Saturday, January 27, 2018

Engkau Malu dengan Islam?

Hendak buat baik… engkau malu (malu tidak bertempat).
Engkau berasa malu jika orang terperasan yang engkau sedang berusaha menjadi baik.

Hendak buat kerja-kerja untuk agama… engkau malu.
Engkau berasa sangat malu jika orang tahu yang engkau memang buat kerja-kerja untuk agama.

Hendak tunjukkan engkau seorang Islam… malu juga.
Fikirmu… kalau boleh, ketika engkau berada dalam kalangan bukan Islam, biarlah tidak ketara sangat yang engkau itu seorang Islam. Biar tidak terserlah keMuslimanmu. Biar nampak lebih kurang sama dengan yang bukan Islam.
Engkau berasa “malunya….” jika orang-orang bukan Islam terperasan akan identitimu sebagai seorang Muslim.

Hendak tunjukkan (bukannya menunjuk-nunjuk) yang engkau sedang berusaha menuju ke arah menjadi orang2 soleh… malu juga.
Engkau berasa segan jika orang ramai tahu yang engkau sedang berusaha untuk soleh fikiran, soleh perkataan dan soleh perbuatan.
Tetapi engkau berasa ‘cool” jika orang melihat dirimu seperti orang2 selain orang soleh.

Hendak tunjukkan yang engkau memang mahu dan sedang berusaha untuk mencontohi Rasulullah saw dalam segenap aspek kehidupanmu… malu juga.
Engkau malu betul jika orang ternampak yang engkau sedang berusaha untuk mencontohi Rasulullah saw.

Engkau malu dengan Islammu?
Engkau malu dengan Rasulmu?
Engkau malu dengan Ilahmu?

Bukankah sepatutnya engkau berbangga (bukannya berbangga-bangga) dengan ketinggian dan kemulian itu semua?

Jangan takut, katakan dan usahakan : “Saya mahu dan sedang berusaha untuk berbuat baik, saya seorang pekerja pada jalan agama, saya seorang Muslim, saya mahu dan sedang berusaha untuk jadi sebagaimana orang2 soleh, dan saya sedang berusaha untuk mencontohi Rasulullah saw dan para sahabatnya dalam segenap aspek kehidupan saya.”


Tazkirah FB Abu Zulfiqar no. 336 (Januari 27, 2018)

No comments: