Sunday, August 21, 2011

Rahsia Lailatul Qadar Menurut Ihya' 'Ulumiddin

Dan Malam Al-Qadar adalah malam yang terbuka padanya sesuatu dari alam malakut. Dan itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah Ta’ala:

“Sesungguhnya Kami turunkan pada Malam Al-Qadar.” (Al-Qadr : 1)

Barangsiapa menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan, maka dia terhijab daripada-Nya. Dan barangsiapa mengosongkan perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, sebelum kosong cita-citanya daripada selain Allah ‘Azza wa Jalla. Dan itulah urusan seluruhnya. Dan pangkal semuanya itu adalah dengan menyedikitkan makanan.

Begitulah kata-kata Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’nya.

HURAIAN

Alam malakut secara ringkasnya ialah alam ghaib yang antara penghuninya ialah para malaikat. Alam ini terhijab daripada pandangan bangsa jin dan manusia, sebagaimana alam jin terhijab kepada pandangan manusia. Menurut Imam Al-Ghazali, sebahagian daripada alam malakut ini terbuka pada Malam Al-Qadar.

Sabda baginda Rasulullah saw :

“Jikalau tidaklah kerana syaitan-syaitan itu berkeliling atas hati anak Adam, nescaya anak-anak Adam melihat ke alam malakut yang tinggi.” (Ahmad)

Sebelum melanjutkan huraian ini, hendaklah kita fahami bahawa “mendapat” Lailatul Qadar itu sekurang-kurangnya ada 4 jenis :

1. Dapat tahu bila Malam Al-Qadar berlaku

2. Dapat kelebihan Malam Al-Qadar

3. Dapat tahu bila Malam Al-Qadar dan dapat kelebihannya.

4. Dapat tahu, dapat kelebihannya dan dapat ‘menyaksikan’ Malam Al-Qadar itu.

Dapat tahu Malam Al-Qadar adalah dengan terjumpa perkara yang pelik-pelik. Antara kejadian yang biasa dikisahkan orang adalah seperti terlihat begitu banyak tahi bintang berguguran, air tasik tidak berkocak, pokok-pokok merendahkan diri, kecerahan di mana-mana, orang yang kacak berserban dan berjubah putih lagi bercahaya tubuhnya, alam terlalu sunyi, tercium bau yang sangat wangi dan pelbagai lagi.

Ada kemungkinan dengan menemui hal-hal sebegini bermaksud malam itulah Malam Al-Qadar, dan ada kemungkinan juga bukan Malam Al-Qadar. Namun ‘dapat Lailatul Qadar’ pada pandangan kebanyakan orang adalah dengan dapat melihat atau mengalami perkara yang ajaib-ajaib seperti yang disebutkan tadi. Perkara-perkara sebegitulah yang dicari-cari dan dikejar-kejar oleh mereka. Jika berjaya melihat atau mengalami sesuatu yang luar biasa pada malam itu, bukan main puas hati dan kadang-kadang sampai ke tahap berbangga dengan orang lain yang gagal memperolehinya. Padahal “dapat Lailatul Qadar’ seperti itu bukanlah ‘dapat lailatul Qadar’ sebagaimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw.

Jenis kedua – dapat kelebihan Malam Al-Qadar. Jenis inilah yang dikehendaki oleh Rasulullah saw, iaitu dengan meningkatkan keimanan dan membanyakkan amal pada malam-malam Ramadhan, dan kebetulan perlakuan itu bertepatan dengan malam yang berlakunya Malam Al-Qadar. Dapat kelebihan Malam Al-Qadar tanpa mengetahui yang malam itu adalah Malam Al-Qadar, adalah jauh lebih baik daripada dapat tahu malam itu Malam Al-Qadar tetapi tidak menghabiskan masa untuk meningkatkan keimanan dan membanyakkan amal padanya.

