PERSOALAN :
Assalamualaikum ustaz.
Saya ada kemusykilan
untuk bertanya.
Hadis qudsi dalam
kitab-kitab tasawuf antaranya Sirrul Asrar Syeikh Abd Qadir Jailani yang
berbunyi seperti berikut :
“Aku adalah
perbendaharaan yang tersembunyi. Aku cinta untuk dikenal, maka aku jadikan
makhluq untuk dikenal.”
Minta ustaz ulas
mengikut kacamata Imam Al-Ghazali. Kerana ada pihak yang mendakwa hadis ini
mauduk.
Terima kasih.
(dan sambungnya lagi…)
Ini berkait ulasan
Allah itu sunyi (kanzun maghfian). Minta ustaz ulas tafsir yang benar kerana akhir-akhir
ini isu tafsiran hadis ini mengelirukan saya walaupun sebelum (ini) saya biasa
dengar dan baca dalam kitab-kitab tasawuf.
Walaupun status hadis
ini tidak dijumpai asalnya oleh ulama terkemudian dalam kitab-kitab tasawuf
terkini oleh ulama yang mentahkik hadis ini, tetapi mereka menerimanya dengan
meletakkan nota kecil :tidak dijumpai asalnya oleh pentahkik”. Jadi bermakna ulama
tasawuf menerima hadis ini. Jadi saya minta ustaz terangkan maksud sebenar
tafsir hadis ini. Jazakallah.
JAWAPANNYA :
Waalaikumussalam.
Karya-karya Imam
Al-Ghazali ini banyak. Ada yang nipis, yang sederhana dan ada yang sangat
tebal. Buat masa ini, saya tidak dapat mengenalpasti pada kitab yang mana dan
pada bahagian mana ada Imam Al-Ghazali menghuraikan KALIMAH/HADITH QUDSI yang
dimaksudkan itu. Jadi, tidak dapatlah saya menulis ulasan tentang kalimah
tersebut daripada kaca mata Imam Al-Ghazali SECARA RASMINYA.
Dari sudut pandangan
Tarekat Ghazaliyyah yang disampaikan turun-temurun, sefaham saya, kalimah
tersebut tidaklah dijadikan sukatan pelajaran, tetapi sesiapa yang mahu
mengambil manfaat daripadanya, dipersilakan. Hal ini kerana tanpa kalimah/
hadith qudsi itu pun, kita boleh saja mencapai MATLAMAT-MATLAMAT TERTINGGI dan TERJAUH
dalam perjalanan keruhanian ini.
Sebagaimana yang kita
sedia maklum, Imam Al-Ghazali SANGAT BERJIMAT lagi berzuhud dalam segala hal. Seboleh-bolehnya
beliau akan mengambil “perkara-perkara yang MESTI ADA” sahaja dalam tarbiyyah perjalanan
keruhanian. Bagi hal-hal yang “jika tidak ada pun, tidak akan membuatkan perjalanan
keruhanian terganggu”, biasanya beliau tinggalkan. Mungkin atas dasar itulah
kalimah tersebut tidak menjadi sukatan pelajaran penting dalam tarbiyyah
keruhanian Tariqah Ghazaliyyah. WALLAHUA’LAM.
Tidak kita nafikan,
banyak juga kitab tasawuf yang memuatkan kalimah/hadith qudsi tersebut.
Tentang karya-karya
yang dinisbahkan kepada Syeikh Abdul Qadir Jilani, isi kandungannya
bagus-bagus, cuma sefaham saya, para ulama dan para pengkaji sejak sekian lama sukar
untuk MENCAPAI KESEPAKATAN sama ada sesuatu karya itu :
i)
adalah
100% tulisan, kalam atau karya Syeikh Abdul Qadir Jilani sendiri, atau
ii)
tulisan
beliau yang bercampur dengan tulisan tulisan anak muridnya atau anak-anak
muridnya (mungkin ada karyanya yang di sambung atau disiapkan sezaman atau kemudian oleh anak murid atau anak-anak muridnya), atau
iii)
sebenarnya
karya itu tulisan orang lain (anak murid/ anak-anak murid/ orang lain) tetapi
dinisbahkan kepada nama beliau, atau
iv)
memang
kata-kata/kalam beliau tetapi disalin dan dibukukan oleh muridnya/
murid-muridnya dengan disemak terlebih dahulu oleh beliau, atau
v)
memang
kata-kata/kalam beliau tetapi disalin dan dibukukan oleh muridnya/
murid-muridnya tanpa disemak terlebih dahulu oleh beliau.
