankah Allah SWT telah berfirman : “Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah di setiap masjid,
makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan.” (Al-A’raf : 31)
Maka, pakailah pakaian yang indah di masjid-masjid, tetapi jangan
berlebih-lebihan.
Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan.
Pakaian yang baik adalah untuk memelihara luaran tubuh badan diri.
Makan dan minum adalah untuk memelihara dalaman tubuh badan diri.
Manakala sikap mulia tidak berlebih-lebihan itu pula ialah sifat
mahmudah untuk memelihara qalbu diri.
Inilah antara amalan bagi orang-orang yang mencintai dirinya.
Aspek zahirnya dijaga, aspek dalamannya dijaga, aspek batinnya
juga dijaga.
Marilah kita bersama-sama berusaha untuk membaguskan wajah luaran
dan membaguskan wajah hati. Bak kata orang tua-tua : “Wajah di muka, tilikan
makhluk. Wajah di hati, tilikan Tuhan.” Kedua-duanya pun penting untuk
diuruskan.
Orang yang mencintai dirinya pasti akan sangat menghargai anugerah
Tuhan kepada dirinya berupa anggota yang zahir dan anggota yang batin.
Gunakan
otak untuk berfikir.
Gunakan
nafas untuk berzikir.
Gunakan
tangan untuk mentadbir.
Gunakan
kaki untuk bermusafir.
Telinga
mendengar yang baik-baik.
Mata
melihat yang baik-baik.
Mulut
berkata yang baik-baik.
Anggota
kerjakan yang baik-baik.
Seterusnya, orang-orang
yang mencintai diri sudah tentu akan memelihara dan meningkatkan kebersihan dan
kesucian diri.
Berkata Imam Al-Ghazali
dalam Ihya’ pada Kitab Rahsia Bersuci, sesungguhnya bersuci itu 4 tingkatan :
i) Tingkat
satu - mensucikan diri yang zahir daripada segala hadas, segala kotoran dan segala
benda yang menjijikkan. Yang ini boleh kata semua orang buat.
ii) Tingkat
dua - mensucikan anggota badan daripada segala perbuatan jahat dan dosa. Yang
ini, ramai juga orang yang buat.
iii) Tingkat
tiga - mensucikan hati/qalbu daripada segala sifat yang tercela dan sifat-sifat
rendah yang terkutuk, yakni sifat-sifat mazmumah. Yang ini kurang orang nak buat.
iv) Tingkat
empat - mensucikan sirr daripada sesuatu selain Allah Taala, iaitu bersucinya
hati para nabi dan para siddiqin. Yang ini, sangat kurang orang nak buat, dan
sangat kurang pula orang yang tahu tentangnya.
Tingkat tiga dan tingkat empat inilah maksud atau
matlamat para sufi.
3.6
MARILAH KITA MENCINTAI UMMAH
Mengapa
kita mesti mencintai ummah?
Siapa lagi yang hendak menjaga keselamatan umat Islam jika bukan
umat Islam sendiri?
Siapa lagi yang hendak menjana kemajuan umat Islam jika bukan umat
Islam sendiri?
Adakah kita hendak mengharapkan orang-orang bukan Islam?
Adakah kita hendak mengharapkan musuh-musuh Islam?
Jika kita sendiri tidak mencintai ummah ini, adakah orang lain
yang akan mencintai ummah kita ini?
Sebab itulah kita mesti mencintai ummah.
Bagaimana
cara untuk kita mencintai ummah?
Yang paling penting bagi kita dan ummah tidak lain ialah aqidah,
fekah dan tasawuf. Inilah tiga tungku agama yang menjadi teras kepada kejayaan
dan kesejahteraan hidup kita di dunia yang sementara ini dan di akhirat yang
kekal selama-lamanya itu nanti.
Ambil tahulah masalah ummah terutamanya yang 3 tungku itu tadi mengikut
kemampuan kita, mengikut ruang-ruang yang kita ada. Janganlah kita mementingkan kesejahteraan
diri sendiri sahaja kerana orang lain pun mahu sejahtera juga. Mereka juga
berhak untuk mendapat sejahtera.
