Wednesday, September 14, 2016

Tentu Lebih Benar?

Kayu ukur kebenaran yang salah, tapi masih ada juga orang2 yang mudah terpengaruh dengannya :

- Yang ada PHD sudah TENTU LEBIH BENAR daripada yang tidak ada PHD.
- Orang universiti tentu lebih benar daripada orang yang tidak masuk universiti.
- Ustazah tentu lebih benar daripada orang kampung biasa.
- Yang berjanggut panjang tentu lebih benar daripada yang berjanggut pendek.
- Ahli jemaah2 besar tentu lebih benar daripada ahli jemaah2 kecil.
- Yang berserban besar tentu lebih benar daripada yang berserban kecil.
- Yang ada jawatan tentu lebih benar daripada yang tidak berjawatan.
- Yang pulang dari Timur Tengah tentu lebih benar daripada yang belajar di pondok2 Nusantara.
- Yang ramai pengikut tentu lebih benar daripada yang kurang pengikut.
- Yang nampak tua tentu lebih benar daripada yang nampak muda.
Dan pelbagai lagi yang seumpama dengannya.

Jika selama ini kita menggunakan pengukur di atas, kita kena betulkan semula pertimbangan kita dalam menilai kebenaran.

Abu Zulfiqar
14 September 2016

Tuesday, September 13, 2016

Murid dan Maklumat Yang Dipelihara Guru

"Seseorang murid itu janganlah menyombong dengan ilmu yang diketahuinya lalu menentang gurunya."

"Bertanya kepada guru (apatah lagi terus menentang tanpa bertanya terlebih dahulu) dalam hal yang belum sampai tahapmu untuk memahaminya adalah dicela. Kerana itulah maka Khidhir melarang Musa bertanya (sebelum sampai ketikanya)."

"Oleh itu, tinggalkanlah bertanya sebelum tiba waktunya. Guru lebih tahu tentang keahlianmu (kebolehanmu) dan bila masanya sesuatu pengetahuan itu mesti diberitahu kepadamu."

- Imam Al-Ghazali, Ihya' 'Ulumuddin : Kitab Ilmu


Sekadar misalan:

Pengetahuan tentang alam berumahtangga dan proses terjadinya bayi di dalam kandungan hendak diajar kepada murid-murid prasekolah. Sesuaikah?

Formula Matematik untuk pelajar universiti hendak diajar kepada murid-murid Tahun 1 sekolah rendah. Sesuaikah? Kira campur tolak darab bahagi yang asas pun mereka masih merangkak-rangkak.

Maklumat ketenteraan tingkat Jeneral hendak diberi kepada prebet-prebet yang baru masuk askar. Sesuaikah?

Segala maklumat itu sebenarnya tidak tersembunyi tetapi disimpan buat sementara waktu dan akan dikeluarkan apabila orang-orang yang bakal menerima maklumat itu dirasakan layak untuk memikulnya. Jauh berbeza antara menyembunyi dengan menyimpan/memelihara. Kepada orang-orang yang belum mampu menanggungnya atau yang tidak mampu menanggungnya, tidaklah disampaikan maklumat-maklumat itu kepada mereka. Jika guru menyampaikan juga, maknanya guru itu seorang yang zalim.

Letakkan bahan buat kuih pada penimbang kuih, letakkan sayur dan ikan pada penimbang sayur di pasar, dan letakkan lori jentera pada penimbang jentera. Begitulah pertimbangan guru-guru yang adil. Mereka tidak akan meletakkan lori sawit untuk dijunjung oleh penimbang sayur-sayuran. Hancur penimbang itu nanti!

Imam Al-Ghazali menyatakan dalam kitab Ihya’ pada Kitab Ilmu :
Ditanyakan sesuatu kepada seorang ulama. Dia tidak menjawab. Lalu penanya itu bertanya lagi : “Tidakkah tuan ada mendengar sabda Nabi saw : “Sesiapa yang menyembunyikan ilmu yang bermanafaat, nescaya dia akan datang pada Hari Qiamat dalam keadaan pada mulutnya ada kekang daripada neraka.” (Ibnu Majah)?”

Maka ulama itu menjawab : “Tinggalkanlah kekang itu di sini dan engkau berlalulah. Sekiranya datang orang yang berfaham (yang mampu menanggung maklumat tersebut) tetapi aku masih sembunyikan juga, maka ketika itu letaklah kekang itu di mulutku.”

Kadang-kadang ada murid-murid yang dikuasai sifat-sifat mazmumah menyebabkan mereka tidak sabar, berasa sudah cukup bijak dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan terburu-buru dalam membuat keputusan. Mereka mempertikaikan guru-guru sedangkan mereka tidak tahu pun maklumat-maklmuat yang masih dipelihara oleh guru-guru mereka. Dirasakan prostesnya itu benar di sisi agama lalu mereka pun membuat keputusan sendiri terlebih dahulu.

