Friday, January 22, 2016

Perbezaan Maqam-maqam dalam BerTuhan



Untuk memahami hal ini, kita ambil tamsilan :

1.       Pada mulanya James dan Elizabeth yakin bahawa memang tempat yang mereka tinggal selama hari ini tidak ada raja.
2.       (Berdasarkan pengalaman sehari-hari) Kemudian keyakinan James dan Elizabeth mengalami perubahan, mereka jadi tidak tahu sama ada tempat itu ada raja atau pun tidak. Mereka mula RAGU-RAGU. Boleh jadi ada, boleh jadi tidak ada.
3.       Tidak lama kemudian, mereka mula YAKIN bahawa tempat itu memang ada rajanya.
4.       Setelah beberapa lama, mereka tidak setakat yakin adanya sang raja, tetapi mereka sudah TAHU yang raja itu ialah King Solomon.
5.       Kemudian mereka pun BERIMAN (mengaku menjadi rakyat, tunduk, menyembah dan patuh) dengan King Solomon, walaupun mereka tidak pernah melihat baginda. Mereka hanya melihat kerajaan dan tenteranya sahaja.
6.       Beberapa lama kemudian, mereka tidak setakat tahu dan tunduk patuh, malah mereka sudah MENGENAL pula King Solomon. Mereka sudah menyaksikan King Solomon itu sendiri.
7.       Akhirnya mereka berjaya mencapai CINTA King Solomon.

Berdasarkan pengkisahan di atas, terdapat beberapa maqam dari yang rendah menuju ke maqam yang tinggi iaitu :
1.       YAKIN tak ada raja.
2.       Mula RAGU-RAGU.
3.       YAKIN ada raja.
4.       TAHU siapa raja.
5.       TUNDUK PATUH (*beriman) kepada raja.
6.       KENAL (ma’rifah) raja.
7.       CINTA Raja.

Kita kaitkan tamsilan ini dengan kisah di bawah pula.

1.       Pada mulanya James dan Elizabeth yakin Tuhan memang tidak ada, tanpa sebarang keraguan. Mereka tidak berTuhan.
2.       (Berdasarkan pengalaman sehari-hari) Kemudian keyakinan James dan Elizabeth mengalami perubahan, mereka jadi tidak tahu sama ada Tuhan ada ataupun tidak. Mereka mula RAGU-RAGU. Boleh jadi ada, boleh jadi juga tidak ada.
3.       Tidak lama kemudian,  mereka mula YAKIN bahawa Tuhan memang ada.
4.       Setelah beberapa lama, mereka tidak setakat yakin Tuhan ada, tetapi mereka sudah TAHU yang Tuhan itu ialah Allah.
5.       Kemudian mereka pun BERIMAN dengan Allah, walaupun mereka tidak pernah melihat Allah melainkan kerajaan dan tenteraNya sahaja.
6.       Beberapa lama kemudian, mereka tidak setakat tahu dan percaya, malah sudah MENGENAL (ma’rifah) pula akan Allah. Hal ini kerana mereka sudah “menyaksikan” Allah.
7.       Akhirnya mereka mencapai CINTA Allah.

Tarbiyyah tasawuf sebenarnya bermatlamatkan maqam KENAL ALLAH dan CINTA ALLAH, tidak sekadar maqam YAKIN adanya Tuhan, ataupun di maqam TAHU siapa Tuhan, ataupun sekadar maqam BERIMAN kepada Allah.

Untuk mencapai maqam KENAL ALLAH dan CINTA ALLAH itulah yang saya maksudkan sebelum-sebelum ini dengan pentingnya pengetahuan tentang unsur-unsur sastera dan seni. Tanpa kebolehan dalam sastera dan seni, kita mungkin akan tersangkut setakat maqam 5 dan ke bawah.

*7 peringkat yang dijelaskan di atas hanyalah penggolongan SECARA RINGKAS sahaja (untuk memudahkan penyampaian) kerana banyak lagi pecahan-pecahan setiap satunya. Semoga dapat membantu pemahaman walaupun sedikit.

Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
22 Januari 2016

Mesti Berusaha Sekalipun Allah yang Menentukan


 Berdasarkan pengalaman dan pengamatan, ilmu tasawuf, ilmu kesufian, ilmu haqiqat, ilmu ma’rifatullah, ilmu cinta Allah dan amal-amalnya ini ADA KALANYA :
i.                     Orang yang dekat jaraknya tidak dipilih oleh Allah, orang yang jauh jaraknya pula yang dipilih.
ii.                   Orang yang sudah banyak ilmu agama tidak dipilih, orang yang kurang pula yang dipilih.
iii.                  Orang yang berharta tidak dipilih, orang yang tidak berharta pula yang dipilih.
iv.                 Orang yang ada mempunyai pelbagai kemudahan tidak dipilih, yang hidup serba kekurangan pula yang dipilih.
v.                   Orang yang rapat (keluarga, saudara-mara dan sahabat) tidak dipilih, yang tidak ada kena-mengena pula yang dipilih.
vi.                 Orang yang berpelajaran tinggi tidak dihadiahkan, yang biasa-biasa pula yang dihadiahkan.
vii.                Orang yang diharap-harapkan untuk dapat tidak dipilih, yang tidak disangka-sangka dapat pula yang terpilih.
viii.              Orang yang sihat, kuat dan cergas tidak dianugerahkan, yang sakit-sakit pula yang dianugerahkan.
ix.                 Orang yang kacak, cantik, ada rupa, ada gaya tidak dipilih, yang huduh, buruk, tiada rupa, tidak pandai bergaya pula yang terpilih.
x.                   Orang yang sudah lama Islam dan yang sedia Islam tidak direzekikan, yang baru Islam pula yang direzekikan-Nya.
xi.                 Anak sahabat tidak dipilih, anak musuh pula yang terpilih.
xii.                Orang terhormat tidak terpilih, orang yang dipandang hina pula yang terpilih.
xiii.              Orang yang dalam kelapangan tidak terpilih, mereka yang dalam kesempitan pula yang terpilih.

Begitulah seterusnya dan begitulah sebaliknya. Apabila Allah telah memilih atau tidak memilih, jika seluruh isi alam makhluk bersatu tenaga untuk mengubahnya, tidak akan berubah segala ketetapannya pada azali walau sekecil-kecil perubahan. Namun sebagai hamba Allah yang berfahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah, kita mestilah berusaha. Berusaha pula mestilah dengan gigih. Tidak boleh berserah kepada taqdir sahaja.

Abu Zulfiqar
21 Januari 2016

Thursday, January 21, 2016

Khatam Kitab Ilmu Kali ke-3




Kuliah Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin (bahagian Kitab Ilmu) pada Rabu 27 Januari 2016 di Surau Al-Akhbar, Sg Kerang, Trong, Perak nanti merupakan khatam Kitab Ilmu. Dalam kuliah-kuliah akan datang, kita akan masuk ke bahagian kedua iaitu Kitab Tauhid pula.

Insya-Allah nota untuk hadirin majlis khatam nanti (berdasarkan pengalaman yang sudah-sudah) tebalnya lebih kurang 30 muka surat (berbanding 8 ke 12 muka surat pada hari-hari biasa).

Pada malam tersebut, kita akan mengimbas semula secara sepintas lalu kesemua 16 kali pelajaran Kitab Ilmu yang sudah kita lalui, lalu dirumuskan.

Oleh itu, mereka (yang berhampiran) yang belum pernah mengikuti kuliah-kuliah Kitab Ilmu (dan juga mereka yang sudah beberapa kali terlepas kuliah-kuliah Kitab Ilmu ini), sangat digalakkan untuk hadir. Hal ini kerana ada antara ikhwan yang mengikut pengajian Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini hanya setelah kita masuk ke Kitab Tauhid atau Kitab Cinta. Maksudnya mereka terlepas Kitab Ilmu. 