Khabarnya ajaran tasawuf, ajaran sufi dan ajaran tarekat membawa
sejahtera. Tetapi mengapa kita pendamkan begitu sahaja tanpa disebarkan kepada
umat?
Apa sahaja masalah yang melanda ummah, biarlah hendaknya kita
turut ada rasa walau sedikit. Kita tetap sebahagian daripada ummah sama ada kita
suka ataupun tidak.
Mencintai umat bererti mencintai segala peribadi yang berada di
dalamnya. Dalam umat ada ibu bapa, dalam
umat ada adik-beradik saudara-mara, dalam umat ada pasangan hidup, anak-anak, jiran
tetangga dan sebagainya.
Tentang mencintai ibu bapa :
Allah SWT berfirman : “Berbuat
baiklah kepada kedua-dua orang ibu bapa.” (An-Nisa’ : 36)
“Hendaklah
kamu berbuat baik kepada ibu bapa.” (Al-Isra’ : 24)
“Kami
wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua-dua orang tuanya.”
(Al-Ankabut : 8)
Tentang mencintai isteri atau pasangan hidup :
Nabi saw bersabda : “Yang
paling baik dalam kalangan kamu ialah yang paling baik melayani isteri-isteri
mereka.” (Turmizi, Ibnu Hibban)
Tentang mencintai suami pula :
Sabdanya saw : “Sekiranya
aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada seseorang, nescaya aku akan
menyuruh wanita sujud kepada suaminya.” (Turmizi)
Tentang mencintai kawan-kawan :
Sabdanya saw dalam sebuah hadith qudsi yang Allah berfirman : “Di manakah orang-orang yang berkasih
sayang kerana kemuliaan Aku? Pada hari ini (Hari Akhirat) Aku lindungi mereka
di bawah naungan-Ku pada hari yang tidak ada naungan selain naungan Aku.”
(Muslim)
Tentang tetangga, kaum kerabat dan orang Islam lain :
Sabdanya saw : “Tidak
sempurna iman seseorang daripada kalian sehingalah dia mencintai bagi
saudaranya apa yang dicintai untuk dirinya sendiri.” (Bukhari, Muslim)
Sedarlah, bahwa dari segi tauhid dan tasawufnya, diri orang lain
itu juga diri kita. Semuanya datang daripada Diri Yang Satu. Amat salah
keyakinan segelintir orang yang hanya mahu mengusahakan dirinya sendiri sahaja
lalu dia buat tidak tahu tentang diri-diri yang lain. Orang sebegini sebenarnya
terkurung mindanya lagi tebal hijabnya kerana dia hanya terpandang sekelumit
sahaja daripada diri yang sebenar. Dia berhabis seluruh masa hayatnya dengan
diri yang sekelumit itu sahaja dan tersia-siakan yang lain.
Sabda Nabi saw : “Seorang
mukmin kepada mukmin yang lain seumpama satu bangunan, yang satu bahagian
dengan bahagian yang lainnya saling berpadu kukuh-mengukuhkan.” (Muttafaqun
‘alaih)
Seterusnya :
Marilah
kita mencintai semua jemaah Islam yang benar.
Marilah
kita mencintai semua tarekat Islam yang benar.
Marilah
kita mencintai kesemua aliran kerohanian Islam yang benar.
Ketepikanlah
perasaan “aku terbaik”.
Ketepikanlah
perasaan “kami terbaik”.
Marilah
kita mewujudkan perasaan “kita semua terbaik”.
Janganlah ditambah lagi perpecahan dan kerenggangan kepada umat
yang sudah sedia banyak berpecah dan renggang ini. Biarlah kita menjadi
penjernih, pendekat, pendamai, dalam keadaan kita tidak meninggalkan perjuangan
menolak kemungkaran.
3.7
MARILAH KITA MENCINTAI AMAL IBADAH
Mengapakah
kita mesti mencintai amal ibadah?
Allah SWT berfirman :
“Tidaklah
Aku menjadikan jin dan manusia melainkan untuk berabdi kepada Aku.” (Ada-Dzariyat
: 56)
Ibadah bukan sekadar amalan tetapi sebenarnya pengabdian.