Dalam menuntut ilmu kenalah ada sabar, ikhlas hati, mendahulukan sangka baik bukan mendahulukan sangka buruk, bersikap merendah diri, hormat, taat dan berkasih sayang. Jika tidak, kita mungkin akan menyusahkan diri (jika bukan di dunia pun, di akhirat nanti), guru dan pihak-pihak lain.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada banyak berprasangka kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Sudah tentu kamu jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat : 12)

Umumnya : “Jika engkau mengikut aku, janganlah engkau bertanya tentang sesuatu sehinggalah aku sendiri yang akan menceritakannya kepadamu.” (Al-Kahfi : 70)

Wallahua'lam.

Abu Zulfiqar
13 September 2016

Tindakan Sesudah BerTarikat Ghazaliyyah

Persoalan : Saya baru mengambil Tariqat Ghazaliyyah. Apa yang perlu saya lakukan seterusnya?

Jawapan :
1. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan segala amalan yang fardhu dan yang wajib. Usaha ini bukan kerana anda berTariqat Ghazaliyyah, tetapi kerana memang sudah menjadi kefardhuan dan kewajiban ke atas kita semua sama ada yang bertariqat ataupun tidak.

2. Amalkan Zikir Harian secara istiqamah.

3. Carilah mana-mana majlis pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin (Imam Al-Ghazali) dan ikutilah secara istiqamah. Jika tidak diperoleh, carilah mana-mana majlis pengajian kitab Minhajul ‘Abidin (Imam Al-Ghazali). Sekiranya tidak dapat juga, teruslah mencari tetapi bolehlah ditampung buat sementara waktu dengan mana-mana pengajian kitab Siyarus Salikin (Syeikh Abdus Samad al-Falimbani). Masih belum dapat? Carilah mana-mana majlis pengajian kitab Bidayatul Hidayah (Imam Al-Ghazali) atau Hidayatus Salikin (Syeikh Abdus Samad al-Falimbani). Belum diperoleh juga? Duduklah dalam mana-mana majlis pengajian kitab tasawuf buat sementara, sambil terus mencari pengajian kitab Ihya’ atau kitab Minhaj.

4. Berusahalah untuk menghadiri sekurang-kurangnya dua kali mana-mana majlis ilmu/tarbiyyah/agama dalam seminggu.

5. Berusahalah untuk solat berjemaah di masjid/surau (bagi lelaki) apabila berpeluang.

6. Berusahalah untuk menutup aurat dengan sesempurna mungkin (bagi lelaki dan wanita).

7. Hadirilah mana-mana majlis tarbiyyah Tariqat Al-Ghazaliyyah yang berhampiran sekiranya ada.

8. Teruslah berhubung baik dengan guru, wakil guru dan ikhwan Tariqat Ghazaliyyah dari semasa ke semasa, secara berhadapan mahupun secara jarak jauh.

9. Berusaha untuk mencontohi akhlak Nabi Muhammad saw di mana-mana sahaja kita berada.

10. Teruskan komitmen baik anda selama hari ini terhadap diri, keluarga, rakan-rakan, masyarakat, negara, agama, umat, majikan, kerjaya, pendidikan, jemaah-jemaah Islam atau perkumpulan-perkumpulan agama Islam yang anda sertai, dan sebagainya.


Abu Zulfiqar
13 September 2016

Monday, September 12, 2016

BerTariqat Ghazaliyyah Sesudah Bertariqat

Persoalan :

Assalamualaikum ustaz.

Saya teringin juga hendak mengamalkan Tariqat Ghazaliyyah tetapi saya sudah pun mengamalkan Tariqat xxxxxxxx.

Mohon pandangan ustaz.



Penjelasan :

Waalaikumussalam.Tuan yang dimuliakan. Persoalan ini saya cuba jawab secara menyeluruh supaya isi jawapannya boleh dipakai berterusan untuk orang-orang lain juga.

Sememangnya ada individu-individu yang berminat untuk mengikuti Tariqat Al-Ghazaliyyah tetapi mereka teragak-agak dan ada yang memendamkan sahaja hasrat mereka memandangkan mereka sudah pun terlibat dengan sesuatu organisasi tariqat ataupun sekurang-kurangnya ada mengamalkan pelajaran tariqat dengan tariqat tertentu.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan situasi sebegitu. Sekarang saya senaraikan antara faktor-faktor tersebut dan cuba memberikan pencerahan yang sesuai, insya-Allah.


Permasalahan 1 :
Khuatir amalan sedia ada akan terganggu, tidak sempat diselesaikan, dan akan jadi banyak sangat.

