Monday, March 26, 2012

Cinta Sesuatu Lebih daripada Allah dan Rasulullah

PERSOALAN :

Assalamualaikum ustaz..

Boleh saya bertanya?

Erm..ustaz, adakah berdosa jika seseorang itu cintanya melebihi selain daripada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

Ada hukumnya?


JAWAPAN :

Wlksm, boleh.

Maksudnya... mencintai sesuatu/seseorang lain lebih daripada mencintai Allah dan rasul-Nya?
Sekiranya itu yang dimaksudkan, saya ada beberapa sandaran untuk dikongsi...

Kata Nabi : “Tidak beriman seorang dari kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain.” (Bukhari & Muslim)

“Tidak beriman seorang hamba sebelum aku (Rasulullah) lebih dicintai daripada isterinya, hartanya dan sekelian manusia.” (Bukhari & Muslim)

Pernah Abu Razin Al ‘Uqaili bertanya: “Wahai Rasulullah. Apakah iman itu?”
Rasulullah SAW menjawab: “(Iman itu ialah) Allah dan Rasul-Nya lebih kamu cintai daripada yang lain.”
(Ahmad)

“Katakan: kalau bapa-bapa kamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, kekayaan yang kamu perolehi, perniagaan yang kamu khuatiri akan kerugian dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasiq.” (Surah At Taubah : 24)

Berdasarkan zahir hadith itu, perkataan yang digunakan nampak keras iaitu "TIDAK BERIMAN". Tidak beriman di sini lebih kepada TIDAK SEMPURNA IMAN/CACAT IMAN seseorang jika berbuat demikian. Tapi kita khuatir ia akan membawa kepada benar-benar tidak beriman sekiranya sudah sampai ke peringkat melampau. WA.

Abu Zulfiqar

26 MAC 2012

Sunday, March 25, 2012

Sesekali Berubah Selera


Nota untuk para hadirin pengajian kitab Ihya' 'Ulumiddin kali ini pada kertas pelbagai warna. Biar terang bijik mata : )

Saturday, March 24, 2012

Majalah yang Bagus


Saya membaca majalah ini dan mendapati isi kandungannya sangat bagus (setakat ini). Jadi saya sangat syorkan agar anda mendapatkannya di pasaran.

Sunday, March 18, 2012

Hukum Isteri Cukur Bulu Kening

PERSOALAN :
Salam,
Saya hendak bertanya apakah hukumnya bagi seorang isteri membuang atau mencukur bulu kening?


JAWAPAN :
Pada dasarnya, hukumnya haram dan kesannya ialah berdosa. Hal ini kerana wanita tidak dibenarkan dengan sengaja membuang atau mencukur bulu keningnya, termasuklah wanita yang bertaraf isteri.

Antara sumber sandaran kita ialah hadith yang mengatakan :
“Allah melaknat (tukang) yang memasang dan dipasang (si pemakai) rambut palsu, yang mencukur bulu kening dan dicukurkan bulu kening dan yang membuat cacah (tatu) dan dibuatkan tatu” (Bukhari, Muslim)

Ibnu Mas'ud mengatakan :
"Allah melaknat orang yang bertatu dan orang yang meminta untuk ditatu, orang yang mencukur kening dan orang yang meruncingkan gigi untuk mencantikkan dirinya, yang semua itu mengubah ciptaan Allah." (Bukhari, Muslim)

Ibnu Mas'ud juga mengatakan :
"Aku mendengar Rasulullah saw melarang mencukur kening, mengikir gigi, menyambung rambut dan membuat tatu, kecuali kerana sesuatu penyakit." (Ahmad)

Ibnu Abbas berkata :
"Terlaknatlah orang yang menyambung (rambut) serta yang meminta untuk disambung rambutnya, orang yang mencukur kening dan orang yang mencukur kening dna yang meminta agar dicukur keningnya,orang yang mentatu dan orang yang meminta untuk ditatu, bukan kerana sakit." (Abu Daud)

Namun begitu, ada perinciannya.

1. Jika wanita itu dipaksa dengan paksaan yang boleh memudaratkan dirinya dan dia tidak berdaya mengelakkannya, tidak mengapa.

