HIKAM
AL-GHAZALI 1
Akhirat itu di hadapan.
Dunia itu di belakang.
Ajal itu dekat.
Perjalanan itu jauh.
Perbekalan itu sedikit.
Bahaya itu besar.
Dan jalan itu tertutup.
Dunia itu di belakang.
Ajal itu dekat.
Perjalanan itu jauh.
Perbekalan itu sedikit.
Bahaya itu besar.
Dan jalan itu tertutup.
SYARAH
“Akhirat itu di hadapan, dunia itu di belakang.”
Sekarang kita berada di alam dunia. Kemudian setiap
daripada kita akan mengalami kematian. Ketika mati, kita ditempatkan buat
sementara waktu di suatu alam yang dinamakan alam barzakh atau disebut juga
sebagai alam kubur. Alam barzakh ini merupakan pemisah, pembatas, sekatan, dinding,
sekaligus jambatan antara alam duniawi dengan alam akhirat. Alam barzakh ialah
satu lokasi ghaib dan juga satu jarak masa. Ringkasnya alam barzakh ialah suatu keadaan
yang akan dialami oleh seseorang ketika mati sehinggalah dibangkitkan semula di
akhirat nanti.
“Hingga apabila kematian tiba ke atas seorang
daripada mereka, dia berkata : “Wahai Rabbku, kembalikanlah aku (hidup di
dunia). Agar aku dapat berbuat kebaikan yang telah aku tinggalkan.” Sekali-kali
tidak! Sesungguhnya itu adalah alasan yang di ucapkannya sahaja. Di hadapan
mereka ada barzakh (dinding) sehinggalah hari mereka dibangkitkan.” (Al-Mu’minun
: 100)
Akhirat ialah alam terakhir yang
akan dihuni oleh manusia dan jin. Disebut juga sebagai alam paling kemudian.
Alam akhirat merupakan alam paling kemudian yang bakal kita pergi. Di alam
akhirat inilah ada himpunan di Mahsyar, timbangan amal, kolam Nabi Muhammad
saw, titian, syurga, neraka dan sebagainya.
“Kebaikan itu bukanlah
menghadapkan wajahmu ke arah timur dan ke arah barat, tetapi kebaikan itu ialah
orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat, para malaikat, kitab-kitab,
nabi-nabi, ……… ” (Al-Baqarah : 177)
“Iaitu engkau beriman
(percaya) kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari
akhir, dan engkau beriman akan takdir yang baik ataupun yang buruk.” (Bukhari
& Muslim)
Mengapa dikatakan akhirat itu di hadapan dan dunia itu di
belakang? Kerana tanpa disedari kita semua sebenarnya sedang berada dalam satu
perjalanan, iaitu perjalanan meninggalkan dunia menuju ke lokasi terakhir iaitu
akhirat. Kita sentaiasa dalam keadaan melangkah, tanpa kita sedari. Detik demi
detik, hari-hari, minggu-minggu dan tahun-tahun yang kita lalui tidak lain
adalah jarak perjalanan kita ke sana. Setiap detik, kita semakin meninggalkan
dunia di belakang dan semakin menghampiri akhirat yang berada di hadapan. Namun
umumnya hati kita cenderung tertipu apabila meyakini bahawa kita masih sangat
dekat dengan dunia dan masih sangat jauh daripada akhirat.
Masa atau jarak yang telah kita lewati walaupun sedetik
yang lalu, bahkan kurang daripada itu pun, sebenarnya jaraknya sangat jauh
daripada kita. Hal ini kerana masa atau jarak yang sebentar tadi kita lalui,
tidak akan kembali, tidak akan kita temui lagi. Oleh itu ia sangat jauh. Sebaliknya,
masa hadapan termasuklah alam akhirat yang entah bila akan tiba itu, walau
sekejap lagi atau walau ribuan tahun lagi, tetap dikira dekat kerana kita
sedang menghampirinya dan pasti akan bertemu dengannya.
“Ajal itu dekat.”
Mengapa dikatakan ajal itu dekat? Kerana ajal kita boleh
datang pada bila-bila masa. Sekejap lagi? Malam ini? Esok? Minggu depan? Bulan
depan? Tahun ini? Bahkan sekarang pun tidak mustahil. Alangkah dekatnya ajal
dengan kita? Persoalannya…….adakah kita bersedia?