Dengan kehadiran itu nanti, insya-Allah dapat juga sedikit-sebanyak menampung apa-apa yang sudah terlepas sebelum ini. Semoga Allah memudahkan segala urusan kita ini.

Kita jumpa di sana, insya-Allah.

Memahami Selok-belok Bahasa Sastera


SITUASI 1

Dikhabarkan bahawa Imam Asy-Syafi'i mengatakan : "Katakanlah apa sahaja untuk menghina aku. Sebenarnya diamku itu daripada menjawab orang yang menghina adalah satu jawapan. Bukannya aku tidak punya jawapan, tetapi TIDAK SESUAI BAGI SEEKOR SINGA MELAYAN KERENAH ANJING-ANJING."

Kita faham, bahawa yang mahu disampaikan dan dimaksudkan oleh Imam Asy-Syafie ialah maksud di sebalik kata-kata itu dan bukannya zahir kata-kata itu.

Maksud kata-kata itu ialah : Rugilah masa dan tenaga dirinya jika melayan hinaan orang-orang yang bukan lawannya yang tidak menggugat pun dirinya. Inilah pemahaman yang sejahtera.

Namun ada juga pemahaman-pemahaman yang tidak sejahtera daripada orang2 yang tidak faham permainan bahasa sastera malah berpenyakit pula hati mereka seperti :

1. Teruknya Imam Syafi'i, dia kata mereka tu anjing-anjing!
2. Apalah Imam Syafi'i ni, nama je ulama besar, tapi guna bahasa jalanan!
3. Macam mana kita nak hormat Imam Syafi'i, dia sendiri guna perkataan-perkataan yang tak beradab.
4. Jelaslah Imam Syafi'i samakan mereka dengan anjing!

Malangnya.........


SITUASI 2

Walaupun diserang bertalu-talu oleh musuh-musuhnya, kadang-kadang seseorang ulama itu lebih banyak berdiam daripada bertindak-balas. Untuk menenangkan keadaan, sesekali terkeluar dari mulut mereka : "Anjing-anjing liar menyalak sakan ke bukit, bukit tak akan runtuh."

Kita faham, bahawa yang mahu disampaikan dan dimaksudkan oleh para ulama itu ialah maksud di sebalik kata-kata itu dan bukannya zahir kata-kata itu.

Contoh maksud sebenarnya ialah untuk menunjukkan yang keadaan mereka masih stabil, kukuh dan tidak goncang pun dengan kelakuan-kelakuan tidak baik musuh-musuh mereka. Inilah antara pemahaman yang sejahtera.

Namun ada juga pemahaman-pemahaman yang tidak sejahtera daripada orang-orang yang tidak faham permainan bahasa sastera malah berpenyakit pula hati mereka seperti :

1. Apa? Ulama2 tu samakan lawan-lawan mereka dengan anjing? Teruknya!
2. Ada ke patut mereka kata manusia lain macam anjing-anjing liar?
3. Ni ulama ke apa ni? Guna bahasa jalanan!
4. Macam ni punya perangai, kita nak hormat lagi ke?

Malangnya.....


SITUASI 3

Rasulullah saw bersabda : "Orang yang mengambil kembali sedekahnya ialah seperti seekor anjing yang muntah kemudian ia menjilat dan memakan kembali apa yang dimuntahkannya (*ada pelbagai benda dalam muntah itu). (Muslim)

"Orang yang menarik kembali pemberiannya, seperti orang yang memakan semula muntahannya." (Muslim)

Kita faham, bahawa yang mahu disampaikan dan dimaksudkan oleh Rasulullah saw itu ialah maksud di sebalik kata-kata itu dan bukannya zahir kata-kata itu.

Mana mungkin kita gunakan pemahaman tidak sejahtera kita lalu mengatakan :
1. Eiii, Nabi Muhammad guna yang kotor-kotor untuk sampaikan maksud hati dia. Teruknya!
2. Nabi Muhammad boleh samakan manusia dengan anjing?
3. Anjing, muntah, telan... eiii.. apa ni? Macam ni ke bahasa seorang nabi?
4. Guna bahasa jalanan dalam berdakwah? Huh, kuranglah hormat aku!