2. Jika memang semulajadi kening si wanita tebal luar biasa berbanding masyarakat sekelilingnya, sehingga mendatangkan cela dan aib kepadanya seperti digelar "Minah Ulat Bulu", "Leha Kening Gorilla" ataupun sering menjadi pembuka ruang kepada orang lain untuk mengata kekurangan dirinya, maka dibenarkan membuang/mencukur sedikit agar sepadan dengan kening semulajadi masyarakat di sekelilingnya. Tidak boleh dibuang lebih daripada kening semulajadi rata-rata masyarakat di sekelilingnya itu.

3. Ada ulama berpendapat isteri boleh berbuat demikian atas alasan sebagai berhias untuk suaminya. Apatah lagi jika suaminya suka. Jika mahu pakai juga pandangan yang ini, tidak mengapa jika si wanita memang jenis yang tidak keluar rumah dan tidak bergaul dengan yang bukan mahram dengannya. Tidak mengapa juga jika dia jenis yang keluar rumah tetapi menutup keseluruhan mukanya seperti burqa wanita Afghanistan, ataupun dengan cara-cara lain yang lebih kurang begitu, iaitu yang dapat menyembunyikan keningnya daripada pandangan yang bukan mahram dengannya. Jika keningnya yang diubahsuai itu sengaja diperlihatkan kepada yang bukan mahram, tentulah berdosa kerana dia sudah bertabarruj.

WaAllahua'alam.

Abu Zulfiqar
15 MAC 2012

Saturday, March 10, 2012

Tazkirah Facebook 17 (9.3.12)

Diri kita umpama sehelai kertas. Warnanya putih kerana banyaknya kebaikan yang kita buat. Apabila kita melakukan satu-satu kesalahan sama ada disengaja atau tidak, terpalit setitik dakwat hitam di atasnya. Begitu juga jika kita punya sesuatu kelemahan.

Biasanya manusia akan terdorong untuk melihat titik hitam yang sedikit itu berbanding keseluruhan kertas yang putih. Biasanya manusia terdorong untuk menghukum kita berdasarkan titik hitam, bukannya keseluruhan kertas yang putih.

Kebaikan kita walau sebanyak mana pun, susah orang hendak nampak dan iktiraf. Tapi kesalahan, kesilapan atau kelemahan kita walaupun kecil, cukup cepat orang nampak.

Oleh itu, berhati-hatilah. Berusahalah agar kertas putih kita tidak terpalit apa-apa kotoran lain, sekalipun kecil. Kerana selalunya manusia menghukum kita dengan melihat kotoran yang sedikit itu.



Abu Zulfiqar

9.3.12

Wednesday, March 7, 2012

Tazkirah Facebook 16 (7.3.2012)

Rajin mendengar ceramah popular memang bagus, tapi... rajin mendengar ceramah popular DAN rajin juga mendengar kuliah bersiri (berkitab), adalah lebih bagus.

Ceramah popular dapat mencetuskan rasa suka kepada agama dan ilmu-ilmunya. Ceramah popular juga dapat mengekal malah menambahkan rasa itu bagi mereka yang sudah sedia suka akan agama dan ilmu-ilmunya.

Namun dengan hanya rajin mengikuti ceramah-ceramah popular, tidak dapat menjadikan seseorang itu banyak ilmu agamanya walaupun memang ada pertambahan. Tidak ada orang yang hanya menghabiskan usahanya mengejar ceramah-ceramah popular bertahun-tahun, kemudiannya kita dapat tahu dia berjaya menjadi seorang ilmuwan agama. Tidak ada.

Untuk mendapatkan pemantapan, pelambakan dan pendalaman ilmu-ilmu agama, kita hendaklah rajin pula mengikuti kuliah-kuliah bersiri. Terbukti, ramai juga mereka yang rajin mengejar kuliah-kuliah bersiri, bertahun-tahun selepas itu akhirnya berjaya pula menjadi seorang pengajar.

Teruskanlah mendengar/mengikuti ceramah-ceramah popular, tapi luangkanlah juga masa untuk mendengar/mengikuti kuliah-kuliah bersiri (sama ada secara langsung ataupun melalui media seperti internet), sekalipun kita tidak bercita-cita untuk menjadi seorang pengajar suatu hari nanti. Tapi... takkanlah kita tak mahu mentarbiyyah isteri dan anak-anak? Cukupkah ilmu dan motivasi dari ceramah-ceramah popular sahaja untuk mengajar agama kepada mereka?

Ceramah popular isinya bersifat umum. Huraian dan bahasannya terdapat dalam pengajian berkitab. Oleh itu, jangan berpuas hati sekadar dengan menjadi seorang peminat ceramah popular. Jadilah juga peminat tegar kuliah bersiri (berkitab).