“Dan (ingatlah bahawa) Allah tidak sesekali akan
menangguhkan kematian seseorang apabila sampai ajalnya. Dan Allah amat mendalam
pengetahuanNya tentang segala yang kamu lakukan.” (Al-Munafiqun : 11)
Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali menulis di dalam kitabnya Nasihat
Buat Para Penguasa sebuah kisah iktibar yang sesuai untuk kita jadikan
pengajaran.
Diceritakan bahawa Malaikat Maut (dalam rupa seorang
manusia) pernah masuk ke tempat Nabi Sulaiman bin Dawud as. Pandangan tajam
malaikat itu tertumpu kepada teman Nabi Sulaiman as dan pandangannya cukup
lama.
Ketika malaikat itu sudah keluar, teman Nabi Sulaiman
as bertanya : “Wahai Nabi Allah! Siapakah lelaki yang masuk ke sini tadi?”
“Malaikat Maut.”
“Aku takut dia bertujuan mencabut nyawaku. Oleh itu,
bebaskanlah aku daripada terkaman tangannya.”
“Bagaimana cara untuk kau membebaskan kamu?” tanya
Nabi Sulaiman as.
“Perintahkanlah angin agar membawa aku ke negeri India
supaya dia tersesat tidak tahu dan tidak dapat menemui aku.”
Nabi Sulaiman as ketika itu juga memerintahkan angin
supaya menerbangkan lelaki itu.
Tidak berapa lama kemudian Malaikat Maut datang
menemui Nabi Sulaiman as lagi.
“Apa yang membuatkan engkau memandang lelaki itu
begitu lama?” tanya Nabi Sulaiman as.
“Aku hanya berasa hairan, kerana aku diperintahkan
mencabut nyawa lelaki itu di bumi India. Namun ketika itu (tadi) dia sangat
juauh dari India, sampailah angin membawanya ke tempat kematian. Itulah
ketentuan Allah SWT.”
Ambillah iktibar daripada kisah ini.
Orang-orang yang masih berlengah dan berasakan ajalnya
masih jauh, adalah orang-orang yang tertipu dengan dunia. Orang-orang seperti
itu apabila tiba-tiba sampai ajalnya, keluar nyawanya jadi sukar. Hal ini
kerana mereka tidak bersedia untuk melepaskan nyawa sedangkan malaikat sedang
menariknya. Sebab itulah keadaan mati mereka kelihatan azab, sehinggakan ada
yang tenat dalam tempoh yang sangat lama, ada yang terlompat-lompat tubuhnya di
pembaringan, yang menjerit-jerit dan sebagainya.
“Datanglah sakaratulmaut dengan sebenar-benarnya.
Itulah dahulu yang kamu mahu hindari.” (Qaf : 19)
“Kematian yang paling ringan adalah seperti
sebatang pohon penuh duri yang menancap pada selembar kain sutera. Bolehkah
batang pohon berduri itu diambil tanpa membawa bahagian kain sutera yang
terobek?” (Bukhari)
Sebaliknya bagi orang-orang yang sentiasa membuat
persediaan, apatah lagi yang cinta untuk bertemu dengan Tuhannya, mati mereka
kelihatan licin dan tenang. Hal ini adalah kerana mereka dengan senang hati
melepaskan nyawa mereka. Inilah golongan yang meyakini bahawa ajal itu dekat. Biasa
kita dengar keadaan orang-orang yang mati dalam keadaan tersenyum, dalam
keadaan tenang, dalam keadaan dia kelihatan tahu nyawanya akan habis sebentar
lagi, dan sebagainya.
“Yang banyak
ingat akan mati dan yang lebih kuat buat persediaan untuk itu. Merekalah
orang-orang yang pintar, yang pergi dengan kemuliaan dunia dan kehormatan
akhirat.” (Ibnu Majah)
Sebanyak mana kita mencintai dunia, sebanyak itulah
kesukaran kita untuk melepaskan nyawa ketika Malaikat Maut tiba. Lagi kurang
kita mencintai dunia, lagi mudah kita melepaskannya ketika sakaratul maut.
