Monday, June 19, 2017

Tanda2 Seseorang Itu mencintai Allah

Pertama : Orang yang mencintai Allah tentunya cinta untuk bertemu dengan Allah setelah masuk ke jannah nanti. Untuk bertemu dengan Kekasih, mestilah melalui kematian. Oleh itu, pecinta mestilah orang yang tidak membenci mati.

“Sesiapa yang mencintai untuk bertemu dengan Allah, nescaya Allah juga cinta untuk bertemu dengannya.” (Bukhari, Muslim)

Kedua : Membanyakkan sujud (banyak melakukan solat-solat sunat).

Sebahagian salaf berkata : “Tidak ada suatu perkara pun yang lebih dicintai oleh Allah pada hamba sesudah cinta untuk bertemu dengan Allah,selain daripada banyak sujud.”

Ketiga : Sanggup berperang pada jalan Allah dengan perancangan yang bagus.

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang pada jalan Allah dalam barisan perang yang teratur.” (As-Saf : 4)

Keempat : Mencintai mati.

Sufyan ath-Tahuri dan Bisyr al-Hafi mengatakan : “Tidak benci kepada mati kecuali orang yang ragu.”

Benci mati berlaku kerana kuatnya cinta kepada dunia.

Ahli-ahli sufi meminta dipanjangkan umur bukan kerana mereka membenci mati, tetapi kerana mahu mempertingkatkan maqam masing-masing sebagai persediaan terbaik sebelum bertemu dengan Allah.

Kelima : Mengutamakan apa yang disukai oleh Allah berbanding apa yang disukai oleh diri sendiri.

Maksudnya hatinya memang suka untuk mentaati perintah-perintah Allah dan suka untuk menjauhi segala larangan Allah. Orang yang bercinta sudah tentu akn mendahulukan kemahuan kekasihnya berbanding kemahuan dirinya sendiri.

Keenam : Mencintai zikrullah. Sangat suka ingat akan Allah. Banyak ingat akan Allah.

Ketujuh : Mencintai Al-Quran.

Kata Sahl : “Tanda mencintai Allah ialah mencintai Al-Quran. Tanda mencintai Al-Quran ialah mencintai Nabi saw. Tanda mencintai Nabi ialah mencintai sunnah.”

Kelapan : Mencintai Nabi saw.

Firman Allah : “Katakan : Jika benr kamu mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya kamu akan dicintai oleh Allah.” (Ali ‘Imran : 31)

Kesembilan : Suka bersenang-senang dengan khilwah dan munajah.

Maksudnya suka memperuntukkan masa tertentu untuk bersendirian lalu bermesra-mesraan dengan Kekasihnya yakni Allah swt, lebih-lebih lagi pada malam hari.

Firman Allah Taala : “Orang-orang yang beriman itu, hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ketahuilah, dengan mengingati Allah, tenteramlah hati.” (Ar-Ra’d : 28)

Kesepuluh : Tertanam dalam jiwanya bahawa terlepas selain Allah tidak mengapa lagi, asalkan jangan terlepas akan Allah.

Kesebelas : Berasa sedap dan lazat untuk taat kepada perintah-perintah Allah.

Kedua belas : Mengasihi segala makhluk Allah tetapi bertegas terhadap musuh-musuh Allah.

“Bersikap tegas terhadap orang-orang yang tidak beriman, (dan) bersikap kasih sayang antara sesama mereka.” (Al-Fath : 29)

Ketiga belas : Ada perasaan takut (risau, bimbang, khuatir), iaitu takut terlepas Allah, takut terjauh daripada Allah, takut cinta menjadi lemah, takut terubah hati dan sebagainya. Apabila ada takut, maka adalah juga harap akan hal-hal itu.

- Intipati kitab induk Ihya' 'Ulumuddin : Kitab Cinta Allah

Saturday, June 17, 2017

Bagaimana Puasa Orang2 Soleh?



Puasa terdiri daripada 3 tingkatan :

i) Puasa umum - Menjaga perut dan kemaluan daripada memenuhi keinginannya.

ii) Puasa khusus - Turut menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan anggota tubuh yang lain.

iii) Puasa khusus daripada yang khusus - Menjaga hati agar tertuju kepada Allah sahaja. Inilah tingkat nabi-nabi, orang-orag siddiq dan orang-orang muqarrabin.


Antara ciri-ciri puasa khusus, yakni puasa orang-orang soleh :

i) Hatinya dapat mengawal mata daripada melihat hal-hal yang diharamkan dan dimakruhkan. Hatinya mengelakkan mata daripada memandang hal-hal yang boleh melalaikan kita daripada mengingati Allah.