Berabdilah kepada Allah dengan sepenuh hati, iaitu dengan berusaha
gigih untuk melaksanakan segala yang diperintahkan-Nya dan berusaha gigih untuk
menjauhi segala yang dilarang-Nya. Sebagai abdi, janganlah pandai-pandai dan
senang-senang hati kita memilih apa-apa yang kita suka dan meninggalkan apa-apa
yang kita tidak suka, melainkan kita kenalah menurut sahaja segala aturan yang
tersedia, sama ada yang hati kita suka atau pun tidak. Begitulah sifat seorang
abdi.
Dalam amal ibadah ada cinta dan kasih sayang Allah.
Dalam amal ibadah ada keredhaan Allah.
Dalam amal ibadah ada pahala daripada Allah.
Dalam amal ibadah juga ada kesihatan, ada ketenangan, ada
kerehatan, dan sebagainya.
3.8
MARILAH KITA MENCINTAI DAKWAH
Mengapa
kita mesti mencintai dakwah? Mengapa kita mesti menyampaikan dan menyebar?
Tidak lain kerana dakwah merupakan
kerja Rasulullah saw, kerja para rasul Ulul Azmi, kerja para rasul dan kerja
para sahabat radhiallahu anhum. Sehebat-hebat jalan kerohanian kita, tetap tidak
akan mengatasi maqam Rasulullah saw, para rasul Ulul Azmi dan maqam para rasul.
Rata-rata antara kita sedia maklum bahawa terdapat 4 sifat
terpenting pada diri kekasih kita Rasulullah saw. Sifat-sifat itu ialah sifat
siddiq, amanah, tabligh dan fatanah. Bagaimana kita yang mengakui sebagai
mengikut jalannya Nabi saw dan mencontohinya, tiba-tiba kita meninggalkan sifat
tabligh yakni sifat dakwah yang ada pada diri baginda?
Bukankah salah satu kerja utama Rasulullah saw dan para sahabat
adalah mempromosikan Allah ke serata alam? Bagaimana dengan kita?
Allah SWT telah berfirman :
“Siapakah
yang lebih baik lagi kata-katanya berbanding orang YANG MENYERU KEPADA ALLAH
dan dia melakukan amalan yang soleh?” (Al-Fussilat : 33)
Tidakkah kita mahu jadi orang yang terbaik?
Islam tidak akan tersebar ke serata dunia jika bukan melalui
dakwah.
Kita dan tok nenek kita orang Nusantara ini mungkin masih belum Islam
jika bukan kerana dakwah.
Bayangkan tuan-tuan jika semua orang menumpukan kepada ibadah diri
sendiri sahaja dan mengabaikan dakwah. Apakah yang akan terjadi kepada agama
Islam? Apakah yang akan terjadi kepada umat Islam?
Tidak cukup dengan kita mengharap, bertawakal dan berserah sahaja.
Jika benarlah begitu caranya, sudah pasti Rasulullah saw dan para sahabat akan
duduk diam-diam dan tumpu kepada hakikat makrifat sahaja. Tetapi sirah membuktikan
dengan jelas bahawa baginda dan para sahabatnya berdakwah di jalanan, berdakwah
mengetuk pintu-pintu rumah, berdialog dengan manusia, menemui para pembesar,
menulis surat kepada raja-raja, berkontra dengan yang salah dan sebagainya.
Marilah kita mengambil tamsilan.
Ada dua orang manusia.
Orang pertama yang ROHANINYA SANGAT HEBAT bolehlah kita umpamakan sebagai
satu UNGGUN API di sebuah rumah.
Orang kedua yang ROHANINYA AGAK HEBAT pula bolehlah kita umpamakan
sebagai satu API LILIN sahaja di rumah yang lain.
Sememangnya cahaya satu unggun api lebih hebat daripada cahaya satu
api nyalaan lilin, tetapi unggun api itu hanya dapat menerangi sebuah rumah
sahaja kerana ia tidak menyucuh dan menyalakan api-api untuk orang lain. Ia
besar tetapi hanya dapat menerangi satu ruang.
