Thursday, February 3, 2011

Sejarah Asya'irah dalam Durruth Thamin

Yakni pertama-tama orang yang menghantarkan (menyusun) dia ((ilmu tauhid Ahli Sunnah wal Jamaah) itu iaitu Abul Hasan al-Asy’ari.

Dan adalah citeranya (Mengikut ceritanya), adalah Abu Hashim al-Jubbaa’i guru Abu Hasan al-Asya’ri lagi bapa tiri suami ibunya. Maka tinggal mengikut barang yang diambil daripada ilmu Mu’tazilah 40 tahun.

Kemudian maka telihat ia (Abu Hasan Asya’ri) akan Nabi pada tidurnya (mimpinya) tiga kali. Berkata ia (Rasulullan saw) baginya pada tiap-tiap kalinya “Hai Abul Hasan, tolong olehmu akan a’qaid yang diriwayatkan daripadaku. Maka bahawasanya ia yang sebenarnya.”

Maka sembah Abu Hasan pada yang ketiga kalinya, “Betapa aku tinggal akan mazhab yang sudah aku tasawurkan masalahnya dan aku ketahui akan dalilnya 30 tahun daripada bicara aku dengan ilmunya?”

Maka sabdanya Rasulullah saw: “Jika tiada aku ketahui bahawasanya Allah Taala menolong akan dikau dengan penolongNya (pertolonganNya), tiada aku suruh akan dikau.”

Kemudian maka jaga ia daripada tidurnya. Maka berkata ia, maka tiada kemudian daripada nyata yang sebenarnya melainkan sesat.

Kemudian maka mengambil akan beberapa hadith yang menolongkan (mengesahkan/mengukuhkan) akan i’tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah. yang datang pada (beberapa persoalan yang ditolak oleh kaum Mu’tazilah seperti) melihat akan Allah pada Hari Qiamat, dan hadith memberi syafaat Nabi saw, dan lainnya. Maka ditolongkan Allah dengan petolongNya.

Maka adalah ia membukakan daripadanya beberapa bicara dan beberapa dalil dan burhaan yang tiada pernah mendengar daripada syeikhnya sekali-kali, dan tiada pernah dilihatnya di dalam kitab. Kemudian lenyap ia (ia menghilangkan diri) daripada mata manusia ( dengan berdiam diri) pada rumahnya 15 hari.

Kemudian keluar ia (perdi) kepada masjid jami’ dan naik ia ke atas mimbar dan berkata ia , “Hai segala manusia, sesungguhnya adalah ghaibku (menghilangnya aku) daripada kamu masa ini kerana bahawasanya aku tilik (meneliti) akan beberapa dalil. Maka aku dapat bersama-sama pada aku beberapa dalil yakni berlawanan dalil tiada dapat aku hendak lebih suatu daripada satunya.”

“Aku minta petunjuk daripada Allah Taala. Maka(Allah) menunjukkan daku kepada i’tiqad yang sebenarnya. Maka aku taruhkan (kumpulkan) di dalam ghaibku ini (selama aku menghilangkan diri ini). Dan sesungguhnya telah aku tinggalkan daripada segala ilmu (yang salah daripada fahaman MU’tazilah) yang ada aku i’tiqad akan dia seperti aku tanggalkan daripada kain ini.” Maka ditanggalkannya kain yang ia pakai yang ada padanya dan dilontarnya (sebagai gambaran bahawa dia sudah menanggalkan fahaman Mu’tazilah yang dianutinya selama ini).

Kemudian maka diangkatkan kitab yang ia karang atas Mazhab Ahlus Sunnah kepada manusia. Maka adalah ia pertama-tama orang yang mengedarkan (menyusun dan mengajarkan) ilmu ‘aqaid atas jalan Kitab dan Sunnah, yakni mengikut Quran dan hadith dan ijmak as-sahabat yang dahulu-dahulu yang soleh-soleh. Maka jadi hinalah segala ahli al-i’tizaal (para pengikut fahaman Mu’tazilah).

SUMBER:

Kitab Ad-Durruth Thamiin karya Asy-Syeikh Daud bin Asy-Syeikh ‘Abdullah al-Fatoni, mukasurat 3 dan 4

2 comments:

Unknown said...

Jadi inilah asal aqidah ahli sunnah,kenapa terjadinya peristiwa ini?

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Tuan Abdul Halim,
Sebenarnya ini bukanah asal aqidah ASWJ kerana aqidah ASWJ sudah sedia ada sejak zaman dahulu lagi. Apabila Nabi Muhammad datang, dia juga membawa aqidah yang sama tetapi belum dalam bentuk ilmu yang tersusun, sebagaimana juga ilmu fiqh, tasawuf, tafsir, mustalah hadith dan lain-lain. Kesemua ilmu2 itu ada orang selepas Rasulullah yang menyusunnya sehingga menjadi satu imu yang berdiri sendiri.

Begitu juga dengan ilmu tauhid ASWJ. Imam Asya'arilah orang pertama yang menyusunnya sebagai satu ilmu yang berdiri sendiri.

Peristiwa ini terjadi kerana pada zaman Imam Asya'ari, orang mula menyusun ilmu tauhid sebagai ilmu yang berdiri sendiri tetapi bawaan mereka salah. Ketika itu orang awam juga sudah mula mempersoalkan bab-bab keTuhanan sehingga terjadinya bid'ah dalam tauhid.

Oleh itu aqidah orang awam diselamatkan melalui imu tauhid yang berdiri sendiri susunan Imam Asya'ari. Begitulah penjelasan ringkasnya. WA.