Tuesday, February 15, 2011

Soal Jawab - Bacaan Iktidal dan Qunut

Seorang hamba Allah mengemukakan dua persoalan.

PERTAMA

Tentang i’tidal (ketika berdiri selepas bangun dari rukuk). Yang mana satu bacaan yang betul, sama ada “Rabbanaa wa lakal hamd” atau “Rabbanaa lakal hamd”?

Jawapannya, kita boleh membaca mana-mana satu kerana kedua-duanya pun betul.

Sandaran untuk bacaan “Rabbanaa wa lakalhamd” ialah:

“Nabi mengucapkan ‘Sami’allaahu li man hamidah’ ketika mengangkat belakangnya, kemudian sewaktu berdiri mengucapkan ‘Rabbanaa wa lakal hamd’.”

(Bukhari, Muslim, Ahmad)

Dari Ali, apabila Rasulullah bangun dari rukuk, membaca: “Sami’allaahu li man hamidah. Rabbanaa wa lakal hamd. Mil ussamaawaati wal arhd. Wa maa bainahumaa wa mil u maa shi’ta min syai innba’d.”

(Muslim, Abu Daud, Turmizhi, Ahmad)

Maksudnya : “Allah mendengar orang yang memuji-Nya. Wahai Rabb kami, dan bagi-Mulah puji-pujian, sepenuh langit dan bumi serta apa yang terdapat antara keduanya, dan sepenuh apa yang Engkau kehendaki selain itu.”

Sandaran untuk bacaan “Rabbanaa lakal hamd” pula ialah:

“Pada suatu hari kami solat di belakang Nabi. Maka ketika Rasulullah mengangkat kepala dari rukuk dan mengucapkan ‘Sami’allaahu li man hamidah’, tiba-tiba seorang lelaki di belakangnya mengucapkan ‘Rabbana lakal hamd, hamdan kathiiran tayyiban mubaarakan fiih’. Maka setelah selesai solat, Rasulullah bertanya : “Siapa tadi yang berbicara itu?” Lelaki itu menjawab : “Saya wahai Rasulullah.” Maka Rasulullah bersabda : “Sungguh, aku melihat lebih daripada 30 malaikat berebut untuk mencatatnya lebih dahulu.”

(Bukhari, Abu Daud, Ahmad, Malik)

Kedua-dua kalimah itu membawa maksud:

1. Rabb kami, dan bagi-Mu puji-pujian.

2. Rabb kami, bagi-Mu puji-pujian.

Perbezaannya cuma terletak pada perkataan “wa” (yang bermaksud “dan”). Pengurangan perkataan “wa” pada ayat kedua tidaklah merubah maksud ayat.

Selain itu, ada kalimah lain seperti dalam hadith riwayat Bukahri, Abu Daud, Ahmad dan Malik di atas tadi iaitu : “Rabbana lakal hamd, hamdan kathiiran tayyiban mubaarakan fiih.”

Dalam hadith riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad pula : “Allahumma Rabbana lakal hamd….” Dan seterusnya.

KEDUA

Tentang qunut. Bacaan yang betul ialah “Allahummahdini fiiman hadait” ataupun “Allahumahdini fiiman dadait”?

Hadith riwayat Imam Baihaqi dan Al-Hakim menyebut : “Allahummahdini fiiman hadait”.

Abu Zulfiqar

15 Februari 2011

Saturday, February 12, 2011

Kedudukan Lagu2 Tarbiyyah Sehingga JANUARI 2010

1. SATU UMAT (versi pendek) - didengar sebanyak 3,006 kali.
2. MUNAJATKU (versi 3) - 483 kali.
3. TERFANA - 346 kali
4. MUALLIJ - 333 kali.
5. AWAL BAQARAH - 279 kali.
6. TERFANA (versi santai) - 225 kali.
7. MUNAJATKU (versi 4) - 214 kali

*Lagu-lagu tarbiyyah ini boleh didengar di Youtube.

Monday, February 7, 2011

Peranan Laman SATU UMAT

Sejak tahun 2007, laman Satu Umat telah menyiarkan berita dan sejarah umat Islam seluruh dunia. Berikut adalah senarai 15 lokasi yang paling banyak disirkan berita tentangnya.

1. PALESTIN (1,220 berita)
2. GLOBAL (820 berita)
3. MALAYSIA (620 berita)
4. MESIR (220 berita)
5. AMERIKA (180 berita)

6. AFGHANISTAN (150 berita)
7. ARAB SAUDI (140 berita)
8. PAKISTAN (130 berita)
9. INDONESIA (130 berita)
10. IRAN (120 berita)

11. IRAQ (100 berita)
12. TURKI (90 berita)
13. THAILAND (60 berita)
14. BRITAIN (50 berita)
15. JORDAN (50 berita)

Hamba-Mu Keletihan

Hari bekerja... tidur sekitar pukul 1.30 pagi.
Hari cuti... tidur sekitar pukul 3.00 pagi.

Beginilah rutin hamba-Mu selama berbelas tahun.
Semuanya kerana perjuangan pada jalan-Mu ya Allah.

Hamba-Mu sangkakan
apabila usiaku meningkat
waktu rehat hamba-Mu semakin panjang
Begitulah perancangannya dahulu.

Tapi nampaknya....
waktu berjuang yang semakin panjang.

Hamba-Mu keletihan...
Hamba-Mu semakin tua.
Namun,
Semoga hamba-Mu dizinkan
berehat di taman-taman syurga
di akhirat nanti.

Saturday, February 5, 2011

Usrah Raya, Pilihan Raya, Jalan Raya

Saiyidina Umar al-Khattab selaku ketua daulah umat Islam berjaya mendapatkan Palestin. Begitu juga dengan Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Lembaran sejarah menunjukkan Palestin berjaya dibebaskan dengan adanya ‘kuasa pemerintahan negara Islam’. Maka tahulah kita mengapa Israel pengecut sedang bertambah kecut hari ini dengan situasi di negara jirannya, Mesir.

Israel sudah sekian lama membikin kira-kira. Mereka tahu, seandainya Mesir dipulangkan kepada rakyat, Ikhwanul Muslimin akan berperanan besar. Hal ini membawa maksud dalam beberapa tahun nanti Mesir akan jadi sebuah negara Islam. Yang dimaksudkan dengan ‘negara Islam’ di sini ialah sebuah negara yang DIPERINTAH OLEH ORANG ISLAM dan SISTEM PEMERINTAHANNYA juga sistem Islam. Itu sekurang-kurangnya.

Mesir sebuah negara yang kuat. Kata sebahagian orang tua-tua pada suatu zaman, “Kalau hendak pergi berperang, bawalah tentera Mesir, pasti akan mencapai kemenangan”. Tentera sukarelawan Ikhwanul Muslimin pernah menyerbu ke Palestin dan berjaya mengundurkan tentera Israel. Ketika itu ada tentera Ikhwanul Muslimin sudah nampak pun bumbung Masjidil Aqsa. Di saat-saat Israel setenat itu, tiba-tiba kesemua sukarelawan dan tentera diarahkan pulang oleh Mesir. Pemerintah Mesir sendiri yang memberikan oksigen kepada Isarel yang sedang nyawa-nyawa ikan. Permainan ini tidaklah kita bahaskan panjang lebar di sini kerana pasti akan jemulah anak cucu mendengar akan dia.

Disangkakan pulang ke Mesir akan disambut sebagai wira, ataupun setidak-tidaknya dibenarkan hidup seperti biasa. Malangnya ramai tentera sukarelawan ini ditangkap dan disumbat ke dalam penjara. Yang dibunuh dan yang ghaib pun ada.

Dengan wujudnya sebuah negara Islam (sebagaimana yang disebutkan di atas tadi), peluang untuk membebaskan Palestin sangat cerah. Hal inilah yang dibimbangi oleh Israel pengecut. Dengan tentera sukarelawan yang terdiri daripada orang kampung, kerani, guru dan lain-lain pun mereka hampir tumbang, apakan lagi jika yang datang itu nanti tentera Mesir di bawah pemerintahan Islam.

Ikhwanul Muslimin sudah lama belajar. Banyak pengalaman yang mereka lalui. Melalui USRAH RAYA (sel-sel usrah ‘underground’ sejak zaman Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna) mereka hanya mampu menggegar Mesir. Mereka tambah lagi melalui PILIHAN RAYA, mereka mula dapat sedikit kuasa melalui kemenangan calon-calon tajaan mereka. Itu belum cukup. Mereka tambah lagi dengan yang terbaru iaitu melalui JALAN RAYA. Setakat ini (5 Februari 2011) nampak kesannya begitu hebat.