“Adalah Rasulullah saw apabila masuk sepuluh (hari) yang akhir, maka (baginda) melipatkan tikar (menyimpan tempat tidurnya), mengikatkan pinggang dan telah membiasakan diri dan keluarganya sebegitu.” (Bukhari, Muslim)

Jenis ketiga – inilah yang lebih baik, iaitu dengan mengerjakan amal pada malam itu dan mengetahui yang malam itulah Malam Al-Qadar.

Jenis keempat? Ikuti huraian di bawah.

Imam al-Ghazali dan orang-orang soleh lain pada zamannya punya banyak pengalaman tentang Lailatul Qadar. Oleh itu Imam Al-Ghazali memberikan tips kepada kita untuk bertemu dengan Malam Al-Qadar. Tips yang diutarakan olehnya di sini adalah dengan menyedikitkan makanan melalui istilah yang digunakannya iaitu “mengosongkan perutnya”. Sesiapa yang banyak makan pada malam itu sebagaimana istilah yang digunakannya iaitu “menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan”, nescaya orang itu terhijab/ terdinding daripada mendapat Lailatul Qadar.

Kata Al-Ghazali : “Bahawa tidak membanyakkan makanan yang halal ketika berbuka, di mana rongganya penuh melimpah. Maka tidak adalah karung yang lebih dimarahi Allah ‘Azza wa Jalla daripada perut yang penuh dengan (makanan) yang halal.”

Berdasarkan petua ini, maka para pencari Lailatul Qadar hendaklah makan sekadarnya sahaja pada waktu malam bulan Ramadhan, dari waktu berbuka hinggalah ke sahur. Antara amalan yang tidak sesuai pada pandangan Imam Al-Ghazali adalah sengaja berbuka puasa dengan pelbagai jenis makanan pada setiap hari. Perlakuan ini tidak ubah seperti mengumpulkan sarapan, minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam untuk di makan sekaligus pada waktu Maghrib. Cuba lihat juadah berbuka kita, bukankah semua makanan yang disebutkan itu ada? Apalah ertinya puasa sebegini? Berbukalah dengan makan malam yang biasa kita makan pada malam-malam bukan Ramadhan.

Al-Ghazali juga memperingatkan kita agar tidak memuaskan nafsu makan dengan memakan makanan yang tidak kita makan pada bulan-bulan lain. Maksudnya pada setiap hari ada saja makanan dan kuih-muih yang sukar kita temui pada hari-hari biasa, tetapi kita mencarinya pada bulan Ramadhan.

Tidak mengapa jika sesekali kita melebihkan juadah untuk menggembirakan sedikit hati kita terutamanya kanak-kanak, para muallaf, orang yang sedang kita dakwahkan dan orang yang baru belajar-belajar hendak memperbaiki keagamaannya.

Hal-hal yang disebutkan inilah yang dimaksudkan oleh Al-Ghazali dengan kata-katanya : “Bagaimanakah dapat memperolehi faedah daripada puasa, memaksakan (menyusahkan) musuh Allah (syaitan) dan menghancurkan hawa nafsu, apabila diperoleh oleh orang yang berpuasa ketika berbuka apa yang tidak diperolehnya pada siang hari? Kadang-kadang bertambah lagi dengan pelbagai macam warna makanan, sehingga berjalanlah kebiasaan dengan menyimpan segala macam makanan itu untuk bulan Ramadhan. Maka dimakanlah segala makanan itu dalam bulan Ramadhan, apa yang tidak dimakan dalam bulan-bulan (lain) ini.”

Katanya lagi : “Maka jiwa dan rahsia puasa ialah melemahkan kekuatan yang menjadi jalan syaitan dalam mengembalikan kepada kejahatan. Dan yang demikian itu tidak akan berhasil selain dengan menyedikitkan makanan, iaitu dengan memakan makanan yang dimakan setiap malam kalau tidak berpuasa. Apabila dikumpulkan apa yang dimakan pada pagi hari kepada apa yang dimakan pada malam, maka tidaklah bermanfaat dengan puasanya itu.”