Lihat pula api sebatang lilin. Ia kelihatan kecil tetapi apabila
ia menyucuh dan menyalakan lilin-lilin yang lain, bukan rumahnya sahaja
diterangi, tetapi seluruh kampung-kampung yang lain pun diterangi juga.
Kita boleh buat renungan dan perbandingan sendiri, seluas manakah
cahaya satu unggun api yang besar berbanding cahaya ribuan lilin walaupun
kecil.
Satu unggun api yang tidak menyucuh, ia tidak menyalakan unggun
api atau lilin-lilin yang lain.
Tetapi satu api lilin yang kecil apabila ia menyucuh, ia bukan
sahaja boleh menyalakan lilin-lilin yang lain, bahkan dapat menyalakan
unggun-unggun api yang lain.
Begitulah perbadingannya antara sufi yang berdiam diri dengan sufi
yang menyalakan hati-hati manusia yang lain.
Oleh itu kita mestilah berdakwah, malah mencintai dakwah.
Iblis dan syaitan-syaitan pun tidak jemu-jemu berdakyah, takkanlah
kita yang sufi jemu berdakwah!
Jelaslah kepada kita bahwa Tarekat Ghazaliyah tidak mentarbiyah
untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi juga untuk diri-diri yang lain.
Jika benar kita ahli keruhanian, tentu kita sedar bahawa diri-diri orang lain
itu juga sangat berkait rapat dengan kita. Bukankah pada hakikatnya yang ada hanyalah
satu diri? Bagimana kita boleh berjuang untuk menguruskan diri yang pada kita
sahaja? Apakah diri-diri yang lain itu mahu dibiarkan sahaja?
Bagaimana
kita mahu mencintai dakwah?
Mohonlah kepada Allah agar dia menjadikan kita orang yang suka dan
cinta akan dakwah.
Kita sendiri pula mestilah berusaha dan berikhtiar untuk
berdakwah. Barulah kita dapat mengecapi kemanisan dan kelazatan dakwah. Barulah
kemudiannya kita dapat mencintai dakwah.
Bacalah dan dengarlah kisah perjuangan berdakwah para nabi, para
wali, para sahabat dan para pendakwah. Insya-Allah akan bertambah kekuatan kita
untuk mencontohi jalan mereka.
Jadi, apakah
tindakan kita sekarang?
Dakwahlah dengan perbuatan, dengan kata-kata, dengan isyarat , dengan
tulisan, dengan pelbagai media mengikut kemampuan dan ruang yang termampu. Imam
Al-Ghazali sendiri seorang yang sangat gigih berdakwah melalui penyampaian-penyampaian
dan karangan-karangannya.
Semoga Allah menjadikan kita orang yang ‘abid, dan orang ‘alim,
dan orang yang da’i.
‘Abid – ‘Alim – Da’i. Inilah tiga kualiti yang mesti kita ambil
berat.
Sesungguhnya nikmat berjuang, berletih-letihan dan berkorban pada
jalan Allah ini hanya ada di dunia, tidak ada di syurga sana. Sebab itulah
orang-orang yang sedar akan berlumba-lumba untuk mengecapinya. Kecapilah ia
sementara masih punya kesempatan. Berlazat-lazatlah dengannya sebelum putus
nyawa.
3.9 PENUTUP 8 BANGSA KECINTAAN
Begitulah 8 bangsa kecintaan yang selalu kita seru-serukan.
Pada hakikatnya, kesemua 8 bangsa kecintaan ini hanya kena pada
Allah sahaja.
Mencintai
Allah, kena pada Allah.
Mencintai
Al-Quran, kena dan tembus pada Allah.
Mencintai
Rasulullah, kena dan tembus pada Allah.
Mencintai
As-Sunnah, juga kena pada Allah.
Mencintai
diri, kena dan tembus pada Allah.
Mencintai
ummah, kena pada Allah.
Mencintai
ibadah, memang kena pada Allah.
Mencintai
dakwah, pun kena pada Allah.
Kerana itulah majlis-majlis Tariqah Al-Ghazlaiyyah ini selalu juga
disebut-sebut sebagai “majlis cinta Allah”.