Jumpa lagi : )

*Lama dah tak menulis Tazkirah Facebook... kesibukan : )

Tuesday, March 6, 2012

Pengalaman Belajar Agama

PERSOALAN (Mac 2012) : Salam Ustaz, kalau tak salah ana dulu ustaz ada post yang background belajaq agama ustaz macam ustaz Azhar Idrus, dia tu cuma belajaq cara talaqqi saja. Ustaz pulak camna? Ana teringin gak nak belajaq camtu, cuma saja nak mintak tips daripada ustaz.. syukran.


JAWAPAN (Mac 2012) : Waalaikumussalam. (*Jawapan ini adalah tentang 3 perkara yang ditanya iaitu tentang pengalaman UAI, pengalaman sahaya, dan tips)


1. PENGALAMAN UAI


Berdasarkan cerita Ustaz Azhar Idrus dalam video itu, pada asalnya dia hanyalah ORANG BIASA-BIASA. Dia BERPENDIDIKAN SEKOLAH INGGERIS dari kecil sampailah habis, bukannya dari sekolah beraliran agama. Dia belajar agama secara aktif baru pada tahun-tahun 90-an, KETIKA BERUSIA 25 TAHUN. Pada tahun-tahun 80-an, DIA MASIH ROCKER, menurut katanya. (*Waktu itu UAI ada rock band sendiri, selalu jamming).


Bagi Ustaz Azhar Idrus (*berdasarkan salah satu rakaman sedutan pengajiannya), hendak belajar agama ini DI MANA-MANA PUN BOLEH, asalkan jangan putus asa. Yang pentingnya KEAZAMAN. Jadi dia dan dua orang lagi rakannya ketika itu mulai AKTIF MENYUSUN KULIAH dengan mengikuti pengajian-pengajian di masjid dan surau selama beberapa tahun. Kemudian dua orang temannya itu pergi belajar di sekolah pondok di Pattani.


Ustaz Azhar yang tinggal keseorangan di kampung mula berfikir cara-cara untuk mendapat ilmu agama TANPA DIA PERLU BERHIJRAH KE MANA-MANA. Jadi di Kuala Terengganu itu dia mulalah MENYUSUN TOK GURU mengikut bidang masing-masing. Setiap hari dia menghabiskan MASA 5 JAM untuk belajar ilmu-ilmu agama sahaja, SELAMA 12 TAHUN.


Sekalipun Ustaz Azhar BERPENDIDIKAN INGGERIS, tetapi kemudiannya pelajar-pelajar Malaysia lulusan Mesir sendiri datang meminta ilmu daripadanya.


Menurut Ustaz Azhar lagi, semua orang umumnya berkeupayaan untuk berilmu dalam agama sehingga ke tahap boleh mengajar, asalkan ADA KESUNGGUHAN. Tapi jangan tersilap. Dengan MENYUSUN PENGAJIAN dari masjid ke masjid dan dari surau ke surau SAHAJA, usaha itu tidak akan berjaya. Ia mesti ada kesungguhan untuk belajar LEBIH DARIPADA ITU. Mana-mana orang yang berjaya, tok guru dan ulama semuanya tidak hanya mengatur kuliah, tetapi mereka berusaha lebih daripada itu.


Tamat kisah pengalaman belajar Ustaz Azhar Idrus.


.......................


2. PENGALAMAN SAYA


Pengalaman saya tidaklah sehebat pengalaman Ustaz Azhar Idrus, tetapi adalah serba-sedikit persamaan pada bahagian2 tertentu.


Saya lahir dalam persekitaran yang umumnya "tidaklah dekat dengan agama", dipelihara pula di kampung oleh opah seorang yang sudah lanjut usia. Pada usia 6 tahun saya dihantar berguru dengan 2 orang ustazah. Ustazah kedua hanya mengajar mengaji Quran. Tapi dengan ustazah pertama yang hebatnya. Dia mengajar mengaji, aqidah dan fiqh. Dalam usia sekecil itu ustazah pertama ini sudah mengajarkan Sifat 20 dan lain-lain kerana saya pun terima dengan laju kesemua ilmu yang diajarkannya. Memang laju pengajarannya kerana kebetulan saya ‘terang hati’ ketika itu. Sekejap sahaja saya sudah boleh membaca Al-Quran dan menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan.