Bayangkan, dari pagi hingga ke petang kita kosongkan perut. Semakin lama semakin lapar. Pada waktu berbuka, tahap kelaparan dan keinginan kita mencapai kemuncaknya, lebih hebat daripada kelaparan dan keinginan pada hari-hari biasa. Tiba-tiba dalam keadaan sebegitu, kita lambakkan dengan pelbagai makanan dan minuman yang lazat-lazat di depan mata. Akibatnya, lebih kuatlah rasa lapar dan melonjaklah nafsu makan. Akhirnya, kita makan dengan lebih bernafsu lagi berbanding makan pada hari-hari yang tidak berpuasa. Ke mana perginya puasa dan Ramadhan yang berperanan sebagai penunduk hawa nafsu?

Inilah maksud kata-kata Imam Al-Ghazali : “Apabila perut ditolak (dikosongkan) daripada makanan sejak pagi sampai ke petang, sehingga perut itu bergolak keinginannya dan bertambah kuat kegemarannya (keinginannya untuk makan), kemudian disuguhkan (dihidangkan) dengan makanan yang lazat-lazat dan kenyang, nescaya bertambahlah kelazatan dan berlipatgandalah kekuatannya, serta membangkitkan nafsu syahwat itu, apa yang diharapkannya tadi tenang, jikalau dibiarkan atas kebiasaannya.”

Berbalik kepada Malam Al-Qadar. Dikatakan tadi malam yang sangat istimewa itu terhijab daripada kita hasil banyaknya makan pada waktu malam. Terhijab yang dimaksudkan di sini ada dua jenis :

1. Terhijab daripada ‘menyaksikan’ malam itu kerana penuhnya makanan membenakkan mata hati. Umumnya mata hati yang benak tidak akan mampu melihat alam malakut ataupun kesan-kesannya.

2. Terhijab daripada membanyakkan amal pada malam itu kerana perut yang kenyang mewariskan lemah badan, mengantuk dan malas. Malam istimewa itu pun berlalu begitu sahaja kerana pengisian kita dipenuhi dengan banyak berehat dan tidur.

Alangkah ruginya jika kita sendiri yang menghijab Lailatul Qadar itu, padahal kita sering mendakwa kita rindu, ternanti-nanti dan tercari-cari malam berlangsungnya.

Oleh itu, tindakan yang mesti kita ambil untuk 10 malam terakhir Ramadhan, dan sepatutnya pada seluruh Ramadhan, adalah dengan menyedikitkan makan. Bagaimana itu? Mestikah kita berlapar siang dan berlapar pula pada malamnya? Tidak! Pada waktu malam, makan dan minumlah sekadar untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga, bukannya sampai kenyang dan puas. InsyaAllah dengan kaedah ini, semakin cerah peluang kita untuk bertemu dengan Malam Al-Qadar, menghidupkannya, malah ‘menyaksikannya’.

Al-Ghazali mengatakan : “Maka semoga syaitan tidak mengelilingi hatinya (hati manusia dan jin), lalu dapat ia memandang ke alam tinggi.”

Namun begitu, dengan menyedikitkan makanan sahaja belum memadai. Kata Al-Ghazali : “Barangsiapa menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan, maka dia terhijab daripada-Nya. Dan barangsiapa mengosongkan perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, SEBELUM KOSONG CITA-CITANYA DARIPADA SELAIN ALLAH ‘AZZA WA JALLA. Dan itulah urusan seluruhnya. Dan PANGKAL SEMUANYA ITU adalah dengan menyedikitkan makanan.”

Dengan tasawuf, Ramadhan anda akan lebih bererti lagi bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar

21 Ogos 2011 / 21 Ramadhan 1432

Tuesday, August 16, 2011

Lailatul Qadar Serentak Seluruh Dunia?

