Sunday, August 18, 2013

Yang Mana Ulama Akhirat?

Inilah 12 tanda ulama akhirat sebagaimana yang dinyatakan oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin, sebagai panduan kepada kita dalam mengelaskan orang-orang yang digelar ulama oleh masyarakat ataupun mereka sendiri mengangkat diri mereka sebagai ulama :
1.       Tidak mencari dunia dengan ilmunya.
2.       Cakap serupa bikin.
3.       Utamakan ilmu –ilmu yang lebih penting berbanding yang penting-penting, apatah lagi yang kurang atau tidak penting.
4.       Tidak bermewah-mewah pada makan minum, pakaian, perabot, rumah dan sebagainya.
5.       Tidak berlebih-lebihan bergaul dengan para pemerintah, lebih banyak menjauhkan diri dari mereka.
6.       Tidak tergesa-gesa mengeluarkan fatwa. Sangat berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kata-kata.
7.       Banyak beri perhatian kepada ilmu batin (dalaman/hati/tasawuf), khususnya ilmu mukasyafah dan mu’amalah.
8.       Bersungguh-sungguh menguatkan keyakinan (bukan ‘yakin’ menurut ilmu kalam, tetapi ‘yakin’ menurut ilmu tasawuf).
9.       Sentiasa bertaqwa kepada Allah dan jelas terpamer ketaqwaannya itu pada dirinya, penampilannya, perlakuannya dan sebagainya.
10.    Banyak memperkatakan tentang sifat-sifat mazmumah, untuk menyelamatkan diri daripada sifat-sifat itu.
11.    Mengutamakan pemahaman berbanding hafazan, tetapi tidaklah meninggalkan hafazan.
12.    Menjauhi perbuatan-perbuatan bid’ah.

12 perkara yang disebutkan di atas hanyalah ringkasan atau tajuk kecil. Untuk mendapatkan pemahaman lanjut/sebenar, para pembaca bolehlah mengikuti fail-fail video pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin di Youtube. Dengan izin Allah, 12 perkara di atas saya huraikan dengan agak terperinci (dari fail video ke-369 sehinggalah fail ke-524, dan insya-Allah akan tamat sebelum fail ke-530).

Kadang-kadang, tajuk sahaja tidak dapat mengambarkan situasi sebenar yang dimaksudkan oleh tuan kitab. Contohnya tanda yang ke-12 iaitu menjauhi perbuatan-perbuatan bid’ah, tahukah kita perbuatan-perbuatan bid’ah yang mana yang dimaksudkan oleh Imam Al-Ghazali? Samakah dengan bid’ah yang kita faham?

Apa manfaatnya ilmu mengenal ulama akhirat ini kepada kita? Antaranya, kita boleh mengagak yang mana satu ulama akhirat dan yang mana satu ulama jahat, yang mana ulama akhirat dan yang mana ulama dunia. Kita tidak mahu bertaqlid buta dengan kata-kata orang kononnya yang itu ulama akhirat, yang ini ulama jahat, yang sana ulama dunia dan sebagainya. Sekurang-kurangnya biarlah bertaqlid celik, dan jika dapat lebih lagi adalah lebih bagus. Jangan mudah sangat percaya akan kata-kata orang, biarlah kita buat penilaian sedikit-sebanyak, supaya kita tidak tersalah pilih ulama. Dalam banyak kes, orang awam sering tersalah sanjung ulama kerana disangkanya orang itu ulama akhirat, padahal itu ulama musibat. Begitulah sebaliknya.

Satu hal lagi yang kita kena faham, Imam Al-Ghazali tidak meletakkan pun tanda-tanda ulama akhirat itu seperti dipilih oleh pemerintah, pegang jawatan mufti atau qadhi, pakai serban besar, jadi ketua pusat pengajian, berjawatan (syeikhul, maulana, imam, khalifah atau lain-lain), masyhur nama dan sebagainya. Oleh itu, kita kena bijak membuat penilaian, jangan mudah terpesona dengan hal-hal yang disebutkan tadi. Orang sanjung, kita pun sanjung. Orang tentang, kita pun tentang. Jadi pak turut sahajalah kita.

Kesimpulannya, ilmu mengenal ulama akhirat ini memang penting. Sebab itu Imam Al-Ghazali meletakkan ilmu ini di awal kitab Ihya’, mendahului bab aqidah.  Selepas ini pengajian kitab Ihya’ akan masuk satu tajuk kecil iaitu bab akal. Kemudian barulah berpindah ke bab besar iaitu aqidah. Begitulah susunan yang dibuat oleh Imam Al-Ghazali. Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
18 Ogos 2013

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum.

Saudara boleh saya minta pendapat saudara tentang kebenran yang benar mengenai sejarah Hitler dimana terdapat konflik yang menyatakan Hitler merupakan penentang Yahudi dan sesetengah pendapat menyatakan bahawa ini merupakan agenda Yahudi untuk mendapat simpati mata dunia. apa pendapat saudara?

-Faizal-

Maaf jika bertanya di segment yang berlainan. Bagaimana nak utus persoalan pada saudara.