Kita faham bahawa demokrasi tajaan Barat. Demokrasi menjadi salah satu senjata Barat untuk mengekang kebangkitan Islam. Kita faham ini semua, sebab itu kita tidak beriman dengan demokrasi. Namun kita melibatkan diri kerana ada peluang-peluang tertentu yang boleh kita ambil ke arah membangkitkan semula Islam. Demokrasi dan pilihanraya ialah salah satu cara, bukan satu-satunya cara. Namun kita tak akan sia-siakan salah satu cara ini begitu sahaja. Kita usaha sekadar yang termampu.

Contohilah Ikhwanul Muslimin. Dari USRAH RAYA, mereka tambah dengan PILIHAN RAYA. Dari PILIHANRAYA, mereka tambah lagi dengan JALAN RAYA. Selepas itu barulah kita ke JAGAD RAYA. Mana-mana perjuangan pun pasti ada yang perlu dikorbankan. Itu fitrah perjuangan.

Tapi... perjuangan puluhan tahun Ikhwanul Muslimin ini bermula dengan sistem tarbiyyah yang mantap melalui USRAH RAYA mereka. Jangan sesekali kita yang tidak cukup tarbiyyah ini terus ke tahap ketiga iaitu JALAN RAYA (walaupun sesekali perlu juga turun ke jalanraya)! Nanti hancur semua, dan usaha untuk membina apa yang kita ada hari ini akan memakan masa puluhan tahun pula. Banyak perkara bermula dengan FAHAM. Faham pula terhasil daripada tarbiyyah. Tarbiyyah pula hendaklah tarbiyyah yang seimbang. WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar

Thursday, February 3, 2011

Sejarah Asya'irah dalam Durruth Thamin

Yakni pertama-tama orang yang menghantarkan (menyusun) dia ((ilmu tauhid Ahli Sunnah wal Jamaah) itu iaitu Abul Hasan al-Asy’ari.

Dan adalah citeranya (Mengikut ceritanya), adalah Abu Hashim al-Jubbaa’i guru Abu Hasan al-Asya’ri lagi bapa tiri suami ibunya. Maka tinggal mengikut barang yang diambil daripada ilmu Mu’tazilah 40 tahun.

Kemudian maka telihat ia (Abu Hasan Asya’ri) akan Nabi pada tidurnya (mimpinya) tiga kali. Berkata ia (Rasulullan saw) baginya pada tiap-tiap kalinya “Hai Abul Hasan, tolong olehmu akan a’qaid yang diriwayatkan daripadaku. Maka bahawasanya ia yang sebenarnya.”

Maka sembah Abu Hasan pada yang ketiga kalinya, “Betapa aku tinggal akan mazhab yang sudah aku tasawurkan masalahnya dan aku ketahui akan dalilnya 30 tahun daripada bicara aku dengan ilmunya?”

Maka sabdanya Rasulullah saw: “Jika tiada aku ketahui bahawasanya Allah Taala menolong akan dikau dengan penolongNya (pertolonganNya), tiada aku suruh akan dikau.”

Kemudian maka jaga ia daripada tidurnya. Maka berkata ia, maka tiada kemudian daripada nyata yang sebenarnya melainkan sesat.

Kemudian maka mengambil akan beberapa hadith yang menolongkan (mengesahkan/mengukuhkan) akan i’tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah. yang datang pada (beberapa persoalan yang ditolak oleh kaum Mu’tazilah seperti) melihat akan Allah pada Hari Qiamat, dan hadith memberi syafaat Nabi saw, dan lainnya. Maka ditolongkan Allah dengan petolongNya.

Maka adalah ia membukakan daripadanya beberapa bicara dan beberapa dalil dan burhaan yang tiada pernah mendengar daripada syeikhnya sekali-kali, dan tiada pernah dilihatnya di dalam kitab. Kemudian lenyap ia (ia menghilangkan diri) daripada mata manusia ( dengan berdiam diri) pada rumahnya 15 hari.

Kemudian keluar ia (perdi) kepada masjid jami’ dan naik ia ke atas mimbar dan berkata ia , “Hai segala manusia, sesungguhnya adalah ghaibku (menghilangnya aku) daripada kamu masa ini kerana bahawasanya aku tilik (meneliti) akan beberapa dalil. Maka aku dapat bersama-sama pada aku beberapa dalil yakni berlawanan dalil tiada dapat aku hendak lebih suatu daripada satunya.”

