Adab-adab Berjiran Menurut Imam
Al-Ghazali
Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali memuatkan satu bab yang
khusus tentang jiran tetangga dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumiddin, iaitu pada Kitab
Adab Berkasih-kasihan. Di sini kita bentangkan semula antara perkara penting
yang disentuh oleh beliau.
Sejauhmanakah pentingnya hidup
beradab dengan jiran?
Imam Al-Ghazali memetik beberapa hadis yang berkaitan dengan
hal ini. Salah satunya ialah sabda Nabi s.a.w : “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia
memuliakan jirannya.” (Bukhari dan Muslim)
Lihatlah petapa pentingnya beradab dengan jiran sehingga
dikaitkan dengan keimanan kepada Allah dan hari akhirat.
Hadis kedua - Rasulullah s.a.w ditanya : “Seorang wanita yang berpuasa pada siang
hari, mengerjakan solat pada malam hari tetapi melakukan perkara yang
menyakitkan jirannya.” Lalu Rasulullah s.a.w menjawab : “Wanita itu dalam neraka.” (Ahmad,
Al-Hakim)
Lihat pula bagaimana perbuatan yang tidak baik kepada jiran
boleh menjadi penyebab kepada masuknya seseorang ke neraka sekalipun dia
seorang ‘abid.
Siapakah jiran kita?
Az-Zuhri meriwayatkan bahawa seorang lelaki datang kepada
Nabi s.a.w mengadu tentang jirannya. Maka Nabi s.a.w menuruh orang itu
menyerukan di pintu masjid : “Ketahuilah
bahawa empat puluh rumah itu adalah tetangga.” (Abu Daud, Thabrani)
Kemudian Az-Zuhri menunjukkan empat puluh rumah di
keempat-empat arah iaitu empat puluh rumah ke hadapan, ke belakang, dan ke
kedua-dua sisi.
Mengapa kita memerlukan jiran
yang baik?
Jiran yang baik membantu mewujudkan suasana hidup yang
bahagia. Buktinya ialah sabda Nabi s.a.w : “Yang
membahagiakan pada tempat tinggal ialah luas dan baik jiran yang mendiami
tempat itu. Dan yang celaka pada tempat tinggal ialah sempit dan jahat jiran yang
mendiami tempat itu.” (Muslim)
Hal ini diperkuatkan pula oleh hadis yang lain iaitu : “Sesungguhnya sebahagian daripada
kebahagiaan muslim ialah mempunyai tempat tinggal yang luas, jiran yang soleh
dan kenderaan yang menyenangkan.” (Ahmad)
Sekuat manakah hubungan kita
dengan jiran?
Sebuah hadis yang menjadi pilihan Imam Al-Ghazali yang bermaksud
: “Jibril selalu menasihati aku
(Rasulullah) tentang jiran, hinggakan aku menyangka bahawa jiran itu akan
menerima pusaka dari jirannya.” (Bukhari dan Muslim)
Jelaslah kepada kita bahawa
kedudukan hubungan jiran dengan kita hampir-hampir dengan hubungan kekerabatan.
Maklumlah, sakit demam kita, jiranlah yang paling dekat. Merekalah yang paling
awal boleh datang menjenguk. Dalam dunia hari ini, kaum keluarga kita mungkin
tinggal di tempat lain dan jauh. Maka jiranlah sebagai ganti bapa kita, abang
kita, adik kita dan sebagainya.
Dalam ramai-ramai jiran, jiran
manakah yang lebih besar haknya kepada kita?
Tentunya jiran yang lebih hampir
dengan rumah kita. Kata Aisyah r.a : “Aku
bertanya : “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku mempunyai dua jiran. Yang
seorang pintunya menghadap kepadaku. Dan yang lain itu pintunya jauh dari aku.
Kadang-kadang apa yang ada padaku tidak mencukupi untuk kedua-duanya. Maka
manakah antara kedua-duanya yang lebih besar haknya?” Maka Nabi s.a.w. menjawab
: “Yang pintunya menghadap kepada engkau.” (Bukhari)
Apakah antara hak-hak jiran?
Menurut
Imam Al-Ghazali, antara hak-hak jiran ialah :
1. Kita
hendaklah memberikan salam kepadanya apabila bertemu.
2. Tidak
memanjang-manjangkan bicara dengannya. Hal ini kerana dikhuatiri mungkin
mengganggu jiran kita, boleh jadi ketika itu dia tidak bersedia untuk berbual
panjang, dan berbual panjang tanpa keperluan akan mendorong kepada merugikan
masa atau mengumpat.
3. Tidak
bertanya lebih-lebih tentang keadaannya. Hal ini supaya kita tidak dipandang
sebagai penyebok dan mengelakkan daripada mendesak jiran bercerita sesuatu yang
dia tidak bersedia untuk menceritakannya.
4. Mengunjunginya
ketika sakit.
5. Bertakziah
kepadanya kala dia mendapat musibah.
6. Meraikan
keseronokan yang diperolehinya. Contohnya ketika berkahwin, mendapat anak,
memperolehi keputusan peperiksaan yang baik, naik pangkat, pergi mengerjakan
haji dan sebagainya.
7. Maafkan
kesalahannya.
8. Tidak memantau-mantau
dan mencari-cari aibnya.
9. Tidak
memerhati lebih-lebih akan barang yang dibawanya pulang. Contohnya makanan,
peralatan, cenderahati dan sebagainya.
10. Membantu
menutup aibnya.
11. Membantunya
apabila dia terkena bencana.
12. Tolong
memerhatikan rumahnya ketika ketiadaannya.
13. Memicingkan
mata daripada melihat kaum wanita yang ada di rumahnya termasuklah anak isteri,
orang gaji dan hambanya.
14. Bersikap baik dengan anak jiran.
Bagaimana pula hubungan kita
dengan jiran yang bukan muslim?
Sabda Nabi s.a.w : “Jiran
itu tiga jenis : jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak,
dan jiran yang mempunyai tiga hak. Maka jiran yang mempunyai tiga hak ialah
jiran muslim yang ada ikatan kekeluargaan. Dia mempunyai hak kejiranan, hak
keIslaman dan hak kekeluargaan. Adapun yang mempunyai dua hak ialah jiran yang
mempunyai hak kejiranan dan hak keIslaman. Adapun yang mempunyai satu hak ialah
jiran musyrik.” (Al-Hasan bin Sufyan, Al-Bazzar)
Maksudnya jiran yang bukan muslim juga ada haknya.
Mujahid berkata : “Aku bersama-sama Abdullah bin Umar dan
pelayannya sedang mengupas kambing. Maka Abdullah berkata : “Wahai pelayan! Apabila engkau sudah
mengupas kambing itu, mulailah dengan jiran kita orang Yahudi.” Dia berkata
begitu berkali-kali. Maka Mujahid bertanya kepada Abdullah bin Umar : “Berapa kali engkau mengatakan hal ini?”
Abdullah menjawab : “Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w selalu menasihatkan kami tentang jiran, sehingga kami takut
kalau-kalau jiran itu akan mewarisi dari jirannya.” (Abu Daud, Turmizi)
Hisyam berkata : “Al-Hasan
berpendapat, tidak mengapa jika engkau memberikan makanan kepada jiran Yahudi
dan Nasrani dari sembelihan engkau.”
Abu Zulfiqar
(*Disiarkan dalam majalah bermanhaj ASWJ iaitu majalah Q&A bil. 20)
No comments:
Post a Comment