Berdasarkan
pengalaman dan pemerhatian, antara langkah-langkah yang sangat sesuai :
1.
Kenalah ada kemahuan. Jika tak ada kemahuan,
sampai bila pun tidak akan bermula.
2.
Dah ada kemahuan, kenalah minta kepada Tuhan,
kerana hanya Dialah sahaja yang ada kuasa untuk menjayakan apa juga perancangan
dan kemahuan kita. Kalau tak dimohon, susahlah untuk kita mendapat jalannya,
dan mungkin tak akan dapat langsung pun. Kita selalu terlepas pandang bahagian
ini. Secara tidak langsung sebenarnya kita sudah menganggap bahawa perubahan
yang hendak kita lakukan ini adalah hasil usaha kita sendiri, padahal Allah
sahaja yang berkuasa untuk menjayakannya atau tidak.
3.
Mahu dah mahu, mohon dah mohon. Seterusnya, kenalah
ada ilmu. Sekiranya tidak ada ilmu, hendak mula dengan apa? Hendak mula
bagaimana? Kan susah? Hendak dapatkan ilmu, kenalah sanggup berusaha
melapangkan masa dan mencarinya. Jika
tidak sanggup untuk korbankan sedikit daripada masa kita sehari-hari untuk
mencari ilmu, bolehkah ilmu itu datang sendiri? Tentu tidak! Ilmu yang
dimaksudkan di sini ialah ilmu-ilmu agama. Ringkasnya, dengan berbekalkan
kemahuan dan doa sahaja, tidaklah dapat membawa kita ke mana-mana, melainkan
duduklah di situ sahaja sampai bila-bila. Jika tidak sanggup untuk meluangkan
sedikit waktu untuk ini, sampai di sini sahajalah perjalanan hijrah anda.
4.
Seterusnya kenalah ada jemaah,
sekurang-kurangnya berdua, iaitu seorang guru dan seorang murid. Dapat lebih
ramai lagi baik. Tak boleh sendiri-sendiri seorang diri cari ilmu, cari iman,
cari amal, kerana sangat besar bahayanya. Dalam suasana berjemaah inilah berlaku
pemindahan ilmu, pengusahaan amal, peningkatan iman, bantu-membantu,
tegur-menegur, betul-membetul, dan sebagainya. Sekawan kambing boleh
mengalahkan serigala. Kalau seekor kambing bersendirian? Akan jadi hidangan
buat serigala! Jemaah di sini bukanlah bermaksud kumpulan-kumpulan yang ada
nama tertentu, tetapi apa juga perkumpulan atau halaqah yang baik sekalipun
sekadar 2 orang sahaja. Mereka yang berusaha sendiri-sendiri biasanya tidak
bergerak ke mana-mana pun, jika bergerak pun hanya sedikit sahaja berbanding
permulaannya, dan ramai juga yang tersilap jalan tanpa disedari.
5.
Hendaklah mengutamakan ilmu-ilmu yang fardhu ‘ain
berbanding ilmu-ilmu yang fardhu kifayah, sekalipun kedua-duanya sangat penting,
kedua-duanya mesti diusahakan. Hal ini kerana yang fardhu ‘ain wajib diusahakan
oleh setiap orang. Sesiapa yang sengaja mengabaikannya, berdosa di sisi Allah.
Yang fardhu kifayah, jika ada orang lain yang usahakan, kita tidak berdosa
sekalipun kita tidak mengusahakannya. Umumnya begitu. Hari ini, ramai yang
melebihkan dan mendahulukan hal ehwal fardhu kifayah berbanding ilmu dan
amal-amal fardhu ‘ainnya. Oleh itu, berhati-hatilah.
6.
Ada kemahuan, lalu berdoa kepada Tuhan,
kemudiannya berusaha melapangkan masa untuk mendapatkan ilmu, dan berjaya pula mendapatkan sahabat-sahabat
seperjuangan (jemaah), maka hendaklah membetulkan tauhid terlebih dahulu. Kerosakan,
kecederaan atau kebinasaan tauhid mengakibatkan segala amal seumur hidup kita
rosak, cedera atau binasa. Alangkah sangat ruginya…! Oleh itu, cari orang atau
pihak yang boleh membimbing kita dalam hal tauhid, asal lepas yang
dasar-dasarnya sudah memadai, tak perlu sampai ke peringkat tinggi dalam
tasawuf. Asalkan kita dapat membetulkan dan menepatkan sembahan (sekiranya
belum betul, belum tepat), tidak tersembah selain Allah, tidak tersembah
makhluk yang kita sangkakan Allah, dan tidak tersembah Allah yang bercampur
dengan makhluk. Hari ini ramai juga orang yang menyangkakan dia berIlahkan
Allah tetapi sebenarnya dia menyembah makhluk yang disangkakannya sebagai
Allah, ataupun menyembah makhluk yang bersekutu dengan Allah. Setelah masuk
proses tarbiyyah baru mereka menyedari bagaimana aqidah mereka selama ini.
Inilah
antara kaedah atau proses yang sesuai untuk orang-orang yang mahu berhijrah
atau mahu berubah. Penjelasan ini menjadi jawapan kepada persoalan : “Memang
saya/kami nak berubah, tapi macama mana? Apa yang perlu dibuat? Nak buat apa
terlebih dahulu?”
Setelah
melalui proses ini, maka teruskanlah dengan ilmu-ilmu dan amal-amal fardhu ‘ain
dan fardhu kifayah yang lain. Sambil-sambil melalui proses ini juga, tidaklah
menjadi kesalahan jika mahu mencari ilmu –ilmu dan amal-amal fardhu ‘ain dan
fardhu kifayah yang lain, tetapi perlulah sangat berhati-hati agar tidak
terganggu proses utamanya. Selamat berhijrah, selamat berubah ke arah yang
lebih baik.
Wallahua’alam.
Abu
Zulfiqar
7
Januari 2015
2 comments:
Nak jadi baik, mulakan langkah ke tempat yg baik, masjid.
Mulakan dgn solat berjama'ah,
Lazimkan diri bersabar dgrkan kuliah kuliah dan ceramah di masjid masjid,
Kemudian berkawanlah dgn org org masjid.
Pandangan ana ;
Bila dah ada kesedaran dan kemahuan, mulakanlah dgn langkah pertama melazimi solat berjama'ah di masjid, kemudian bergaullah dgn org org masjid, dan seterusnya mulalah belajar dgn kuliah kuliah yg diadakan di masjid.
Bukankah pemakmur masjid ini mendpt jaminan iman dan petunjuk ?
Post a Comment