Penjelasannya :
Insya-Allah amalan sedia ada tidak akan terganggu. Hal ini kerana :

1. Amalan Tariqat Ghazaliyyah ini sangat ringkas.
2. Zikir hariannya mudah, pendek-pendek dan sedikit.
3. Dalam masa yang singkat sahaja boleh diselesaikan. Contohnya zikir harian pada hari Sabtu ialah “La IlahaillAllah” 1,000 kali. Itu sahaja.
4. Zikir Harian boleh dibuat pada bila-bila masa, sambil-sambil pun boleh. Tidak semestinya kena berada di tempat tertentu dengan gaya duduk tertentu dan pada masa tertentu. Boleh dibuat sedikit-sedikit dan disambung apabila ada kelapangan.
5. Sekiranya tidak boleh bersuara atau letih untuk bersuara, di hati pun sudah memadai.
6. Jumlahnya juga tidak mesti cukup bilangan 1000. 1000 itu sekadar untuk menunjukkan banyak. Contohnya jika kita mampu buat 100 sahaja, buatlah 100.
7. Amalan Wirid Harian pula hanya untuk orang-orang yang sudah stabil amalan Zikir Hariannya.
8. Hanya ada 10 kalimah yang pendek-pendek sahaja, yang dianjurkan untuk membaca 10 kali setiap satunya. Jadi kesemuanya 100 kali. Sekiranya mampu baca 1 kali sahaja (10 kalilah jumlah keseluruhannya), bacalah 1 kali sahaja. Cara mengamalkannya pun sama dengan cara mengamalkan Zikir Harian.
9. Jika mahu, selesaikanlah terlebih dahulu amalan-amalan sedia ada, kemudian baru buat Zikir Harian Tariqat Ghazaliyyah ini. Boleh. Tidak ada masalah. Maksudnya anda masih punya banyak masa dengan tariqat atau tariqat-tariqat anda yang lain itu.


Permasalahan 2 :
Khuatir kena menghadiri banyak majlis.

Penjelasannya :
1. Dalam Tariqat Al-Ghazaliyyah, tidak ada apa-apa majlis yang perlu dihadiri kecuali pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin atau kitab Minhaj al-’Abidin, sekurang-kurangnya sebulan sekali. Carilah di mana-mana pun walaupun pengajarnya tidak berTariqah Ghazaliyyah. Sekiranya tidak diperoleh juga, buat sementara waktu bolehlah ikuti pengajian kitab Siyarus Salikin, atau Bidayatul Hidayah atau Hidayatus Salikin.
2. Tarqah Al-Ghazaliyyah idak ada sebarang majlis tetap, tambahan atau sampingan seperti tawajuh, suluk, maulid, haul dan sebagainya.
3. Cuma sekiranya ada keluangan masa, sangat digalakkan untuk pergi mendapatkan maklumat lagi tentang Tariqah Al-Ghazaliyyah ini kepada guru-guru, ahli atau majlis-majlis penerangan Tariqat Ghazaliyyah. Itu sahaja.


Permasalahan 3 :
Khuatir terikat dengan (guru atau perkumpuan atau organisasi) Tariqat Ghazaliyyah.

Penjelasan :
1. Umumnya Tariqat Ghazaliyyah bukanlah sebuah organisasi tariqat. Maka anda tidak akan terikat dengan tariqat ini.
2. Tariqat Ghazaliyyah bersifat untuk semua. Sesiapa yang tahu, boleh mengamalkannya. Sesiapa yang tidak mahu, boleh sahaja meninggalkannya. Tidak disyaratkan untuk berbaiah atau mengambil ijazah.
3. Tariqat Ghazaliyyah tidak bersifat menarik, mengumpul dan menyekat manusia. Sebaliknya bersifat menyebar kepada seluruh umat manusia.


Permasalahan 4 :
Khuatir tidak dibenarkan atau dimarahi atau disisihkan oleh guru dan organisasi tariqat sedia ada.

Penjelasan :
Jelaskan dengan baik kepada mereka dan mohon keizinan. Boleh jadi mereka tidak tahu dan mungkin juga tersalah faham. Sebenarnya :
1. Tariqat Ghazaliyyah tidak mengambil, mencuri atau merampas mana-mana murid/pengamal tariqat lain. Orang yang mengambil tariqah ini boleh terus kekal dengan tariqat-tariqatnya selama ini. Anggaplah Tariqat Ghazaliyyah ini sebagai pengkayaan sahaja.
2. Tariqat Ghazaliyyah tidak mengganggu amalan dan komitmen murid dengan tariqat lain.
3. Tariqat Ghazaliyyah tidak menggangu perjalanan kerohanian murid bahkan akan dapat membantu melajukan lagi pencapaiannya bersama organisasi tariqat lain.
4. Ringkasnya, Tariqat Ghazaliyyah langsung tidak bersaing atau berebut dengan mana-mana guru, organisasi dan perkumpulan mana-mana tariqat pun.
5. Bahkan ahli-ahli Tariqat Ghazaliyyah ini sendiri bebas untuk pergi berguru dengan mana-mana guru, organisasi atau perkumpulan tariqat lain.

Semoga penjelasan ringkas ini bermanfaat buat semua.


Abu Zulfiqar
25 Ogos 2016

Wednesday, September 7, 2016

Mazhab Tauhid dan Tasawuf Imam Syafie?

