Sunday, November 3, 2024

Ilmu Allah Tidak Terhingga. Ilmu Kita Tiada Apa.

 

Luahan hati seorang hamba Allah : Demi Allah, saya rasakan Allah tu sangat sangat pilih kasih.

Saya tahu para kekasih Allah akan marah saya berkata begini dan mengatakan saya biadap. Tapi itulah hakikatnya.


Jawapan sahaya : Ilmu atau maklumat yang kita ada ini ibarat setitik air laut sahaja. Sedangkan ilmu atau maklumat yang Allah ada ibarat seluas2 lautan yang tidak ada tepi. Amat kecil ilmu/ maklumat yang kita tahu, berbanding dengan amat luasnya ilmu/maklumat yang Allah tahu.


Jadi, dengan ilmu/ maklumat kita yang tidak sampai setitik ini, tentunya kitalah yang tidak sepatutnya jika bersangka2 bahawa Allah pilih kasih. Contohnya, kita hanya tahu tidak sampai pun 0.0000001 peratus daripada keseluruhan cerita. Maka mana mungkin kita hendak mengatakan atau menghukum Allah sebegitu.


Contohnya macam sebuah novel yang setebal 70000 muka surat. Kita hanya mampu membaca satu ayat sahaja pada muka surat pertama. Yang selebihnya 70000 muka surat itu tidak dapat kita baca. Maka dengan maklumat sekecil satu ayat sahaja itu daripada keseluruhannya 70000 muka surat, kitalah yang tidak adil jika kita mengatakan penulis novel itu berniat tidak baik. Hal ini kerana kita hanya mampu membaca satu ayat sahaja daripada novel itu sedangkan 70000 mukasurat lagi tidak dapat kita baca.


Kita takut kekasih2 Allah berasa tidak senang atau marah kepada kita, dan kita lebih takut kalau2 Allah sendiri tidak senang dan marah akan kita. Apabila Allah murka, tidak mustahil Dia akan membuatkan kita lebih keliru dan lebih jauh daripada Dia. Namun jika kita terus bersangka baik dan menyayangi-Nya, Dia akan menyayangi kita dan tidak mustahil Dia akan menghuraikan segala kekeliruan serta semakin mendekatkan kita dengan-Nya. Kiat pilih yang baik2, insya-Allah akan dapat semakin banyak yang baik2.


Maka, kita sentiasalah bersangka baik dengan Allah Yang Maha Hebat lagi Maha Tahu Segala-galanya. Insya-Allah hati kita akan jadi tenang.

Terus yakin bahawa Dia Maha Bijaksana lagi Maha Pengasih akan hamba2-Nya. Insya-Allah kita akan semakin mencintai dan merindui-Nya.

Terus yakin sepenuhnya bahwa amat luas ilmu-Nya dan amat teratur perancangan dan pelaksanaan-Nya. Insya-Allah kita akan kagum kepada-Nya dan berasa hidup kita sangat bererti.

Maha Hebatnya Allah sampaikan akal fikiran kita yang serba lemah lagi amat terhad ini tidak dapat mencapai untuk memahami kerja-kerja-Nya. Maka memang benarlah Dia Rabb, Maalik, Ilah. Memang benarlah Dia Ar-Rahmaan (Pemurah) dan Ar-Rahiim (Penyayang).


3/11/24

No comments: