Friday, March 22, 2024

Carilah Ilmu Ad-Diin pada Ahlinya

 

Ilmu al-iman itu dalamilah dengan yang ahlinya. Jangan cuba dalami ilmu al-iman dengan ahli al-islam, melainkan jika ahli al-islam itu memang ahli juga dalam al-iman.


Ilmu al-islam itu dalamilah dengan yang ahlinya. Jangan cuba dalami ilmu al-islam dengan ahli al-ihsan, melainkan jika ahli al-ihsan itu memang ahli juga dalam al-islam.


Ilmu al-ihsan itu dalamilah dengan yang ahlinya. Jangan cuba dalami ilmu al-ihsan dengan ahli al-sa’ah, melainkan jika ahli al-sa’ah itu memang ahli juga dalam al-ihsan.


Ilmu al-sa’ah itu dalamilah dengan yang ahlinya. Jangan cuba dalami ilmu al-sa’ah dengan ahli al-iman, melainkan jika ahli al-iman itu memang ahli juga dalam al-sa’ah.


Mencari sesuatu biarlah pada tempatnya. Jika dicari pada yang bukan tempatnya maka :

i) tiadalah terjumpa lalu habislah masa dengan tercari2 sahaja

ii) terjumpa sesuatu yang disangka sebagai ia, tetapi sebenarnya bukan ia. Ini sangat berbahaya.


Al-iman, al-islam, al-ihsan dan al-sa’ah.

Inilah 4 tungku ad-diin, 4 tiang agama,

4 fardhu ad-diin, 4 rukun agama,

4 pasak ad-diin, 4 pagar agama.

4 sayap ad-diin, 4 mata angin agama.


4 sekawan hadir berturutan.

Dalam hadith Jibril tiada terpisahkan.

Para sahabat akur mendengarkan.

Bersambunglah sanad zaman-berzaman.


21/3/24

Bukan Muslim Bertanya Tentang Kitab Kimiya us Saadah

 

Sambil duduk2, sahaya pun membaca kitab Kimiya’ us-Saa’dah (Kimia Kebahagiaan) tulisan Imam Ghazali. Melintaslah seorang lelaki Cina bukan muslim. Tiba2 dia berhenti lalu memandang ke arah kitab di tangan sahaya.


Lelaki : You baca buku apa?


(Sahaya terkejut juga kerana tidak menyangka yang dia akan berhenti dan bertanya. Apa yang sahaya nak jawab ni?)


Sahaya : (Buku tentang) macam mana hati mau jadi baik (sambil mengisyaratkan tangan kanan ke dada).


Lelaki : Ooo.... kamu punya hati tak baik ke? (Bersungguh2 gayanya hendak tahu)


(Tersenyum lebar sahaya kerana persoalannya itu mencuit hati. Macama mana pulak sahaya nak jawab ni?)


Sahaya : Saya (punya) hati banyak tak baik, (dan) ada sikit saja baik. (Jadi) saya nak bagi (hati saya) baaanyak baik.


Dia pun mengangguk-angguk, macam berfikir. Kemudian dia terus berjalan pergi kepada rakan-rakannya.


21/3/24

Tafsir Mimpi Berlawan dengan Dua Orang

 

Ada seorang hamba Allah bertanya tentang maksud mimpinya. Mimpi itu berlaku sewaktu dia tidur selepas solat zuhur dan terjaga selepas asar pada bulan Ramadhan ini. Dalam mimpi itu, dia cuba dibunuh oleh dua orang lelaki lalu dia melawan. Kesudahannya, dia tidak ingat sama ada mereka yang berjaya membunuhnya atau dia yang berjaya membunuh mereka. Ditanyakan maksud mimpi tersebut kepada sahaya.


JAWAPANNYA : Dua orang lelaki itu ialah solat fardhu zuhur dan solat fardhu asar. Sekiranya dia berjaya menyelesaikan kedua2 solat fardhu itu pada hari tersebut, maka dalam mimpi itu dialah yang berjaya membunuh kedua2nya. Tetapi jika dia gagal menyelesaikan kedua2 solat fardhu itu pada hari tersebut, maka dalam mimpi itu merekalah yang berjaya membunuhnya. Jadi, hanya dialah yang lebih tahu “siapa” yang berjaya membunuh “siapa” pada hari itu. Wallahua’lam.


