Saturday, November 25, 2017

Playlist Rakaman Kitab Ihya Ulumuddin

Alhamdulilah. Syukur. Ribuan terima kasih kepada Pak Chaq yang buatkan playlist keseluruhan rakaman syarahan Kitab Ilmu dan Kitab Aqidah (kedua2nya daripada kitab Ihya' 'Ulumuddin) sebanyak 908 fail di Youtube.https://www.youtube.com/watch?v=KLz2_dJuppo&list=PLg-mUll13vs5oyh-17qp3hpoev43NMm-u 

Kemudian tuan2 bolehlah sambung dengan keseluruhan syarahan Kitab Cinta Allah. Habis yang itu sambung pula ke keseluruhan syarahan Kitab Zuhud. Ada di Youtube.

Selesai semua itu, boleh sambung ke syarahan terkini (sedang berjalan, belum keseluruhan lagi) Kitab Tauhid & Tawakal dan juga Kitab Perkahwinan.

Baru 6 kitab, masih ada 34 kitab yang perlu kita lalui untuk selesaikan keseluruhan kitab Ihya' 'Ulumuddin ini.

Sambil2 itu sesekali bacakanlah Surah Al-Fatihah dan niatkanlah untuk menghadiahkan apa jua manfaatnya (yang hanya Allah sahajalah yang tahu) buat seluruh umat Islam khususnya tuan kitab kita ini Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali.

Friday, November 17, 2017

Jalan2 Al-Ghazaliyyah siri ke-4

JALAN2 AL-GHAZALIYYAH siri ke-4.

Khamis 30/11 – Ke Selangor
Jumaat 1/12 – Pertemuan2 sekitar Selangor/KL
Sabtu 2/12 – Sekitar N. Sembilan/Melaka
Ahad 3/12 – Pertemuan2 sekitar Johor
Isnin 4/12 – Sekitar Johor
Selasa 5/12 – Perjalanan pulang.

Insya-Allah.

*Sekiranya tak sempat, pertemuan2 di N. Sembilan dan Melaka sahaya terpaksa skip dahulu. Insya-Allah sahaya akan cuba turun semula sekali lagi ke N/ Sembilan dan Melaka dalam Disember ini juga.
*Sahaya tak jadi ke Singapura. Semoga tuan2 dari Singapura boleh naik ke Johor.

PERSEDIAAN

Untuk sejahterakan urusan, tuan2 yang mahu bertemu bolehlah pm sahaya agar dapat sahaya susun perjalanan. Selalunya yang nak berjumpa ini atas SALAH SATU sebab daripada sebab2 berikut sahaja. Jarang sangat ada orang hendak jumpa atas sebab2 lain.
1.       Nak sedut fail2 rakaman kitab Ihya’ ‘Ulumuddin.
2.       Hendak tahu atau hendak ambil Tariqat Gazaliyyah.
3.       Yang sudah tahu sebelum ini tetapi baru hendak berijazah & berbai’ah.
4.       Yang mahukan khidmat perubatan Islam.
5.       Yang nak sembang2 & kenal2.
6.       Jumpa kawan lama.

Jadi :

1.       Kepada yang mahu sedut semua siri rakaman kitab Ihya’ ‘Ulumuddin (siri 1 hingga siri 234 kali kuliah), sediakan external hard disk. Saiz semua dalam 85GB. Masa lebih kurang 45 minit (agak2 je ni). Tiada sebarang bayaran.

2.       Kepada yang mahu mendengar penjelasan tentang Tariqat Ghazaliyyah (sama ada mahu berTariqat Ghazaliyyah atau sekadar hendak tahu), sediakan masa 1 setengah ke 2 jam. Tiada sebarang bayaran.

3.       Kepada yang sudah tahu tentang Tariqat Ghazaliyyah sebelum ini tetapi baru sekarang mahu berijazah & berbai’ah, 1 minit pun sudah cukup. Tiada sebarang bayaran.

4.       Kepada yang mahukan khidmat perubatan Islam, mohon maaf banyak2 kerana sahaya sudah berhenti beramal sebagai perawat sejak 2012. Entah mengapa sampai sekarang masih ada yang pm/mesej/call dsb nak berjumpa. Yang ini pun waktu sahaya aktif dulu, tiada sebarang bayaran juga.

5.       Kepada yang sekadar hendak berjumpa sembang2 dan kenal2, asal sahaya ada ruang kosong, insya-Allah boleh kita minum2. 

6.       Kepada kawan2 lama yang nak berjumpa, insya-Allah kita sama2 atur pertemuan. 

Dan yang akhirnya, walaupun tuan2 ada pm kepada sahaya untuk berjumpa, sahaya tidak berjanji untuk pasti berjumpa. Sekiranya kebetulan pada masa yang ditentukan itu sahaya berada pada tempat, laluan dan waktu yang kena, dapatlah kita jumpa. Kita rancang mungkin nak bertemu beberapa orang, tetapi yang dapat mungkin sedikit sahaja. Wallahua’lam

SIRI-SIRI PERJALANAN

Siri 1 - Kuala Lumpur (selesai sudah)
Siri 2 – Hulu Selangor, Temerloh, Jerantut (selesai sudah)
Siri 3 – Kedah, Perlis (selesai sudah)
Siri 4 – Selangor, KL, N. Sembilan, Melaka, Johor (dalam proses)
Siri 5 – Hulu Selangor, Raub, Jerantut (akan datang)
Siri 6 - (mungkin N. Sembilan, Melaka, Segamat)
Siri 7 - ???