PERSOALAN : Mengapa dalam bab fiqh kita hendak mengikut Imam Asy-Syafi’i tetapi dalam bab aqidah kita hendak mengikut Imam Abu Hasan Al-Asy’ari? Apabila kita setuju untuk mengikut fiqh Imam Asy-Syafi’i, ikut sahajalah tauhid Imam Asy-Syafi’i. Mengapa kita kena ikut tauhid Imam Abu Hasan Al-Asya’ri pula?

PENCERAHAN :
Setiap bidang ada ahlinya. Ahli di sini bermaksud hamba-hamba Allah yang pakar dalam bidang tersebut. Keahlian orang-orang dalam sesuatu bidang itu juga ada pelbagai. Tiga tungku agama Islam atau tiga bidang utamanya ialah tauhid, fiqh dan tasawuf. Darjah tertinggi dari segi keahlian (kepakaran, kemahiran, keupayaan) seseorang dalam bidang-bidang itu disebut sebagai “mujtahid mutlak”. Mujtahid ramai, tetapi yang mencapai martabat mujtahid mutlak sangat sedikit orangnya.

Dalam bidang tauhid, ada mujtahid-mujtahid mutlaknya. Dalam bidang fiqh, ada mujtahid-mujtahid mutlaknya. Begitu jugalah dalam bidang tasawuf. Para mujtahid mutlak inilah yang mengasaskan mazhab-mazhab tauhid, mazhab-mazhab fiqh dan mazhab-mazhab tasawuf.

Contoh mujtahid mutlak dalam tauhid ialah Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturudi. Mereka mengasaskan mazhab tauhid tersendiri.

Contoh mutahid mutlak dalam bab fiqh ialah Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan Ath-Thauri, Imam Malik, Imam Asy-Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal. Mereka juga mengasaskan mazhab fiqh tersendiri.

Contoh mujtahid mutlak dalam bidang tasawuf ialah Imam Junaid Al-Baghdadi dan Imam Al-Ghazali. Mereka pun mengasaskan mazhab tasawuf tersendiri.

Bukan semua ulama besar bertaraf mujtahid mutlak dalam ketiga-tiga bidang. Hendak mendapatkan seorang ulama besar yang bertaraf mujtahid mutlak dalam dua bidang sahaja pun hampir-hampir tidak ada. Biasanya mereka mencapai darjat mujtahid mutlak dalam salah satu bidang sahaja. Setiap ilmu ada ahlinya.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan iaitu :

“Mengapa dalam bab fiqh kita hendak mengikut Imam Asy-Syafi’i tetapi dalam bab aqidah kita hendak mengikut Imam Abu Hasan Al-Asy’ari? Apabila kita setuju untuk mengikut fiqh Imam Asy-Syafi’i, ikut sahajalah tauhid Imam Asy-Syafi’i. Mengapa kita kena ikut tauhid Imam Abu Hasan Al-Asya’ri pula?”

Untuk orang-orang yang menyokong dan memperjuangkan persoalan seperti di atas, kita kemukakan beberapa persoalan kepada mereka terlebih dahulu agar mereka kemukakan jawapan-jawapannya. Bagi orang-orang yang ikhlas dan cerdas, persoalan-persoalan ini sebenarnya sudahpun menjawab pertanyaan di atas tadi.

1. Adakah Imam Asy-Syafi’i bertaraf mujtahid mutlak dalam bidang tauhid dan tasawuf? (Jika ya, maka sudah tentulah ada mazhab tauhid dan mazhab tasawuf yang diasaskan oleh Imam Asy-Syafi’i)

2. Apa nama mazhab tauhidnya? Yang kita biasa dengar contohnya Mazhab Tauhid Asya’irah atau Mazhab Tauhid Maturudiyyah. Wujudkah Mazhab Tauhid Asy-Syafi’iyyah? Mengapa tidak pernah dengar pun selama hari ini tentang kewujudan mazhab tauhid yang diasaskan oleh Imam Asy-Syafi’i itu? Bila mazhab itu diasaskan?

3. Dikatakan bahawa jika kita hendak mengikut mazhab fiqh yang diasaskan oleh Imam Asy-Syafi’i iaitu Mazhab Fiqh Asy-Syafi’i, maka kita juga kenalah mengikut Mazhab Tauhid Asy-Syafi’i. Baiklah, sekarang ada orang mahu mengikut Mazhab Tauhid Asya’irah. Maka mereka kenalah mengikut Mazhab Fiqh Asy’ari? Kan begitu kalau mengikut pemahaman penanya soalan di atas? Persoalannya, wujudkah mazhab fiqh yang diasaskan oleh Imam Al-Asy’ari iaitu Mazhab Fiqh Asy’ari? Bagaimana pula dengan Mazhab Tasawuf Asya’irah? Pernah dengarkah?