“Aku minta petunjuk daripada Allah Taala. Maka(Allah) menunjukkan daku kepada i’tiqad yang sebenarnya. Maka aku taruhkan (kumpulkan) di dalam ghaibku ini (selama aku menghilangkan diri ini). Dan sesungguhnya telah aku tinggalkan daripada segala ilmu (yang salah daripada fahaman MU’tazilah) yang ada aku i’tiqad akan dia seperti aku tanggalkan daripada kain ini.” Maka ditanggalkannya kain yang ia pakai yang ada padanya dan dilontarnya (sebagai gambaran bahawa dia sudah menanggalkan fahaman Mu’tazilah yang dianutinya selama ini).

Kemudian maka diangkatkan kitab yang ia karang atas Mazhab Ahlus Sunnah kepada manusia. Maka adalah ia pertama-tama orang yang mengedarkan (menyusun dan mengajarkan) ilmu ‘aqaid atas jalan Kitab dan Sunnah, yakni mengikut Quran dan hadith dan ijmak as-sahabat yang dahulu-dahulu yang soleh-soleh. Maka jadi hinalah segala ahli al-i’tizaal (para pengikut fahaman Mu’tazilah).

SUMBER:

Kitab Ad-Durruth Thamiin karya Asy-Syeikh Daud bin Asy-Syeikh ‘Abdullah al-Fatoni, mukasurat 3 dan 4

Tuesday, February 1, 2011

Fiqh dan Perundangan Islam (4)

PERINGKAT PARA FUQAHA

Mujtahid yang Bebas Berijtihad Sendiri

... ialah mujtahid yang bebas mengadakan kaedah untuk dirinya sendiri. Dia membina fiqh di atas kaedah-kaedah tersebut. Mereka termasuklah para imam yang empat. (ms 31)

Mujtahid Mutlak yang Tidak Bebas Berijtihad Sendiri

... ialah mujtahid yang memiliki syarat-syarat ijtihad yang ada pada mujtahid mustaqil (bersendiri), tetapi dia tidak mencipta kaedah-kaedah sendiri, malah dia mengikut cara salah seorang daripada para imam ijtihad. Jadi sebenarnya mereka muntasib (mengikut) bukan mustaqil (bersendiri).

Kedua-dua tingkat ini telah pupus dan tidak ada lagi. (ms 31)

Mujtahid Muqayyad

... atau disebut juga mujtahid bagi masalah-masalah yang tidak ada nas daripada imam mazhab atau mujtahid al-Takhrij (mujtahid hukum cabang). (ms 31)

Mujtahid Tarjih

... yang memperjelaskan sesuatu pendapat yang dipegang oleh imam mazhab daripada pendapat lain. Atau tarjih antara apa yang dikata oleh imam dan apa yang dikata oleh murid-muridnya ataupun para imam yang lain. (ms 32) (contohnya Imam Nawawi)

Mujtahid Fatwa

... berpegang kuat dengan mazhab, menerima dan menyampaikan kepada orang lain serta memberi kefahaman dalam perkara-perkara yang jelas dan dalam perkara-perkara yang menajdi kemusykilan. Dia membuat perbezaan di antara pendapat yang paling kuat, yang kuat, yang lemah, yang rajih dan yang marjuh. Tetapi dia mempunyai kelemahan dalam menetapkan dalil dan mengemukakan bandingan (qiyas). (ms 32)

ISTILAH-ISTILAH MAZHAB SYAFIE

Al-Azhar = (lebih jelas) yakni yang lebih jelas daripada dua pendapat ataupun lebih, daripada pendapat Syafie rahimahullah. (ms 45)

Al-Masyhur = yakni yang masyhur daripada dua tau lebih pendapat Syafie. (ms 45)

Al-Asah = (yang lebih sah), yakni daripada dua wajah atau lebih bentuk yang telah dirumuskan oleh tokoh-tokoh Mazhab Syafie daripada kata-kata Imam Syafie., berdasarkan kepada prinsip yang telah ditetapkan olehnya atau dipetik dari kaedah-kaedahnya. (ms 46) (Perbezaan pendapat pada perkara yang disebutkan adalah kuat. Lawannya ialah sahih)