Seluruh umat Islam ternanti-nanti dan tercari-cari Lailatul Qadar, atau dikenali di rantau Nusantara ini sebagai Malam Al-Qadar. Timbul persoalan tentang waktu berlangsungnya Malam Al-Qadar itu. Adakah ia berlaku hanya pada waktu malam, ataupun serentak di seluruh dunia?

Jika ia berlaku hanya pada waktu malam, maksudnya bahagian planet bumi yang sedang siang tidak berlaku Malam Al-Qadar. Namun jika ia berlaku serentak di seluruh planet bumi, maka ketika Makkah mengalami Malam Al-Qadar, bahagian bumi yang lain yang sedang siang turut mengalaminya.

Jadi, bagaimana?

Langkah pertama, kita lihat firman Allah SWT dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya Kami turunkan (Al-Quran ini) pada Malam Al-Qadar. Apakah jalannya untuk kamu mengetahui apakah itu Malam Al-Qadar (sudah tentu kita tidak ada ilmu tentangnya kecuali diberitahu sendiri oleh Allah SWT)? Malam Al-Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. Turun malaikat dan ruh padanya dengan izin Rabb mereka untuk mengerjakan segala urusan. Sejahteralah ia (malam itu) sehingga terbit fajar.” (Al-Qadr : 1-5)

Berdasarkan Surah Al-Qadr ini, kita dapat perhatikan bahawa :

1. Ayat pertama jelas menyebut waktu malam, bukannya siang.

2. Malam Al-Qadar tidak disebut Siang Al-Qadar. Jika ia berlaku serentak di seluruh dunia, ia lebih sesuai disebut sebagai Hari Al-Qadar kerana melibatkan siang dan malam sekaligus.

3. Ayat kelima mengatakan Malam Al-Qadar itu tamat pada waktu fajar. Jika ia berlaku serentak di seluruh muka bumi, waktu tamatnya tentu lebih sesuai disebut “sehingga terbit fajar dan tenggelam matahari (senja)”, ataupun sesuai juga disebut sebagai “sehingga dua tepi siang (iaitu waktu subuh dan maghrib)” kerana ketika fajar tamat di Makkah, bahagian dunia yang lain belum tamat malah ada yang sedang melalui waktu senja.

Nampaknya isi surah ini menyebelahi pandangan yang mengatakan Malam Al-Qadar tidak berlaku serentak. Namun begitu, mari kita lihat juga maklumat lain yang kita ada.

Pada awal pagi selepas Malam Al-Qadar biasanya kita dapat melihat langit di sebelah timur kelihatan kabur dan cahaya matahari tidak menembusinya. Hal ini kerana diyakini tentera langit yang turun pada malam itu sedang pulang ke langit. Dari sini ada pertimbangan tertentu yang boleh kita ambil.

Sebenarnya wujud perbezaan pandangan tentang lokasi pertama perubahan hari. Contoh yang mudah ialah tentang sambutan Hari Raya Aidil Fitri :

1. Satu pihak meyakini hari bermula dari timur. Oleh itu orang di rantau sebelah Nusantara ini menyambut Aidil Fitri lebih awal beberapa jam daripada Makkah.

2. Pihak yang lain pula mengatakan orang-orang di Makkah terlebih dahulu menyambut Aidil Fitri, dan sehari selepasnya barulah penduduk rantau sebelah sini merayakan Aidil Fitri.

Katakanlah kita berpegang dengan pandangan pertama. Maksudnya rantau Nusantara terlebih dahulu dikunjungi Malam Al-Qadar dan lebih awal tentera langit pulang, sedangkan di Amerika masih belum mengalami Malam Al-Qadar. Di sini timbul satu persoalan. Jika tentera langit sudah mula pulang ke langit dari Nusantara, siapa pula yang sedang turun di Makkah dan siapa pula yang akan turun di Amerika? Adakah tentera yang turun itu bertukar ganti?

