Alhamdulillah, syukur. Akhirnya gambar di bawah ini menjadi kenyataan apabila anak ketiga iaitu adinda kepada Muhammad Zulfiqar Al-Amsyari telah lahir ke dunia pada 13 Mei 2012 untuk memikul amanah Allah SWT sebagai khalifah Allah, dengan nama Muhammad Huzaifah Al-Amsyari. Semoga kami berlima berjaya dipilih oleh Allah untuk menjadi pejuang pada jalan-Nya dan memperoleh kebaikan di dunia dan di akhirat. Amin ya Allah.
Monday, May 14, 2012
Tuesday, May 1, 2012
Mentajdid Kuliah-kuliah Umum
PENDAHULUAN
KULIAH UMUM di masjid, surau, dewan, rumah-rumah
persendirian dan sebagainya menjadi salah satu medium penting bagi masyarakat
mendapatkan ilmu-ilmu agama. Kalau dahulunya kuliah-kuliah umum di
kampung-kampung mendapat sambutan, beberapa puluh tahun kebelakangan ini
kuliah-kuliah di bandar-bandar pula yang lebih meriah. Begitulah jalannya,
seumpama ular menyusur kembali ke lubangnya. Asalnya agama Islam itu bermula
dan berkembang di bandar, kini ia kembali ke bandar-bandar semula.
Selaras dengan perkembangan zaman, kuliah umum tidak
terkecuali daripada dibahangi aura pentajdidan. Kuliah-kuliah umum sebaiknya
ditajdidkan tanpa kita menidakkan keberkesanan kuliah-kuliah umum tradisional.
Oleh itu Dakwah Tajdid Segar (dakwah tajdid sebenar) ada melontarkan beberapa
saranan untuk mentajdidkan kuliah-kuliah umum tradisional di tempat-tempat yang
disebutkan di atas tadi.
SARANAN-SARANAN
Antara saranannya, kuliah-kuliah umum :
1. Hendaklah
boleh diulang dengar/tonton oleh pelajar sama ada melalui rakaman audio, video,
internet atau lain-lain. Pengulangan akan memantapkan ingatan dan pemahaman
pelajar tentang isi satu-satu kuliah itu.
2. Hendaklah
ada ruang interaksi antara pengajar dengan pelajar selepas tamat sesuatu
kuliah. Ruang antara satu kuliah dengan kuliah akan datang tidak sepatutnya
kosong. Pelajar hendaklah diberi peluang untuk bersoal-jawab dengan pelajar
dalam tempoh itu melalui media seperti internet, telefon, surat atau sebagainya.
3. Hendaklah
ada sistem penilaian sekalipun ringkas. Hal ini supaya guru dapat menilai sejauhmana
keberkesanannya mengajar dan merangka tindakan susulan. Bagi pelajar pula,
dapat menilai sejauhmana keupayaan diri menangkap segala isi pelajaran yang
disampaikan oleh guru lalu membuat pembaikan.
4. Hendaklah
membolehkan pelajar menyambung pelajarannya tidak kira ke mana ia pergi, di
mana ia berada dan selama mana ia ke sana. Terputus pembelajaran atau belajar
sekerat jalan hendaklah dielakkan.
PENJELASAN
Sebenarnya idea/saranan ini sudah lama, tapi oleh kerana
saya belum mencontohkannya, tak sedaplah bercakap kosong. Hendak bercakap
biarlah yang bercakap itu sudah mengamalkannya, barulah kemas percakapannya
itu. Hal ini bukanlah satu kemestian.
Sesiapa yang ada saranan yang bagus, boleh sahaja melontarkannya terus, cuma
hati berasa kurang sedap jika berbuat begitu.
Kita biasa mendengar kisah seorang hamba meminta agar
seorang imam memperkatakan kelebihan-kelebihan memerdekakan hamba dalam khutbah
Jumaatnya, dengan harapan agar dia akan dimerdekakan oleh tuannya. Beberapa kali
Jumaat kemudian barulah si imam menyebutnya dalam khutbah. Si hamba berasa
hairan, mengapa begitu lama masa yang diambil oleh si imam untuk memperkatakannya?
Dia pun bertanya kepada si imam. Jelas si imam, dia memperkatakan hal itu dalam
khutbah hanya setelah dia sendiri memerdekakan hamba tidak lama sebelum itu.
Dia tidak selesa memperkatakan sesuatu yang tidak/belum dibuatnya.
Samalah halnya dengan saya. Sekarang kuliah kitab Ihya’ ‘Ulumiddin
sudah memiliki saranan-saranan yang dinyatakan, maka selesalah untuk saya
berkongsi dengan para pembaca. Sebenarnya banyak lagi saranan-saranan pentajdidan
yang dibincangkan dalam Dakwah Tajdid Segar (dakwah tajdid sebenar), namun terpaksa
dipendamkan sehinggalah saya atau para sahabat sudah mengamalkannya.
CONTOH-CONTOH
Jadi untuk lebih memahamkan, kita ambil contoh kuliah
umum Ihya’ ‘Ulumiddin (sebagai contoh kuliah umum yang sudah ditajdidkan) dan dibandingkan
dengan kuliah umum biasa.
KULIAH UMUM IHYA’ ‘ULUMIDDIN : Mereka yang hadir ke
kuliah, selepas kuliah boleh mengulang dengar/tonton keseluruhan isi kuliah di
internet seberapa kali yang mereka mahu, sampai betul-betul puas dan faham. Ingatan
dan pemahaman terhadap isi kuliah boleh dipertingkatkan lagi pada bila-bila
masa, asalkan punya kemudahan internet.