Doa-doakan. Moga2 sejahtera.

Abu Zulfiqar Al-Amsyari

Jumaat 17 November 2017

Wednesday, November 1, 2017

Pelajaran Tarekat Ghazaliyyah 1


Assalamualaikum wbt.
Ikhwan sekalian,

Cinta Allah merupakan tujuan paling jauh daripada maqam-maqam yang mahu kita capai dan darjat yang tertinggi daripada darjat-darjat. Begitulah kata Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin.

Cinta Allah ini ada buah-buah atau hasil-hasilnya. Buah-buah atau hasil yang terbit daripada maqam cinta Allah ini adalah seperti buah rindu, jinak hati, redha dan yang seumpama dengannya.

Apakah bukti-bukti yang menunjukkan wujudnya cinta Allah? Bukankah sebahagian umat manusia mengatakan bahawa cinta Allah tidak wujud kerana yang ada hanyalah cinta sesama makhluk sahaja? Antara buktinya :

Firman Allah SWT : “Dia (Allah) mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya.” (Al-Maidah : 54)

Firman-Nya : “Orang-orang yang beriman itu sangat cinta kepada Allah.” (Al-Baqarah : 165)


Saudara-saudaraku,

Sesungguhnya mencintai Allah dan Rasul-Nya itu wajib. Bukan sekadar wajib, bahkan kita wajib mencintai Allah dan Rasul-Nya LEBIH daripada yang lain-lain. Apakah sandarannya?

Sabda kekasih kita Nabi saw : “Tidak beriman seseorang kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain-lain.” (Bukhari, Muslim)

Baginda saw juga ada bersabda : “Tidak beriman seseorang hamba sebelum aku (Rasulullah saw) lebih dicintainya berbanding isterinya, hartanya dan manusia seluruhnya.” (Bukhari, Muslim)

Sudahkah selama hari ini kita mencintai Allah dan Rasul-Nya?
Sudahkah kita mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain-lain?
Ataupun ada lagi yang lain-lain yang lebih kita cintai berbanding Allah dan Rasul-Nya?

Jika ada, bagi kita ahli-ahli tasawuf khususnya dan umat makhluk berakal (manusia dan jin) seluruhnya, hal sedemikian sangatlah berbahaya kerana Allah SWT telah pun berfirman : “Katakanlah : Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, kekayaan yang diperoleh oleh kamu, perniagaan yang dikhuatiri rugi oleh kamu, dan tempat kediaman yang disukai oleh kamu; kalau semua itu lebih dicintai oleh kamu melebihi (cinta kamu kepada) Allah dan Rasul-Nya dan (melebihi) daripada berjuang pada jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasik.” (At-Taubah : 24)

Ingatlah baik-baik! Sesungguhnya kita wajib mencintai Allah, Rasulullah dan kerja-kerja perjuangan pada jalan Allah lebih daripada yang lain-lain. Adakah kita terlibat dalam kerja-kerja pada jalan Allah dan mencintainya?

Semoga kita semua terselamat daripada tergolong ke dalam golongan orang-orang fasiq.


Saudara,

Apakah untungnya kita mencintai Allah dan Rasul-Nya?

Suatu hari seorang Arab desa datang kepada Nabi saw dan bertanya : “Wahai Rasulullah, bilakah Qiamat?”
Nabi saw menjawab : “Apa yang sudah engkau sediakan untuk (menghadapi) Qiamat itu?”
Arab desa itu menjawab : “Tidaklah aku sediakan untuk (menghadapi) Qiamat itu dengan membanyakkan solat dan puasa, cuma aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.”
Lalu Rasulullah saw bersabda : “Manusia itu (akan) bersama-sama orang yang dicintainya.” (Bukhari, Muslim)

Alangkah besarnya fadhilat (kelebihan) mencintai Allah dan Rasul-Nya!

Menurut Anas, sebagaimana yang dipetik oleh pendahulu kita iaitu Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin pada Kitab Cinta Allah : “Aku tidak melihat kaum muslimin yang (paling) bergembira kerana sesuatu sesudah Islam sebagaimana gembiranya mereka terhadap hadis ini.”


Tuan-tuan yang dimuliakan,

Umumnya :
-          Apabila kita selalu teringat-ingat akan sesuatu dalam keadaan kita suka akannya, itu bererti cinta.
-          Apabila kita selalu teringat-ingat akan sesuatu dalam keadaan kita tidak suka akannya, itu bererti benci.

Oleh itu, orang yang benar-benar cinta akan Allah dan Rasul-Nya, sudah pasti dia akan selalu teringat-ingat akan Allah dan Rasul dalam keadaan suka. Begitu juga dengan orang yang mencintai perjuangan pada jalan Allah. Mereka tentunya selalu teringat-ingat akan kerja-kerja perjuangan pada jalan Allah dalam keadaan suka.

Marilah kita berazam dan berusaha untuk menjadi hamba Allah yang mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi yang lain-lain. Juga untuk menjadi seorang yang sangat mencintai perjuangan, kerja-kerja dan pengorbanan pada jalan agama yakni jalan Allah.

Semoga dimudahkan Allah.

Abu Zulfiqar
1 November 2017