Jika benar ada tukar ganti, maka Malam Al-Qadar hanya berlaku pada waktu malam dan tidak serentak di seluruh dunia. Tapi jika tentera langit itu turun serentak dan pulang serentak, hal ini bermaksud Malam Al-Qadar itu berlaku serentak, iaitu ketika sebahagian bumi sedang mengalami waktu malam dan sebahagian lagi sedang siang.

Seandainya kita memilih pandangan kedua tadi pula, maka ketika tentera langit sedang pulang ke tempat mereka dari Makkah, siapa pula yang akan turun di Nusantara beberapa belas jam kemudiannya?

Persoalan ini bakal terjawab jika kita ada maklumat tentang turunnya malaikat pada Malam Al-Qadar itu, sama ada mereka turun serentak dan naik serentak tanpa tukar ganti, ataupun ada turun naik. Setakat ini saya tidak punya maklumat itu.

Dengan maklumat yang sekadar ini, setakat ini secara peribadi saya berpandangan bahawa Malam Al-Qadar itu berlaku tidak serentak di seluruh bumi, tetapi pada belahan-belahan bumi yang sedang mengalami waktu malam sahaja. Sekiranya ada maklumat-maklumat tambahan nanti, tidak mustahil pula pandangan saya boleh berubah. WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar

16 OGOS 2011

SJ - Puasa Tapi Tidak Tutup Aurat

SOALAN :

Saya nak tanya apa hukum perempuan yang puasa tapi tak tutup aurat?

Sahkah puasa dia?

Atau pahala dia saja yang kurang?

JAWAPAN :

Puasanya sah, tapi kualiti puasanya hanya setakat puasa umum, tidak mencapai puasa khusus, apatah lagi untuk mencapai puasa khusus dari yang khusus. Puasa umum ini puasa peringkat paling bawah daripada 3 tahap puasa sebagaimana yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali dalam Ihya' 'Ulumiddin. Dikatakan puasa umum kerana si wanita hanya menjaga daripada tidak makan, minum dan berjimak, tapi tubuh badannya masih melakukan perbuatan berdosa.

Maka puasanya sah, tapi perbuatannya tidak menutup aurat dengan sempurna dikira mendapat dosa.

SOALAN :

Sama maacm orang yang tidak menjaga mata,telinga dan mulut ketika berpuasalah ye?

JAWAPAN :

Ya. Jika dia berjaya menjaga semua indera dan tubuh badannya daripada melakukan perbuatan yang mendatangkan dosa, ketika itu puasanya meningkat ke tahap kedua iaitu puasa khusus.

SOALAN :

Ohh...ok, faham.

Abu Zulfiqar

Ogos 2011

Sunday, August 7, 2011

SJ - Basmalah dalam Fatihah

SOALAN:

Tuan Alex (Abu Zulfiqar), saya kira tuan Alex seorang pendakwah yang tidak menyekat @ terhalang untuk menjawab persoalan yang lahir dari pelbagai jenis tahap pemikiran dan saya kira tuan Alex juga seorang pemikir dan pengkaji( persepsi saya menerusi blog tuan).

Saya ada persoalan berkenaan bacaan Bismillah ketika membaca Fatihah dalam solat. Mengapa Imam Maliki menetapkan hukum makruh membaca Bismillah dalam Fatihah ketika solat sedang Imam Syafi'e menetapkan ia sebagai syarat sah. Seperti yang umum tahu, Rasulullah tidak menyukai perkara makruh dan umat yang mahu dekat dgn Rasulullah sudah pasti akan mengambil berat perkara-perkara yg dilakukan supaya ia paling tepat seperti Rasulullah.

Saya tidak kata perkara khilaf ini salah kerana ilmu saya sudah tentu tidak sampai kepadanya. Walaubagaimanapun sekiranya tuan Alex dapat berikan pandangan mahupun dalil daripada kedua imam ini, saya sangat-sangat berterima kasih dan saya mohon maaf jika ia membebankan tuan.