20/3/24

Tuesday, March 19, 2024

Tarbiah Tariqah Setiap Hari

 

Sewaktu sahaya belajar tariqah dulu, hampir setiap hari berpeluang bertemu berhadapan muka dengan guru mursyid. Kami tinggal sekampung dan solat berjemaah di surau yang sama. Maka biasalah kami bertemu (dan bertarbiah) selepas subuh, sebelum maghrib dan selepas isya’. Pada hari2 cuti, ada pula ruang untuk bertemu sebelum dan selepas zuhur, serta sebelum dan selepas ‘asar. Begitulah silih berganti mengikut kelapangan masing2.


Tambahan pula murid yang tinggal berhampiran dengan mursyid hanya dua orang. Maka banyaklah masa sahaya bertalaqqi dengan mursyid. Secara ringkasnya, bolehlah dikatakan bahawa pada setiap hari ada walau sedikit ilmu dan nasihat (peringatan2) yang disampaikan oleh mursyid kepada sahaya. Umumnya tidak ada hari yang terputus tarbiah. Jika ada terselang pun, tidaklah lama.


Sekarang, murid2 sahaya (kecuali ahli keluarga sahaya) dalam Tariqah Ghazaliyah ini semua tinggal berjauhan. Jarang2 dapat bertemu secara berhadapan. Jika tinggal sekampung setaman sekondo sekalipun, hari ini rasanya kedua2 belah pihak guru dan murid pun tidak mampu untuk meluangkan masa bertemu bertarbiah setiap hari kerana urusan masing2.


Oleh sebab itu maka sahaya cuba juga menyampaikan ilmu dan nasihat (peringatan2) pada setiap hari (agar tidak ada satu hari pun yang terputus) melalui media. Maka ada llmu2 dan nasihat2 (peringatan2) setiap hari ada di FB (setiap hari beberapa kali update) dan group2 WhatsApp. Ditambah pula sesekali ada juga melalui TikTok dan Telegram. Jika tidak usaha dibuat begini, pasti akan ada hari2 yang terputus tarbiah. Dan hal itu seboleh2nya mahu dielakkan daripada berlaku. Memang kemudahan teknologi yang Allah rezekikan banyak membantu bagi mengisi atau sekurang2nya menampung sedikit-sebanyak lompong2 tarbiah dan mengekalkan kesinambungannya.


Setakat mana yang mampu, setakat itulah yang cuba dilaksanakan. Kita manfaatkan apa yang ada dan tercapai sahaja dulu. Semoga pada masa2 akan datang, Allah rezekikan pula kepada kita agar dapat lebih selalu bertemu dan bertarbiah secara berhadapan. Mudah-mudahan.


19/3/24

Kita Patuh Sahaja Peraturan2 Agama

 

Nak terima, ikut dan patuh peraturan2 agama

dalam hal2 yang engkau suka – mudah.

Sebab itulah banyak orang yang patuh.


Nak terima, ikut dan patuh peraturan2 agama

dalam hal2 yang engkau tak suka,

yang kehendak hawa nafsu engkau tak suka – ini yang susah.

Sebab itulah banyak orang enggan patuh.

Wahai diriku sendiri!


Allah lebih tahu

(malah paling tahu, lagi satu2nya yang ada tahu)

apa yang bagus dan apa yang tak bagus untuk kita.

Maka engkau ikut sahajalah

walaupun kehendak hawa nafsu engkau tidak suka.


Aturan2 agama bukan boleh dipilih2.

Jangan amalkan pilih2 dalam beragama.

Adakah engkau lebih tahu

apa yang bagus dan apa yang tidak bagus untukmu

berbanding Khaliq-mu?

Hebatnya lagi beraninya engkau

wahai diriku sendiri!


Astaghfirullahal ‘azim...