Bagi yang sudah berma’rifah tentunya sedia faham bahawa semua 8
bangsa kecintaan ini juga datangnya daripada Allah.
Silalah bawa pulang nanti segala kecintaan ini, tanam, jaga,
suburkan, hadiahkan, dan sebarkan.
4. SERUAN-SERUAN UMUM
Pada kesempataan yang sangat berharga ini, saya menyeru kepada
diri saya sendiri terutamanya, dan juga kepada diri-diri yang lain.
Jadikanlah diri kita sebagai contoh yang baik kepada orang-orang
lain dari segi akhlak perbuatan hati dan akhlak perbuatan anggota, mengikut
kemampuan dan ruang masing-masing.
Bukankah kita selalu mengulang-ulang kalam Imam al-Ghazali dalam
kitabnya Al-Munqiz min Adh-Dhalal, sebagaimana kata Al-Imam : “Aku yakin bahawa orang-orang sufi ialah
golongan yang mengikut jalan yang semata-mata menuju Allah. Cara hidup mereka
adalah sebaik-baik kehidupan, tariqat yang mereka lalui adalah jalan yang
paling tepat, dan akhlak mereka adalah sebersih-bersih akhlak.”
Sabda junjungan kita Nabi Muhammad saw : “Tidak ada satu perkara pun yang paling berat diletakkan dalam neraca
hamba pada Hari Akhirat kelak yang lebih daripada akhlak yang mulia.” (Abu
Dawud, Turmizi)
Indahkanlah
akhlak kita.
Indahkanlah
pemikiran kita.
Indahkanlah
gerak-geri kita.
Indahkanlah
penampilan kita.
Indahkanlah
kata-kata kita.
Melalui diri kita :
·
bawalah nama yang cantik kepada agama Islam,
·
bawalah imej yang menawan kepada sufi,
·
bawalah gambaran yang menarik kepada tasawuf,
·
bawalah pandangan yang indah kepada tarekat,
·
bawalah paparan yang memikat kepada Imam
Al-Ghazali,
·
dan bawalah rupa yang cemerlang kepada Tarekat
Ghazaliyyah dan tarekat-tarekat lain.
Janganlah kerana akhlak kita yang tidak baik, semua yang
disebutkan tadi dipandang buruk oleh umat.
Orang ramai akan menilai melalui akhlak kita.
·
Ini ke Islam?
·
Macam ni ke yang dikatakan sufi?
·
Tasawuf macam ni ke?
·
Yang ini ke yang disebut-sebut sebagai tarekat
tu?
·
Betul ke ini ajaran Imam Ghazali? Lain macam
aje aku tengok!
·
Macam ini perangai orang Tarekat Ghazaliyyah?
Maka sama-samalah kita mengambil ingatan dan tindakan.
Sekiranya
engkau berpeluang dalam kehidupan di dunia ini,
jadilah
seorang
yang
apabila orang terpandang atau teringat akan dirimu,
mereka
akan teringat akan Allah.
Ataupun
sekurang-kurangnya
mereka
teringat akan agama dan kebaikan.
Teruskanlah membawa akhlak yang terpuji agar menjadi bekalan kita
di akhirat nanti di samping dapat dijadikan ikutan yang baik oleh orang lain.
Kita
semua merindui
orang-orang
yang berakhlak terpuji,
yang
berakhlak dengan akhlak nabi-nabi.
Hati
halus kita tidak dapat menafikan.
Namun
sangat
sukar untuk memperoleh
orang-orang
yang sedemikian.
Apatah
pula
kita
sendiri lebih senang mengharapkan
agar
ada orang lain yang membawa akhlak terpuji itu,
sedangkan
kita sendiri
tidak
berusaha pun untuk menjadikan
diri
kita semakin berakhlak terpuji.
Kita
lebih selesa dengan akhlak sedia ada
sekalipun
kita sedar
ia
tidak terpuji.
Bukankah Allah SWT ada berfirman : “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap masjid, makan
dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka
orang yang berlebih-lebihan.” (Al-‘Araf : 31)
Sabda Rasulullah saw pula : “Sesungguhnya
Allah Taala itu indah dan suka akan keindahan.” (Muslim)
Berazamlah untuk setiap hari :
Zikir
Harian tetap dibuat.