Namun oleh kerana isi
kandungan kitab-kitab itu bagus-bagus, maka boleh sahaja kita ambil dan manfaatkan.
Tentang teks
kalimah/hadith qudsi tersebut :
“Allah berfirman :
“Aku ialah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka untuk dikenal, lalu Aku
ciptakan makhluk untuk mengenal-Ku.”
Setakat maklumat yang
sampai kepada kami (berdasarkan kajian para ulama), kalimah ini bukanlah hadith
atau hadith qudsi yang diterima oleh baginda Rasulullah saw.
HAMPIR SAMALAH halnya
dengan kalimah “Awwal ad- diin ma’rifatulah (awal agama mengenal Allah)” dan
kalimah “Sesiapa yang mengenal dirinya nescaya mengenal Tuhannya” yang
dulu-dulu dipandang ramai sebagai hadith Nabi saw. Tetapi kemudiannya semakin
ramai yang menyedari bahawa kedua-duanya bukan hadith Nabi saw. Boleh jadi ia
kata-kata ulama atau ilham yang sampai kepada mereka. Tetapi oleh kerana isi
kandungannya benar, maka kita ambillah manfaat daripadanya asalkan jangan
diselewengkan maknanya. WALLAHUA’ALAM.
Sebagai langkah berjaga-jaga,
tidak perlu kita sebut ia sebagai hadith, cukup jika kita katakan (sebagai
contoh) :
“Dalam kitab-kitab ada
disebutkan : “Awwaluddin ma’rifatullah” yang ertinya sekian-sekian...”
“Dalam kitab-kitab ada
dinyatakan : “Sesiapa yang mengenal dirinya nescaya mengenal Tuhannya” yang maksudnya/huraiannya
begini begini…”
… tanpa perlu kita
kaitkan dengan hadith Rasulullah saw.
Isi pelajarannya tetap
sampai juga ke matlamat.
Dalam isu kalimah/hadith
Qudis tersebut, boleh sahaja kita katakan (sekadar satu contoh) : “Dalam
kitab-kitab tasawuf ada dikatakan bahawa Allah itu perbendaharaan yang
tersembunyi. Dia suka untuk dikenal. Dia menjadikan makhluk untuk mengenal
Dia.”
Cara begini pun sudah
memdai, dan kita terselamat daripada menisbahkannya kepada Allah dan Nabi
Muhammad. Isi kandungan dan maqsud daripada kalimah itu tetap sampai juga.
Dalam Tariqah
Ghazaliyyah, pemahaman tentang hadith-hadith qudsi (termasuklah yang seumpama
dengan kalimah “Aku perbendaharaan tersembunyi……….” itu), disampaikan melalui
pengajaran gabungan sekurang-kurangnya isi 4 buah kitab karya Imam Al-Ghazali
iaitu Ar-Risalah al-Laduniyyah, Al-Munqiz min adh-Dhalal, Ayyuhal Walad dan
Kitab Keajaiban Qalbu (dalam Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin). Melalui tarbiyyah ini,
insya-Allah fahamlah kita apakah hadith-hadith qudsi dan apakah sebenarnya
kalimah “Aku ialah perbendaharaan tersemunyi…….” itu. Hal ini sangat panjang
untuk ditulis atau diperkatakan, dan RUMIT pula untuk dihuraikan. Maka tidaklah
kami huraikan di sini. Dalam tariqah-tariqah lain, mungkin ada kaedah-kaedah
yang tersendiri untuk menyampaikan para pengamalnya kepada hal tersebut.