KULIAH UMUM BIASA : Biasanya tidak boleh mengulang dengar/tonton
kuliah pada hari itu. Sekali itulah mendengarnya. Ingatan dan pemahaman
terhadap isi kuliah sangat terhad.
KULIAH IHYA’ : Mereka yang tidak dapat hadir ke kuliah
sama ada kerana ada urusan lain, terlupa, terlewat, tinggal jauh dan sebagainya
masih boleh mengulang dengar/tonton di internet seberapa kali yang mahu
sehingga betul-betul faham. Dengan sedikit usaha, tidak akan ada kuliah yang
terlepas.
KULIAH BIASA : Mereka yang tidak berada dalam majlis itu,
biasanya akan terlepaslah kuliah kali itu selama-lamanya. Tiada ulangan lagi.
KULIAH IHYA’ : Selepas kuliah, masih boleh berinteraksi
dengan guru melalui e-mel, Facebook, forum-forum dan seumpamanya (sekadar
keluangan masa guru). Apa yang tidak difahami, kurang jelas, gagal mencapai
objektif dan seumpamanya, masih boleh dipertingkatkan.
KULIAH BIASA : Selepas kuliah, hubungan dengan guru
biasanya terputus terus. Tidak ada ruang untuk bersoal-jawab dengan guru lagi.
Sekiranya guru datang sebulan sekali, alamatnya bulan depan pulalah dapat
bertanya kepada guru. Itu pun ruangnya sangat terhad kerana si guru tidak punya
banyak masa untuk kita.
KULIAH IHYA’ : Ada sistem penilaian berupa peperiksaan
bertulis tentang isi kuliah yang sudah dilalui (bukan wajib/tidak mesti). Pelajar
yang mahu menilai pemahaman diri tentang isi kuliah yang sudah dilalui/ kitab
Ihya’, digalakkan menjawab soalan-soalan peperiksaan. Soalan boleh diminta dari
guru atau muat turun dari internet. Jawapan boleh dihantar secara bersemuka
atau melalui internet. Guru akan memeriksa (sekadar keluangan masa guru) lalu
memberikan markahnya.
KULIAH BIASA : Biasanya tidak ada sistem penilaian. Guru
hanya mengajar dan pelajar hanya belajar dalam majlis. Guru kurang tahu
sejauhmana pengajaran dan pembelajarannya berkesan. Pelajar juga kurang tahu
sejauhmana kuliah-kuliah yang dilalui diingati, difahami dan bermanfaat buat
diri mereka.
KULIAH IHYA’ : Pelajar boleh terus menyambung pelajaran
mereka di mana sahaja di seluruh dunia ini, selagi ada perkhidmatan internet.
Pelajaran tidak akan terputus walaupun si pelajar pergi/berhijrah ke luar negara,
sakit dan tidak dapat keluar rumah, berpindah jauh dari tempat guru mengajar
atau lain-lain. Tidak timbul masalah belajar berpuluh buah kitab tetapi
semuanya suku jalan.
KULIAH BIASA : Sebagai contoh, selepas mengikuti
pengajian kitab Ihya’ selama 2 tahun, tiba-tiba si pelajar pergi sambung
pelajaran ke United Kingdom. Hal ini bermaksud terputuslah pelajarannya itu.
Tidak ada peluang untuk terus mengikuti pengajian itu. Apabila dia pulang ke
Malaysia tiga tahun selepas itu, si guru tak akan mengulang pelajaran selama 3
tahun yang tertinggal itu. Rugilah selama 3 tahun, tanpa ulangan.
Begitulah perbezaan kuliah umum yang sudah ditajdidkan
berbanding kuliah umum tradisional.
TAMBAHAN
Selain itu, kuliah syarah Ihya’ ‘Ulumiddin juga mempunyai
beberapa kelebihan lain.
KULIAH IHYA’ : Kitab disyarahkan secara lisan. Kemudian
syarahan lisan itu ditekskan. Selepas itu, teks syarahan itu disyarahkan lagi (syarah
kepada syarah, dengan lebih mendalam dan panjang)) dalam bentuk tulisan dan
dimuatkan ke laman Syarah Ihya’ ‘Ulumiddin. Maksudnya, kitab itu disyarahkan
dua kali dua tahap. Syarah atas syarah. Pelajar yang berminat boleh lebih
mendalaminya secara kendiri.
KULIAH BIASA : Sesuatu kitab itu disyarahkan oleh guru
dalam majlis……. setakat itu sahaja. Biasanya isi kuliah tidak ditekskan. Syarahan
lanjutan juga memang tidak ada.
KULIAH IHYA’ : Kuliah diadakan hampir setiap minggu, atau
sekurang-kurangnya 3 kali sebulan. Maksudnya jarak antara satu kuliah ke satu
kuliah tidak jauh. Ingatan dan pemahaman para pelajar lebih berkesinambungan.
KULIAH BIASA : Biasanya kuliah sebulan sekali. Ingatan
dan pemahaman pelajar terhadap isi kuliah bulan lepas sudah banyak yang
terkikis. Jika bernasib baik, dapatlah kuliah 2 minggu sekali.
PENUTUP
Kesimpulannya, kuliah-kuliah umum (yang bukan kuliah umum
tidak termasuk dalam tulisan ini) yang ditajdidkan sememangnya lebih berkesan
kepada guru dan pelajar. Diharapkan akan semakin banyaklah kuliah-kuliah umum
yang ditajdidkan dari semasa ke semasa. Semoga Allah memudahkan segala urusan
kita dunia dan akhirat. WaAllahu’alam.
Abu Zulfiqar
1 MEI 2012
Subscribe to:
Posts (Atom)