19/3/24

Tafsir Mimpi Payung Bersarung Putih

 

Assalamualaikum w.b.t pak long. Saya nak tanya tentang satu mimpi ni. Mimpi ni dah lama... masa tahun 2019. Dalam mimpi tu saya nampak satu payung di atas tanah. Sarung payung tu berwarna putih. Ada banyak serangga kecil di sekeliling payung... macam semut.. mungkin semut atau jenis lain... saya tak pasti. Ada maksud ke mimpi saya ni? Kalau ada... apakah maksudnya?


JAWAPANNYA : Waalaikumussalam. Ada maksudnya. Maksudnya di sekitar tempat tuan tinggal itu (contohnya di mukim itu) ada seorang waliyullah dan waliyullah itu sudah meninggal dunia pada tahun 2019 itu. Tuan tahu tentang kematian tersebut tetapi tuan tidak berada sama pada majlis pengkebumiannya atas sebab2 tertentu. Contohnya mungkin tuan sedang berada di luar kawasan, atau sedang menguruskan hal yang lebih penting, atau kediamannya jauh dari tempat tinggal tuan walaupun dalam satu mukim, atau mungkin tak saling kenal rapat, atau sebagainya. Wallahua’lam.


*Soalan ditanya pada Disember 2023, ditemui semula dalam himpunan nota soalan2 belum berjawab, dan baru dapat dijawab pada 17/3/24.

Friday, March 15, 2024

Semua Keluarga Ghazaliyah Bertarekat Ghazaliyah?

 

Pertanyaan : Keluarga Ghazaliyah ni semua bertarekat Ghazaliyah ke pak long?

Jawapan : Taklah. Hanya sebahagian sahaja yang bertarekat Ghazaliyah. Sebahagian lagi tidak menjalani sebarang tarekat pun manakala selebihnya ada mengamalkan tarekat2 lain.


Keluarga Ghazaliyah ni bersahabat dan sesekali beraktiviti atas dasar sama2 meminati Imam al-Ghazali, manhajnya dan karya2nya. Itu sahaja.

Jumlah Bacaan Quran Sepanjang Ramadhan

 

PERTANYAAN : Banyak mana bacaan Quran yang ustaz sarankan dalam Ramadhan untuk pengamal Tarekat Ghazaliyah?


JAWAPAN : Umumnya untuk para pengamal Tarekat Ghazaliyah hari ini (yang tahu dan dapat membaca Al-Quran), saya cadangkan sama macam bulan2 yang lain juga. Imam a-Ghazali mengatakan dalam kitab Ihya’ bahawa paling kurang kita kena khatamkan Al-Quran sekali dalam sebulan (dengan mengetahui maknanya). Ertinya satu juzuk sehari. Sebaik2nya dilebihkan kerana had sekali khatam sebulan itu adalah yang paling minima.


Bagi yang tidak tahu bahasa Arab termasuklah yang tahu dan boleh berbahasa Arab tetapi tidak sampai ke TAHAP MAHIR, disarankan membaca separuh juzuk sehari dan ditambah dengan membaca terjemahannya separuh juzuk itu juga.


Bagi yang belum tahu membaca :

i) adalah lebih utama bagi mereka untuk pergi belajar membaca, dan

ii) cuba2 membaca sedikit2 sekadar kemampuan walau 1-2 ayat sehari, dan

iii) carilah kesempatan untuk mendengar bacaan orang2 lain sama ada secara langsung atau melalui teknologi.


15 3 24

Belajar Ilmu As-Saah Sebelum Ilmu Al-Iman. Bolehkah?

 

Pertanyaan : Assalamualaikum wbt pak long. Saya teringin nak sertai pengajian intensif ilmua as-sa’ah tapi saya belum ikuti pengajian intensif ilmu al-iman. Boleh ke camtu?


Jawapan : Waalaikumussalam. Boleh sahaja. Cuma lebih elok jika dapat sertai pengajian intensif ilmu al-iman (aqidah, tauhid) terlebih dahulu kerana ia memang membantu dalam memahami ilmu as-sa’ah dengan lebih baik (terutamanya pada bahagian penggunaan bahasa halus).


10 3 24

Sunday, March 10, 2024

Pengajian Intensif Tafsir Mimpi?

 

Soalan : Ustaz ada buat pengajian intensif untuk ilmu mentafsir mimpi tak? Kalau ada saya nak join.