4. Kami mengikut Mazhab Tasawuf Al-Ghazaliyyah yang diasaskan oleh Imam Al-Ghazali. Maksudnya kami kenalah mengikut Mazhab Tauhid Al-Ghazaliyyah dan Mazhab Fiqh Ghazali? Bila pula masanya Imam Al-Ghazali diiktiraf sebagai mujtahid mutlak dalam fiqh dan mengasaskan Mazhab Fiqh Ghazali? (*Padahal Imam Al-Ghazali sekalipun bertaraf mujtahid mutlak dalam tasawuf dan mengasaskan mazhab tasawuf tersendiri, beliau sedar tarafnya yang bukan mujtahid mutlak dalam bidang fiqh menyebabkan beliau tetap berpegang dengan mazhab fiqh Asy-Syafi’iyyah)

5. Ringkas kata, setiap mujtahid mutlak yang mengasaskan apa-apa mazhab sama ada dalam bidang tauhid, fiqh ataupun tasawuf, ada kitab khusus mereka yang membicarakan bidang tersebut. Imam Abu Hasan Al-Asy’ari mengasaskan Mazhab Tauhid Al-Asya’irah, maka ada kita-kitab besar lagi khusus yang dikarangnya dalam bidang tauhid. Imam Al-Ghazali mengasaskan Mazhab Tasawuf Al-Ghazaliyyah, maka ada kitab-kitab karangannya yang besar lagi khusus yang membicarakan hal ehwal tasawuf. Imam Asy-Syafi’i mengasaskan Mazhab Fiqh Asy-Syafi’i, maka memang ada kitab-kitab besarnya lagi khusus yang dikarangnya yang membicarakan hal ehwal fiqh.

Adakah kitab besar lagi khusus karangan Imam Asy-Syafi’i yang membicarakan bidang tauhid? Apa nama kitab besar lagi khusus karangan Imam Asy-Syafi’i yang membicarakan bidang tasawuf? (*Jika ada sekalipun, memang jelas terbukti sepanjang sejarah agama Islam, Imam Asy-Syafi’i tidak pernah mengasaskan apa-apa mazhab tauhid ataupun mazhab tasawuf).

Kesimpulan

Jadi, umat Islam mengikut Imam Asy-Syafi’i dalam bidang fiqh kerana beliau diakui sebagai mujtahid mutlak dalam bidang fiqh yang membolehkan beliau mengasaskan mazhab fiqhnya sendiri iaitu Mazhab Fiqh Asy-Syafi’i.

Dan umat Islam mengikut Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dalam bidang tauhid kerana beliau diakui sebagai mujtahid mutlak dalam bidang tauhid yang membolehkan beliau mengasaskan mazhab tauhidnya sendiri iaitu Mazhab Tauhid Asya’irah.

Tidak pernah diketahui yang Imam Asy-Syafi’i diakui sebagai mujtahid mutlak dalam bidang tauhid atau bidang tasawuf. Sebab itulah tidak pernah wujud Mazhab Tauhid Asy-Syafi’iyyah atau Mazhab Tasawuf Asy-Syafi’i. (*Kitab-kitab besar lagi khusus beliau dalam kedua-dua bidang itu yang mahu digunakan sebagai dasar kepada mazhab kedua-dua bidang itu pun belum pernah kami temui, setakat ini)

Macam mana kita hendak mengikut sesuatu yang tidak wujud?

Pembuat soalan itu dan para penyokong soalan itu sepatutnya carilah pengetahuan terlebih dahulu tentang bidang-bidang utama agama Islam ini dan para mujtahid mutlak untuk setiap bidang tersebut. Apabila mereka sudah tahu, persoalan di atas tidak akan wujud pun.

Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
7 September 2016

Monday, September 5, 2016

Huzaifah Al Yaman guru Hasan Al-Basri

Imam Al-Ghazali menulis dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin :
 Hasan Al-Basri merupakan seorang manusia yang kata-katanya menyerupai kata-kata para nabi dan petunjuk yang diberikannya kepada manusia menghampiri petunjuk para sahabat Nabi saw. Dan telah sepakatlah hal itu terhadap Al-Hasan itu.

Sebahagian besar perkataan Al-Hasan adalah tentang gurisan hati, kerosakan amal, kebimbangan jiwa dan sifat-sifat yang tersembunyi yang tidak jelas dari keinginan hawa nafsu.

Pernah orang berkata kepadanya : “Wahai Abi Sa’id! Tuan berkata-kata dengan perkataan yang tidak pernah terdengar daripada orang lain. Dari mana tuan ambil?”

Al-Hasan menjawab : “Daripada Huzaifah bin Al-Yaman.”


Kemudian ditanyakan kepada Huzaifah : “Kami melihat tuan mengeluarkan perkataan yang tidak pernah terdengar daripada para sahabat Nabi saw yang lain. Dari mana tuan ambil?”

Huzaifah menjawab : “Ditentukan oleh Nabi saw perkataan-perkataan itu kepada aku. Orang lain bertanya kepada Nabi saw tentang kebajikan, aku bertanya kepadanya tentang kejahatan, kerana aku takut terjatuh ke dalamnya. Dan aku tahu bahawa kebajikan itu tidak perlu aku mengetahuinya dengan terburu-buru.”