Terima kasih

JAWAPAN :

PANDANGAN MAZHAB SYAFIE

Basmalah ialah salah satu daripada ayat surah al-Fatihah. Membacanya dalam solat berhukum fardhu. Jika gugurkan walau satu huruf, batallah solatnya. Antara sandarannya ialah:

Dari Nuaim al-Mujammir : “Saya solat di belakang Abu Hurairah, maka dibacanya Bismillaahirrahmaanirraahim, lalu dibacanya Ummul Quran, dan ketika sampai kepada waladdhaallin, dia mengucapkan amiin....... Setelah dia memberi salam, dia berkata : “Demi Tuhan yang jiwa saya berada pada tanganNya,, saya ialah orang yang paling mirip solatnya dengan solat Rasulullah." (Nasai, Ibnu Khuziamah, Ibnu Hibban)

Solat Abu Hurairah ialah solat yang paling mirip dengan solat Rasulullah, dan Abu Hurairah membaca Bismillah. Hal ini menunjukkan Rasulullah membaca Bismillah.

“Apabila membaca Al-Fatihah, maka bacalah Bismillaahirrahmaanirrahiim, kerana sesungguhnya ia adalah Ummul Quran dan tujuh pujian yang diulang-ulang, dan Basmalah ialah salah satu daripada ayatnya.” (Daaraquthni)

Dari Ibnu Abbas : “Sesungguhnya Rasulullah membuka pembacaan dalam solatnya dengan bacaan Basmalah.” (Dari kitab Al-Umm karya Imam Syafie)

PANDANGAN MAZHAB HANAFI & HANBALI

Basmalah bukan salah satu ayat Al-Fatihah, tapi sunat membacanya secara perlahan.

PANDANGAN MAZHAB MALIKI

Anas berkata:

“Nabi, Abu Bakar dan Umar memulakan solat dengan membaca Alhamdulillahirabbil ‘alamin.” (Bukhari)

Anas berkata:

“Nabi, Abu Bakar dan Umar memulakan solat dengan membaca Alhamdulillahirabbil ‘alamin, dan mereka tidak membaca Bismillahirrahmanirahim pada awal mahupun pada akhirnya.” (Muslim)

PERTIMBANGAN:

IMAM SYAFIE mengatakan fardhu manakala IMAM MALIK mengatakan makruh berdasarkan sandaran-sandaran yang mereka nilai. Jadilah ia khilaf.

Kata tuan:

“Mengapa Imam Maliki menetapkan hukum makruh membaca Bismillah dalam fatihah ketika solat sedang Imam Syafi'e menetapkan ia sebagai syarat sah. Seperti yang umum tahu, Rasulullah tidak menyukai perkara makruh dan umat yang mahu dekat dgn Rasulullah sudah pasti akan mengambil berat perkara-perkara yg dilakukan supaya ia paling tepat seperti Rasulullah.”

Sebenarnya ADA DUA PERSOALAN di sini. Tuan sebutkan satu sahaja. Kedua-duanya ialah:

1. Rasulullah tidak menyukai perkara makruh. Maka sebaiknya janganlah kita membaca Basmalah kerana membacanya makruh, tapi tidaklah berdosa membacanya dan tidaklah batal solat kerana membacanya. (Namun begitu....)

2. Rasulullah juga tidak menyukai ibadah solat yang tidak sah. Maka semestinyalah kita baca Basmalah kerana jika tidak membacanya, solat kita tidak diterima. Apabila solat tidak sah, kan itu lebih teruk keadaannya berbanding makruh?

Jadi kita seolah-olah ada 2 pilihan, sama ada:

1. Melakukan perkara makruh (ataupun)

2. Solat tidak sah

KATAKANLAH kedua-duanya membawa kerugian, dari segi logiknya, baiklah kita MEMILIH KERUGIAN YANG LEBIH KECIL antara kedua-duanya.

Mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali mengatakan DAPAT PAHALA membacanya.

Mazhab Maliki mengatakan MAKRUH membacanya.

Wallahu’alam.

Abu Zulfiqar