Tapi bermula usia 11 tahun, saya mulai ‘bengap hati’ dan hilang kecerdikan. Entahlah mengapa. Mata pun mulai kabur dan terpaksa memakai cermin mata. Kurang zat makanan agaknya , sebab hidup memang susah. Maka hal itu mungkin mempengaruhi kecerdasan dan kecerdikan juga. Wallahualam.


(Bercakap tentang ‘terang hati’ ini, saya sudah mampu mengingat banyak perkara yang berlaku sejak usia saya satu tahun. Sampai sekarang semua itu masih jelas terbayang di fikiran. Hal ini sangat jarang berlaku kepada orang lain)


Kemudian, saya tidak pernah ke sekolah tadika/prasekolah. Belajar menulis, membaca dan mengira bermula masa darjah satu. Dengan izin Allah, 5-6 bulan sahaja masuk darjah satu, saya sudah boleh membaca akhbar dengan baik. Saya suka baca akhbar walupun umur belum cukup 7 tahun. Memang orang sekeliling terkejut. Pada awal 80-an itu, di tempat saya umumnya tak ada budak-budak kecil darjah satu dua tiga yang suka baca akhbar. Bahkan yang belum boleh membaca pun banyak. Dalam peperiksaan di sekolah rendah pula, saya selalu sahaja dapat nombor satu. Setiap tahun ada dua kali peperiksaan. Kalau tak salah, 9 kali saya dapat nombor satu bagi keseluruhan peperiksaan di sekolah rendah.


Berbalik kepada ustazah pertama tadi. Pemahaman saya terhadap ilmu-ilmu yang diperturunkannya ketika itu tidaklah maksimum, tetapi setelah dewasa dan kembali hendak berjinak-jinak dengan agama, dengan pantasnya ilmu-ilmu itu MASUK KEMBALI dan dapat difaham. Guru-guru agama di masjid surau cakap sedikit sahaja, saya sudah dapat faham lebih, kerana ilmu-ilmu itu sudah sedia ada dalam diri ketika kecil, cuma ia perlu dicungkil keluar semula. Tambahan pula saya jenis yang suka mengkaji ajaran guru-guru itu.


Setelah dewasa, saya lihat kebanyakan orang pergi mendengar kuliah akan tertawa, bersorak, menangis dan sebagainya, tapi pulang ke rumah, tidak buat apa-apa lagi ebrkaitan isi kuliah tersebut. Saya pula sebaliknya. Selepas mengikuti kuliah saya akan MENCARI BAHAN RUJUKAN, MENULIS dan MEMBUAT NOTA RINGKAS tentang isi kuliah tadi. Dari situlah datangnya sedikit LEBIHAN ilmu dan pemahaman. Elakkan sekadar pergi kuliah angguk-angguk, pulang ke rumah, habis isi kuliah. Pengkuliah beri 10 perkara, sampai di rumah cuma dapat ingat 1-2 perkara. Tapi jika kita cari rujukan, buat nota dan menulis kembali, mungkin 6-7 perkara tersemat di hati.


Patah balik ke zaman kanak-kanak. Sejak usia 11 tahun, umumnya tidak ada lagi apa-apa ilmu agama yang masuk secara rasmi ke dalam diri. Hidup macam orang sekeliling sahajalah. Seperti Ustaz Azhar juga, saya tidak pernah masuk mana-mana sekolah beraliran agama. Sekolah agama sebelah petang pun tidak pernah. Keadaan ini berterusan sampailah keluarnya keputusan peperiksaan SPM.


Entah bagaimana ketika di Tingkatan 6, saya digerakkan Allah untuk memilih KELAS SYARIAH. Di situlah saya belajar fiqh, usul fiqh, hadith, mustalah hadith dan mantiq dengan rasmi. Tetapi sekadar belajar untuk peperiksaan sahajalah, tidak minat pun untuk mendalaminya betul-betul.

NAMUN BEBERAPA TAHUN KEMUDIANNYA ilmu-ilmu ini menjadi sangat berguna kepada saya, sampailah sekarang. Ustaz-ustaz kemudian sentuh sedikit sahaja, saya terus dapat tangkap dan boleh ‘explore’ sendiri kerana perkara-perkara itu memang sudah ada dalam diri. Terima kasihlah guru-guru saya.


Tamat persekolahan (*sebenarnya sejak zaman persekolahan lagi), saya juga melalui zaman rockers dan ada rock band bersama kawan-kawan, macam UAI jugalah. Zaman 80-an dan awal 90-an memang era kemuncak muzik tersebut. Mulalah saya berusaha keras untuk menjadi artis berkumpulan, kononnya. Umumnya siang malam dengan lagu dan muziklah. Eloklah Allah buatkan ia tak menjadi.