Jawapan : Dalam beberapa bulan akan datang, saya masih tumpu kepada siri2 pengajian intensif ilmu al-iman (aqidah, tauhid) dan ilmu as-sa’ah (akhir zaman, zaman akhir). Kemudian cadangnya nak buat “haul” raja2 bertariqah Ghazaliyah. Selepas daripada itulah kot2 baru boleh dibuat pengajian khusus untuk ilmu ta’wil, ta’bir dan tafsir mimpi... sekiranya dibuatlah.


Cuma kita maklumkan awal2 agar tahu, faham dan bersedia awal2 bahawa :

i) saya sekadar ada serba-sedikit ilmu berkaitan. Bukannya pakar.

ii) macam ilmu2 yang lain juga, ilmu ini pada hakikatnya anugerah daripada Allah. Ia bergantung kepada bakat dan ditampung dengan usaha. Banyak orang belajar ilmu melukis, ilmu seni beladiri, ilmu bermain bolasepak dan sebagainya tetapi hanya sedikit yang jadi pro dalam lukisan, beladiri, bolasepak atau sebagainya. Belajar ilmu ini insya-Allah akan menjadikan kita lebih berpengetahuan dalam tafsir mimpi tetapi belum tentu akan menjadikan kita seorang pentafsir mimpi atau orang yang mahir dalam tafsir mimpi.

iii) ilmu yang ada ini umumnya lebih banyak mengikut aliran Imam al-Ghazali.

iv) gambaran2 awal dalam menta’wil, menta’bir dan mentafsir mimpi ini sudah boleh mula diperolehi dengan mengikuti mimpi2 yang pernah saya uruskan lalu saya tuliskan. Bacalah huraian mimpi2 tersebut (di blog Debunga Teratai Syurgawi) dan di FB ini. Perhatikan bagaimana hal2 dalam sesuatu mimpi itu diterjemahkan. Mimpi ombak selalunya membawa maksud apa? Mimpi bukit selalunya membawa maksud apa? Mimpi Ka’abah selalunya membawa maksud apa? Begitulah seterusnya. Dari situ pun sudah boleh membina perbendaharaan tafsir mimpi dalam minda kita. Hal ini akan membantu memudahkan kita apabila menyertai pengajian khusus nanti atau belajar di mana2 pun nanti.


8 3 24

Bila Haul Raja2 Bertarekat Ghazaliyah?

 

Soalan pada hari Selasa lepas : Bila cadangnya kita nak buat majlis haul yang diberitahu (dalam pengajian intensif as-sa’ah) hari tu?

 

Jawapan : Oh, majlis “haul”! Sebenarnya untuk mengenal dan mengenang raja2 bertarekat Ghazaliyah? Lambat lagi. Lepas ni kita nak siapkan lanjutan pengajian intensif imu as-sa’ah untuk batch 1 dulu. Kemudian nak buat pengajian intensif ilmu as-sa’ah batch 2 pulak – dua siri juga – asas dan lanjutan. Insya-Allah lepas itu baru kita buat haul raja2.

 

7 3 24

Kitab2 yang Pernah Disyarahkan

 

Soalan : Apakah kitab2 yang pernah ustaz syarahkan?


Jawapan : Yang pernah? Setakat yang sahaya masih ingat antaranya ialah :

1. Ihya’ ‘Ulumuddin – Imam al-Ghazali

2. Al-Munqiz min adh-Dhalal – Imam al-Ghazali

3. Ar-Risalah al-Laduniyah – Imam alGhazali

4. Misykat al-Anwar – Imam al-Ghazali

5. Risalah at-Thayr – Imam al-Ghazali

6. Kimiya' us-Sa'adah - Imam al-Ghazali

7. Kifayatul Muhtaj fil Isra' wal Mi'raj – Syeikh Daud al-Fatani

8. Munyatul Musolli - Syeikh Daud Fatani

9. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman – Syeikh Fahmi Zamzam

10. Durrun Nafis – Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari


Dulu2 pernah juga mensyarahkan sebahagian daripada :