Friday, September 2, 2016

Amalan2 Pengamal Tariqat Ghazaliyyah?

Selalu orang bertanya, beramal dengan Tariqat Ghazaliyyah ini nak kena buat apa? Banyakkah amalannya? Laratkah untuk melakukannya?

Jawapan ringkasnya beginilah. Bagi para pengamal Tariqat Ghazaliyyah, mereka akan :

1. Berusaha untuk selesaikan segala amalan yang fardhu dan wajib. (Yang ini memang kita sedia buat pun. Maksudnya tidaklah menambah apa-apa).

2. Berusaha tambah amal-amal sunat. (Yang ini memang kita sedia buat pun, maka tidak menambah berat apa-apa juga).

3. Amalkan Zikir Harian. Pendek-pendek sahaja. 1000 sehari. Contohnya untuk hari Sabtu : La Ilahaillallah 1000 kali. (Ringkas dan tidak memakan masa lama. Boleh dibuat sambil-sambil walau sekadar di dalam hati. Boleh dibuat sikit-sikit sekadar kelapangan dan sambung kemudian. Mudah kan?)

4. Tambah dengan Wirid Harian sekiranya Zikir Harian sudah stabil. Ada 10 bacaan pendek. 10 kali setiap satunya. Contohnya : Beristighfar 10 kali. (Sangat ringkas dan tidak memakan masa lama).

5. Berusaha untuk solat berjemaah di masjid/surau bagi lelaki. (Memang sudah biasa kita buat pun).

6. Menutup aurat dengan sempurna bagi lelaki dan perempuan. (Memang sudah kewajipan pun).

7. Usahakan agar jangan sampai 4 hari tidak berada dalam mana-mana majlis agama. (Bagi yang bukan kaki kuliah, kena usaha sikitlah).

8. Hadiri mana-mana pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Jika tiada, hadiri mana-mana pengajian kitab Minhaj al-’Abidin. Tiada juga? Boleh tampung buat sementara dengan mana-mana pengajian kitab Siyarus Salikin, atau Bidayatul Hidayah, atau Hidayatus Salikin. Tak ada juga? Duduk-duduklah dengan mana-mana pengajian kitab tasawuf sambil mencari-cari pengajian kitab-kitab yang disebutkan tadi.

9. Dari semasa ke semasa berusaha tambah pengetahuan tentang Tariqat Ghazaliyyah.

10. Berusaha untuk selalu ingat akan Allah.


Itu sahaja?
Ya, itu sahaja.

Tak ada majlis-majlis lain?
Tak ada.

Nampaknya mudah dan ringan. Mengapa ya?
Memang pun. Untuk dapatkan penjelasan seterusnya, lebih baiklah ikuti rakaman kuliah pengenalan tentang Tariqat Al-Ghazaliyyah di http://myalexanderwathern.blogspot.my/2016/04/mengenal-tariqat-ghazaliyyah.html supaya soalan-soalan seterusnya lebih berpandu dan bukannya soalan yang berulang-ulang. Setelah mendengar kedua-dua fail audio itu, barulah bertanyakan soalan. Bukan apa, selalu sangat sahaya kena jawab soalan-solan yang sama berulang kali, padahal jawapannya sudah ada pun dalam rakaman tersebut. Jadi, yang jawapannya sudah ada dalam rakaman itu, tidaklah sahaya berminat untuk menjawabnya lagi. Semoga kita dapat saling memudahkan.


Abu Zulfiqar
2 September 2016

Thursday, September 1, 2016

Maulana Asri, Bicara Tariqat Tasawuf

Seorang sahabat meminta sahaya menonton sebuah rakaman kuliah seorang yang bernama Maulana Asri di https://www.youtube.com/watch?v=1_82_gvjexU yang bertajuk “Maulana Asri : Mengapa Sanad Tarikat Mesti Melalui Saidina Ali ra & Hasan al-Basri?” dan meminta komentar sahaya. Sahaya pun menontonlah rakaman tersebut. Ternyata ada beberapa kesalahan maklumat yang mesti diperbetulkan semula oleh sesiapa sahaja yang terlibat dengan video ini.


MAKLUMAT YANG DIMAKSUDKAN

Kata Maulana Asri (pengkuliah tersebut) dalam rakaman video itu :

“Tariqat-tariqat ini, kalau mengikut ahli tariqat, dia (yakni mereka) kata SEMUA SANAD (tariqat) sampai kepada Saiyidina Ali. SEMUA kena melalui Saiyidina Ali.”

“Kalau mengikut ahli-ahli tarikat, ahli-ahli tasawuf, mesti (sanad) dia (yakni mereka) kena lalu ikut Saiyidina Ali. TIDAK ADA JALAN LAIN!”

