Sunday, December 28, 2025

Kita Yang Bawa ke Akhirat

 

KITA YANG BAWA DARI DUNIA KE AKHIRAT

 

Jelaslah bahawa kesedaran dan nur ma’rifah yang kita dapat di dunia ini, di akhirat nanti akan berubah menjadi kelajuan perjalanan kita di sana dan nilai tempat2 yang bakal kita duduki di dalam jannah nanti. Tanpa disedari, sebenarnya semua itu sudah kita sendiri yang bawa siap2 dari sini. Bak kata Imam a-Ghazali pada tempat yang lain, segala “alat2 seksaan” kita di akhirat itu nanti pun, sebenarnya kita yang bawa siap2 dari dunia ini. Maka kita tidak boleh hendak menyalahkan mana2 pihak pun nanti.

 

Maka janganlah kita menjadi orang2 yang rugi sejak dari dunia, dan janganlah kita menjadi orang2 yang mendapat sedar hanya setelah tiba di akhirat. Dari segi syariatnya, kita mestilah mengusahakan kesedaran dan nyalaan nur ma’rifah hingga ke peringkat mujahadah.

 

Kita berharap agar Allah rezekikan kita nur ma’rifah yang sempurna sedari dunia hinggalah ke akhirat. Semoga Allah tempatkan kita pada maqam2 tertinggi di dalam jannah nanti, juga ketika “memandang-Nya” yang mana nikmat “memandang” ini adalah nikmat tertinggi di akhirah.

 

"Wahai Rabb kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu". (At-Tahriim : 8)

 

 

 

-          Catatan daripada Pengajian Kitab Induk Ihya’ ‘Ulumuddin kali ke-300 pada 20 Disember 2025. Syarahan KEAJAIBAN QALBU siri ke-22 oleh Paklong Abu Zulfiqar

Sumbangan Ahli2 Makrifah kepada Ummah

 

Banyak orang masih tidak kenal Allah, atau sangat lemah dalam mengenal Allah. Siapa yang hendak bantu dakwahkan kepada mereka jika bukan orang2 yang ada sedikit kesedaran dan sedikit ilmu seperti kita ini? Inilah antara tugas kita sebagai ahli2 ma’rifah dan pelajar2 ma’rifah.

 

Banyak orang2 yang aktif dalam berusaha untuk membawa manusia kepada dakwah, kepada mengenal dan membaca Al-Quran, kepada ilmu2 hadith, kepada siasah atau politik Islamiyah, kepada bahasa Arab, kepada jihad, kepada ilmu tafsir, kepada imu falak, kepada program2 agama, kepada pengamalan sunnah dsb, tapi kebanyakan daripada mereka tidak ada atau sangat lemah dalam ma’rifatullah. Ramai yang belum sedar pun akan kepentingan ma’rifatullah.

 

Kekosongan atau lompong2 inilah yang kita kena isi. Orang2 lain tidak akan buat melainkan ahli2 dan pelajar2 ma’rifahlah. Orang lain aknan terus tumpu bidang merekalah. Sudahlah orang2 lain tidak buat, jika ahli2 dan pelajar2 ma’rifah sendiri pun tidak mahu buat, maka semakin jauhlah umat daripada ma’rifatullah. Inilah antara tanggungjawab dan perjuangan kita.

 

-          Catatan daripada Pengajian Kitab Induk Ihya’ ‘Ulumuddin kali ke-300 pada 20 Disember 2025. Syarahan KEAJAIBAN QALBU siri ke-22 oleh Paklong Abu Zulfiqar

Sedar Makrifah Hanya di Akhirat?

 

TIADALAH GUNANYA SEDAR AKAN MA’RIFAH HANYA SETELAH TIBA DI AKHIRAT

 

Orang2 yang terbuka mata hatinya, di dunia ini lagi mereka sudah nampak akan sangat jauhnya perbezaan2 ini dan betapa besarnya kerugian2 yang dialami di akhirat nanti. Walaupun mereka belum mati dan belum ke akhirat, tapi mereka sudah nampak sejak dari sini lagi. Mereka sudah dapat kesedaran lalu mereka pun buatlah tindakan dan perubahan.

 

Tapi bagi kebanyakan orang, sedar mereka hanyalah apabila sudah sampai di akhirat. Waktu itu baru sedar. Tahu mungkin sudah sedia tahu, faham mungkin sudah sedia faham, tapi sedar…hanya setelah tiba di akhirat. Di sana barulah sedar betapa pentingnya ma’rifah ni untuk diusahakan masa hidup di dunia dulu. Sebab ketika itu sudah mula nampak alangkah jauhnya perbezaan.

 

Tapi, sedar di sana tidak boleh hendak diusahakan lagi, tidak boleh hendak dibuat perubahan, tidak boleh hendak mujahadah lagi, dan tidak boleh hendak berguru belajar sudah. Semua itu hanya boleh dibuat masa masih hidup di dunia inilah. Cuma, kebanyakan orang mensia2kan peluang yang ada masa hidup di dunia ini.

 

Maka, kita yang masih hidup ini, tidak cukup dengan tahu sahaja tentang ma’rifah, jangan berhenti setakat faham sahaja, melainkan kena sampai sedar. Hendak tahu yang kita ini sudah sedar atau tidak, tengok pada tindakan. Lagi kuat bertindak, ertinya lagi kuatlah kesedaran tentang pentingnya ma’rifatullah (mengenal Allah).

 

-          Catatan daripada Pengajian Kitab Induk Ihya’ ‘Ulumuddin kali ke-300 pada 20 Disember 2025. Syarahan KEAJAIBAN QALBU siri ke-22 oleh Paklong Abu Zulfiqar