Al-Sahih = (Sah). Yakni daripada 2 wajah atau lebih. Tetapi perbezaan pendapat antara tokoh-tokoh mazhab tidak kuat. (ms 46)

PUNCA PERBEZAAN PENDAPAT DALAM KALANGAN FUQAHA

Sesungguhnya perbezaan pendapat antara mazhab dalam Islam adalah rahmat dan member kemudahan kepada ummah. (ms 49)

... (kerana) kedudukan bahasa Arab itu sendiri yang lafaznya adakalanya mengandungi lebih daripada 1 makna. (ms 50)

...(kerana) periwayatan sesebuah hadith dan cara sampainya hadith itu kepada mujtahid sama ada kuat ataupun lemah. (ms 50)

(Kerana) Pegangan mereka kepada sumber perundangan atau untuk menjaga maslahat, keperluan dan adat yang sentiasa berkembang. (ms 50)

... kerana adanya tingkat perbezaan fikiran dan akal manusia dalam memahami nas, cara memetik hokum, keupayaan mengetahui rahsia-rahsia perundangan dan ‘illah-’illah hukum syara’. (ms 50)

KONSEP SEMBAHYANG

Takrif solat, dari segi bahasanya ialah doa. Dari segi adalah ialah semua perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam. (ms 507)

Jibril datang dan kata , “Bangun dan sembahyanglah” untuk setiap waktu dalam beberapa hari. (ms 532)

Harus (boleh) melewatkan sembahyang sampai ke akhir waktu... (ms 532)

Mengikut pendapat yang muktamad daripada Mazhab Syafie, adalah sunat azan dan iqamah bagi orang yang solat seorang diri sama ada solat tunai atau qada, biarpun dia mendengar azan di kampung atau masjid, dia boleh mengangkat suaranya (berazan) kecuali di masjid yang terdapat jemaah supaya mengelakkan para pendengar daripada menyangka masuknya wakatu solat yang lain. (ms 551)

Para fuqaha bersepakat tentang enam fardhu atau rukun solat, iaitu al-tahrimah (takbiratul ihram), berdiri, bacaan, rukuk, sujud dan duduk kali terakhir sekadar bacaan tahiyat (tasyahud) sehingga perkataan “’abduhu wa rasuluhu”. (ms 653)

Bacaan Basmalah. Bagi Hanafi bukan sebahagian dari ayat al-Fatihah. (ms 669)

Pakaian merah & kuning makruh untuk lelaki solat. (ms 838)

HUKUM SENTUH QURAN

Kesimpulannya telah berlaku ijmak di kalangan ulama kecuali Daud az-Zahiri bahawa tidak harus bagi seseorang yang berhadas dengan hadas besar menyentuh mushaf. Manakala orang yang berhadas kecil, tidak terdapat dalil sama sekali yang melarangnya daripada menyentuh al-Quran, tetapi kebanyakan ulama fuqaha mengatakan tidak harus. Ibnu Abbas dan Syiah Zaidiyah mengharuskan menyentuh mushaf. (ms 278)

WAJAH WANITA

Walau bagaimanapun harus bagi kaum wanita untuk mencukur muka dan melicinkannya mengikut nas. Mereka juga harus mencantikkan rambutnya dengan memerahkannya ataupun dengan apa-apa cara hiasan. (ms 291)

FIQH & PERUNDANGAN ISLAM (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu al-Juz al-Awwal) oleh Syeikh Wahbah az-Zuhaili. Terjemahan Syed Ahmad Syed Hussain et al. Terbitan DBP-KPM-KL 1995 (cetakan kedua)

Tingkat-tingkat Warak

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya' 'Ulumiddin pada bab Ilmu Pengetahuan, warak terdiri daripada 4 tingkat:

1. Tidak melakukan perkara yang jelas haramnya. Ini tingkat biasa.
2. Tidak juga melakukan perkara yang meragukan (syubhat). Ini tingkat orang-orang soleh.
3. Tidak juga melakukan perkara yang halal tetapi dikhuatiri terbawa kepada yang haram. Ini tingkat orang-orang muttaqin.
4. Berpaling (meninggalkan) selain kepada Allah Taala. Kerana takut terpakai meskipun sesaat umur kepada yang tidak mendatangkan faedah, sekalipun perkara itu tidak akan membawa kepada yang haram. Ini tingkat orang-orang siddiqin.