Orang-orang yang payah untuk melepaskan nyawanya biasanya
kerana hatinya masih terpaut, kasih sayang dan rindu dendam akan rumahnya yang
selesa, hartanya di sini dan di sana, jawatan dan kedudukannya yang mulia, gaji
bulanannya yang besar, wang simpanannya yang akan tidak dapat digunakannya
lagi, kenderaan-kenderaan selesa miliknya selama ini, kebun dan ladang, tanah
dan bangunan, kemasyhuran yang dikecapinya selama ini, dan pelbagai lagi yang
bakal ditingalkannya buat selama-lamanya sebentar sahaja lagi, yang akan
terlepas ke tangan-tangan orang lain tidak lama lagi. Oleh sebab itu, dia
enggan melepaskan nyawanya, membuatkan masa kematiannya kelihatan penuh seksa.
Baik jenis yang “ada ditangan, ada di hati” ataupun jenis yang “tidak ada di
tangan, tapi ada di hati”.
“Katakanlah : Sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak
kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, kekayaan
yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah
tempat tinggal yan kamu sukai, adalah lebih kamu cintai lebih daripada Allah
dan RasulNya dan (daripada) berjihad pada jalanNya, maka tunggulah sehingga
Allah mendatangkan keputusanNya. Allah tidak memberi petunjuk kepada
orang-orang yang fasik.” (At-Taubah : 24)
Sebaliknya bagi orang-orang yang dalam hatinya tidak
terkesan dengan semua itu, sekalipun memang dia memilikinya, dengan mudah dia
melepaskan nyawanya. Kata orang, “ ada di tangan, tidak di hati”. Ataupun yang “tidak ada di tangan, dan tidak
juga di hati”. Sebab itu masa matinya kelihatan lancar.
“Perjalanan itu jauh.”
Perjalanan apakah yang jauh? Perjalanan kita untuk sampai
ke destinasi terakhir iaitu sama ada beristana di syurga ataupun merempat di
neraka.
Perjalanan ini mempunyai beberapa hentian. Setiap satu
hentiannya mesti disinggahi, tidak boleh tidak. Antara hentian wajib itu ialah
:
i.
Zaman hidup di dunia.
ii.
Zaman sakaratul maut.
iii.
Zaman alam barzakh/alam
kubur.
iv.
Zaman Mahsyar.
v.
Zaman timbangan amal.
vi.
Zaman titian sirat.
Umumnya bolehlah dikatakan bahawa pada hari ini,
rata-rata jangka hayat orang-orang yang agak sihat di dunia ini adalah sekitar
60 ke 80 tahun. Sekali dengar nampak macam lama, tapi sebenarnya zaman hidup di
dunia ini sangat singkat. Zaman yang singkat ini pun kadang-kadang tak larat
untuk kita tempuhi kerana kepelbagaian dugaan dan cabarannya.
“Dia (Allah) berfirman : “Berapa tahunkah lamanya
kamu tinggal di bumi?” Mereka menjawab : “Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah
hari (sahaja), maka tanyakanlah kepada mereka yang menghitung.” Dia (Allah)
berfirman : “Kamu tinggal di bumi sebentar sahaja, jika kamu benar-benar
mengetahui.” (Al-Mu’minun : 112-114)
Zaman sakaratul maut, sungguhpun biasanya kita temui
sekadar beberapa minit, tetapi Allah berkuasa memanjangkannya selama mana yang
dikehendakiNya. Hal ini kerana Allah Maha Berkuasa ke atas masa. Masa di
sisiNya boleh dipendekkan atau dilanjutkanNya mengikut kemahuanNya.
Sebab itulah kadang-kadang kita saksikan seseorang itu
melalui sakaratul mautnya dalam dua tiga minit, tetapi di sisi Allah mungkin
seksaan yang dialami oleh orang itu berhari-hari. Cuma kita yang masih hidup
terhijab daripada menyaksikan keadaan itu.
Seterusnya hentian zaman alam kubur. Allah boleh
panjangkan selama mana yang dikehendakiNya. Jika bahagia, bahagialah kita pada
zaman itu. Jika sengsara, sengsaralah kita selama berada di zaman itu.
Kemudian kita dibangkitkan semula pada zaman Mahsyar. Entah
berapa ribu berapa juta tahun pula di sana. Begitu juga ketika di timbangan
yang sangat ketat proses hisabnya.
Sampai pula kita ke zaman titian. Entah berapa ribu
berapa juta tahun pula di atasnya.
“Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) agar
azab itu disegerakan. Padahal Allah tidak akan memungkiri janjiNya. Dan
sesungguhnya sehari di sisi Rabbmu adalah seperti 1,000 tahun menurut kiraan
kamu.” (Al-Hajj : 47)
Sekarang kita sudah boleh menjawab sendiri, apakah
perjalanan itu dekat ataupun jauh.