Malangnya...


SITUASI 4

Al-kisah pada suatu hari, saya pun menulis di FB :

"Tidakkah ada perasaan malu... apabila orang yang mahu agar kitab Ihya' dihapuskan, tiba2 mengambil hujah2 daripada kitab Ihya' sebagai hujah2nya?... Ilmu tentang kitab Ihya' tidak ada, tapi berlagak tahu. Akhirnya menelan kahak yg diludahnya sendiri."

Rasa saya, kalau bukan semua pun, hampir semua orang faham, bahawa yang mahu disampaikan dan dimaksudkan oleh saya ialah maksud di sebalik kata-kata itu dan bukannya zahir kata-kata itu. (Ada lebih 70 like. Takkanlah kesemua 70 orang itu teruk2 peribadi mereka).

Antara maksud yang sejahtera ialah, orang tersebut sepatutnya menyelidik lebih dalam dan berfikir lebih panjang sebelum menghukum sesuatu, agar tidaklah suatu hari nanti sama ada dia sedari atau tidak, dia dah terbatalkan hukumnya yang sangat bersungguh-sungguh itu sebelum ini.

Tiba-tiba muncul satu pemahaman yang tidak sejahtera mengatakan :
1. "Kenapa ustaz2 dan para ilmu2 dalam perbahasan mesti ada bahasa jalanan?"
2. "Telan kahak, jilat ludah, jilat muntah (*jilat ludah dan jilat muntah tu hamba Allah ni ambil dari mana entahlah...saya tak tulis pun....emosi sungguh nampaknya)."
3. "Selama ini hormat tetapi apabila keluar perkataan ini dari orang yang dihormati... jadi tawar (*adakah hormat dia dengan Rasulullah saw dan Imam Asy-Syafii pun dah jadi tawar juga? Sebab situasi mereka sama dengan saya)."
4. "Untuk menegakkan yang benar, banyak jalannya. Ikut idola Rasulullah... bukankah kita ahli sunnah? (*berdasarkan contoh2 daripada Rasulullah dan Imam Asy-Syafi'i, memang saya sedang mencontohi merekalah. Saya guna ayat yang lebih kurang sama dengan yang mereka guna. Hamba Allah ini faham ke tidak apa yang ditulisnya? Pening dibuatnya.)"
5. Post2 ustaz ini (*padahal satu pos je pun) berusul bahasa jalanan. Jilat kahak, jilat ludah, jilat muntah (*ditambah secukup rasa tu). Amat mengejutkan keluar dari seorang ustaz yang disanjung ilmu, tetapi menghampakan.

Malangnya...


FIKIR BIAR PANJANG

Adakah para ulama dan orang-orang tua kita tak mencontohi Rasulullah, guna bahasa jalanan, suka yang kotor-kotor dan sebagainya apabila mereka menggunakan kalimah-kalimah yang biasa kita dengar ini :

1. Seperti meludah ke langit.
2. Kata emak : "Adik-adik engkau ni bukan boleh main sekali, macam anjing dengan kucing jadinya (asyik bergaduh)." Adakah si ibu samakan anak-anaknya dengan anjing? Adakah si ibu guna bahasa jalanan?
3. Macamlah katak di bawah tempurung.
4. Ayam terlepas, tangan dapat tahi.
5. Mari kita berjuang sehingga ke titisan PELUH dan DARAH yang terakhir.
6. Punyalah rajin budak-budak pondok tu, sampaikan ketiak bau kitab, kitab bau ketiak. Tiap-tiap hari pagi petang siang malam mengaji ilmu.
Semoga menjadi contoh teladan bagi yang lain-lain.

Wallahua'alam.

*Al-Quran diturunkan dalam bahasa sastera, bukan bahasa biasa-biasa.


Abu Zulfiqar
20 Januari 2016