“Jadi hak (ilmu tasawuf dan tariqat yang) Rasulullah saw ajar, sebab apa dia (Rasulullah saw) tidak ajar orang lain (tapi) ajar Saiyidina Ali (sahaja)? Sebab apa? Tak layak belakakah (sahabat-sahabat Nabi saw yang lain itu)?

“Pengaruh Syiahlah tu! Itulah orang panggil pengaruh Syiah dalam tasawuf dalam tariqat.”

“Sebab dia MESTI (melalui) Saiyidina Ali.”

“Sebab apa (dalam) seramai-ramai sahabat (Nabi) ni, tak layak nak diberi kepada orang lain? Yang sehingga dia (yakni mereka) kata mesti melalui Saiyidina Ali tu sebab apa?”

“Lepas tu, KEBANYAKAN dalam sanad-sanad itu, ADA SEBAHAGIAN daripada Imam 12 Syiah. Boleh dikatakan SEMUA TARIQAT ni ada.”


PENJELASAN KITA

Baiklah. Mula-mula kita senaraikan Imam 12 terlebih dahulu :

1. Saiyidina Ali bin Abi Talib
2. Saiyidina Hasan bin Ali
3. Saiyidina Husain bin Ali
4. Ali in Husain
5. Muhammad Al-Baqir
6. Ja’far Sodiq
7. Musa al-Kazim
8. Ali ar-Ridha
9. Muhammad al-Jawad
10. Ali al-Hadi
11. Hasan al-Askari
12. Al-Mahdi

Sekarang mari kita semak, betulkah ajaran-ajaran Maulana Asri yang di atas tadi?


HUJAHAN PERTAMA : SANAD TARIQAT AN-NAQSYABANDIYYAH

Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq kepada
Salman al-Farisi kepada
Qasim bin Muhammad kepada
Ja’far Sodiq kepada
Musa Al-Kazim kepada
Ali Ridho kepada
Ma’ruf al-Karkhi kepada
Abu Yazid al-Bustami kepada
Muhammad Al-Maghribi kepada
Abu Yazid al-Isyqi kepada
Abu Mudhafir At-Tusi kepada
Ali bin Abu Ja’far al-Karqani kepada
Abu Ali al-Farmadhi kepada
Yusuf al-Hamadani kepada
Abdul Khaliq al-Fajduwani kepada
Ar-Riyukiri dan seterusnya.
Tidak ada nama Saiyidina Ali dalam sanad ini.

Nampaknya sanad tariqat memang ada melalui sahabat lain. Contohnya dalam sanad ini ialah Abu Bakar as-Siddiq dan Salman al-Farisi. Bukan mesti melalui Saiyidina Ali.

Nampaknya sanad tariqat memang ada melalui sahabat lain. Contohnya dalam sanad ini ialah Abu Bakar as-Siddiq dan Salman al-Farisi. Bukan mesti melalui Saiyidina Ali.

Imam 12 dalam sanad ini hanya Ja’far Sodiq, Musa Al-Kazim dan Ali Ridho. Dengan adanya tiga nama ini maka sahihlah tariqat ini dipengaruhi Syiah?



HUJAHAN KEDUA : SANAD TARIQAT AL-JUNAIDIYYAH

Tariqat Junaidiyyah mempunyai dua jalan sanad. Salah satu sanadnya ialah :

Daripada Rasulullah saw kepada
Abu Zar al-Ghifari kepada
Malik bin Umairah kepada
Hasan bin Hasan kepada
Abu Sulaiman bin Dawud kepada
Ma’ruf al-Karkhi kepada
Sirri as-Saqti kepada
Junaid al-Baghdadi kepada
Asy-Syibli kepada
Anas Rabazi kepada
Al-Qusyairi dan seterusnya.

Ada nama Saiyidina Ali pada sanad itu? Tidak ada!

Jadi, benarkah semua sanad tariqat mesti melalui Saiyidina Ali dan tidak ada jalan lain?

Abu Zar al-Ghifari itu bukan sahabat Nabikah?

Mana dia sebahagian Imam 12 yang didakwa oleh Maulana Asri? Seorang pun tidak ada!


Kemudian kita semak satu lagi sanad Tariqat al-Junaidiyyah iaitu :

Daripada Rasulullah saw kepada
Ali bin Abi Talib kepada
Hasan al-Basri kepada
Habib Al-Ajami kepada
Abu Sulaiman bin Dawud kepada
Ma’ruf al-Karkhi kepada
Sirri as-Saqti kepada
Junaid al-Baghdadi kepada
Asy-Syibli kepada
Anas Rabazi kepada
Al-Qusyairi dan seterusnya.

Ya, yang ini ada nama Saiyidina Ali. Tapi ini bukan bukti bahawa semua sanad tariqat mesti melalui Saiyidina Ali kerana telah terbukti memang ada tariqat-tariqat yang tidak melalui Saiyidina Ali pun.

Selain Saiyidina Ali, mana dia lagi Imam 12? Kata Maulana Asri, ada SEBAHAGIAN Imam 12, tapi nampaknya yang ada hanya Saiyidina Ali seorang sahaja.