Bagaimana usaha kita selaku hamba untuk melalui setiap
hentian itu dengan jayanya? Bak kata guru-guru tua, tentunya dengan menggunakan
‘Ilmu Penahan Api Neraka’!
Apakah Ilmu Penahan Api Neraka itu? Iaitu melakukan
segala suruhan Tuhan dan meninggalkan segala laranganNya. Inilah Ilmu Penahan
Api Neraka. Dengan ilmu ini, insya-Allah
kita akan dapat melewati kesemua hentian itu dengan lancar.
“Perbekalan itu sedikit.”
Sediakanlah bekalan untuk hidup di dunia, sepadan dengan
usia kita di dunia. Juga sediakanlah bekalan untuk hidup di akhirat, sepadan dengan
kekalnya kita di sana. Namun rata-rata manusia dan jin sibuk membuat perbekalan
untuk hidup di dunia yang sebentar ini, dan hanya buat perbekalan yang memang
sangat tidak cukup untuk hidup di akhirat yang selama-lamanya itu.
“Dan tidaklah kehidupan di dunia itu selain
daripada permainan dan senda-gurau sahaja, dan sesungguhnya negeri akhirat itu
adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu faham?”
( Al-An’am : 32)
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa apabila
dikatakan kepada kamu : “Berangkatlah pada jalan Allah”, kamu berasa berat dan
ingin tinggal di tempat kamu? Adakah kamu berpuas dengan kehidupan di dunia
sebagai ganti kehidupan di akhirat, padahal kehidupan di dunia ini
(dibandingkan dengan) di akhirat hanyalah sedikit?” (At-Taubah : 38)
Maha Pemurahnya Allah terhadap kita! Dia Maha Mengetahui
bahawa tempoh masa kita hidup di dunia ini sangat pendek, sedangkan perbekalan
yang mahu disiapkan itu bakal digunakan untuk selama-lamanya. Mana mungkin
dalam tempoh 60 ke 80 tahun di dunia ini dapat kita sediakan perbekalan untuk
makan minum, tempat perlindungan dan pakaian di alam yang selama-lamanya! Untuk
sejuta tahun punya perbekalan sahaja pun mustahil dapat kita sediakan, apatah
lagi untuk selama-lamanya.
Atas dasar itulah, Dia Yang Maha Pengasih dan Penyayang
menganugerahkan kepada kita fadhail ‘amal (kelebihan-kelebihan beramal). Kita
buat kebajikan sedikit, tapi dibayar dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.
Lihatlah betapa besarnya ganjaran melakukan kebaikan, Malam
Al-Qadar, mengeluarkan harta pada jalan agama, berpuasa enam hari pada bulan
Syawal, dan sebagainya.
“Barangsiapa melakukan kebaikan, mendapat balasan
sepuluh kali ganda amalannya. Dan barangsiapa melakukan kejahatan, dibalas
setimpal dengan kejahatannya. Mereka sedikitpun tidak dizalimi.” (Al-An’am
: 160)
“Malam Al-Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan.”
(Al-Qadr : 3)
“Perumpamaan orang yang mengeluarkan hartanya pada
jalan Allah adalah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada
setiap tangkainya ada serratus biji. Allah menggandakan bagi sesiapa yang Dia
kehendaki, dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah :
262)
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti
enam hari pada bulan Syawal, dia seolah-olah telah berpuasa sepanjang masa.”
(Muslim)
“Barangsiapa yang solat Isya’ berjemaah seumpama mendirikan
separuh malam, dan barangsiapa yang solat Subuh berjemaah seumpama mendirikan
seluruh malam.” (Muslim)
Dari segi pertimbangan akal fikiran, nampak seakan-akan
tidak sepadan ganjaran-ganjaran yang dikurniakan Allah berbanding usaha yang
kita buat. Tidakkah terang-benderang lagi betapa besarnya rahmat dan kasih
sayang Allah kepada kita? Walaupun waktu yang diberikan-Nya kepada kita sekadar
puluhan tahun, tetapi kita sangat berpeluang untuk mengumpulkan bekalan untuk
hidup di alam yang selama-lamanya itu, iaitu alam akhirat. Alhamdulillah,
syukur……
“Bahaya itu besar.”
