Inilah 12 tanda ulama akhirat sebagaimana yang dinyatakan
oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin, sebagai
panduan kepada kita dalam mengelaskan orang-orang yang digelar ulama oleh
masyarakat ataupun mereka sendiri mengangkat diri mereka sebagai ulama :
1. Tidak mencari dunia dengan ilmunya.
2. Cakap serupa bikin.
3. Utamakan ilmu –ilmu yang lebih penting berbanding yang penting-penting,
apatah lagi yang kurang atau tidak penting.
4. Tidak bermewah-mewah pada makan minum, pakaian, perabot, rumah
dan sebagainya.
5. Tidak berlebih-lebihan bergaul dengan para pemerintah, lebih
banyak menjauhkan diri dari mereka.
6. Tidak tergesa-gesa mengeluarkan fatwa. Sangat berhati-hati
sebelum mengeluarkan sebarang kata-kata.
7. Banyak beri perhatian kepada ilmu batin (dalaman/hati/tasawuf),
khususnya ilmu mukasyafah dan mu’amalah.
8. Bersungguh-sungguh menguatkan keyakinan (bukan ‘yakin’ menurut
ilmu kalam, tetapi ‘yakin’ menurut ilmu tasawuf).
9. Sentiasa bertaqwa kepada Allah dan jelas terpamer ketaqwaannya
itu pada dirinya, penampilannya, perlakuannya dan sebagainya.
10. Banyak memperkatakan
tentang sifat-sifat mazmumah, untuk menyelamatkan diri daripada sifat-sifat
itu.
11. Mengutamakan pemahaman
berbanding hafazan, tetapi tidaklah meninggalkan hafazan.
12. Menjauhi
perbuatan-perbuatan bid’ah.
12 perkara yang disebutkan di atas hanyalah ringkasan atau
tajuk kecil. Untuk mendapatkan pemahaman lanjut/sebenar, para pembaca bolehlah
mengikuti fail-fail video pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin di Youtube. Dengan
izin Allah, 12 perkara di atas saya huraikan dengan agak terperinci (dari fail
video ke-369 sehinggalah fail ke-524, dan insya-Allah akan tamat sebelum fail
ke-530).
Kadang-kadang, tajuk sahaja tidak dapat mengambarkan
situasi sebenar yang dimaksudkan oleh tuan kitab. Contohnya tanda yang ke-12
iaitu menjauhi perbuatan-perbuatan bid’ah, tahukah kita perbuatan-perbuatan bid’ah
yang mana yang dimaksudkan oleh Imam Al-Ghazali? Samakah dengan bid’ah yang
kita faham?
Apa manfaatnya ilmu mengenal ulama akhirat ini kepada
kita? Antaranya, kita boleh mengagak yang mana satu ulama akhirat dan yang mana
satu ulama jahat, yang mana ulama akhirat dan yang mana ulama dunia. Kita tidak
mahu bertaqlid buta dengan kata-kata orang kononnya yang itu ulama akhirat,
yang ini ulama jahat, yang sana ulama dunia dan sebagainya. Sekurang-kurangnya
biarlah bertaqlid celik, dan jika dapat lebih lagi adalah lebih bagus. Jangan
mudah sangat percaya akan kata-kata orang, biarlah kita buat penilaian
sedikit-sebanyak, supaya kita tidak tersalah pilih ulama. Dalam banyak kes,
orang awam sering tersalah sanjung ulama kerana disangkanya orang itu ulama
akhirat, padahal itu ulama musibat. Begitulah sebaliknya.
Satu hal lagi yang kita kena faham, Imam Al-Ghazali tidak
meletakkan pun tanda-tanda ulama akhirat itu seperti dipilih oleh pemerintah, pegang
jawatan mufti atau qadhi, pakai serban besar, jadi ketua pusat pengajian, berjawatan
(syeikhul, maulana, imam, khalifah atau lain-lain), masyhur nama dan
sebagainya. Oleh itu, kita kena bijak membuat penilaian, jangan mudah terpesona
dengan hal-hal yang disebutkan tadi. Orang sanjung, kita pun sanjung. Orang
tentang, kita pun tentang. Jadi pak turut sahajalah kita.
Kesimpulannya, ilmu mengenal ulama akhirat ini memang
penting. Sebab itu Imam Al-Ghazali meletakkan ilmu ini di awal kitab Ihya’,
mendahului bab aqidah. Selepas ini
pengajian kitab Ihya’ akan masuk satu tajuk kecil iaitu bab akal. Kemudian
barulah berpindah ke bab besar iaitu aqidah. Begitulah susunan yang dibuat oleh
Imam Al-Ghazali. Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar
18 Ogos 2013