Tiba-tiba saya terpaut dengan jemaah Tabligh pada usia 19 tahun. Dari sinilah asalnya perubahan hati. Bermula dari jemaah Tabligh, saya mula meneroka jemaah-jemaah atau perkumpulan-perkumpulan agama yang lain. Saya giat mengikuti program pelbagai jemaah lain. TIDAK SEKADAR MENGIKUT, saya meneliti dan mengkaji, dan tentunya dengan permohonan petunjuk daripada Allah. Biasanya orang masuk jemaah-jemaah tertentu, mereka terus ikut acuan jemaah dan tidak mengkaji-kaji lagi. Saya sebaliknya.


Daripada program dan tarbiah yang pelbagai inilah yang membentuk pengalaman, dan tentunya daripada penelitian yang dibuat. Bergaul rapat dengan jemaah-jemaah Islam membolehkan kita menemui guru-guru ataupun sekurang-kurangnya orang-orang yang ada ilmu dalam pelbagai jurusan agama.


Sejak berusia 23/24 tahun (pertengahan tahun 90-an, lebih kurang macam Ustaz Azhar jugalah), umumnya saya mula menghabiskan masa 6 jam sehari untuk input ilmu-ilmu agama pada hari bekerja (maksudnya di luar waktu bekerja, tapi jika ada free pada waktu bekerja, saya tetap akan curi2 buka kitab, buat rujukan, buat nota dan sebagainya tentang pelajaran agama), dan 9 jam sehari pada hari cuti. Input yang dimaksudkan adalah dengan mengejar tok-tok guru dari masjid ke masjid, mendengar kaset atau CD (teknologi pada zaman itu), menonton VCD, membaca, bertukar-tukar fikiran, membuat nota dan seumpamanya, yang semuanya berkaitan dengan agama sahaja. Habis SEMUA HOBI dan aktiviti kegemaran saya "buang" (ketepikan).


(*Sampailah sekarang 2022, usia sudah 50 tahun Hijriyah, boleh dikatakan saya masih tidak punya sebarang hobi. Ada juga cuba-cuba selalu camping, berbasikal, memanah, mengubat, seni beladiri dsb tapi semuanya berlalu begitu sahaja, tak lekat satu pun. Jasad sedang buat aktiviti, tapi fikiran tetap melayang kepada hal2 khusus dalam agama. Memang tak boleh tumpu)


Sekiranya tidak ke mana-mana, PALING KURANG PUN saya akan membaca buku-buku agama dan membuat nota, 6 jam sehari pada hari bekerja dan 9 jam sehari pada hari cuti. (*Sampailah sekarang 2022). Saya memang mampu membaca lama. Contohnya kalau sebuah novel tu, sekali baca sahaja boleh habis.


Keadaan ini berterusan selama lebih kurang 9-10 tahun. Dalam 5-6 tahun terawal itu, saya usung terjemahan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin itu sekurang-kurangnya satu jilid ke mana-mana sahaja saya pergi. Tak berpisah. Berjam-jam membaca, bertafakur dan membuat nota tentangnya. Apa yang saya tidak tahu, saya tanya kepada orang-orang yang tahu khususnya merujuk kepada mursyid saya dalam Tariqah Ghazaliyyah yang memang arif dengan kitab Ihya'.


(*Kemudian, setelah agak berusia saya menyambung pelajaran di peringkat universiti. Di sana saya mengambil minor agama Islam. Dalam tugasan2 berkaitan pelajaran agama Islam memang saya henyak sungguh-sungguh kerana memang minat. Sampaikan teman-teman yang memang ambil major agama Islam pun ada yang datang merujuk kepada saya.)


Mana-mana orang pun, sekiranya sanggup memperuntukkan masa sedemikian (6 jam pada hari bekerja/belajar dan 9 jam pada hari cuti) untuk ilmu-ilmu agama, dalam masa 10 tahun insyaallah sudah boleh mengajar sebahagian daripada ilmu-ilmu agama itu dalam kuliah umum dengan agak baik, tanpa perlu pergi memondok, masuk pesantren, belajar di universiti, ke Syria, Jordan, Al-Azhar, Yaman, Sudan dan sebagainya. Cubalah buat. Insya-Allah terbukti. Masalahnya... sanggupkah mengorbankan masa 6 ke 9 jam SETIAP HARI dan meninggalkan keseronokan dunia yang lain selama 10 tahun?