1. Hadis 40 Imam an-Nawawi

2. Syahsiyatul Muslim – Al-Hasyimi

3. Haza ad-Diin – Sayid Qutb

4. Maza Ya’ni Intima’i lil Islam – Syeikh Fathi Yakan

5. Fadhail Amal – Maulana Muhammad Zakaria

6. Nasihah Al-Mulk (Nasihat untuk Raja2) – Imam al-Ghazali


Serta karya2 sahaya sendiri :

1. Anugerah Berwangian Cinta untuk Tetamu Taman Cahaya (Petikan, Rumusan & Ringkasan Ihya’ ‘Ulumuddin)

2. Empat siri buku Terbit yang Melimpahkan Cahaya ke atas Tariqah Al-Ghazaliyah.


6 3 24

Monday, March 4, 2024

Hidayah Allah untuk Sesiapa yang Dimahukan-Nya

 

Kadang2 hidayah dan rezeki daripada Allah

sangat tidak disangka2.

Orang2 yang dahulunya sering tidak akur

dengan peraturan2 Allah,

tiba2 kini berubah

menjadi orang yang sendiri mahu akur.


Orang2 yang dahulunya sangat akur

dengan peraturan2 Allah,

tiba2 kini berubah

menjadi orang yang sendiri semakin tidak mahu akur pula.


Semoga kita jadi lebih baik, lebih patuh, lebih kuat agama

berbanding kita yang sebelum2 ini.


4/3/24

Lingkungan Kita Berada Itu Sangat Penting

 

Antara punca kita jadi tidak bersemangat atau kurang bersemangat – kerana kita banyak berada dalam lingkungan orang2 yang tidak bersemangat atau kurang bersemangat.

Antara punca kita jadi tidak berani atau kurang berani – kerana kita banyak berada dalam lingkungan orang2 yang tidak berani atau kurang berani.

Antara punca kita jadi tidak peduli atau kurang peduli – kerana kita banyak berada dalam lingkungan orang2 yang tidak peduli atau kurang peduli.

Antara punca kita jadi tidak bertindak atau kurang bertindak – kerana kita banyak berada dalam lingkungan orang2 yang tidak bertindak atau kurang bertindak.

Antara punca kita jadi tidak berminat dengan atau kurang minat dengan agama – kerana kita banyak berada dalam lingkungan orang2 yang tidak minat atau kurang minat agama.


Ubahlah lingkungan tersebut.


Jika kita banyak masa berada dalam lingkungan orang2 yang bersemangat, insya-Allah kita akan turut jadi bersemangat.

Jika kita banyak masa berada dalam lingkungan orang2 yang berani, insya-Allah kita akan turut jadi berani.

Jika kita banyak masa berada dalam lingkungan orang2 yang peduli, insya-Allah kita akan turut jadi peduli.

Jika kita banyak masa berada dalam lingkungan orang2 yang bertindak, insya-Allah kita akan turut jadi bertindak.

Jika kita banyak masa berada dalam lingkungan orang2 yang minat agama, insya-Allah kita akan turut jadi minat.


Lebihkan masa berada dalam lingkungan yang positif.


4/3/24

Selit Tazkirah Ramadhan

 

Selepas tamat pengajian intensif ilmu as-sa’ah, sempat menyampaikan sedikit tazkirah sebagai persediaan menerima kunjungan Ramadhan. Tentulah persediaan untuk orang2 kebanyakan dan orang2 sufi itu ada perbezaan. Ada yang kerana dipaksa, terpaksa, berasa bertanggungjawab, takut, mahukan sesuatu, taat, suka, sayang atau kerana cinta. Ada yang kerana berlaku sesuatu, dan ada pula yang walau tidak berlaku apa-apa pun. Dan antara petanda setinggi atau serendah amal2 Ramadhan kita yang lalu diterima oleh-Nya adalah keadaan dan amal2 kita sejak 1 Syawal yang lalu sehingalah 11 bulan kemudian.


