Saturday, February 15, 2025

Kitab Akal Kitab Qalbu

 

Pelajaran ilmu aqidah Imam al-Ghazali dalam kitab Qawaid al-Aqaid (Ihya’ ‘Ulumudidin) yang saya sampaikan ini umumnya merupakan ilmu2 wilayah akal. Ilmu2 wilayah yang lebih daripada akal, yang itu disentuh oleh Ustaz Dzul al-Ghazali dalam pengjian kitab Misykatul Anwar. Tapi, panjang lagi syarahannya tu baru nak sampai ke bab yang itu.

 

Apabila kita belajar ilmu2 wilayah akal, maka umumnya ilmu2 yang di luar daripada wilayah akal tidaklah termasuk. Akal fikiran kita sangat terhad. Sebab dalam banyak perkara, akal tak boleh sampai. Maka kita kena sambung dengan ilmu2 wilayah qalbu. Ia dapat pergi lebih jauh daripada wilayah akal. Sebab itulah orang sambung dengan belajar ilmu al-ihsan, tasawuf, tarekat, sufi.

 

Namun ia pun masih terhad juga. Sebab… banyak rahsia Allah hanya akan terbuka pada hari akhirat. Nak tahu dan nak faham akan rahsia2 itu, kita kena pergi ke sana terlebih dahulu.

 

…petikan pengajian kitab Qawaid al-‘Aqaid (Ihya’ ‘Ulumuddin) oleh Paklong Abu Zulfiqar, 14 Februari

Pandangan dan Rahsia di Akhirat

 

Pada hari akhirat barulah kita dapat faham rahsia2 itu.

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman :

“Demi sesungguhnya! Kamu di dunia dahulu berada dalam keadaan tidak sedar/ lalai tentang hal ini, maka kami hapuskan ketidaksedaran/ kelalaian yang menyelubungi kamu itu, lalu pandangan kamu pada hari ini (hari akhirat ini) menjadi tajam.” (Qaaf : 22)

 

Mengapa ketika itu pandangan kita jadi tajam?

Sebab ada hijab2 yang sudah diangkat pada hari akhirat itu.

 

Pandangan manakah yang dimaksudkan itu?

Pandangan mata zahir dan pandangan mata batin. Kedua2nya jadi tajam.

 

Apa akan terjadi setelah pandangan kita jadi tajam?

Mata zahir dan mata batin kita akan dapat memandang dengan lebih jelas, lebih terang, lebih terperinci, lebih dekat, lebih luas, lebih mendalam, lebih tinggi.  Ertinya kita akan nampak apa yang di dunia dulu kita tak nampak.

Kita akan faham apa yang didunia dulu kita tak faham., tak capai, dan tak sedar.

Kita akan terima dengan bulat hati apa yang di dunia dulu kita tak boleh terima dan susah nak terima.

 

Maksudnya sudah ada rahsia2 yang pada hari akhirat itulah baru dibuka, baru didedahkan, baru ditunjukkan, baru dikhabarkan, baru dapat kita fahami.

Ketika itulah baru banyak rahsia dapat kita ketahui dan fahami, termasuklah rahsia2 yang tidak dapat dicapai oleh akal kita ketika di dunia dahulu (yang kita diperintahkan untuk percaya sahaja, yakni wajib beriman sahaja – sebagai ujian ketika kita di dunia dulu).

 

…petikan pengajian kitab Qawaid al-‘Aqaid (Ihya’ ‘Ulumuddin) oleh Paklong Abu Zulfiqar, 14 Februari