Salah satu faktor dikatakan bahaya itu besar kerana
proses yang bakal kita lalui adalah sangat panjang. Dari sekarang sampailah ke
destinasi terakhir kita, yang kita harapkan syurga hendaknya , mungkin akan
memakan masa ribuan tahun, jutaan tahun atau sebagainya, bergantung kepada
nasib masing-masing yang sudah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali.
“Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) agar
azab itu disegerakan. Padahal Allah tidak akan memungkiri janjiNya. Dan
sesungguhnya sehari di sisi Rabbmu adalah seperti 1,000 tahun menurut kiraan
kamu.” (Al-Hajj : 47)
Tidak seorang pun pemilik simpanan yang tidak
menunaikan haknya (seperti zakat) kecuali Allah akan menjadikan untuknya kepingan-kepingan
timah yang dipanaskan di neraka Jahannam, kemudian kening dan dahi serta belakangnya diseterika
dengannnya (kepingan-kepingan timah itu) sehinggalah Allah SWT berkenan
menetapkan keputusan anatara hamba-hambaNya pada hari yang lamanya 50,000 tahun
menurut hitungan kalian. Setelah itu ia akan melihat jalannya, mungking ke
syurga dan mungkin ke neraka.” (Ahmad)
Demi jiwaku yang berada di dalam genggamanNya,
sesungguhnya hari itu dipendekkan bagi orang beriman hinggakan lebih pendek
daripada solat wajibnya ketika di dunia.” (Ahmad)
Dikatakan juga bahaya itu besar kerana sekiranya kita
mengalami kerugian, kerugian itu tidak ada tandingannya dengan segala kerugian
yang kita alam dalam kehidupan di dunia ini. Jika di dunia kita tidak cukup
makan, hidup menderita, cacat, sakit berpanjangan, panas, diseksa, dimalukan
dan sebagainya, paling lama pun sekadar ratusan tahun bagi manusia dan ribuan
tahun bagi golongan jin. Tapi jika kita mengalami semua itu di akhirat, tempoh
masanya tidak terhad. Ada yang menderita bertahun-tahun, ada yang ribuan tahun,
ada jutaan tahun, atau yang selama-lamanya.
Berdiri lama berbaris di kaunter pasar raya pun kita
sudah mengeluh, apatah lagi menunggu yang jauh lebih lama di Mahsyar, ketika
timbangan amal, ketika di titian dan sebagainya.
Sanggupkah kita dengan saja-saja berada dalam bilik air,
dalam kereta, atau dalam lubang pokok tanpa keluar-keluar selama
bertahun-tahun? Dalam beberapa hari sahaja pun kita tidak mahu. Jadi,
sanggupkah kita untuk tinggal ribuan tahun dalam jurang-jurang api neraka?
“Sesungguhnya seringan-ringan seksaan ahli neraka
pada Hari Qiamat ialah orang yang ditelapak kakinya diletakkan bara api yang
mendidihkan otaknya.” (Bukhari & Muslim)
“Kecuali jalan ke neraka Jahannam, mereka kekal di
dalamnya selama-lamanya. Dan hal itu mudah bagi Allah.” (An-Nisa’ :
169)
Fahamlah, alangkah bahaya itu besar!
“Jalan itu tertutup.”
Jalan ke destinasi terakhir kita itu tertutup kerana ia tidak
mudah dikesan oleh akal fikiran, tidak kelihatan oleh pandangan, tidak
terdengar oleh telinga, tidak terhidu oleh hidung, tidak terasa oleh lidah dan
tidak tersentuh oleh jasad.
“Alif Lam Mim. Kitab (Al-Quran) ini tidak ada
keraguan padanya, (menjadi) petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa. (Iaitu)
mereka yang beriman akan yang ghaib, mendirikan solat, dan menginfakkan
sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
(Al-Baqarah : 1-3)
Apa yang menyebabkan jalan itu tertutup?
Antaranya kerana tertutup oleh zaman. Hal-hal yang belum
kita alami, yang belum sampai masanya, tidak dapat kita saksikan. Orang yang
belum melalui proses sakaratul maut, tentulah belum dapat menyaksikan proses
sakaratul maut itu. Orang yang belum melalui proses timbangan amal, tentulah
belum dapat menyaksikan nilai pahala dan dosa. Begitulah seterusnya. Secara
tidak langsung, jalan itu tertutup kerana belum dapat disaksikan oleh mata di
kepala. Namun mata hati sedikit-sebanyak dapat menerima pantulan-pantulannya
jika kena dengan caranya.