4 3 24

Sunday, March 3, 2024

Pentingnya Mementingkan Taqwim Hijrah

 

Dalam pengajian as-sa’ah, kita tekankan kelebihpentingan taqwim Hijriyah (berkait salah satu qaidah dalam ilmu as-sa’ah Imam al-Ghazali) berbanding taqwim Masihi. Hal ini kerana mu suh2 banyak menggunakan taqwim Hijrah. Kebanyakan kita pula lebih dipengaruhi oleh taqwim Masihi. Sudah terbalik. Sebab itulah majoriti kita terlepas banyak perkara dan sudah terkena banyak perkara. 2021 orang sudah berhabis2an, 2024 pula majoriti kita belum bermula, baru menunggu2 hendak bermula.


Tahun 1997, mursyid berkata, “4 tungku ad-diin, umumnya itulah “4 sayap” para wali maqam akhir dan kamal.”


3/3/24

400 Pertemuan Telah Dibuka

 

Pada tahun 1999, guru mursyid sahaya berpesan agar apabila datang orang pertama yang meminta Tarekat Ghazaliyah ini, hendaklah selepas itu dibuka 40 kali pertemuan setahun dalam tempoh 10 tahun bagi orang2 yang berhajat, kecuali jika ada kekangan. Pertemuan itu bolehlah disekalikan dengan urusan2 agama yang lain. Ringkas kata, ada 400 kali ruang pertemuan dibuka sepanjang 10 tahun itu. Tetapi selepas 10 tahun, hendaklah dibuka 1 kali pertemuan sahaja setahun. Isi kandungan pertemuan pula khusus atas urusan penerangan dan penyampaian Tarekat Ghazaliyah sahaja.


Dengan kehendak Allah SWT, pada tahun 2012, hadirlah orang pertama yang memohon Tarekat Ghazaliyah. Maka sejak itu sahaya pun membuka ruang pertemuan 40 kali setahun itu, yang biasanya pada setiap kali selepas pengajian utama kitab Ihya’ ‘Ulumuddin di Surau An-Nur atau di rumah sahaya sendiri. Kadang2 dalam setahun itu lebih pula jumlahnya kerana ada juga orang2 yang menemui sahaya di tempat2 lain. Namun begitu, jarang2 ada orang yang datang selepas pengajian2 utama.


Sepatutnya 400 kali pertemuan itu tamat pada hujung tahun 2021. Sepatutnya bermula tahun 2022, sahaya hanya akan buka 1 kali pertemuan dan pertemuan itu atas urusan penerangan dan pada penyampaian Tarekat Ghazaliyah sahaja.


Namun tiba2 pada tahun 2020 berlakulah wabak, PKP dan kekangan2 lain. Maka tak dapatlah dibuka sampai 40 kali pertemuan pada tahun tersebut. Pada tahun 2021 juga hanya dapat dibuka beberapa kali sahaja.


Oleh itu sahaya pun mengambil keputusan untuk melanjutkannya dengan membuka beberapa kali pertemuan lagi pada tahun 2022. Maka lengkaplah sudah lebih kurang 400 kali dibuka pertemuan. Pada tahun 2023 pula, sahaya mula buka 1 kali pertemuan atas urusan Tarekat Ghazaliyah tapi masih dibuka juga untuk urusan2 agama yang lain. Dan insya-Allah bermula tahun 2024 ini, akan dibuka 1 kali pertemuan setahun dan isinya atas urusan2 penerangan dan penyampaian Tarekat Ghazaliyah sahaja, sebagaimana yang dipesan oleh guru. Kita kut sahaja pesanan dan adab2 yang sudah ditarbiahkan. Insya-Allah sejahtera.


*Tarikh pertemuan pada tahun ini belum ditetapkan lagi.


3/3/24


Al-Kisah Pengajian Intensif Ilmu As-Saah batch 1

 

Ahamdulillah. Pengajian Intensif Ilmu As-Sa’ah (Rukun Agama ke-4) tariq Imam al-Ghazali batch 1 sudah selesai. Tempoh masa asal iaitu dari pukul 3 petang hingga 7 malam ternyata sangat tidak mencukupi. Pengajian pun dilangsungkan hingga ke pukul 10.15 malam. Itu pun masih belum mencukupi. Insya-Allah pengajian lanjutan ilmu as-sa’ah ini akan diadakan kemudian. Mungkin kita perlukan 4-5 jam lagi. Oleh itu pengajian intensif untuk batch seterusnya kena diganjakkan - lambat lagi.