SOALAN :
Salam ustaz.
Nak tundukkan nafsu nak buat macam mana? Contohnya nafsu syahwat, berzina...na’uzubillah. Rasa nak berzina (nafsu syahwat), nafsu malas nak solat (ibadat) dan seumpamanya lagi. Tolong doakan saya juga tu ustaz.
Soalan kedua : Macam mana cara nak belajar fekah dan ingin menguasai ilmu fekah itu?
Soalan ketiga : Macam mana cara nak (datangkan) perasaan cinta pada Allah?
Harap ustaz tolong jawab solan-solan itu ustaz.
JAWAPAN :
Wlksm Tuan xxxxxxx xxxxx.
Sebenarnya saya ni tak banyak tahu. Sekadar nak kongsi-kongsi tukar-tukar fikiran sesama sahabat tu, bolehlah.
Nafsu milik Allah sepenuhnya. Oleh itu, untuk menundukkan nafsu, yang utama kenalah mohon kepada Tuannya. Kita mohon kepada Allah agar Dia tundukkan nafsu kita. Nak kuasai ilmu fiqh dan mahu rajin solat pun begitu juga. Awal-awal kena mohon kepada Pemiliknya terlebih dahulu. Sama juga dengan perasaan cinta akan Allah. Cinta itu milik Allah sepenuhnya. Hanya Dia sahaja yang ada kuasa untuk memberi atau tidak memberi cinta. Maka kita kena banyak minta daripada Tuannya.
Ada bernafsu syahwat, itu fitrah manusia. Itu tandanya kita manusia normal. Cuma kita jangan tersalah salur sahaja. Lazimkan zikir dalam hati, apa-apa zikir. Contohnya “Allah, Allah, Allah”. Nanti walaupun perasaan hendak melakukan maksiat tu tiba, kita sendiri akan berasa malu kepada Allah kerana hati kita tidak putus-putus menyebut nama-Nya. Maka biasanya keghairahan kita terhadap maksiat tu akan mengendur dan mengendur.
Belajar fekah, jika sekadar nak tahu-tahu dan lepaskan diri kita sendiri, caranya ialah dengan rajin mengikuti kuliah-kuliah tentang fekah di masjid surau. Tetapi jika mahu sampai ke peringkat berkemahiran, kita kena ikuti pengajian bersiri. Kena tumpu satu-satu pengajian. Ikuti siri pengajian tu. Kalau ada kitabnya, belajar dari awal sehingga habis. Insya-Allah lama-kelamaan akan semakin pandai malahan ada kemahiran.
Nak dapatkan rasa lazat, manis, sedap dan bersemangat dalam solat, antara kaedah yang mudah adalah dengan selalu mengulang-ulang baca fadhilat-fadhilat solat. Kumpulkan hadis-hadis tentang kelebihan-kelebihan solat, print out dan selalu ulang-ulang baca. Insya-Allah akan datang semangatnya.
Nak dapatkan rasa cinta Allah :
1.Kena selalu bergaul dengan orang-orang yang cinta Allah.
2.Elok sangat jika dapat berguru tentang ilmu cinta Allah ni.
3.Rajin-rajin belajar dan membaca kitab-kitab tentang cinta Allah.
Wallahualam. Sekadar itu sahaja tuan. Salah silap dan kekurangan, saya mohon maaf.
Abu Zulfiqar
8 Januari 2017
No comments:
Post a Comment