Wallahua’lam.
Tentang “kanzun mahfiyyan”,
maksudnya ialah perbendahraan yang tersembunyi. Perbendaharaan ialah khazanah
atau yang sangat bernilai. Jadi, jika mahu dikatakan bahawa Allah sebagai
“perbendaharaan yang tersembunyi”, ada kebenarannya, asalkan betul huraiannya
dan jangan kita kaitkan dengan sesuatu yang tidak layak bagi Allah.
Sebagai
“perbendaharaan tersembunyi”, hal itu sama sekali tidak menunjukkan :
-
Allah
kesunyian, atau
-
Zat
Allah itu sunyi, atau
-
Allah
itu sunyi, atau
-
pada
azali itu sunyi. atau
-
untuk
hilangkan sunyi, maka Allah ciptakan makhluk
-
atau
yang seumpama dan yang sehampir dengannya.
Hal ini kerana :
-
pada
azali tidak ada sunyi atau tidak sunyi. Sunyi dan tidak sunyi itu adalah
makhluk yang diciptakan kemudian daripada azali oleh Allah.
-
Zat
Allah tidak terkena sunyi.
-
sifat
sunyi adalah kelemahan, mustahil Allah atau Zat Allah punya kelemahan.
-
Allah
atau Zat Allah sudah sedia sempurna pada azali. Sesuatu yang sudah sedia
sempurna, mana mungkin punya sebarang kelemahan atau kekurangan. Maka mustahil
Allah sunyi.
Berbalik kepada cara
Imam Al-Ghazali yang menekankan jimat dan zuhud pada perkataan dan penyampaian
tarbiyyah keruhanian, rasanya tidak ada keperluan pun untuk kita bercerita
tentang sunyi dalam hal ehwal berkaitan dengan Allah ini.
Perlukah sebut Allah
sunyi atau kaitkan Allah dengan sunyi? Tak perlu pun.
Apakah jika tidak
dikaitkan sunyi itu maka kita tak boleh mencapai maqam-maqam tertinggi, tidak mencapai
maqsidul aqsa atau maqsadul asna? Boleh sahaja sampai.
Jadi, tak perlu kita
wujudkan perkara-perkara yang tidak perlu. Sebut hal-hal yang perlu sahaja
kerana ada zuhud di situ. Tidak perlu untuk mewujudkan satu kelainan yang tidak
perlu. Guna sahaja istilah-istilah yang sudah sedia diguna oleh para ulama
muktabar.
Tentang “Aku (Allah)
suka untuk dikenal”. Ya, ada benarnya juga tetapi jangan kita anggap hal itu
satu kelemahan. Allah mewujudkan makhluk atas kemurahan-Nya, bukan kerana Dia
ada sesuatu kekurangan termasuklah kerana Dia belum dikenal atau Dia tidak
dikenal sehingga memerlukan sesuatu untuk mengenal Dia.
Allah sudah sedia sempurna.
Pada azali dulu, sebelum adanya makhluk, Dia sudah sedia mengenal diriNya.
Tidak perlu kepada selain Dia untuk mengenal Dia. Ketiak itu, yang menegnal
hanya Dia.
Selepas Dia ciptakan
makhluk, pada HAKIKATNYA(dan bukan pada syariatnya) , hanya Dia juga yang
mengenal DiriNya. Tidak ada selain Dia yang ada kuasa upaya untuk mengenal.
Pada HAKIKATNYA, makhluk langsung tidak ada sebarang daya upaya untuk mengenal.
Hanya Allah sahaja yang mampu mengenal.
Jadi, pada azali dulu,
Allah yang mengenal DiriNya.
Selepas azali pun,
hanya Allah juga yang mengenal DiriNya.
Sama sahaja, tidak ada
sebarang perbezaan, pada HAKIKATNYA.