HUJAHAN KETIGA : SANAD TARIQAT AL-GHAZALIYYAH

Daripada Rasulullah saw kepada
Huzaifah al-Yaman kepada
Hasan al-Basri kepada
Habib al-Ajami kepada
Daud at-Ta’i kepada
Ma’ruf al-Karkhi kepada
Siri as-Saqti kepada
Junaid al-Baghdadi kepada
Abu Sa’id al-’Arabi kepada
Abu Talib al-Makki dan seterusnya.

Seorang pun daripada Imam 12 tidak berada dalam sanad ini. Jadi, benarkah perkataan-perkataan Maulana Asri itu?

Boleh tunjukkan mana dia nama Saiyidina Ali?

Boleh tunjukkan mana dia nama walau satu orang Imam 12? Kan katanya ada SEBAHAGIAN?

Huzaifah al-Yaman bukan sahabat Nabikah?

Sanad Tariqat Al-Ghazaliyyah tidak melalui Saiyidina Ali tetapi melalui Huzaifah Al-Yaman. Mengapa Maulana Asri mendakwa bahawa semua sanad tariqat MESTI melalui Saiyidina Ali (untuk dikaitkannya dengan fahaman Syiah)? Cuba fikir-fikirkan dengan hati ikhlas.


RUMUSAN

Ajaran yang mengatakan : “Tariqat-tariqat ini, kalau mengikut ahli tariqat, dia (yakni mereka) kata SEMUA SANAD (tariqat) sampai kepada Saiyidina Ali. SEMUA kena melalui Saiyidina Ali.”
Ajaran yang mengatakan : ““Kalau mengikut ahli-ahli tarikat, ahli-ahli tasawuf, mesti (sanad) dia (yakni mereka) kena lalu ikut Saiyidina Ali. TIDAK ADA JALAN LAIN!”

Ajaran ini tertolak kerana ternyata tidak semua sanad tariqat sampai kepada Saiyidina Ali dan tidak melalui Saiyidina Ali. Buktinya, ada sanad tariqat yang sampai dan melalui selain Saiyidina Ali iaitu Saiyidina Abu Bakar, Abu Zar Al-Ghifari dan Huzaifah Al-Yaman. Mereka semua sahabat Nabi saw.


Ajaran yang mengatakan : “Jadi hak (ilmu tasawuf dan tariqat yang) Rasulullah saw ajar, sebab apa dia (Rasulullah saw) tidak ajar orang lain (tapi) ajar Saiyidina Ali (sahaja)? Sebab apa? Tak layak belakakah (sahabat-sahabat Nabi saw yang lain itu)?”
Dan ajaran yang mengatakan : ““Sebab apa (dalam) seramai-ramai sahabat (Nabi) ni, tak layak nak diberi kepada orang lain? Yang sehingga dia (yakni mereka) kata mesti melalui Saiyidina Ali tu sebab apa?”

Ajaran ini juga tertolak kerana ada sanad-sanad tariqat yang melalui sahabat-sahabat Nabi saw yang lain seperti Saiyidina Abu Bakar, Salman Al-Farisi, Abu Zar Al-Ghifari dan Huzaifah al-Yaman.


Ajaran yang mengatakan : “Lepas tu, KEBANYAKAN dalam sanad-sanad itu, ADA SEBAHAGIAN daripada Imam 12 Syiah. Boleh dikatakan SEMUA TARIQAT ni ada.”

Ajaran ini juga turut tertolak kerana ternyata dalam 4 sanad yang kita bentangkan di atas tidak ada SEBAHAGIAN IMAM 12 padanya.

Sahaya juga ambil sedikit kesempatan untuk menyemak beberapa lagi sanad tariqat-tariqat yang utama seperti sanad Tariqat Syaziliyyah, Tariqat Ahmadiyyah Idrisiyyah, Tariqat Chistiyyah, Sammaniyyah, Tariqat Tijaniyyah dan beberapa lagi. Ternyata tidak benar dakwaan kononnya : “KEBANYAKAN dalam sanad-sanad itu, ADA SEBAHAGIAN daripada Imam 12 Syiah. Boleh dikatakan SEMUA TARIQAT ni ada.”

Paling-paling kuat pun, jika sekadar mengatakan contohnya : “SEGELINTIR sanad-sanad tariqat mempunyai sebahagian Imam 12.”

Kata-kata sebegini kot-kotlah boleh hendak dipertimbangkan.

Namun begitu, oleh kerana ada nama Saiyidina Ali, Hasan, Husin, Ja’far Sodiq.... maka itu menjadi bukti kukuh lagi sahih untuk mengatakannya sebagai pengaruh Syiah? Tahap dhaif pun belum tentu lepas lagi jika sekadar bukti sebegini.


Nasihat kita, silalah perbetulkan apa yang boleh dan yang sepatutnya diperbetulkan semula.

Wallahua’lam.


Abu Zulfiqar
1 September 2016