Solat
sunat walau dua rakaat.
Baca
Al-Quran dengn menatap, walau satu ayat.
Sampaikan
dakwah walau sekadar dengan 1 isyarat.
Pada setiap hari.
Sesungguhnya kesedaran itu terbukti dengan tindakan.
Yang tidak beserta dengan tindakan, itu namanya sekadar tahu,
belum punya kesedaran.
Berbeza antara orang yang sedar dengan orang yang sekadar tahu.
Teruskan sikap murni lagi terpuji yang kita terapkan dalam tabiyyah
Tarekat Ghazaliyyah ini.
Jangan ada perasaan kita terbaik, kita terhebat, kita terbesar,
kita tertinggi, kita tersunnah. Apatah lagi perasaan hanya kita yang baik, hanya
kita yang hebat, hanya kita yang syar’i, hanya kita yang sunnah.
Selalulah beringat, bahawa akan sentiasa ada orang yang lebih
daripada kita. Ingatan yang sebegini akan membantu menyelamatkan kita daripada
terkena kotoran sifat-sifat mazmumah.
Teruslah membina hubungan yang baik lagi mesra dengan para
pengamal tarekat yang lain, dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan dengan seluruh
umat Islam. Sesungguhnya kita SATU UMAT.
Berusahalah untuk mempelajari, menggali dan mendalami kitab-kitab
karangan Imam Al-Ghazali.
Dalam seruan-seruan ini, bolehlah jika kita mahu simpulkan bahwa
semua ini adalah antara peranan ahli-ahli tasawuf, sufi, dan tarekat kepada
agama dan umat, daripada sekian banyak peranan dan fungsi mereka.
Maksudnya di sini, sudah
terjawablah persoalan :
Apa gunanya tasawuf, sufi dan tarekat serta ahli-ahlinya kepada
agama dan umat Islam?
Apa kepentingannya, peranannya, fungsinya, manfaatnya, faedahnya,
kebaikannya, keperluannya, dan tanggung jawabnya?
5. HARAPAN
Semoga sekiranya di majlis ini ada sesuatu yang bermanfaat untuk
dibawa pulang, ibaratkanlah ia sebagai anak-anak benih pokok yang sudah berdaun
kecil. Pulang nanti, jangan biarkan ia lemah tidak berjaga, jangan juga sekadar
ia dibiar sebesar itu sahaja. Tetapi bajalah, siramlah dan jagalah sehingga ia
sekurang-kurangnya lebih besar daripada yang kita dapat di sini.
Di
air jernih kita bersampan,
Berenang
ikan di tepi dayungnya;
Biji
benih jangan disimpan,
Sebar-sebarkan,
banyak manfaatnya.
Berenang
ikan menjelang senja,
Menyusur
lembah menuju kuala;
Sufi
bukan di sini sahaja,
Sampai
ke rumah, sampai bila-bila.
Semoga Tarekat Ghazaliyyah akan terus menjadi satu taman indah
yang mendekatkan hubungan dalam kalangan umat Islam sama ada yang berbeza
jemaah dan berbeza tarekat, termasuk juga bagi umat Islam yang tidak
menganggotai mana-mana jemaah atau tarekat.
Diharapkan agar perhimpunan setahun sekali ikhwan Tariqah
Ghazaliyyah ini akan dapat diadakan lagi pada tahun-tahun akan datang, insya-Allah.
Kadang-kadang kita buat usaha agama tetapi tidak berjaya, hal itu tetap
seronok. Apatah lagi apabila berjaya, berganda-gandalah seronoknya.
Harapan kita - semoga segala isi kandungan ucapan pada malam ini
dapatlah dijadikan sebagai peneman perjalanan kita sekurang-kurangnya sehingga
ke pertemuan pada tahun yang akan datang.
Selamat berhimpun, selamat berkenal-kenalan, selamat bersaudara.
6. DOA
Akhirnya, marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT.
Umumnya apabila Allah membuatkan kita berdoa, hal itu bermaksud
Dia sedang membuka jalan-jalan pemberian kepada kita.