Sabda Nabi saw : “Pandangan itu merupakan panah beracun daripada panah-panah Iblis yang dilaknat Allah. Sesiapa yang dapat meninggalkan pandangan kerana takut akan Allah, nescaya didatangkan oleh ‘Azza wa Jalla kepadanya iman yang terasa manis di kalbunya.” (Al-Hakim, dengan sanad yang sahih)

ii) Hatinya dapat mengawal lidah daripada mengucapkan sesuatu yang tidak ada faedah, menipu, membawa-bawa cerita, mengucapkan perkatan-perkataan yang tidak baik, kata-kata yang boleh merenggangkan hubungan, yang membawa kepada permusuhan dan yang mengandungi riak. Sebaliknya hatinya membawanya kepada banyak berdiam diri, berzikir dan membaca Al-Quran.

iii) Hatinya dapat mengawal telinganya daripada medengar hal-hal yang haram dan makruh.

iv) Hatinya dapat mengawal anggota tubuhnya terutamanya tangan dan kaki daripada segala perbuatan dosa dan makruh.

Antaranya mencegah perut daripada memakan harta yang haram dan syubhat apabila berbuka.

v) Hatinya dapat mencegah diri daripada mengikut kehendak hawa nafsu apabila berbuka iaitu mengelakkan daripada banyak makan dan makanan serta banyak minum dan minuman.

Bagaimanlah kita mahu mendapatkan manafaat daripada berpuasa apabila ketika berbuka puasa itu kita memperoleh segala macam yang kita tidak dapat menikmatinya pada siang hari? Sudah menjadi kebiasaan pula pada bulan Ramadhanlah pelbagai jenis makanan minuman yang jarang-jarang kita nikmati pada hari-hari biasa tetapi kita memperolehinya apabila berbuka.

Apabila perut dikosongkan sejak pagi hingga ke petang, keghairahannya kepada makanan dan minuman sudah tentu bergejolak. Tiba waktu berbuka, dihidangkan pula dengan pelbagai juadah yang lazat-lazat, maka lebih bernafsulah makan minumnya. Lebih banyak dan lebih mewahlah makan minumnya berbanding hari-hari tidak berpuasa. Maka tercapaikan matlamat berpuasa itu?

Tidur pada siang hari juga hendaklah dikurangkan agar hati dapat merasai keadaan lapar, dahaga dan kelemahan tubuh badan. Barulah bertambah manafaat puasa kita.

vi) Hatinya dapat membawa kepada berasa takut dan harap akan Allah sesudah berbuka puasa. Rasa takut dan rasa berharap kerana tidak tahu bagaimana nilai puasanya di sisi Allah pada hari itu, sama ada puasanya termasuk puasa para muqarrabin atau tidak. Takut puasanya tidak diterima atau dinilai rendah, dan berharap agar puasanya diterima dan dinilai tinggi di sisi Allah SWT.

- Intipati daripada Kitab Rahsia Puasa dalam kitab induk Ihya' 'Ulumuddin

Keutamaan Puasa Menurut Imam Al-Ghazali



Nabi saw bersabda : “Puasa itu separuh daripada sabar.” (Turmizi, Ibnu Majah)

Sabda baginda saw : “Sabar itu separuh daripada iman.” (Abu Na’im)

Oleh itu ibadah puasa adalah suku (1/4) daripada iman.

Allah Taala berfirman : “Sesungguhnya orang-orang yang sabar itu akan diganjar pahalanya dengan tiada terbatas.” (Az-Zumar : 10)

Bayangkan, puasa itu setengah daripada sabar!

Sabda Nabi saw : “Setiap perbuatan baik itu pahalanya antara 10 kali ganda hingga 700 kali ganda selain ibadah puasa. Puasa itu adalah bagi-Ku dan Aku yang akan membalasnya.” (Bukhari, Muslim)

Begitu istimewanya ibadah puasa sehingga disandarkan terus kepada Allah Taala dari segi ganjarannya.

Sabda Nabi saw : “Demi Allah yang jiwaku dalam tanganNya. Sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa adalah lebih harum wangi di sisi Allah daripasa bau kasturi.” (Bukhari, Muslim)

Sabda Nabi saw : “Jannah itu mempunyai sebuah pintu yang dinamakan Ar-Rayyan, yang tidak masuk melalui pintu itu selain orang-orang yang berpuasa. Dan dijanjikan dengan menemui Allah Taala pada balasan puasanya.” (Bukhari, Muslim)

Sabda Nabi saw : “Orang yang berpuasa itu mendapat dua kesenangan : kesenangan ketika berbuka dan kesenangan ketika bertemu dengan Tuhannya.” (Bukhari, Muslim)

Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya syaitan berjalan pada anak Adam pada tempat laluan darahnya. Maka sempitkanlah jalannya dengan lapar.” (Bukhari, Muslim)

- Petikan daripada Kitab Rahsia Puasa dalam kitab induk Ihya' 'Ulumuddin