Sebab itulah ada hamba-hamba Allah yang menafikan adanya
hari akhirat.
“Sesungguhnya mereka pasti berkata : “Tidak ada
kematian selain kematian di dunia ini. Dan kami tidak akan dibangkitkan.” (Ad-Dukhan :
34-35)
Alangkah tertutupnya jalan itu kepada mereka!
Jalan itu juga tertutup oleh syaitan, hawa nafsu kita dan
keadaan sekeliling kita yang ringkasnya disebut ‘dunia’. Syaitan, hawa nafsu
dan keadaan kita seakan-akan bersepakat untuk menjauhkan kita daripada jalan
itu. Mereka berusaha keras untuk menghijab kita dengan hijab yang tebal, agar
jalan itu terus tertutup daripada kita.
“Kamu dilalaikan oleh perlumbaan memperbanyak
(terutamanya harta benda). Sampailah kamu masuk ke dalam kubur.”
(At-Takatsur : 1)
Apabila jalan itu tertutup, maka ramailah manusia dan jin
yang sering terlepas pandang atau kurang peduli akan jalan itu. Oleh itu para
nabi, para wali, para ulama dan orang-orang yang punya kesedaran tentang jalan
itu gigih berusaha untuk mengingatkan semula manusia dan jin tentangnya.
Bagaimana usaha kita untuk mengetahui perihal jalan itu?
Mata di kepala punya penyuluhnya iaitu matahari yang di
langit. Mata hati juga ada penyuluhnya, punya mataharinya iaitu Al-Quran. Untuk
mendapatkan manfaat daripada Al-Quran, kita yang serba dhaif ini hendaklah mengambilnya
daripada mereka yang punya pengetahuan tentang matahari hati ini iaitu para
anbiya’, para auliya’ atau para ulama’. Dari sinilah sedikit demi sedikit
pengetahuan kita tentang jalan itu akan semakin jelas.
Namun kita jangan lupa, bahawa pada hakikatnya, yang
menutup kesemua jalan itu tidak lain ialah Allah SWT sendiri. Hanya Dia sahaja
yang berkuasa membuka atau menutup. Selain Dia, langsung tidak ada sebarang
kuasa. Begitulah dari segi hakikatnya. Namun dari segi syariatnya, kita yang
berada di landasan Ahlu Sunnah wal Jama’ah mestilah gigih berusaha untuk
mengetahuinya sekadar kemampuan kita, agar dapat kita mengambil manfaat dan
tindakan yang sewajarnya. Apalah nilai ilmu tanpa tindakan…
ANTARA TINDAKAN KITA
i)
Bersyukur kepada Allah SWT
kerana telah melorongkan kita untuk mengikuti syarahan ini dan mengambil
manfaat daripadanya.
ii)
Kita mestilah mencari dan
mendapatkan pengetahuan tentang alam yang sedang dan alam yang bakal kita lalui
dan hentian-hentiannya. Juga bekalan-bekalan yang perlu dibuat untuk melalui
setiap hentian itu.
iii)
Kita mestilah buat
persediaan untuk menghadapi mati kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa
mulai sekarang. Sekurang-kurangnya apabila saat itu tiba, berkuranglah sedikit
keterkejutan kita dan mudahlah untuk kita melepaskan nyawa. “Perbanyakkanlah
mengingati pemutus kelazatan (mati).” (Turmizi, An-Nasa’I, Ibnu Majah).
iv)
Janganlah sampai kita jatuh
hati dengan perkara dan benda keduniaan, kerana semua itu akan memudaratkan
kita pertamanya ketika sakaratul maut. Tidak salah memiliki, cuma jangan sampai
jatuh hati.
v)
Tanamkan ingatan dalam diri
bahawa dunia ini sangat sekejap dan akhirat itu selama-lamanya. Hendaklah
selalu diulang ingat agar sebati dengan diri.
vi)
Sampaikan ilmu ini kepada
saudara-saudara kita yang lain agar mereka juga beroleh manfaatnya. Dan tidak
mustahil suatu ketika nanti apabila kita terlupa, merekalah yang akan
mengingatkan kita semula.
No comments:
Post a Comment