Sekarang usia kita sudah 40 tahun dan ilmu agama masih zero? Tak jadi masalah. Korbankan masa untuk ilmu-ilmu agama sebagaimana di atas, insyaallah ketika usia 50 tahun, kita sudah punyai ilmu yang mampu dikongsikan dengan baik kepada orang ramai. Yang penting, ada kesungguhan dan tidak berputus asa. Walaupun selepas 10 tahun itu kita tidak mahu mengajar umum pun, tapi pengetahuan kita sudah setara dengan sebahagian orang2 yang mengajar juga. Tak ada sebarang kerugian malahan sangat beruntung.


Sebenarnya saya baru sahaja mengajar secara umum dan terbuka sekitar 4-5 tahun lepas (2007- usia sudah 34 tahun pun. Jauh terlewat berbanding sebahagian sahabat2 saya yang sudah berkuliah umum sejak awal 20-an. Saya terlewat belasan tahun). Masih sangat baru. Tidak layak untuk dibandingkan dengan penceramah-penceramah yang sudah belasan atau puluhan tahun mengajar.


(*Saya mengajar pula hanya seminggu sekali, sedangkan kebanyakan penceramah mengajar hampir setiap hari. Dalam setahun, dah berapa banyak saya tertinggal pengalaman? Tak sesuailah nak dibandingkan dengan pengalaman dan kehebatan mereka)


Sebelum buat pengajian rasmi secara umum itu saya hanya menyampaikan ilmu dalam program-program jemaah dan usrah-usrah di bawah kelolaan saya. Maksudnya, selepas mencari ilmu dalam masa lebih kurang 11 TAHUN (setiap hari 6 jam pada hari bekerja dan 9 jam pada hari cuti), barulah saya ada sedikit ilmu untuk memberikan kuliah umum di masjid/surau. Agak lembab jugalah berbanding orang-orang lain.


Bak kata Ustaz Azhar Idrus, kalau kita sekadar mengatur kuliah dan tok guru, angguk-angguk mendengar pengajian... tak sampailah kita ke tahap yang mampu mengajar orang dengan baik dalam kuliah terbuka.


Tapi biasalah... macam yang Ustaz Azhar Idrus kena juga, SEGELINTIR lulusan aliran agama akan "perjatuh habis" akan orang-orang yang bukan lulusan aliran agama, lebih-lebih lagi jika yang bukan lulusan aliran agama ini "lebih" daripada mereka pula. Apa lagi nak dikatakan... mereka memandang ilmu dan pemahaman agama itu terletak pada kertas bercop (sijil, ijazah, master, PHD, thanawi dan lain-lain), bangunan (universiti, pondok, pesantren, kolej, madrasah dan lain-lain), gelaran (ustaz, ustazah, syeikh, maulana dan lain-lain) dan lain-lain.


Sepatutnya merekalah yang lebih lagi menjadi pendorong. Entah mengapa sikap mazmumah mereka membuatkan mereka berasa "terpukul" apabila yang bukan lulusan aliran agama dilebihkan Allah daripada mereka. Manusia jenis itulah yang sepatutnya lebih utama untuk datang mengikuti kuliah kitab Ihya’ ‘Ulumiddin untuk diperbetulkan hati mereka. Kasi buang semua minyak hitam (kereta/motosikal) yang lama, ganti dengan minyak hitam yang baru, Barulah hati jadi jernih.


Kepada anda yang mahu mengikut jalan sebegini, bersedialah untuk berhadapan dengan SEGELINTIR lulusan aliran agama yang disebutkan di atas tadi suatu hari nanti, terutamanya ketika ilmu dan dakwah anda mula bertunas lalu mula meluas.


Seperti pengalaman UAI, saya juga kemudiannya dikunjungi oleh orang-orang yang berhajat akan ilmu-ilmu agama khususnya yang berkaitan dengan bidang-bidang yang saya ada sedikit pengetahuan tentangnya seperti aqidah, usuluddin, ilmu kalam, tauhid, tasawuf, sufi, tariqah dan tafsir mimpi.


3. TIPS UNTUK MENCAPAI MATLAMAT


Untuk menjadi ustaz yang hebat seperti Ustaz Azhar Idrus, anda bolehlah mencontohi pengalamannya sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi. Di samping itu cari juga maklumat tentang “orang-orang yang berubah” sehingga mampu mengajar seperti Ustaz Radzi (kumpulan Melissa) dan Ustaz Akhil Hayy (kumpulan D’Riyadh). Pengalaman mereka menimba ilmu boleh kita jadikan panduan. Insya-Allah anda akan jadi orang yang hebat suatu nari nanti.