Bismilahirrahmanirahim.
(*Apa-apa doa yang biasa dibaca ada awal)
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim,
Sembuhkanlah segala penyakit dan kelemahan yang menimpa rohani dan
jasmani kami,
kuatkanlah rohani dan jasmani kami,
dan selamatkanlah rohani dan jasmani kami daripada segala bencana di
dunia dan di akhirat.
Kurniakanlah kepada kami kesembuhan, kekuatan dan keselamatan.
Keluarkanlah daripada hati kami ini segala sifat-sifat mazmumah.
·
Jauhkanlah daripada kami perasaan hasad
dengki.
·
Jauhkanlah daripada kami sifat mencintai
keduniaan.
·
Jauhkanlah daripada kami sifat bermewah-mewah
dan bermegah-megah.
·
Jauhkanlah daripada kami sifat kedekut.
·
Jauhkanlah daripada kami sifat menunjuk-nunjuk.
·
Jauhkanlah daripada kami perasaan hebat diri.
·
Jauhkanlah kami daripada fitnah terpesona akan
dunia.
Engkau pilihlah kami ya Allah :
·
Agar kami suka bertaubat dan selalu bertaubat.
·
Agar kami banyak bersabar dan sentiasa
bersyukur.
·
Agar kami sentiasa takut dan harap kepada-Mu.
Kami bermohon kepada-Mu wahai Allah Yang Maha Mengatur :
·
Jadikanlah kami orang yang zuhud.
·
Jadikanlah kami orang yang kuat tauhid dan
kuat tawakal.
·
Jadikanlah kami orang yang cinta dan rindu
pada-Mu.
·
Jadikan kami orang yang ikhlas.
·
Jadikan kami orang yang selalu muhasabah diri.
·
Jadikan kami orang banyak bertafakur
·
Dan jadikan kami orang yang selalu ingat akan
mati.
Inilah sifat-sfat mahmudah yang menjadi maqsud kami pada jalan
ini.
Kuatkanlah rasa persaudaraan antara sesama kami.
Limpahkanlah perasaan berkasih sayang kepada hati-hati ini.
Teguhkanlah tautan dan ikatan antara hati-hati kami ini.
Sesungguhnya kami bersaudara kerana-Mu ya Allah,
kami bersaudara pada jalan-Mu ya Allah.
kami bersaudara untuk mendapatkan redha-Mu ya Allah.
Ampunkanlah dan hapuskanlah segala dosa-dosa kami, dosa pandangan
mata kami, dosa pendengaran telinga kami, dosa penghiduan hidung kami, dosa perkataan
lidah kami, dosa riak wajah kami, dosa makan minum mulut dan perut kami, dosa
perbuatan tangan kami, dosa syahwat kami, dosa langkahan kaki kami, dosa seluruh
anggota zahir kami dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki, serta seluruh
dosa diri batin kami yakni hati qalbu kami.
Ampunkanlah juga wahai Allah Yang Maha Pengampun akan dosa
orang-orang tua kami, guru-guru kami, kaum keluarga kami, sahabat-sahabat kami,
dan seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah mati. Hakikatnya,
hanya Engkaulah satu-satunya yang ada hak untuk mengampunkan.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, kasihanilah kami yang serba lemah ini,
kasihanilah orang-orang yang kami sayang,
kasihanilah seluruh umat Islam.
Selamatkanlah kami umat Islam daripada
penderitaan.
Selamatkanlah umat Islam daripada
penindasan.
Selamatkanlah umat Islam daripada
perpecahan.
Selamatkanlah umat Islam daripada
kemiskinan.
Selamatkanlah umat Islam daripada
fitnah keduniaan.
Akhirnya Ya Allah, matikanlah kami nanti dalam keimanan dan
masukkanlah kami ke dalam Jannah-Mu.
Matikanlah kami dalam kecintaan kepada-Mu, kurniakanlah kepada
kami redha-Mu, dan masukkanlah kami ke dalam golongan yang dapat memandang-Mu
di akhirat kelak.
(*Doa-doa lazim)
Salam.
28 April 2018