Oleh itu, “Aku suka
untuk dikenal” itu tidak terlibat dengan sunyi, sama ada pada azali, mahupun
selepas azali. Hal ini kerana pada azali dan selepas azali, tidak berlaku sebarang
perubahan pun. Allah tidak perlukan makhluk untuk tidak sunyi, atau untuk
dikenal.
Tentang “Maka aku
jadikan makhluk untuk Aku dikenal.” Ketika menghuraikan kalimah ini, kita kenalah
sangat berhati-hati agar jangan sampai diri dan orang lain teranggap Allah
perlukan sesuatu untuk Dia dikenal, yang menatijahkan seolah-olah Dia punya
kekurangan. Sebagaimana yang sudah dijelaskan tadi, Allah tidak perlukan apa-apa
untuk Dia dikenal kerana sejak azali Dia sudah sedia mengenal DiriNya dan
selepas azali pun hanya Dia juga yang mengenal Diri-Nya. Sama sahaja, tiada
beza, pada hakikatnya.
Cadangan saya, dalam
perjalanan keruhanian ini, tidak perlu pun untuk menggunakan “Dalam sebuah
hadith qudsi, Allah berfirman : “Aku ialah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku
suka untuk dikenal, lalu Aku ciptakan makhluk untuk mengenal-Ku.”
Hal inia adalah begitu
kerana :
1.
Kita
khuatir tersilap menisbahkan kata-kata ini. Boleh jadi ia bukan hadis kepada
Nabi saw tetapi kita kata ia hadis Nabi saw. Boleh jadi ia memang hadis kepada
Nabi saw tetapi kita kata bukan. Untuk LEBIH SELAMAT, tak perlu gunakanlah
rangkaian kata-kata di aats tadi.
2.
Tanpa
menggunakan kalimah itu pun, tak mengganggu sebarang pelajaran dan pencapaian
kita ke peringkat-peringkat yang tertinggi. Lainlah kalau tidak menggunakannya
maka kita akan tersangkut di mana-mana.
3.
Dalam
tarbiyyah tasawuf dan keruhanian pun kena ada zuhud, sebagaimana cara Imam
Al-Ghazali. Hal-hal yang tidak perlu, mengapa kita jadikan ia keperluan? Lainlah
kalau ia memang perlu, mesti ada, atau tak boleh tidak kena ditarbiyyahkan
juga. Pelik pula jadinya jika kita menambah-nambah yang bukan keperluan asas
dalam perjalanan keruhanian ini. Kita jadikan ia sebagai penambahan atau
pengkayaan sahaja bagi mereka yang mahu, tetapi bukan sebagai barang perlu/mesti
untuk semua. Kita khuatir jika pada masa-masa akan datang, mungkin ada pula orang
yang kan menyebut Allah sepi, Allah kekosongan, Allah bosan, dan sebagainya.
4.
Cara
begini juga dapat MENGELUARKAN kita daripada pertelingkahan terhadap kalimah
tersebut.
Pada pandangan saya,
apabila para ulama terus menulis hadis ini dengan meletakkan nota kaki : “Tidak
ditemui asalnya oleh pentahkik”, bukan bermaksud mereka MENERIMA ATAU
MENGESAHKAN ia sebagai HADITH KEPADA NABI MUHAMMAD SAW, tetapi mereka menerima erti
kata-katanya (ISI KANDUNGANNYA) sama ada benar ia hadis Nabi saw ataupun bukan.
Hal ini kerana isi kandungan kalimah itu jika dihuraikan dnegan cara yang benar,
tetap ada manfatnya juga sebagai penambahan atau pengkayaan kepada kita. Yang
kita khuatir adalah jika ia dihuraikan bukan dengan jalan yang sepatutnya.
Tentang kalimah itu
dikatakan sebagai hadith mauduk/palsu, sebagai langkah berhati-hati, kita ikut
sahaja kaedah para ulama iaitu dengan mengatakan : “Tidak ditemui/diketahui
asalnya.”
Wallahu’alam.
Begitulah pandangan
saya yang faqir.
9 April 2019