Tapi jika anda SEKADAR mahu jadi ustaz kampungan macam saya, antara tipsnya yang boleh saya kongsikan :


1. Banyakkanlah berdoa, meminta daripada Tuhan agar dijadikan-Nya seorang yang berpengetahuan dalam agama.


2. Ketika belajar, kuatkan keyakinan bahawa pada hakikatnya ilmu dan pemahaman diberi oleh Allah, bukannya guru yang mengajar, kitab yang dibaca, institusi tempat belajar ataupun jemaah yang dianggotai. Tetapi jangan pula sampai tidak berguru, tidak berkitab dan tidak bercampur-gaul dengan orang pula.


3. Mesti banyak membaca. Kena luangkan sekurang-kurangnya 1 jam sehari untuk membaca bahan-bahan agama sahaja. Jika dapat 2-3 jam lagi baik. Baca, fikir dan buat nota. Rujuk orang2 yang tahu jika ada sebarang masalah.


4. Setiap satu bulan, sekurang-kurangnya beli sebuah buku/kitab agama sekalipun nipis dan murah. Cukup setahun, sudah ada 12 buah. 5-6 tahun? Kan banyak tu? Koleksi ini akan jadi rujukan yang sangat berguna buat kita. Kena buat satu rak khusus sekalipun kecil sebagai PERPUSTAKAAN MINI, untuk buku/kitab agama sahaja.


5. Kena rajin ke kuliah-kuliah agama. Dapat seminggu dua kali sudah sangat cantik. Maksudnya, kena susun tok guru jugalah di masjid-masjid dan surau-surau.


6. Apa yang didengar dalam kuliah tadi, di rumah buat ulangkaji. Cuba cari rujukan-rujukan lain tentang isi kuliah tadi.


7. Kena rajin buat nota, juga rajin menulis. Buatlah satu blog di internet, untuk persembahkan semula pemahaman anda tentang nota yang dibuat tadi. Tulislah artikel tentang agama sekurang-kurangnya satu artikel seminggu, sekalipun sekadar 2-3 perenggan.


8. Kena rajin mengikuti program pelbagai jemaah. Banyak pengetahuan dan pengalaman akan diperolehi. Dari sini pemahaman kita tentang agama akan lebih luas bersifat sejagat. Jangan taksub.


Dan ada satu perkara lagi yang rasanya perlu ditekankan. Untuk memasukkan ilmu ke dalam diri sehingga ke tahap boleh memindahkan ilmu itu dalam bentuk kuliah kepada orang lain suatu hari nanti, kita kenalah KURANGKAN mengikuti CERAMAH POPULAR, tapi LEBIHKAN mendengar kuliah bersiri (ringkas cakap... mengaji kitab), baik secara langsung ataupun melalui media.


Bukan bermaksud ceramah popular tidak bagus, ia memang bagus. Cuma ceramah popular lebih kepada untuk memotivasikan kita supaya lebih jatuh hati dengan agama. Objektif utama ceramah popular itu untuk membina rasa suka kepada agama dan ilmu-ilmunya, juga untuk mengekal dan memantapkan rasa suka itu dalam diri mereka yang memang sedia suka kepada agama dan ilmu-ilmunya. Namun untuk mendapatkan lebih ilmu dan pemahaman agama berbanding orang=orang biasa, kita mestilah mengikuti kuliah bersiri pula.


Ceramah popular memang sedap kita dengar tetapi pengisian ilmu dan pemahamannya kurang. Dengar 10 perkara, yang melekat di jiwa mungkin 1-2 ilmu sahaja. Tapi kalau ikuti pengajian bersiri, dengar 10 mungkin boleh melekat 6-7 perkara. Apabila hati kita sudah termotivasi untuk mendengar ceramah-ceramah agama, sepatutnya selepas itu kita ambil langkah menyulamnya dengan kuliah-kuliah berkitab pula.


Ustaz Azhar Idrus ‘diserang’ oleh pihak yang iri hati kepadanya dengan dakwaan kuliah dan ceramahnya tidak mengemukakan huraian, sekadar beri hukum itu ini tanpa menyertakan sandaran dan perbahasannya. Mudah sahaja jawabnya - dia mengajar fardhu ‘ain kepada orang awam, bukannya dia membuka kuliah usul fiqh. Objektif utamanya ialah untuk menarik orang ramai agar suka dengan agama dan ilmu-ilmunya. Apabila mereka sudah ada rasa suka, dengan sendirinya selepas itu mereka akan pergi mencari kuliah-kuliah yang lebih mendalam huraian dan bahasannya. Begitulah cara Ustaz Azhar dan ternyata dia berjaya.


Setelah kita memahami hal ini, jika kita hendak memaham dan berilmu sehingga ke peringkat mampu mengajar dengan baik, kita kenalah menyulam ceramah/kuliah popular dengan kuliah-kuliah bersiri pula. Sekadar mendengar ceramah popular tapi berangan-angan hendak menjadi pengajar yang baik dalam pengajian2 umum, pendek kata tidak dapatlah mencapainya.


Pergilah ke kuliah-kuliah bersiri, atau dengar/tonton/download kuliah-kuliah bersiri di internet. Contohnya fail MP3 kuliah bersiri kitab Munyatul Musolli oleh Dr. Haron Din. Memang bagus jika didengar dan diulang-ulang. Banyak manfaatnya.


Pada awal tahun-tahun 90-an, saya juga cukup suka dengan ceramah popular. Zaman itu zaman kaset pasar malam. Fikiran tak berat, pahala dapat, riadah minda pun dapat. Tapi ada satu siri kaset kuliah Tuan Guru Dato’ Nik Aziz tentang hal ehwal sembahyang/solat sahaja. Saya sempat membeli beberapa siri walaupun kurang minat kerana kurang gelak ketawa, tiada isu-isu sensasi, tiada bahagian2 bersemangat, kurang menarik telinga anak-anak muda...


Memanglah isi kandungan pengajian sebegitu tidak membuatkan mata kita terbeliak terang, tapi beberapa tahun kemudian saya mula menyedari bahawa siri solat itulah yang paling banyak mengekalkan ilmu dan meningkatkan diri saya, sedangkan kaset-kaset ceramah popular yang sering saya ulang dengar itu tidak sebanyak mana pun membantu. Kebanyakannya hilang daripada ingatan begitu sahaja.


Hendak cepat pandai dalam hal ehwal agama, dengar ceramah popular, DAN dengar kuliah bersiri. Ikuti ceramah popular, DAN ikuti juga pengajian berkitab. Tapi, kurangkan ceramah popular tu, lebihkan kuliah bersiri. Bagi mereka yang tidak bercadang untuk menjadi pengajar, sekadar untuk kegunaan dan motivasi diri, tidak mengapalah jika mahu melebihkan ceramah popular. Pernahkah kita temui seorang yang HANYA mendengar ceramah-ceramah popular sahaja lalu dia menjadi seorang pengajar? Tak mustahil kalau Allah hendak jadikan dalam kes-kes terpencil, tetapi setakat ini saya secara peribadi belum pernah ketemu orang yang sebegitu. Orang itu mesti ada juga megikuti sebarang pengajian bersiri.


Tentang ilmu perbandingan agama, pada awalnya saya aktif berdialog dan ada juga berdebat di internet dengan penganut agama Kristian Katholik, Kristian Protestan, Kristian Unitari, Hindu, Buddha, dan ajaran-ajaran sesat yang kebanyakannya dari Indonesia. Juga secara bersemuka dengan beberapa orang dari Malaysia. Bertahun-tahun lamanya. Asas-asasnya tentu sahaja banyak datang daripada mursyid saya dalam Tariqah Ghazaliyah. Kita sedia maklum yang Imam al-Ghazali sendiri pada amannya ialah seorang yang mahir dalam ilmu perbandingan agama.


Begitulah antara tips yang sempat saya kongsikan dalam tulisan ini.


Wallahua’lam.


*Antara lain ialah saya diusrah dan mengusrah 3 kali seminggu suatu ketika dahulu. Juga pengalaman menuntut ilmu rawatan Islam dan menjadi perawat. Semua ini sangat banyak membantu.

* Pengalaman menuntut ilmu2 Tariqah Ghazaliyah tak banyak disentuh di sini kerana sebaiknya kena buat dalam satu penulisan yang khusus...suatu hari nanti.

*Penulisan ini asalnya pada tahun 2012. Tulisan-tulisan yang dalam kurungan merupakan penambahan kemudian untuk lebih menjelaskan.